10/01/07
Noraniza Idris kahwin tahun ini
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR 9 Jan. – “Insya-Allah saya akan kahwin tahun ini.” Begitu kata ratu irama tradisional Noraniza Idris, 39, pada pertemuan eksklusif dengan Utusan Malaysia hari ini.
Noraniza mengaku akan menamatkan zaman jandanya dengan seorang pegawai kanan tentera berusia awal 50-an.
Penyanyi yang juga Pengurus Taman Mini Malaysia, Air Keroh, Melaka itu, sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Tajuddin, 44.
Bagaimanapun perkahwinan yang dibina pada 31 Mac 1988 itu berakhir dengan perceraian pada 7 April tahun lalu.
Hasil daripada perkahwinan itu Noraniza dikurniakan dua orang anak iaitu Mohd. Alif Haikal, 18, dan Mohd. Alfeq Haikal, 14.
Menurut Noraniza, perkenalannya dengan pegawai yang dipanggilnya abang itu, bermula sejak Julai tahun lalu.
Bagaimanapun hubungan mereka menjadi semakin rapat selepas sebulan berkenalan dan Noraniza juga telah bertemu dengan keluarga teman lelakinya itu pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
“Alhamdulillah keluarganya menerima saya seadanya,” kata Noraniza tentang hubungan dengan bakal suaminya, seorang duda sejak empat tahun dan mempunyai tiga orang anak.
“Saya mula terbuka hati untuk menerima abang sebagai teman istimewa kerana sifatnya yang berterus terang.
“Sebelum ini memang ada yang ingin berkawan dengan saya tapi hati ini belum terbuka. Dengan abang, saya rasa selesa,” katanya sambil tersenyum.
Sementara itu, Noraniza turut mendoakan kebahagiaan bekas suaminya yang telah pun bertunang dua minggu lalu.
Katanya, kalau itu pilihan Fareez, dia turut mendoakan kebahagiaan bapa kepada anak-anaknya itu.
Kategori:
Pernikahan
Langgan:
Catatan (Atom)