Memaparkan catatan dengan label Mahkamah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mahkamah. Papar semua catatan

1/02/11

Hakim dituduh khalwat minta bicara

ADAM Tumiran dan pasangannya, Nurul Izani Md. Isa ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang, semalam.


Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my



PULAU PINANG 31 Jan. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran dan penasihat kewangan, Nurul Izani Md. Isa dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat di sebuah kuarters kerajaan di sini, Disember tahun lalu.

Adam, 43, memakai kemeja putih dan berseluar hitam sementara Nurul Izani, 34, berbaju kurung ungu masing-masing mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya kira-kira pukul 10.30 pagi.

Mengikut pertuduhan, Adam dan Nurul Izani yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 2.05 pagi, 5 Disember tahun lalu, di No. 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.

Adam yang menetap di negeri ini didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nurul Izani yang bertugas di Kuala Lumpur didakwa di bawah Seksyen 27 (b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap seorang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Nik Bukhari Hashimy menetapkan 22 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Beliau membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 berserta seorang penjamin yang bermastautin di negeri ini bagi mengelak mereka menghilangkan diri semasa perbicaraan.

Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie, Mohd. Zulkhairi Aziz memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan kerana membabitkan pegawai kanan dalam perkhidmatan kehakiman.

Selain itu menurut beliau, pelbagai isu perundangan luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang lebih mendalam akan dibangkitkan sepanjang perbicaraan kes itu.

"Saya tidak tahu apa lagi isu yang akan timbul kerana hari ini pun sudah ada macam-macam.

"Jadi adalah lebih wajar kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi yang mempunyai penafsiran lebih luas supaya orang ramai lebih percaya dan yakin dengan perjalanan kes ini," katanya.

Peguam Ahmad Munawir Abd. Aziz yang mewakili pasangan itu turut memohon membuat penghujahan secara bertulis berhubung isu memindahkan kes.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, baharu keputusan mengenainya wajar dibuat.

"Jangan hanya kerana tertuduh pegawai kanan perundangan, keadilan untuknya dipinggirkan," katanya.

Dalam prosiding yang sama, mahkamah turut menolak bantahan awal dikemukakan peguam mengenai pertuduhan yang dianggap cacat.

Ahmad Munawir berkata, pasangan terbabit sudah berkahwin di luar negara dan surat pengesahan nikah juga telah diperoleh.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita.

Ketika serbuan dilakukan, isteri dan anaknya tiada di rumah kerana dikatakan berada di ibu kota.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, My Biz Online.

10/10/10

BAHAGIA Kak Engku dan Adzmin kini sudah berakhir


Robohnya tembok cinta Kak Engku

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Pelakon, pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin hari ini mengesahkan perceraian dengan suaminya, Adzmin Tan Sri Osman selepas melayari bahtera perkahwinan selama sembilan tahun.
Biarpun tidak menyatakan secara terperinci di mana dan bila perceraian tersebut, tegas Raja Azura, kes mahkamahnya telah diselesaikan secara damai dengan persetujuan bersama.
Beliau yang terkenal dengan panggilan Kak Engku bagaimanapun memberitahu, dia yakin masih mempunyai peluang untuk memulih dan menyelamatkan rumah tangganya memandangkan ia adalah perceraian kali pertama dan berdasar pada persetujuan kedua-dua pihak.
Malah, katanya, dia kini dalam tempoh idah dan kedua-dua pihak masih berpeluang untuk rujuk semula.
“Saya yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Ia mendewasakan saya dalam menempuhi perjalanan hidup dan alam rumah tangga.
“Peluang untuk rujuk dan kembali sebagai suami isteri masih terbuka kerana perceraian bukanlah penamatnya,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Raja Azura berkata, baik suami mahupun dirinya, mereka tidak pernah berputus asa mencari jalan perdamaian walaupun kini sudah lagi tidak bergelar suami isteri.
“Perceraian ini berlaku secara aman dan tidak perlu diperbesar-besarkan demi kebaikan bersama antara saya dan Adzmin.
“Kami memilih keputusan ini atas dasar memulihkan kerukunan rumah tangga setelah kaedah membaiki dari dalam tidak berhasil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Raja Azura turut meminta maaf kepada pihak media kerana sukar dihubungi beberapa hari ini malah meminta agar diberikan ruang untuk mengumpul kekuatan dan meredakan emosi.
Raja Azura, 38, dan Adzmin, 37, yang juga merupakan anak bekas Menteri Besar Kedah berkahwin atas dasar cinta pada Mac 2001 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7, dan Puteri Mia Maizura, 5.
Desas desus pergolakan rumah tangga mereka mula tersebar awal Ogos lalu apabila kedua-duanya didakwa memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor. ARKIB UTUSAN: 09/10/2010
Kak Engku yang mendirikan rumah tangga bersama Adzmin Tan Sri Osman pada 10 Mac 2001 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7, dan Puteri Mia Maizura, 4.
Perihal rumah tangga mereka yang dikatakan bergolak bukan perkara baru lagi. Sebelum ini juga Kak Engku pernah membuat sidang media menafikan yang mereka bakal bercerai.
Katanya dia hanya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor untuk mendapatkan khidmat kaunseling mengenai masalah rumah tangga yang melanda.

