PERNIKAHAN Mawi atau Asmawi Ani, 27, dengan Ekin atau Nora‘Ashikin Rahmat, 29, di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, pada pagi Sabtu lalu membuktikan bahawa pasangan tersebut tidak lut pada segala cemuhan.
Sejak Mawi dan Ekin menguar-uarkan percintaan mereka pada 21 Oktober lalu, pasangan tersebut tidak henti-henti dilanda ujian.
Namun, berkat kesabaran dan kepercayaan antara satu sama lain, akhirnya Mawi dan Ekin berjaya disatukan jua oleh Penolong Pendaftar Nikah Johor Bahru, Datuk Mahad Mohd. Said pada pukul 11.40 pagi.
Mawi, yang segak dengan persalinan baju Melayu serba putih dan bersamping songket, nampak gugup ketika melafazkan akad nikah, namun berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan hanya sekali lafaz sahaja.
“Masa bersalam tadi, memang saya rasa semacam bertambah gugup. Tapi alhamdulillah, saya dapat atasinya dengan sekali lafaz,” katanya tersenyum pada sidang media yang diadakan selepas upacara akad nikah.
Jelas Mawi, setiap hari dia sering menghafal ungkapan akad nikah dalam hati dan mungkin disebabkan latihan itu dia berjaya melafazkannya dengan lancar.
Sebaik selesai acara akad nikah, Mawi telah membaca taklik dan melakukan sujud syukur sebelum menyerahkan mas kahwin sebanyak RM22.50 kepada Ekin.
Acara tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi Saluran Astro Oasis (106) bermula pukul 10.30 pagi.
Mawi yang sedari awal mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami, turut memberi wang hantaran sebanyak RM30,000 kepada isteri tercinta.
Apa pun, bagaikan terlepas daripada bebanan yang cukup berat, Mawi nampak begitu ceria dengan menyerlahkan perwatakannya selamba dan lucu sebaik majlis pernikahan selesai.
Malah, senyuman dan gurauan tidak lekang daripada bibirnya terutama pada majlis persandingan yang berlangsung pada sebelah malam di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Majlis resepsi oleh keluarga Ekin itu dihadiri lebih 1,500 tetamu di mana pasangan pengantin memilih persalinan hitam dan putih.
Mawi mengakui ikatan pernikahan itu membuktikan bahawa dia dan Ekin sanggup menghadapi segala cabaran bersama hingga ke akhir hayat.
“Sebelum menjadi suami isteri lagi kami sudah diuji dengan pelbagai dugaan. Ekin banyak berkorban kerana setiap hari ada sahaja cemuhan yang dilontarkan kepada dia.
“Saya tahu walaupun dia bersabar tapi setiap hari dia berendam air mata. Saya mohon doa daripada semua agar rumah tangga kami kekal hingga akhir hayat. Harap lepas ini tiada lagi perkara sebegitu,” katanya yang bakal berbulan madu di Korea.
Menurut Mawi, setakat ini dia belum merancang tarikh sebenar berbulan madu kerana pemergiannya ke Korea kelak ditaja oleh Korean Tourism Organisation (KTO).
Ujarnya, buat masa ini tumpuannya lebih kepada mengurus acara resepsi di Felda Taib Andak pada 28 Disember ini dan Hotel Palace of Golden Horse pada 11 Januari depan.
Selain itu, dia juga akan terbabit dalam satu persembahan pada tahun baru ini.
Mawi yang memberi sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang itu berkata, setakat ini dia juga tidak membuat perancangan keluarga.
“Bagi saya, kalau Tuhan sudah tetapkan rezeki saya dapat anak awal, saya terima. Berapa orang itu, terpulanglah. Kalau sekali keluar dua orang pun bagus juga,” katanya.
Bagi Ekin, dia tidak pernah kesal atau berasa bersalah memilih Mawi sebagai suami biarpun sedar jejaka kelahiran Felda Taib Andak itu menjadi perhatian umum.
Padanya, Mawi adalah pilihan terbaik dan keputusan yang dibuat adalah tepat dan mungkin atas sebab itu juga Ekin dilihat tidak dapat menahan air mata sebaik selamat diijab kabul.
“Air mata tadi adalah air mata kegembiraan dan syukur kerana akhirnya, percintaan Ekin dan Mawi sampai ke destinasi. Ini semua berkat sokongan keluarga.
“Kalau sebelum ini Ekin mampu menepis segala dugaan, sudah pasti mendatang pun Ekin bersedia dan akan mengatasi segala masalah rumah tangga dengan tabah,” katanya.
Ekin yang pernah dituduh memilih Mawi kerana harta berkata, biar apa pandangan orang ramai terhadap dirinya, dia reda kerana apa yang diperkatakan itu adalah tidak benar.
Justeru, setelah memiliki status isteri kepada Mawi, Ekin akan berusaha melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
“Selepas ini ke mana sahaja Mawi pergi, Ekin akan ikut. Bukan kerana cemburu atau nak kawal tapi sebagai pengurus dan perunding imej Mawi,” katanya yang bakal menetap di Bangi, Selangor.
Selain itu, Ekin juga telah mendapat kebenaran daripada Mawi untuk membuka butik busana Muslim dan mungkin perniagaan itu digabung dengan Mawi World Entertainment.
Ekin yang akan meneruskan kehidupan seperti biasa berkata, dia tidak menolak untuk berlakon jika watak yang ditawar bersesuaian dengan imej dan statusnya.
Sementara itu ibu Ekin, Fatimah Saad berkata, dia berasa gembira kerana anaknya telah selamat bergelar isteri tetapi dalam masa yang sama turut bersedih kerana anak kesayangannya itu akan berpisah dengan keluarga.
“Mula-mula dulu, mak cik tidak percaya bila Ekin beritahu yang dia nak kahwin dengan Mawi. Apa pun mak cik suruh dia kenal hati budi Mawi dulu dan alhamdulillah, akhirnya mereka disatukan.
“Memanglah akan terasa kehilangan Ekin tapi itu sudah lumrah dia perlu ikut suami. Mak cik sentiasa doa agar hubungan mereka kekal hingga akhir hayat,” katanya.
Bagi Rahmat Mohammad, dia tidak bimbang untuk melepaskan Ekin kerana tahu pilihan anaknya itu tepat.
Katanya, biarlah mereka layari rumah tangga sendiri dan jika timbul masalah pandai-pandailah mengatasinya.
“Sekarang ini saya rasa lega kerana mereka sudah rasmi sebagai suami isteri dan jika apa-apa yang berlaku biarlah mereka atasi sendiri,” katanya.
Sementara itu kakak Mawi, Rashidah Ani, berharap adik kesayangannya itu akan tabah menghadapi segala dugaan dalam rumah tangga.
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info. |