10/28/08

Noor Fadilah yang lari bersama pemuda Lombok dibawa pulang hari ini


Abdul Azeez Abdul Rahim (tengah) bersama ibu bapa Noor Fadilah, Ahmad Abdul Hamid (kiri) dan Masitah Abdullah (kanan) ketika tiba di Lapangan Terbang Selaparang, Lombok di Nusa Tenggara Barat, semalam.- Bernama

Noor Fadilah Ahmad, 18, yang melarikan diri bersama kekasihnya, seorang pemuda berasal dari Lombok Timur sejak dua bulan lepas akan dibawa pulang ke Malaysia hari ini.

Dinas Imigrasi Mataram mengesahkan Noor Fadilah, yang berkahwin dengan Nasrudin Dahrom, 24, dibenarkan pulang ke Malaysia tanpa dikenakan hukuman penjara kerana memasuki Lombok secara haram sejak 6 September lalu.

Toleransi dan kerjasama yang baik oleh pihak imigrasi Indonesia ini diberikan setelah mengadakan rundingan sekitar dua jam sahaja antara Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO dan Dinas Imigrasi Mataram dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di kantor Inmigrasi Mataram pada 27 Oktober 2008

Rundingan itu diadakan antara Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim selaku Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO dan Ketua Seksyen Pengawasan dan Tindakan Imigresen Daerah Mataram, M. Adnan.

Turut serta dalam rundingan itu ialah Kaunselor (Konsular, Imigresen dan Sumber Manusia) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Mohd. Zahari Hassan dan Setiausaha Sekretariat, Datuk Muhd. Khairun Aseh yang juga seorang peguam.

"Perkara itu berjaya diselesaikan dalam semangat setiakawan Malaysia dan Indonesia," kata Abdul Azeez yang mengetuai misi membawa pulang Noor Fadilah selepas kes itu mendapat perhatian umum sejak 24 September lepas.

Mengikut peraturan Dinas Imigrasi Indonesia, seseorang yang memasuki Indonesia secara tidak sah boleh dikenakan hukuman penjara enam tahun atau denda Rp 3 juta.

"Saya optimis Noor Fadilah akan dipertemukan dengan ibu bapanya di sini esok," kata Abdul Azeez yang mengetuai misi membawa pulang Noor Fadilah.

Turut serta ialah ibu bapa Noor Fadilah, Ahmad Abdul Hamid, 46, dan Masitah Abdullah, 42.

Noor Fadilah yang berasal dari Ladang Sungai Gedung, Bagan Serai, Perak lari bersama Nasrudin ke Lombok pada September lepas.

Perbuatan itu tanpa keizinan ibu bapa Noor Fadilah yang tidak merestui hubungan cinta pasangan tersebut.

Ahmad ketika ditemui pemberita berkata: "Tak sabar nak jumpa selepas hampir dua bulan berpisah. Saya amat berterima kasih kepada Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO yang amat prihatin. Saya terhutang budi kepada UMNO.''

Berita Terkait:
1. Fadilah sudah kahwin
2. 'Saya nak pisahkan mereka'








Berita ini disunting dari Utusan Online, 28/10/08. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info, dan lain-lain.

10/26/08

Mawi bernikah pada 20 Disember 2008


Mawi dan kekasihnya Ekin (Nora’asikin Rahmat,29) membuat pengakuan rasmi akan bernikah pada 20 Disember 2008.


Mereka membuat pengakuan mengenainya pada petang 21 Oktober, di Hotel Palace of The Golden Horses, Kuala Lumpur.

Upacara akad nikah Mawi dan Ekin dijadual diadakan di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru pada tarikh itu sementara majlis bersanding pihak perempuan akan diadakan pada sebelah malam, hari yang sama di Stadium Tertutup, Johor Bahru.

Majlis bersanding pihak lelaki pula akan berlangsung di Dewan Felda Taib Andak, Kulai Johor pada 28 Disember sementara pada 11 Januari 2009, satu majlis khas akan diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses, Kuala Lumpur.

Pihak lelaki dijangka membawa 11 dulang hantaran dan akan dibalas sembilan dulang oleh keluarga perempuan.

Dijangka lebih 15,000 peminat akan memenuhi stadium dan dewan Felda Taib Andak untuk menyaksikan perkahwinan mereka nanti.

