23/02/08

Lopez lahirkan anak kembar


NEW YORK 22 Feb. – Penyanyi dan pelakon terkenal, Jennifer Lopez selamat melahirkan dua anak kembar awal pagi ini, menurut majalah People.

Kembar berkenaan merupakan anak pertama bagi Lopez, 38, dan anak keempat serta kelima bagi suaminya, penyanyi salsa, Marc Anthony.

“Lopez dan Anthony sangat gembira dengan kelahiran ini,” kata pengurus Lopez.

Kembar berkenaan lahir di Long Island, New York.

Bayi pertama, seorang bayi perempuan dilahirkan dengan berat 2.5 kilogram dan 10 minit kemudian bayi lelaki seberat 2.7 kilogram dilahirkan.

Penyanyi berdarah latin itu terpaksa menunggu sehingga November tahun lalu bagi memastikan beliau benar-benar mengandung ketika mengadakan konsert bersama dengan suaminya.

– AFP




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. Dia kini bekerjasama dengan Zubli Zainordin pengasas Sains dan Seni Jaya Diri, pengarang blog Total Happiness dan pengelola Book Project blog.

4/02/08

Episod baru Ning-Omar


TIADA apa yang menggembirakan pasangan Colin dan Maureen Dalton selain daripada mendoakan anak bongsu mereka, Omar Sharif berbahagia di samping penyanyi terkenal tanah air, Ning Baizura Hamzah yang kini menjadi menantu mereka.

Tidak pernah terlintas di fikiran mereka akan menerima kehadiran ahli keluarga baru yang datangnya dari budaya, bangsa dan agama yang berbeza. Apatah lagi, menantu baru mereka merupakan personaliti ternama.

“Apabila Omar memberitahu kami tentang hajatnya untuk mendirikan rumah tangganya sekali lagi, kami menyambutnya dengan baik.

“Tetapi, saat dia menjelaskan bahawa wanita yang dipilihnya itu datangnya dari agama yang berbeza, perasaan terkejut serta-merta terbit dari hati kami.

“Masakan tidak, kami tidak pernah menyangka bahawa Omar akan berbuat demikian tetapi kami sebagai keluarga, kami memberikan sokongan penuh kepadanya dan merestui pilihannya. Ternyata, Ning memang sesuai dengan dirinya dan kami amat gembira menerima Ning sebagai ahli keluarga baru kami,” jelas bapa Omar, Colin Dalton sewaktu ditemui selepas majlis pernikahan anaknya itu.

Pasangan Ning dan Omar dinikahkan oleh bapa Ning, Sheikh Hamzah Sheikh Mohamad, 77, di Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq di Bangsar, Kuala Lumpur semalam dengan mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran berjumlah RM66,666.66.

Diminta pendapatnya tentang Ning, Colin memberitahu, dia begitu menyenangi sikap menantunya yang sangat terbuka dan mampu menyesuaikan diri dengan keluarga mereka dengan cepat sekali.

“Selepas Omar membawa Ning untuk bertemu dengan kami dua tahun lalu, saya begitu senang dengan kehadirannya. Ning bagaikan seorang anak yang seorang bapa mahukan dan itulah perasaan saya terhadap Ning,” katanya.

Colin turut menyatakan rasa gembiranya menghadiri majlis pernikahan anaknya dengan Ning yang disifatkannya sebagai unik.

“Saya tidak pernah menyaksikan majlis perkahwinan yang begitu indah dan aman. Bukan itu sahaja, saya begitu kagum dengan semangat dan perpaduan yang ditonjolkan dalam majlis perkahwinan ini. Kami berasa gembira kerana semua pihak menerima kami seadanya dengan terbuka,” jelasnya lagi.

Sementara itu, wanita yang begitu penting dalam hidup Ning, ibunya, Satilah Abdullah pula sukar menyembunyikan kegembiraan kerana puteri kesayangannya bertemu jodoh dengan lelaki yang diyakini mampu menjaganya.

Malah kata Satilah, perkahwinan Ning bagaikan sebuah kisah dongeng.

“Apa sahaja rintangan dan dugaan yang kami lalui, tidak pernah memisahkan kami malah, perhubungan kami bertambah erat dan rapat. Saya cukup memahami apa yang Ning mahukan dan tiada apa yang mampu saya lakukan selain daripada mendoakan agar perkahwinannya akan terus berkekalan,” jelas wanita berusia 63 tahun ini lagi.