Sumber: Utusan Online, 10/10/10 untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas.net, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau

16/12/09

Lydiawati mohon bekas suami diberi notis tunjuk sebab

SHAH ALAM 15 Dis. - Pelakon Lydiawati hari ini memfailkan permohonan agar notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap bekas suaminya, Azhar Mohd. Zar yang didakwa gagal memulangkan barangan perkahwinan serta membayar nafkah idah dan mutaah berjumlah RM103,000.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Zulkifli Che Yong Azmi & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini kira-kira pukul 11 pagi.

Dalam permohonan tersebut, Lydiawati atau nama sebenarnya Zalina Zaimon, 44, mendakwa Azhar, 34, telah gagal menjelaskan nafkah idah serta mutaah berjumlah RM30,000 dan tunggakan nafkah sebanyak RM6,000.

Ahli perniagaan itu juga dikatakan gagal memulangkan barangan perkahwinan atau nilainya sebanyak RM67,000 sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu.

Dakwa pelakon utama filem Suami, Isteri dan... itu lagi, kegagalan Azhar untuk mematuhi perintah tersebut menunjukkan responden telah secara berterusan menganiayanya daripada mendapatkan hak di sisi hukum syarak dan undang-undang.

Sehubungan itu, tindakan bekas suaminya itu didakwa telah menghina mahkamah mengikut Seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 dan perlu diberi notis tunjuk sebab mengapa dia tidak patut disabitkan.

Jika Azhar gagal menjawab notis tunjuk sebab serta disabitkan oleh mahkamah, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.

Lydiawati yang popular sekitar 90-an hadir berbaju kurung dan bertudung biru dengan ditemani anak keduanya yang berusia lapan tahun, Siti Nuranisah Abdullah.

Lydiawati dan Azhar bernikah pada 6 Jun 2008. Pasangan tersebut yang tidak dikurniakan cahaya mata bercerai dengan kebenaran Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu.

Pada tarikh yang sama, Hakim Syarie Mohamad Fauzi Ismail turut merekod dan memutuskan penyelesaian melalui persetujuan bersama antara kedua-duanya yang melibatkan pemulangan barangan perkahwinan dan pembayaran nafkah idah serta mutaah berjumlah RM103,000.

Ia kemudian ditandatangan dan dimeterai di mahkamah yang sama pada 10 Jun lalu.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

Bicara kes faraid harta ayah Sharmaine 13 Januari

SHAH ALAM 15 Dis. - Kes permohonan faraid pelakon dan model, Sharmaine Farouk terhadap harta bernilai RM5.4 juta peninggalan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Farouk Isahak akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 13 Januari ini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh tersebut pada prosiding sebutan hari ini bagi membolehkan abang dan kakak Sharmaine, Ahmad Rezal, 44, dan Serena, 41, memberi keterangan.

Sharmaine, 38, yang berbaju kurung dan bertudung oren hadir ditemani peguam syarie, Ahmad Nazib Johari.

Sharmaine yang pernah membintangi filem Panggilan Pulau dan XX Ray pada tahun 90-an memfailkan permohonan pada 15 November lalu agar harta peninggalan Allahyarham bapanya dibahagikan secara faraid kepada enam adik-beradik termasuk beliau.

Mereka ialah Ahmad Ridzuan, 48, Soraya, 46, Ahmad Rezal, Serena, Sharmaine dan Aimran Ambari, 13.

Harta bernilai RM5.4 juta itu dalam bentuk wang tunai, saham, unit amanah, keahlian kelab dan hartanah seperti apartmen, kondominium, rumah serta tanah.

