Memaparkan catatan dengan label Ina Naim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ina Naim. Papar semua catatan

23/06/07

'Biarlah... saya tak marah'



Tetapi hati Suhaimi terusik bila kisah lama Ina diungkit

MASIH terselit sedikit kebimbangan di hatinya meskipun lamaran cintanya diterima baik oleh si gadis sejak lebih dua minggu lalu. Merendah diri mengatakan dia tidak sepopular tunangannya, Nordiana Mohd Naim atau Ina, bekas vokalis In-team, Mohd Suhaimi Saad berdoa perjalanan ikatan cinta mereka diberkati Tuhan.

Mula berkenalan sejak Februari lalu, cuma awal Jun lalu mereka berdua mula serius membincangkan soal hati. Namun, tidak banyak yang diluahkan kerana masing-masing malu untuk menyatakan hasrat hati.

Akur biarpun dia sudah lebih tujuh tahun menjalani kehidupan sebagai anak seni dan masak benar dengan segala sepak terajang industri hiburan, pertunangan dengan Ina seakan mengheret pemuda berusia 27 tahun itu dalam satu episod baru yang tidak pernah diduganya.

Tipu jika hatinya tidak terhiris dengan apa yang diperkatakan oleh sesetengah pihak yang kurang senang apabila hatinya terpaut dengan bekas tunangan penyanyi lelaki popular, Mawi. Tetapi apabila melihat kekuatan serta kekentalan tunangannya yang pernah berdepan dengan dugaan yang lebih berat, dia memperoleh semangat baru.

“Orang boleh membuat apa saja tafsiran, berkata mengikut sesedap rasa mereka namun saya tidak akan sesekali marah. Biarlah... Mereka berhak untuk bercakap apa saja.

“Sedangkan hanya kami yang mengetahui apa yang tersirat dalam hati sanubari kami. Kami tahu apa yang kami buat ini tidak salah dan berharap dapat bertahan mengharungi cabaran itu,” katanya.

Jujur kata pemuda kelahiran Triang, Pahang itu, sejak bergelar tunangan Ina hatinya sesekali terusik terutama apabila peristiwa pahit yang pernah menimpa bakal isterinya kembali diungkit.

Tiada apa yang mampu dilakukan kecuali bersabar dan berdoa semoga mereka berdua terus diberi kekuatan untuk menepis kata nista yang menghiris perasaan.

“Sebagai tunang saya tersentuh juga apabila sejarah Ina dan bekas tunangannya kembali diperkatakan. Tetapi, kami sama-sama ikhlas dalam perhubungan ini dan apa saja yang berlaku selepas ini, kami akan harunginya bersama.

“Ada yang bercakap mengapa terlalu pantas Ina mencari pengganti? Percayalah saya tidak akan mempersiakan kepercayaan yang diberikan Ina dan saya ikhlas menerima kelebihan serta kekurangannya,” kata Suhaimi.

Dibandingkan dengan Mawi yang sedang mengecap kemewahan kesan populariti yang diciptanya, Suhaimi berkata, dia tidak mempunyai apa-apa. Bekalannya hanya sekeping hati yang ikhlas dan jujur untuk mengubat duka Ina yang masih belum sembuh sepenuhnya. Kasih sayangnya terhadap gadis itu terbit dari hati.

“Jika kita ikhlas, biarpun ada yang tidak menyenangi hubungan kami berdua, Insya-Allah Tuhan akan melorongkan niat suci ini. Saya menerima Ina kerana dirinya, bukan disebabkan kasihan apabila dia ditinggalkan atau kerana populariti yang dimilikinya. Dia memiliki hati yang tulus dan paling membuatkan saya kagum, dia mempunyai semangat yang kuat untuk menentang apa saja dugaan,” katanya.

Tanpa berselindung kata Suhaimi, dia tidak mampu menghalang orang ramai daripada terus mengaitkan Ina dengan Mawi. Nama itu sudah sinonim di bibir ramai sejak Mawi mencipta nama tiga tahun lalu.

Baginya, apabila tiba masa nostalgia pedih yang pernah menimpa Ina itu akan hilang ditelan waktu dan sinar kebahagiaan mula bertandang dalam kehidupan mereka berdua.

