30/11/05
Siti Nordiana - Terima wang hantaran RM17,000
TERBARU..!!! PROGRAM AFFILIATE
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
PADA 20 November lalu, Achik Spin melangsungkan perkahwinan. Beberapa hari selepas itu, penyanyi Syura pula bertunang. Ahad lalu (27 November), pasangan duet Achik, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana pula melangsungkan pertunangan dengan Faizal Yusup,27, di rumahnya di Kuala Lumpur.
Pastinya ramai mengetahui, Nana telah hampir setahun berkawan dengan Faizal, pelakon drama Zarin Zarina, Atas Nama Cinta, Neon dan kini bakal muncul dalam filem baru, Gong.
Mengambil keputusan bertunang pada bulan kelahirannya, Nana dengan gembira bersyukur dengan apa yang telah ditakdirkan sambil menepis dakwaan sesetengah orang yang beranggapan ikatan pertunangannya terjadi untuk mengaburi kekecewaannya terhadap perkahwinan Achik yang pernah digosipkan dengannya.
"Saya dah tahu orang akan cakap macam tu. Sebenarnya saya tak rasa apa-apa. Saya tidak berniat begitu pun. Sebabnya saya memang tak rasa kecewa langsung apabila Achik kahwin. Malahan saya gembira lagi sebab gosip antara kami tidak akan diperkatakan lagi.
"Kebetulan tak sangka bulan ini Achik kahwin, Syura bertunang. Semuanya satu kebetulan. Saya memilih bulan ini sebab bulan kelahiran saya yang ke-21.
Asalnya nak buat masa hari jadi saya pada 22 November. Tapi tarikh tu jatuh pada hari Selasa. Orang ramai bekerja. Tak sesuai kalau nak membuat jemputan,'' kata Nana yang nampak manis mengenakan pakaian tajaan Persona Butik dan dihias cantik oleh Aim pada petang itu.
Tambahnya lagi, keputusan untuk bertunang diambil kira selepas kedua-dua pihak berbincang bersama-sama.
"Saya fikir lebih baik bertunang daripada berkawan lama-lama. Keluarga kami pun menasihatkan lebih baik ada ikatan. Tak eloklah sebab kami selalu keluar sama. Lagipun rasanya saya pun tak nak main-main lagi. Benda baik apa salahnya disegerakan,'' kata Nana yang enggan menyatakan tarikh perkahwinannya.
Majlis pertunangan berlangsung dengan meriah pada petang tersebut dengan dihadiri hampir 200 tetamu terdiri daripada saudara mara Nana, Faizal dan para peminat. Pihak lelaki hadir bersama rombongan 10 buah kereta.
Upacara menyarung cincin di jari manis Nana disempurnakan oleh ibu Faizal sendiri. Faizal yang berbaju Melayu sedondon hanya hadir seketika dan terpaksa pulang awal kerana mempunyai urusan lain.
Wakil Faizal membawakan 15 dulang barangan bertemakan biru serta wang hantaran RM17,000 dan dibalas oleh pihak perempuan 13 dulang barangan berwarna merah dan putih.
Apa pun sekalung tahniah MEGA ucapkan kepada pasangan tersebut kerana bijak memilih untuk membina sebuah ikatan bagi melerai segala persoalan yang bermain di minda peminat selama ini. SELAMAT BERTUNANG! [UM]