Satilah dengan jujurnya memberitahu, dia pernah membayangkan anaknya itu akan mengahwini lelaki asing.

“Mungkin disebabkan, Ning juga datang dari perkahwinan campur maka sedikit sebanyak terpalit juga kepada Ning. Tetapi, saya tidak kisah siapa pilihannya kerana yang penting, mereka berdua boleh membimbing antara satu sama lain menjadi seorang Muslim yang lebih baik,” katanya.

Bagi Ning dan Omar pula, mereka sangat bersyukur kerana apa yang dirancang untuk hari bahagia dalam tempoh enam bulan berjalan dengan lancar.

Masakan tidak, untuk membuat persiapan perkahwinan dalam tempoh tersebut bukannya mudah. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan untuk memastikan perjalanan perkahwinan mereka tiada cacat-celanya.

Pasangan berkenaan mempunyai seribu alasan untuk bergembira di hari bersejarah mereka kerana majlis pernikahan yang berlangsung semalam selesai tanpa sebarang celanya.

Tepat pukul 10.14 pagi semalam, semuanya berubah dan dalam sekelip mata, status Ning juga bertukar.

Sudah pasti, kini satu tanggungjawab baru dan besar menanti penyanyi yang sangat popular dengan lagu Awan Yang Terpilu itu.

Ning yang ditemui selepas majlis pernikahannya meluahkan ikrarnya menjadi seorang isteri yang solehah kepada Omar selain terus membimbing suaminya itu menjadi seorang Muslim yang baik.

“Saya sedar apabila berkahwin dengan lelaki asing, tanggungjawabnya begitu besar. Apa yang buat saya kagum dengan Omar ialah dia banyak bersabar dan menerima segala dugaan dan cabaran dengan begitu tenang sekali.

“Bukan itu sahaja, ikatan yang disimpul bersama Omar ini juga menjadi jambatan untuk saya lebih mengenali anak-anaknya dan memberikan kasih sayang yang tiada berbelah bagi kepada mereka,” jelas Ning mengenai hasratnya untuk berkongsi kasih dan sayang dengan dua orang anak Omar menerusi perkahwinan terdahulu suaminya itu.

Omar pula memberitahu, dia tidak menyangka sama sekali akhirnya akan memperisterikan wanita yang begitu banyak bersabar dengannya sepanjang tempoh pertunangan mereka.

“Saya tidak tahu apa akan jadi dengan saya tanpa Ning di sisi. Dia banyak membimbing serta memberikan sokongan tanpa henti kepada saya. Kesabarannya dalam menempuhi segala dugaan memang amat saya kagumi. Ternyata, saya begitu bertuah kerana dapat memiliki wanita seperti Ning,” katanya sambil memandang penuh cinta kepada isteri tersayang yang anggun dengan persalinan rekaan Jovian Mandagie.




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.

Sarkozy kahwini teman wanitanya


PARIS 2 Feb. - Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy akhirnya mengahwini teman wanitanya, seorang model terkenal, Carla Bruni di Istana Elysee, hari ini.

Perkahwinan tersebut disahkan sendiri Datuk Bandar Paris, Francois Lebel yang mengahwinkan pasangan ini.

"Kedua-dua pasangan ini mengenakan busana serba putih dan seperti biasa pengantin perempuannya kelihatan sungguh menawan hati tetamu yang hadir.

"Manakala, oengantin lelaki, tidak kurang kalahnya," katanya.

Menurut Ketua Bandar ini, Sarkozy, 53, dan isterinya Bruni, 40, berkahwin dalam satu majlis yang hanya dihadiri kaum keluarga dan kenalan rapat di istana itu.

Mengikut Undang-undang Perancis, kedua-dua pasangan pengantin mesti melafazkan ikrar di hadapan Ketua Bandar sebelum diisytiharkan rasmi sebagai suami isteri.

Pasangan yang mencetuskan perhatian media dan orang ramai ini dikatakan mula bertemu pada November tahun lalu selepas Sarkozy berpisah dengan isteri keduanya, Cecelia.

Walaupun Sarkozy begitu mendedahkan kehidupan peribadinya namun pasangan ini begitu merahsiakan tarikh perkahwinan mereka.

- AP

"Orang ramai hanya akan mengetahui mengenai majlis itu apabila majlis perkahwinan itu berlangsung," kata Sarkozy.