Sebelum ini Sharmaine bersama Ahmad Ridzuan, Soraya, Serena dan Aimran Ambari memfailkan permohonan untuk mengesahkan pemberian harta (hibah) bernilai jutaan ringgit dan wasiat dibuat Ahmad Farouk dengan menamakan Ahmad Rezal sebagai defendan.

Ahmad Rezal, anak ketiga daripada enam beradik itu dikatakan tidak bersetuju dengan pemberian harta secara hibah dan mendakwa ia sengaja diada-adakan oleh kelima-lima plaintif serta menuntut supaya harta dibahagikan secara faraid.

Sementara itu berdasarkan afidavit tuntutan, pihak plaintif menyatakan bapa mereka yang menghidap sakit jantung sejak 1997 dan sering dimasukkan ke hospital dari 2000 hingga 2003, meninggal dunia pada 14 Disember 2005 kerana komplikasi jantung.

Sebelum itu, Allahyarham ada membuat akuan dan menurunkan cap jari pada suratcara hibah berhubung pemberian harta kepada Ahmad Ridzuan selaku plaintif kedua iaitu sebuah rumah di alamat No. 6, Jalan 2/2, Taman Tun Abdul Razak, Hulu Klang dan sebidang tanah juga di Hulu Klang.

Proses menandatangani dokumen itu dibuat di Institut Jantung Negara (IJN) melalui peguamnya dan di hadapan saksi iaitu peguam syarie, Zainul Rejal Abu Bakar serta dua saksi lain.

Bagaimanapun, ia telah diselesaikan secara baik apabila Sharmaine kemudiannya memfailkan permohonan agar kesemua harta peninggalan itu dibahagikan secara faraid.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

14/12/09

Manohara akan bawa kes ke peringkat antarabangsa

KOTA BHARU 13 Dis. – Manohara Odelio Pinot tetap menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini yang memerintahnya kembali taat dan membayar semula hutang berjumlah RM1.112 juta kepada suaminya, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra.

Bagaimanapun ibunya, Daisy Fajarina ketika dihubungi di Jakarta memberitahu Utusan Malaysia, pihaknya tidak dapat memenuhi perintah tersebut.

Katanya, Manohara pernah memberitahu, keselamatannya tidak dijamin apabila datang ke negara ini apatah lagi kembali semula ke Kelantan.

‘‘Sebagai manusia, Manohara berhak mempunyai rasa takut dan selesa, berhak untuk memilih teman hidup, mencintai keluarga dan ibu kandungnya sendiri mengikut hak-hak asasi kemanusiaan.

‘‘Dalam kes ini, kami menghormati keputusan pihak mahkamah tetapi terus terang, selepas apa terjadi terhadapnya selama tinggal di sana, dia takut untuk kembali ke Kelantan,’’ ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

Diperintah taat, bayar hutang


Tengku Muhammad Fakhry menjawab soalan wartawan ketika keluar dari Mahkamah Syariah Tinggi di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
pengarang@utusan.com.my



KOTA BHARU 13 Dis. - Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra Hakim hari ini berjaya dalam kedua- dua tuntutan terhadap isterinya, Manohara Odelio Pinot supaya kembali taat dan membayar semula hutang berjumlah RM1,112,250 kepadanya.

Hakim Syarie, Mohd. Yusof Awang dalam keputusannya berkata, kedua- dua perintah tersebut berkuat kuasa sebaik sahaja plaintif melafazkan sumpah ''yamin istizhar" atau sumpah memperjelaskan di mahkamah yang sama pada 3 Januari tahun depan.

Dalam hujah penghakiman selama kira-kira sejam itu, Mohd. Yusof memerintahkan Manohara kembali taat dalam tempoh 14 hari dari tarikh sumpah tersebut dilafazkan oleh suaminya.

Defendan juga diperintahkan membayar semula jumlah hutang yang dituntut secara serentak dalam tempoh 30 hari juga, sebaik sahaja Tengku Muhammad Fakhry melafazkan sumpah.

Mohd. Yusof dalam keputusannya berkata, tuntutan plaintif telah mematuhi segala peruntukan yang termaktub dan Enakmen Undang-Undang Keterangan dan Keluarga Islam Kelantan dan berada dalam bidang kuasa mahkamah Syariah Tinggi memutuskannya.

