3/06/06

Siti Nor Bahyah lancarkan tiga buku bersama Telaga Biru

Nor BahyahOleh ZUARIDA MOHYIN

TEKNIK Cakar Harimau dan Urutan Labah-labah sekelip mata telah membawa nama Siti Nor Bahyah Mahamood sebagai pendakwah bebas dan pakar motivasi yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kepopularan beliau tidak sahaja di Malaysia malah tersebar ke negara-negara jiran.

Semenjak itu rutin hariannya berubah daripada banyak menghabiskan masa bersama keluarga, kini dirinya menjadi rebutan pelbagai pihak media tidak kira elektronik atau cetak.

Namun tidak hairanlah dengan aset kemanisan, keramahan dan kemesraan keperibadian serta disokong dengan cara penyampaian ceramahnya yang pandai membaca audiens dan bersahaja, turut menyumbang kepada popularitinya.

Siti Nor Bahyah bukan sahaja aktif menyampaikan ceramah sama ada secara langsung ataupun bentuk rakaman malah kini beliau turut menceburkan diri dalam dunia penulisan sebagai salah satu cabang berdakwah.

Pada pertengahan Mei lalu, penerbit album-album ceramah dan juga selaku penerbit buku motivasi, Telaga Biru Sdn. Bhd. telah mengadakan majlis pelancaran serentak tiga buah buku Ustazah Siti Nor Bahyah di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Pelancaran buku bertajuk; Panduan Mencerdaskan Minda, Panduan Ibu Mengandung dan Cakar Harimau - Tips Kebahagiaan Rumah tangga, merupakan pembabitan pertama beliau dalam bidang penulisan buku setelah sekian lama berdakwah dan menjadi perunding motivasi.

Pada majlis itu juga, Siti Nor Bahyah telah menerima anugerah Outstanding Artist Award 2005 daripada Pengarah urusan Telaga Biru, Waharp Yusoff atas pencapaian rekod jualan album-album ceramah beliau yang amat membanggakan.

Akui Siti Nor Bahyah, semenjak di zaman kanak-kanak lagi minatnya dalam dunia pembacaan seperti isi dengan kuku. Malah tempat yang paling disukai ialah ke kedai-kedai buku.

Kebiasaan

“Alhamdulillah setelah berumah tangga, kami suami isteri menjadikan kebiasaan membaca buku sebelum melelapkan mata.

“Saya sendiri tidak sangka semasa membelek-belek buku di sebuah kedai, rupa-rupanya saya sedang membelek buku saya sendiri,” luah Siti Nor Bahyah dalam satu sesi temu bual bersama para wartawan, pagi itu.

Menjawab perancangan beliau dalam dunia penulisan, kata Siti Nor Bahyah kejayaan pertama ini menjadi pemangkin semangat kepadanya untuk mengembangkan skop penulisan.

Sekarang ini, beliau sedang dalam proses menyiapkan sebuah lagi buku berjudul, 27 Tips Suami Idaman. Harapan Siti Nor Bahyah, buku-buku yang menyentuh alam kanak-kanak, doa, warga emas dan solat adalah antara aspek yang akan cuba diceburi.

Sementara itu, penerbitan buku-buku Telaga Biru telah bermula pada pertengahan 2005. Sehingga kini sebanyak hampir 300 tajuk album ceramahnya telah mendapat permintaan untuk dibukukan.

Lantaran itu, langkah awal pihak Telaga Biru ialah mensasarkan menerbitkan 60 tajuk pada tahun ini.

Menurut Waharp bagi mereka yang telah memiliki album siri motivasi dan ceramah agama tidak perlu bimbang kerana apa yang terkandung di dalam setiap buku hanya mengekalkan 30 peratus daripada isi kandungan album. Ini bermakna, kupasan dalam bentuk buku adalah lebih mendalam iaitu sekitar tiga ke empat kali ganda berbanding isi kandungan album.

Biarpun masih baru dalam dunia penerbitan buku, Telaga Biru telah berjaya menerbitkan 13 tajuk di antaranya; Petua Pelajar Cemerlang, 21 Kaedah mendidik Anak, Menempuh Gerbang Perkahwinan, Petua Membuat Orang Jatuh Cinta, Petua Sentiasa Ceria dan Menangani Anak Masalah daripada Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah. Manakala Teknik Belajar Berkesan oleh Nur Amalina, Tentang Cinta oleh Pahrol Mohd Juoi dan dua buku ICT oleh Mokhtar Ahmad. [UM]