22/06/07
Arni abai anak: Awie
Oleh Sariha Mohd Ali
Gambar kesan Aleeya, Aleefa digigit nyamuk bahan bukti
KUANTAN: Penyanyi dan pelakon, Ahmad Azhar Othman atau Awie memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, pelajaran kedua-dua anaknya merosot dan kesihatan mereka terjejas sejak bekas isterinya, Arni Nazira Anuar dibenar bersama mereka pada setiap hujung minggu bermula 7 Mac lalu.
Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus, Awie berkata, dua anaknya, Puteri Aleeya Antasha, 7, dan Puteri Aleefa Antasha, 4, sering sakit ketika dikembalikan Arni kepadanya pada malam Ahad, selepas bersama-sama ibunya sejak pagi Sabtu.
Beliau berkata, antara lain, badan anaknya kelihatan susut, wajah berbintat digigit nyamuk, selain cedera di lutut dan kaki tersepit.
Selain itu, katanya, Aleeya juga gagal menumpukan kepada pelajaran kerana sering dibawa keluar oleh ibunya, malah dia sukar bangun pagi untuk ke sekolah pada Isnin kerana dikembalikan kepadanya pada lewat malam oleh Arni.
“Anak saya sering sakit dan cedera ketika dijaga bekas isteri sedangkan ketika diserahkan kepadanya, dua anak saya sihat dan ceria.
“Pada 15 Mac iaitu dua hari selepas dipulangkan Arni, Aleefa dimasukkan ke Hospital Ampang kerana wajah dan badannya berbintat digigit nyamuk serta luka di lutut dan dibenarkan keluar lima hari selepas itu.
“Pada 26 April pula, Aleeya dimasukkan ke hospital sama kerana disyaki demam denggi dan diberi cuti sakit lima hari, selepas Arni memulangkan mereka pada 22 April bersama ubat dari Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Saya diberitahu, Arni membawa dua anak ke lokasi penggambaran kerana dia berlakon dan bagi saya, itu bukan tempat untuk anak. Bagaimana ibu nak jaga anak jika dia (Arni) sedang berlakon,” katanya.
Awie berkata demikian ketika menjawab soalan peguam belanya, Mastuni Muhammad pada sesi perbicaraan bagi mendapatkan hak jagaan kekal terhadap Aleeya dan Aleefa, di sini, semalam.
Selain Mastuni, Awie turut diwakili peguam bela, Mohd Sazali Abdul Aziz, manakala Arni yang hadir berbaju kurung merah bertudung coklat, diwakili peguam bela, Mohd Zuki Che Mat Ghani dan Aminuddin Abdullah.
Sebanyak 18 keping gambar menunjukkan Aleeya dan Aleefa digigit nyamuk, luka di lutut dan ketika dirawat di hospital, diserahkan kepada mahkamah untuk dijadikan bahan bukti.
Awie berkata, dia terpaksa meninggalkan lokasi penggambaran filemnya di Bangkok pada 26 April, selepas dimaklumkan keadaan anaknya yang lemah dan dimasukkan ke hospital oleh isteri, Rozana Misbun dan kakaknya, Hawa Othman.
Beliau berkata, Arni mengetahui anaknya sakit, tetapi dia mungkin tidak mengetahui kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital.
“Saya tak hubungi dia sebab sebagai ibu, dia patut telefon bertanya kerana dia tahu anak yang diserahkan kepada saya itu sakit.
“Dia tak pernah bercakap dengan saya dan hanya menghantar SMS ‘hari ni saya ambil anak’ atau ‘esok saya hantar anak’ kepada Rozana.
“Sebab tu, masa dia datang hendak ambil anak pada minggu berikutnya, saya tak benarkan kerana anak masih belum sihat,” katanya.
Awie berkata, dia juga terpaksa menggandakan masa anaknya belajar kerana pencapaiannya semakin merosot dan keadaan itu menyebabkan anaknya memberontak.
Katanya, ketika dibenar tinggal bersama Arni selama seminggu ketika cuti sekolah bulan lalu, anaknya gagal menyiapkan latihan kerja sekolah diberikan.
“Saya bagi peluang anak buat latihan sekolah bersama ibunya, tetapi anak hanya buat sehelai setengah saja dan Arni beritahu yang anak enggan belajar,” katanya.
Perbicaraan kes itu disambung pada 23 Julai ini. [BH]