Majlis tersebut juga akan disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran milik Astro bermula 17 Disember ini sehinggalah 11 Januari 2009.

Ekin dan Mawi telah mengikat janji untuk menjadi suami isteri selepas majlis risik diadakan pada Jun lalu dengan sebentuk cincin platinum sebagai tanda.

Mawi melamar Ekin dalam telefon ketika beliau berada di Syria semasa menjalani penggambaran sebuah rancangan televisyen pada 30 April lalu.

“Saya ajak Ekin kahwin pada bulan 12 ketika menelefonnya,” kata Mawi yang terus memaklumkan hasrat itu kepada kakaknya, Rashidah sebaik pulang ke Malaysia.

Ekin pula terkejut dengan lamaran itu tetapi menganggap ia mungkin satu jodoh yang sudah ditentukan oleh Tuhan.

Masih mahu merahsiakan jumlah hantaran yang diberikan untuk Ekin, apa yang diharapkan Mawi, peminat-peminat akan mendoakan kebahagiaan rumah tangga yang bakal dibina mereka tidak lama lagi.

Pereka fesyen taja pakaian pengantin

Pereka-pereka fesyen termasuk pengusaha butik pengantin akan bertungkus lumus memastikan majlis persandingan Mawi dan Ekin mencapai standard yang dimahukan kedua mempelai.

Lebih menarik lagi, pereka fesyen dan jurusolek terkenal sanggup menaja majlis perkahwinan mereka itu secara percuma.

Tiga konsep persandingan telah dipersetujui iaitu moden kontemporari di rumah perempuan dan konsep Jawa untuk rumah lelaki.

Sementara untuk majlis khas di hotel, mereka memilih konsep Arab sebagai tema Arabian Nite.

Pereka fesyen Putra Aziz dari Butik Cosry, Bangsar terlibat menghasilkan pakaian nikah dan bersanding untuk majlis resepsi pengantin perempuan di Stadium Tertutup Johor Bahru manakala Rizalman Ibrahim dan Bon Zainal pula bagi pakaian Arab untuk upacara di hotel.

Putra Aziz akan mencari kelainan dengan mereka jubah separuh kebaya berkain renda untuk dipakai Ekin pada majlis akad nikah.

Mawi pula akan mengenakan baju Melayu warna serupa.

“Untuk majlis sanding di stadium, saya akan menghasilkan baju yang lebih moden dan glamor berwarna krim emas untuk Ekin.

“Mawi pula akan memakai baju Melayu bersama kot dan tanjak bersesuaian dengan perkahwinan Melayu,” katanya.

Di rumah pengantin lelaki pula, empat pereka fesyen dan jurusolek terpilih mengendalikan majlis berkenaan melibatkan Zulfazli Suhadi, Arma Abd. Rahman, Zulkifli Rahmat dan Adli Afandi.

Arma dari Wedding Couture sudah siap menghasilkan pakaian Jawa kontemporari yang lebih sopan berwarna kelabu perak untuk pengantin perempuan.

Kata Arma, dengan sentuhan rekaan fabrik dari kain batik Jawa, tentu sekali Ekin akan kelihatan lebih cantik memandangkan fizikalnya yang kurus dan tinggi.

Memilih konsep warna-warni, hanya 20 peratus unsur Jawa akan dihiasi pada pelamin sementara 80 peratus lagi lebih kepada konsep moden yang dihiasi dengan bunga-bunga tropika.

Arma tidak mahu majlis di rumah Mawi itu kelihatan terlalu “Jawa” kerana pakaian pengantin agak sarat dengan unsur-unsur budaya tersebut.

“Biar pelamin nampak moden dengan hiasan yang penuh warna-warni supaya majlis itu nanti kelihatan meriah dengan kepelbagaian unsur diketengahkan,” katanya.

Zulkifli Rahmat dari butik Dzull D’classique, Kajang pula akan menghasilkan baju klasik untuk Mawi siap dengan tengkolok Jawa (blangkon) berwarna hitam dan putih yang dibuat dari batik Jawa.

Beserta samping, Mawi juga akan memakai kot berwarna perak dan seluar dari kain jenis sutera Thai.