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.

Yatt sudah berpunya


SEMALAM kamus hidup Yatt atau Norhayati Hamzah mencatatkan satu peristiwa yang cukup bermakna.

Secara rasmi, dia menjadi milik orang lain. Dan secara rasminya juga Yatt membuat pengakuan dia kini merupakan tunangan orang.

Dalam satu majlis yang sederhana, pertunangan Yatt dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor dilangsungkan dengan meriah di rumah keluarga pelakon itu di Seremban 2, Negeri Sembilan.

Selepas waktu Zuhur, jari manis Yatt disarungkan cincin pertunangan bagi menandakan termeterainya perjanjian kedua-dua mereka yang akan melangkah ke alam rumah tangga tidak lama lagi.

Yang lebih bermakna, Yatt tentunya gembira majlis itu dapat dilangsungkan juga selepas mereka menundanya pada bulan Disember lalu.

‘‘Syukurlah, akhirnya langkah pertama sebelum berkahwin dengan mengadakan majlis pertunangan dapat dilaksanakan juga,’’ katanya yang terlalu gembira dengan majlis itu.

Seperti pasangan lain, kedua mereka mengharapkan ikatan pertunangan itu akan merapatkan lagi hubungan mereka.

Mencecah usia 28 tahun, masanya sudah tiba untuk mereka serius memikirkan masa depan dan membina mahligai bahagia di alam rumah tangga.

Mengimbas kembali detik pertemuan pertama, Yatt bertemu Mutalib pada saat dirinya lara akibat kehancuran hati kerana kegagalan cintanya.

Ketika membawa hati yang remuk redam itu, Yatt meluangkan masanya untuk bermain futsal di Ampang Sport Planet.

Di situlah kedua-dua mereka bertemu apabila Yatt dan Mutalib diperkenalkan melalui seseorang.

‘‘Detik itu tidak akan saya lupakan dalam hidup ini kerana ia merupakan permulaan terhadap perjalanan kisah cinta kami,’’ kata Yatt.

Berpakaian putih, Yatt kelihatan ayu dengan solekan hasil sentuhan Fiza Zainuddin manakala pakaian seakan majlis raja sehari itu direka oleh Kasih Design, Shamnina Omar.

Malah pelamin pertunangan pula yang dihasilkan oleh Butik Pesona Anggun, Nilai seolah-olah menggambarkan ia seperti majlis nikah gantung.

Dengan 11 dulang hantaran daripada pihak lelaki, keluarga perempuan membalas 13 dulang yang antaranya terdiri daripada pakaian, manisan, kek, buah-buahan dan kasut.

Bimbang dikatakan mahu menunjuk-nunjuk, kata Yatt lebih baik dia merahsiakan sahaja mengenai jumlah wang hantaran yang diberikan oleh pihak lelaki.

Bukannya tidak mahu berkongsi dengan peminat tetapi menganggap soal wang ringgit merupakan perkara yang agak peribadi.

Cukuplah mereka berdua dan ahli keluarga sahaja yang tahu mengenai jumlah itu.

‘‘Sesetengah orang tidak kisah untuk menerangkan jumlah wang hantaran tetapi bagi kami biarlah ia menjadi rahsia.

‘‘Yang lebih penting kami tidak merahsiakan majlis ini,’’ katanya.

Tetapkan tempoh setahun

Sebagaimana biasa ketika ikatan pertunangan itu dimeterai, tentunya ramai yang akan bertanya bilakah agaknya tarikh kedua mereka untuk diijabkabulkan?

Jelas Yatt, selepas berbincang mereka mencapai persetujuan majlis pernikahan sesuai diadakan dalam tempoh setahun selepas pertunangan itu.

Seandainya dalam tempoh itu mereka merasakan ia perlu dipercepatkan, maka akan cepatlah kedua mereka untuk naik di atas pelamin.

‘‘Insya-Allah, tak lama kami bertunang. Dalam tempoh setahun keluarga menetapkan tempohnya. Seandainya dalam waktu itu kami ada tarikh yang sesuai, maka majlis pernikahan akan dilakukan,’’ ujarnya.

Berjaya sembunyikan si dia

Sebelum ini Yatt pernah mengakui hatinya sudah dimiliki tetapi enggan mendedahkan siapakah gerangan jejaka yang dimaksudkan itu.