"Saya berpuas hati dengan segala keterangan pihak plaintif serta keterangan saksi yang dipanggil sebelum ini, setelah meneliti tuntutan yang dikemukakan dan mengambil kira semua perkara, mahkamah memerintahkan defendan kembali taat dan membayar hutang kepada suaminya Tengku Temenggong Kelantan.

''Jika dalam tempoh yang ditetapkan, defendan gagal mematuhi perintah, dia dianggap seorang derhaka dan nusyuz iaitu gugur daripada mendapat hak-hak dan nafkah yang sepatutnya diterima sebagai seorang isteri," ujarnya.

Sebelum itu, sebaik keluar dari dewan mahkamah, Tengku Temenggong telah melahirkan perasaan gembira dengan kelancaran proses penghakiman terhadap dua kes tuntutannya.

''Kelancaran proses penghakiman hari ini menggembirakan dan berharap semua orang akan menghormati perintah yang telah dinyatakan oleh yang arif hakim," katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah.
Ditanya apakah beliau berharap Manohara akan kembali ke pangkuannya, beliau menjawab: "Ya, sudah tentu."
Saksi tunggal, Tengku Azwani Tengku Iskandar serta beberapa anggota keluarga turut hadir memberi sokongan.

Sementara itu, Peguam Syarie, Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry berpuas hati dengan keputusan hari ini dan berkata, Manohara perlu mentaati perintah mahkamah agar tidak hilang beberapa kelayakan.

The Proper Conduct of Marriage in Islam (Adab an-Nikah): Book 12 of Ihya 'Ulum ad-Din''Peluang kepada Manohara untuk datang ada tetapi tidak digunakan jadi keputusan telah ditetapkan hari ini untuk dia kembali taat dalam tempoh 14 hari daripada 3 Januari tahun depan.
''Kalau ingkar dan tidak taat, dia menjadi isteri yang derhaka dan haknya akan gugur termasuk nafkah dan kalau berlaku perceraian sebahagian hak lain juga akan hilang," katanya.

Menyentuh mengenai sumpah 'yamin istizhar', Zainul menjelaskan, ia berhubung dengan sumpah untuk memperjelaskan sesuatu dalam keadaan defendan tidak hadir.
''Apabila defendan tidak hadir untuk memberi keterangan atau kekurangan bukti-bukti atau saksi, hukum syarak membenarkan dibuat sumpah ''yamin istizhar" untuk sabitkan kes kepada yang dituntut," katanya.

Pada 3 November lalu, peguam syarie kepada Manohara iaitu Mohd. Faiz Adnan dan Roshdan Sujak Rafie telah menarik diri daripada mewakilinya dalam kedua-dua kes tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

10/12/09

Lelaki dituduh tipu 10 bakal pengantin terlantar sakit

KUANTAN: Tanda tanya ketidakhadiran perunding perkahwinan, Azman Abu, 32, yang menghadapi 27 pertuduhan memperdaya bakal pengantin di dua Mahkamah Majistret di sini, dua kali berturut-turut sehingga dikenakan waran tangkap terjawab apabila tertuduh dimaklumkan sedang sakit.

Perkara itu diberitahu peguambela Azman, Che Ariffin Mohd Ali, ketika menyampaikan sijil cuti sakit kepada mahkamah selepas tertuduh sepatutnya hadir untuk sebutan semula kesnya, semalam.

Menurut Che Ariffin, Azman kini menetap di ibu negara dan tidak dapat hadir ke mahkamah sejak dua bulan lalu berikutan kesihatannya tidak mengizinkan.

Katanya, waran tangkap dikeluarkan terhadap Azman sebelum ini disebabkan kelewatan menghantar sijil sakit dari dua klinik kesihatan milik kerajaan di Keramat, Kuala Lumpur kepada mahkamah.

Ini adalah keratan akhbar dari Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info.

8/12/09

Dua pegawai istana mohon batal saman Tengku Muhammad Fakhry

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Dua pegawai istana Kelantan yang disaman oleh Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra (gambar) kerana didakwa membuat kenyataan akhbar berbau fitnah yang menyentuh konflik rumah tangganya dengan Manohara Odelia Pinot, telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.

Pegawai Tadbir (Pentadbiran) Pejabat Sultan Kelantan, Nik Mahmud Nik Jaafar dan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad memfailkan permohonan itu melalui Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan di Mahkamah Tinggi di sini pada 18 November lalu.