“Pakaian ini akan nampak moden kerana gabungan pelbagai unsur pada Mawi tanpa mengenepikan ciri-ciri Jawa yang diminta oleh Mawi,” kata Zulkifli.

Sementara Adli Afandi dari Adli Bridal, Johor Bahru menjanjikan satu suasana yang berbeza apabila tetamu melangkah masuk ke Dewan Taib Andak nanti.

Menggabungkan warna hitam dan putih, satu ukiran menggambarkan budaya Jawa akan dihasilkannya untuk dihiasi pada keseluruhan dewan tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggunakan pelbagai jenis bunga hidup sebagai hiasan bagi mencantikkan lagi dewan berkenaan.

“Saya akan menggunakan bunga-bunga segar kira-kira 10,000 kuntuman dari pelbagai jenis bunga untuk dihias di dalam dewan nanti,” katanya.

Jurusolek Zulfazli pula akan mengenakan solekan yang sederhana untuk memastikan Ekin kelihatan cantik.

Tidak mahu solekan yang berat, kata Zulfazli, pakaian Ekin yang sarat dengan aksesori dan unsur Jawa tidak sesuai untuk mendapat solekan yang penuh “warna-warni” kerana dikhuatiri akan menjejaskan seri pengantin.











Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info, dan lain-lain.

10/17/08

Isu hamil, fitnah jahat


Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

SUARANYA tenang-tenang saja. Malah sesekali dia bercanda mengajak bergurau meskipun tanya yang diaju agak sensitif sekali. Tidak mudah melenting dengan gosip durjana kononnya si kekasih hati, Bunga Citra Lestari (Bunga) hamil sebelum disatukan menjadi pasangan suami isteri menjelang 8 November nanti, aktor Ashraf Sinclair sebaliknya tenang dan bersahaja tatkala menjawab persoalan itu.

Barangkali hampir setahun menjalin cinta dengan artis popular negara seberang, Ashraf sendiri sudah kalis dengan segala macam fitnah dan tuduhan sekalipun bagi sebahagian besar dari kita, ia agak keterlaluan. Pun begitu, jejaka berusia 29 tahun ini menganggap segala fitnah itu muncul angkara agenda media di negara berkenaan yang sentiasa mahu mencari isu-isu 'panas' dan sensasi tanpa memikirkan perasaan manusia lain yang juga punya maruah peribadi. Kepada Kosmo! Ashraf mendedahkan dia cukup 'kalis' dengan fitnah berkenaan apatah lagi ia sudah mula disebarkan semenjak enam bulan lalu di Indonesia.

Bagi pemilik nama penuh Ashraf Daniel Mohamed Sinclair, gosip ini awalnya disensasikan pihak media Indonesia yang bertujuan ingin mendapatkan cerita eksklusif, tanpa memikirkan perasaan orang lain.

"Saya dan Bunga menyedari isu hamil ini dibangkitkan sejak enam bulan lepas lagi. Sebab itu kami tidak ambil peduli dan tenang-tenang saja semasa diasak media Indonesia di majlis pemberitahuan pernikahan kami baru-baru ini. Ia satu fitnah yang sudah lama diperkatakan," katanya bersahaja yang terluncur sekali-sekala dialek Indonesia.

Pengumuman pernikahan Ashraf dan Bunga dibuat dalam sidang media anjuran satu produk kecantikan di Jakarta pada malam 12 Oktober lepas.

Pun begitu sambung Ashraf, jauh di sudut hatinya dia tidak mahu terus melayan khabar yang demikian tidak keruan. Sebolehnya dia mengharapkan pengertian agar media di negara berkenaan lebih prihatin, tanpa mencoret perkara yang dianggap tidak masuk akal hingga mengaibkan diri mereka berdua dan keluarga.

"Cuba bayangkan, kalau Bunga hamil sejak Jun lepas, kenapa kami baru saja ingin melangsungkan pernikahan 8 November ini? Bukankah waktu itu perut Bunga sudah besar, lalu apa relevannya kami harus tunggu selama lima bulan untuk akad nikah? Ia satu fitnah yang tidak berasas langsung," kata Ashraf dalam nada tenang, namun ada riak tegas dalam bait patahnya itu.