Malah cukuplah dia hanya bercerita teman lelakinya itu bekerja sebagai pengurus di pusat sukan tersebut.

Bukannya apa kata Yatt, Mutalib hanyalah orang biasa dan bukannya artis. Adalah lebih baik dia tidak membawa kekasihnya itu ke alam glamor yang dilaluinya ini.

Jelas Yatt, perkara itu penting kerana dia tidak mahu bakal suaminya itu diheret sama sekiranya ada apa juga gosip yang melanda.

‘‘Dalam dunia hiburan ni kita tak jangka apa-apa perkara yang akan berlaku. Sebab itulah apabila orang tanya mengenainya, Yatt tidak bersedia untuk mendedahkan kepada umum.

‘‘Biarlah Yatt sendiri yang melalui gosip dan susah payah dalam dunia hiburan ini ,’’ katanya.

Walaupun berjaya menyembunyikan tunangnya itu tetapi adalah penting Yatt tidak melupakan janjinya untuk berkongsi kegembiraan majlis pertunangan dan hari bahagia nanti.

Hubungan teruji

Seperti pasangan lain yang melayari detik percintaan, Yatt tidak menafikan dia dan Mutalib juga menerima banyak ujian yang mengganggu hubungan mereka.

Sebaliknya Yatt bersyukur kerana mereka berdua dikurniakan kekuatan untuk menempuh dunia percintaan yang penuh dengan pancaroba itu.

Mengakui bukannya mudah untuk bercinta kerana kadangkala dugaan itu seolah-olah membuatkan mereka merasakan kasih sayang bagaikan perlu dinoktahkan.

Bagaimanapun menyedari setiap masalah itu akan mencapai penyelesaiannya dengan kesabaran dan permuafakatan, maka hubungan mereka akhirnya melewati juga usia tiga tahun.

‘‘Bohonglah kalau Yatt katakan hubungan kami tidak ada apa-apa masalah. Syukurlah kami mempunyai persefahaman dan masalah yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan baik,’’ jelasnya.

Doakan rezeki melimpah

Ketika namanya sedang diukir di pentas hiburan, Yatt mengambil langkah untuk mengikat tali pertunangan sebelum berumah tangga.

Ada yang beranggapan, sebagai pendatang baru, soal percintaan atau pertunangan hendaklah disembunyikan kerana bimbang ia boleh membawa kesan terhadap populariti seseorang.

Bagaimanapun Yatt menyangkal dakwaan itu dan menganggap rezeki itu akan ada dengan usaha dan keikhlasan.

Mengambil contoh beberapa artis lain yang sudah kahwin tetapi masih popular seperti Rosyam Nor, Erra Fazira dan Ziana Zain, kata Yatt, mereka merupakan insan yang mampu mengekalkan populariti bersandarkan bakat.

Jika seseorang itu mempunyai kebolehan soal status tidak menjadi halangan untuk menjadi popular.

‘‘Sebenarnya rezeki adalah kurniaan Allah. Kalau kita belum berkahwin tetapi tidak mahu berusaha, tidak akan datang juga rezeki itu.

‘‘Yatt percaya walaupun akan mendirikan rumah tangga tetapi Yatt tetap akan berdoa agar rezeki Yatt dalam bidang lakonan bertambah,’’ katanya.

Hampir dua tahun serius dalam bidang seni sesuatu yang menggembirakan Yatt apabila dia dapat mengotakan hasratnya selama ini untuk membeli kereta dan rumah.

Lebih bererti rumah semi-D yang terletak di Seremban 2 itu dibeli hasil titik peluhnya menjadi pengacara dan berlakon drama.

‘‘Ia merupakan hadiah Yatt kepada keluarga kerana Yatt telah berjanji sekiranya ada rezeki yang lebih, Yatt tidak akan melupakan mereka.

‘‘Syukurlah baru beberapa minggu kami tinggal di rumah baru, majlis pertunangan terus diadakan,’’ katanya.

Selain menanti jadual untuk penggambaran filem Toyol Nakal arahan Z.Lokman, lebih bermakna drama terbaru Yatt akan mula disiarkan di TV3 bermula esok.

Drama bersiri berjudul Bella itu akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 6.30 petang menggantikan drama Spa-Q.

Yang penting katanya, peminat boleh menilai hasil kerja kerasnya itu dan tidak akan berkecil hati sekiranya ada pihak yang ikhlas untuk memberikan sebarang komen.




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.