Peguam Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili Tengku Temenggong Kelantan itu ketika dihubungi hari ini memberitahu, tarikh untuk mendengar permohonan kedua-dua pegawai istana itu yang dinamakan sebagai defendan akan ditetapkan kemudian oleh mahkamah.

Beliau turut memaklumkan, Mahkamah Tinggi hari ini telah menangguhkan sehingga 26 Januari ini kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Tengku Muhammad Fakhry itu.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Norazlin Othman ketika kes disebut di kamar beliau di sini.

Menurut Mohd. Haaziq, defendan hari ini sepatutnya memasukkan afidavit jawapan terhadap permohonan mereka untuk membatalkan saman tersebut tetapi telah gagal berbuat demikian.

Defendan disaman oleh plaintif pada 10 Ogos lalu ekoran satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mereka pada 15 Jun lalu berhubung kemelut perkahwinan baginda dengan Manohara yang juga seorang model dari Indonesia.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa kenyataan yang ditandatangani oleh Abdul Halim itu menyatakan, Sultan Kelantan dan istana tidak seharusnya diheret ke dalam krisis perkahwinan yang membabitkan pasangan terbabit.

Dakwanya lagi, Abdul Halim dalam kenyataan itu berkata, Sultan dan pihak istana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kenyataan yang dibuat oleh Tengku Muhammad Fakhry mengenai masalah perkahwinan yang sedang dihadapinya.

Tengku Muhammad Fakhry juga mendakwa kenyataan itu menggambarkan seolah-olah ayahandanya dan pejabat istana meminggirkan beliau.

Plaintif juga mendakwa ia juga menggambarkan yang beliau seolah-seolah memiliki kelakuan yang tidak baik yang membawa malu kepada istana sehingga menyebabkan ayahandanya meminggirkan beliau dan perkara yang berkaitan dengan perkahwinannya.

Defendan dalam pernyataan pembelaan bertarikh 11 September lalu mendakwa, kenyataan akhbar berhubung pertelingkahan antara Tengku Temenggong Kelantan dan isterinya yang dikeluarkan itu adalah suatu 'keistimewaan yang melayakkan'.

Defendan mendakwa, mereka sekadar bertindak mengikut tanggungjawab masing-masing dalam hal ehwal istana atas arahan Pemangku Raja Kelantan.

Kedua-dua pegawai itu mendakwa, perkataan-perkataan dalam kenyataan itu bukan bermaksud untuk memperkecilkan Tengku Muhammad Fakhry dalam kedudukan beliau sebagai anggota keluarga Diraja Kelantan.

Menurut defendan, pergolakan rumah tangga plaintif dan isterinya adalah perkara peribadi dan tiada kaitan dengan hal ehwal pejabat Sultan Kelantan.

Defendan juga mendakwa, mereka tidak pernah mengutarakan kata-kata yang bersifat palsu, berniat jahat atau fitnah terhadap Tengku Temenggong Kelantan atau ditemubual oleh mana-mana anggota media.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

20/07/09

Tengku Temenggung Kelantan kemuka saman fitnah terhadap Manohara

20/07/2009 11:13am

KUALA LUMPUR 20 Julai – Peguam yang mewakili Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ismail Petra telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding saman fitnah terhadap isteri, Manohara Odelia Pinot di Mahkamah Tinggi Sivil di sini pagi ini.

Permohonan kebenaran itu difailkan pada pukul 9.20 pagi ini oleh peguamnya, Muhamad Hazeeq Pillay dan prosiding kebenaran tersebut akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.

Semua butiran dan kandungan tentang saman belum dapat didedahkan oleh peguam sehingga kebenaran memulakan prosiding ini diberikan.

- Utusan
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

28/11/08

Kes nikah Jamal Mac

SHAH ALAM 27 Nov. – Perbicaraan kes permohonan pendaftaran pernikahan yang dikemukakan isteri Jamal Abdillah setelah berkahwin dengan penyanyi itu di Songkhla, Thailand dua tahun lalu ditangguhkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Fatimatuzahra Samad, 25, selaku plaintif bernikah dengan defendan yang nama sebenarnya, Jamal Ubaidullah Ali, 47, pada 3 Januari 2006 di pejabat Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh naib kadi di situ.

Plaintif memfailkan permohonan mengikut Seksyen 12 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 bagi tujuan mendaftarkan pernikahan yang berlangsung di luar negara.