Ashraf yang diwawancara Kosmo!kelmarin atas bantuan syarikat pengurusannya, Beyond Events Sdn. Bhd. mengakui, selepas ini dia enggan mengulas panjang lebar kontroversi ini kerana tidak mahu ada hati yang terguris, terutamanya kedua ibubapanya dan masyarakat peminat di Malaysia. Ini kerana dia sedar masyarakat di Malaysia tidak terbiasa dengan gosip seperti ini, justeru ia tidak mahu hal berkenaan terus diungkapkan.

"Saya sampai sudah malas hendak berikan komen. Kalau mengikut pandangan saya dan Bunga, kami melihat individu tertentu yang suka mensensasikan kisah hamil itu sekadar mahu menghangatkan lagi perkara itu dengan niat jahat.

"Niat untuk berkahwin sebenarnya ada dalam fikiran kami sejak penghujung tahun lalu. Lepas betul-betul serius dan sudah buat perancangan rapi, baru kami nekad untuk dedahkan perkara baik ini pada umum. Paling penting, kami ingin laksanakan ibadah. Tak mahu lagi fikir hal-hal lain yang boleh melukai hati ibubapa kami," hurai Ashraf.

BAIK Ashraf mahupun Bunga, enggan melayan fitnah dan gosip jahat yang dilemparkan terhadap mereka.

Andai diimbas kembali, selebriti yang terkena tempias fitnah bukan suatu yang mengejutkan. Bukan sekadar Ashraf, malah ada banyak lagi artis yang kalis setiap tohmahan dan keji. Dan persoalan tentang yang dianggap cukup sensitif di Malaysia, barangkali satu hal yang sangat biasa untuk ditanya oleh media di Indonesia tanpa memikirkan implikasi kepada tuan punya tubuh atau ahli keluarga terdekat mereka.

Secara dasarnya, inilah harga diri yang harus dibayar saat memijakkan kaki di lantai seni. Bahkan bukan sahaja diri artis itu menerima perca buruk, sebaliknya keluarga juga disaluti gosip yang sifatnya tidak terbatas itu.

Bagaikan menjadi lumrah sesetengah media di Indonesia yang gemar mendedahkan cerita negatif seseorang selebriti meski hakikatnya ia hanya bersandarkan kepada bukti yang tidak benar sama sekali.

Dalam situasi ini, Ashraf dan famili memang berasa tertekan kerana di akhirannya, masyarakat pantas akan menuding jari menyalahkan famili sekali gus mengaibkan mereka.

Meskipun mereka adalah kalangan artis yang terbiasa dilihat bersikap agak terbuka, harus diingatkan, masih ada yang mematuhi adat dan budaya. Masih ada yang menyanjung nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian mereka, termasuk cinta Ashraf dan Bunga yang mendapat pengawasan famili yang kuat beragama.

Tidak pinggir media tempatan


Sementara itu, keputusan Ashraf mengumumkan perutusan gembira bakal bergelar mempelai di Indonesia kelihatannya ibarat menyisihkan media dan peminat tempatan.

SEDANG dalam perancangan membeli rumah di Bali.


Sedangkan selama ini dia memahat nama dalam industri seni tanah air, tiba-tiba Ashraf membuat pengumuman ingin mendirikan rumah tangga di luar Malaysia. Ia seolah meminggirkan peminat dan media tempatan. Pun jejaka yang sedang dalam fasa darah manis ini menjelaskan, perkhabaran penyatuan mereka dijalankan secara serentak, maka tiada sebarang diskriminasi pada mana-mana pihak.

"Saya tidak anggap ia berat sebelah atau menyisihkan media dan peminat tempatan Malaysia tentang pengumuman yang dibuat di Indonesia. Di Indonesia, Bunga membuat pengumuman, sementara pihak pengurusan saya di Kuala Lumpur awal-awal lagi bersedia untuk sebarkan kepada media tempatan.

"Jadi, tiada istilah sesiapa patut berkecil hati atau kecewa dengan tindak-tanduk kami. Lagipun cuba anda fikirkan, bagaimana pula sekiranya saya hendak umumkan serentak di dua tempat yang berasingan dalam satu-satu masa?" soal Ashraf sambil tertawa kecil.

Tambah pemuda yang lahir pada 18 September 1979 ini lagi, untuk majlis pernikahan dan resepsi yang bakal diadakan di Indonesia kelak, dia tetap akan menjemput media tanah air.