“Ina sendiri cakap dia ingin melupakan semua yang berlaku dulu. Kami ingin sama-sama mulakan cerita dan hidup baru. Saya juga menerima kehadiran Ina seadanya,” katanya yang baru dua bulan bertugas sebagai pendidik di sebuah sekolah di Kuantan.

INFO:

  • PASANGAN ini mengikat tali pertunangan pada 6 Jun lalu selepas empat bulan berkenalan. Ina mula mengenali jejaka itu sejak mereka berdua bernaung di bawah bumbung Hijjaz Records Sdn Bhd.

  • BIBIT cinta antara mereka mula bertunas apabila mengadakan persembahan bersama di Pasir Gudang, Johor. Ina yang masih fobia dengan peristiwa putus tunang digerakkan Tuhan untuk membuka hatinya dan menerima kehadiran Suhaimi sebagai bakal suami.

  • KATA Ina, pada mulanya, rombongan keluarga Suhaimi menziarahi keluarganya sekadar untuk berkenalan dan merisik. Bagaimanapun, saat akhir ia bertukar menjadi majlis pertunangan.

  • INA yang putus tunang dengan Mawi hampir 11 bulan lalu berkata, hatinya terpikat dengan jejaka itu kerana Suhaimi mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan mampu membimbingnya menjadi isteri solehah.

  • MAJLIS pertunangan yang sederhana itu menyaksikan keluarga Suhaimi

    menyerahkan dua bentuk cincin merisik dan bertunang berserta lima dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang. Mereka sepakat menetapkan RM10,000 serba satu sebagai wang hantaran. Majlis pernikahan mereka akan dilangsungkan akhir tahun ini. [BH]
  • 9/06/07

    Ina Naim, bekas anggota nasyid In-Team bertunang

    The Most Recommended Internet Marketing Resource




    Ina Naim, bekas anggota nasyid In-Team bertunang


    KUALA LUMPUR: Penyanyi Nor Diana Mohd Naim, 23, atau Ina Naim menerima kehadiran bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Mohd Suhaimi Saad, 27, yang kini penyanyi nasyid solo sebagai teman hidupnya selepas kedua-duanya mengikat tali pertunangan di kediaman Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor Baharu, Rabu lalu.


    Ina yang juga bekas tunang penyanyi lelaki nombor satu negara Asmawi Ani atau Mawi, bersetuju mengikat tali pertunangan kurang daripada setahun, selepas empat bulan mengenali Mohd Suhaimi yang juga bekerja di bawah satu bumbung di Hijjaz Records Sdn Bhd.

    Ina terkejut kerana pada mulanya keluarga Suhaimi datang sekadar untuk berkenalan dan merisik bagaimanapun akhirnya bertukar menjadi majlis pertunangan.

    Ina bersyukur dengan peristiwa yang melanda kehidupan sebelum ini, Tuhan akhirnya membuka hati Ina dan keluarga untuk menerima Suhaimi dalam keluarga kami.

    Ina kenal dia (Suhaimi) ketika Ina mula bekerja dengan Hijjaz Records dan di situlah mulanya perkenalan kami. Sepanjang perkenalan ini, kami tidak pernah keluar bersama dan hanya berjumpa dan bersembang ketika di pejabat saja,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

    Ina yang putus tunang dengan Mawi hampir 11 bulan lalu iaitu 8 Julai 2006, bagaimanapun tidak mahu bercerita secara terperinci berkaitan majlis pernikahan yang bakal dilangsungkan tidak lama lagi kerana ia terlalu awal.

    “Buat masa ini Ina perlu menjaga hati kedua-dua belah pihak dan Insya-Allah kami akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini untuk berkongsi bersama media dan peminat,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Air Mata Maria arahan Datuk Yusof Haslam.

    Sementara itu, Suhaimi yang berasal dari Felda Tementi Triang, Pahang berkata, perkenalan mereka mula serius ketika mengadakan persembahan Hits 1 yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.

    “Seperti yang dijanjikan, saya tidak boleh mengulas lanjut berkaitan perkara ini memandangkan semuanya masih terlalu awal dan saya juga belum memberitahu syarikat rakaman berkaitan hal ini.

    “Saya berharap dengan ikatan pertunangan ini, peminat dapat menerima berita gembira ini dengan iringan doa restu daripada semua,” katanya yang kini menjadi tenaga pengajar tetap di Sekolah Agama Al-Irsyad, Kuantan Pahang, ketika dihubungi Berita Harian. [Berita Harian]