"Saya tetap menjemput sesiapa yang mengenali diri, tidak terkecuali juga kepada teman-teman media tempatan yang selama ini banyak membantu menyokong karier seni saya.

"Kalau ada wartawan Malaysia sudi hendak hadir saya sangat senang sekali. Pihak pengurusan saya akan memberitahu informasi lengkap tentang majlis pernikahan kami dan resepsi yang akan diadakan.

"Yang pasti, keluarga terdekat, saudara-mara dan sahabat rapat akan menghadiri majlis bersejarah saya nanti," jawab Ashraf menumpahkan rasa keterujaan.

Tidak kisah kahwin awal


Dalam sinar populariti menggamit dan sedang menerangi mereka di kedua buah negara, barangkali ada rasionalnya Ashraf dan Bunga nekad mengambil keputusan menitipkan luahan cinta itu, diakhiri dengan majlis pernikahan.

ASHRAF merayu supaya peminat jangan percaya kepada fitnah.


Ashraf mengakui, perkahwinannya dengan Bunga, 25, merupakan keputusan paling tepat dilakukan sepanjang hidup dalam dunia ini bagi membuahkan bahagia berpanjangan.

Ditambah usia Ashraf makin menginjak dewasa, selaras itu jugalah kehidupannya harus bergerak pantas ke depan mencari kesempurnaan.

"Saya tidak fikir perkahwinan jadi masalah atau merugikan kami. Mendirikan masjid itu adalah satu ibadah yang dituntut Allah Taala. Kalau hendak cakap soal glamor atau kemasyhuran memang tidak pernah akan habis. Segala rezeki ditentu oleh Tuhan.

"Kalau mahu ikut perkiraan umur, maka sudah bersesuaian sangat untuk saya berkahwin. Usia saya sekarang sudah 29 tahun, jadi bagus sekali untuk saya tamatkan zaman bujang," akui Ashraf tertawa lagi.

Tentang desas-desus mereka sedang meninjau-ninjau untuk membeli kediaman di Bali, Ashraf menjelaskan bahawa ia belum muktamad.

"Perancangan beli rumah di Bali memang ada, boleh buat tempat persinggahan. Saya dan Bunga selalu berkunjung ke sana, jadi lebih mudah kalau ada penginapan sendiri kalau mahu bercuti," beritahu Ashraf yang akan menetap di Indonesia usai disatukan dengan Bunga. Pun janji Ashraf, dia sama sekali tidak akan melupakan keluarga, peminat dan teman-teman di Malaysia, malah akan sentiasa berulang-alik ke sini meski sudah berkahwin dengan wanita warga Indonesia.

Dalam pada itu, Ashraf dan Bunga kini sedang sibuk menguruskan hari bahagia mereka yang hanya boleh dibilang dengan jari.

"Syukur sangat kerana kami makin tenang usai pengumuman dihebahkan. Persiapan perkahwinan setakat ini sudah hampir 90 peratus siap dengan bantuan keluarga dan pihak pengurusan," ujarnya sambil memberitahu majlis akad nikah pada 8 November ini diikuti upacara persandingan di sebuah hotel terkemuka di kota Jakarta, sehari selepas majlis ijab kabul.

Ashraf juga memaklumkan majlis resepsi di Malaysia akan diadakan 14 dan 15 November ini. Dua majlis di itu bakal diadakan di sebuah hotel dan kelab di Selangor.




Ini adalah keratan akhbar dari Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info, dan lain-lain.

'Saya nak pisahkan mereka'


AHMAD bersama isterinya, Mashitah Abdullah menatap kenyataan Harussani yang disiarkan Kosmo! di rumah mereka di Bagan Serai semalam. Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
ahmadsyakir.sazili@kosmo.com.my


BAGAN SERAI - Bapa kepada 'pengantin' perempuan yang kahwin koboi di Lombok Timur, Indonesia, Ahmad Abdul Hamid sudah bertekad untuk memisahkan anaknya itu dengan Nasrudin atas keyakinan perkahwinan itu sendiri tidak sah.

"Saya mahu memisahkan mereka berdua kerana seperti yang dikatakan Mufti Selangor (Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahid) bahawa sekiranya majlis itu tidak menepati rukun nikah, ia bukan sahaja tidak sah, tetapi juga dianggap berzina.

"Siapa yang mahu anak sendiri berada dalam keadaan begitu dan saya percaya mana-mana bapa pun tidak mahu diperkotak-katikkan lelaki seperti Nasrudin," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ladang Sungai Gedong di sini semalam.

Hati Ahmad, keluarga dan sanak-saudara mereka panas selepas anak sulung mereka, Noor Fadilah, 18, dilaporkan sudah berkahwin dengan Nasrudin, lelaki Lombok didakwa melarikannya ke daerah itu awal September lalu.

Mereka mengharapkan Noor Fadilah atau Kak Long dapat mendengar nasihat ulama, jika tidak keluarga sendiri, supaya meninggalkan Nasrudin dan pulang ke Malaysia.

"Jika apa yang terkeluar daripada mulut abah dan mak ini tidak berbekas di hati, tidak berguna satu sen pun, abah rayu Kak Long dengarlah pesan alim ulama," kata Ahmad.

Kosmo! semalam menyiarkan kenyataan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria bahawa perkahwinan tanpa memenuhi rukun nikah itu adalah tidak sah dan sewajarnya pasangan tersebut dipisahkan.




Ini adalah keratan akhbar dari Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info, dan lain-lain.

Fadilah sudah kahwin


KUALA LUMPUR - Atas alasan takut telanjur, Nasrudin Dahrom akhirnya bernikah dengan Noor Fadilah Ahmad melalui bantuan seorang 'ustaz' di Lombok, Indonesia dua hari lalu.

Pernikahan Nasrudin, 24, dan Fadilah, 18, tetap diadakan walaupun tidak mendapat kelulusan kementerian agama di republik berkenaan yang sebelum ini menetapkan supaya Fadilah perlu mendapat keizinan walinya di Malaysia terlebih dahulu sebelum dinikahkan.

Bagaimanapun, menurut Nasrudin, beliau terpaksa membuat keputusan segera untuk berkahwin secara 'gelap' kerana tidak mahu melakukan perbuatan yang dilarang agama sedangkan kedua-dua mereka saling menyukai sesama sendiri.

"Saya tidak mahu melakukan dosa dan seterusnya terlanjur, saya menghormati Fadilah dan juga keluarganya walaupun tidak mendapat keizinan daripada jabatan agama.

"Lagi pun ada pihak tidak mahu kami terus begini dan harus dinikahkan segera dan kini kami berdua rasa sangat gembira," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Fadilah yang sebelum ini didakwa telah dilarikan oleh Nasrudin mendapat perhatian akhbar ini pada 24 September lalu melaporkan keluhan ayahnya, Ahmad Abdul Hamid, 46, setelah mendapat tahu anaknya sudah dilarikan oleh pemuda tersebut.

Beliau yang berasal dari Ladang Sungai Gedong, Bagan Serai, Perak nekad mengikut Nasrudin pada 3 September lalu ketika bekerja sebagai operator di sebuah kilang elektronik di Pasir Gudang, Johor.

Bagaimanapun Fadilah yang sebelum ini ingin kembali semula ke Malaysia tidak sedikit pun menunjukkan rasa kecewa atau tertekan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Namun perbuatannya itu boleh dianggap derhaka oleh beberapa tokoh agama sekiranya perkahwinan mereka tidak direstui keluarga.

Dalam pada itu, Nasrudin memberitahu, mereka masih belum memaklumkan perkahwinan tersebut kepada kedua orang tua Fadilah mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun usaha Kosmo! untuk bercakap dengan Fadilah sendiri tidak berjaya kerana Nasrudin memberitahu beliau sedang menunaikan solat dan percubaan seterusnya gagal kerana telefon bimbit dibawa oleh abang Nasrudin ke rumah mentuanya.

Sementara itu, Ahmad ketika dihubungi di Perak melahirkan rasa terkejut dengan tindakan yang dibuat oleh Nasrudin dan beliau dengan tegas tetap tidak merestui perkahwinan mereka.

"Macam mana pun pak cik tetap tak setuju depa kahwin, pak cik harap anak pak cik dapat dibawa balik ke sini dengan segera," katanya.





Ini adalah keratan akhbar dari Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info, dan lain-lain.