Bicara disambung pada 31 Mac 2009.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

Kes Zakiah tuntut cerai tangguh 23 Dis.

SHAH ALAM 27 Nov. – Suami personaliti TV3, Zakiah Anas yang berhadapan dengan tuntutan cerai oleh isterinya, memohon supaya Mahkamah Rendah Syariah di sini memberi peluang kepadanya untuk mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi menyelesaikan kes itu dengan cara baik.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie, Azmi Mohd. Rais yang mewakili Zakiah, 42, selaku plaintif semasa prosiding tuntutan cerai tersebut di hadapan Hakim Syarie Kamarulzaman Ali hari ini.

Ketika prosiding yang bermula pada pukul 11.40 pagi, Azmi menyebut bagi pihak Mohamad Yusof Mohamad Taib, 46, yang tidak hadir di mahkamah dan tiada peguam mewakilinya.

Menurut beliau, saman telah diterima oleh Mohamad Yusof selaku defendan pada 3 November lalu.

‘‘Sungguhpun begitu defendan yang menghubungi saya semalam memberitahu dia belum bersedia untuk menghadiri prosiding tuntutan cerai oleh plaintif. Yang Arif, pada dasarnya defendan tidak bersetuju dengan permohonan plaintif,’’ jelas Azmi.

Kes disebut semula pada 23 Disember.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

27/11/08

Kes pengesahan lafaz cerai Mazidul 14 Januari

PETALING JAYA 26 Nov. - Permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Khairul Fazlin Kamaruddin, isteri pengacara rancangan 360 terbitan TV3, Mazidul Akmal Sidik akan mula dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 14 Januari depan.

Hakim Syarie, Ghazali Ahmad menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar pengakuan Mazidul yang memberitahu mahkamah bahawa dia memahami permohonan yang dibuat oleh isterinya.

Dalam prosiding ringkas hari ini, Ghazali turut memerintahkan Mazidul memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan itu.

Pada 20 Oktober lalu, permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh Khairul Fazlin, 38, terpaksa ditangguhkan kerana Mazidul, 41, selaku defendan tidak menghadiri prosiding.

Bagaimanapun, Mazidul melalui sepucuk surat yang dihantar kepada mahkamah memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir kerana mempunyai tugasan di Kota Bharu, Kelantan.

Khairul Fazlin mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 kerana mendakwa Mazidul telah melafazkan cerai terhadapnya di luar mahkamah.

Mazidul dan Khairul Fazlin berkahwin pada 21 Mei 1997. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Afif Faiq, 10, dan Muhammad Azard, 7.

Sebaik sahaja prosiding selesai, Mazidul yang ditemui media enggan mengulas lanjut berhubung kes tersebut dan bergegas meninggalkan mahkamah bersama-sama isterinya.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

27/04/08

Kisah artis di mahkamah

SEMINGGU dua ini, ada beberapa artis kita yang terpaksa turun naik mahkamah antaranya Beego dan Anis Suraya serta Sheila Rusly.

Beego dan Anis Suraya masing-masing naik mahkamah kerana kes pergolakan rumah tangga. Sayang sekali kerana rumah tangga yang dibina musnah kerana tiada lagi persefahaman.

Apalagi pada usia perkahwinan yang baru setahun jagung. Beego paling mengejutkan kerana baru sebulan berkahwin sudah mengalami masalah dalam melayari bahteranya bersama isteri, Intan Shahira Mohd. Shahru.

Kini, selepas empat bulan menjadi suami dan isteri, Beego memfailkan permohonan nusyuz (derhaka) terhadap Intan apabila dia tidak dibenarkan berjumpa isterinya dan tidak diizinkan pulang ke rumah.

Sembilan tahun menjalin kasih dan mengikatnya dengan ikatan yang sah namun hanya 10 hari sahaja Beego merasai kehidupan indah sebagai suami isteri.

Pulang dari penggambaran selama 10 hari di Singapura bersama Intan sehari selepas majlis resepsi mereka, Beego dikhabarkan tidak dibenarkan menemui Intan lagi.

"Sudah tiga bulan saya tidak berjumpa isteri. Mungkin ini satu dugaan untuk saya," kata Beego yang bernikah pada 28 Disember tahun lalu di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Sementara penyanyi Anis Suraya pula memfailkan permohonan cerai taklik terhadap suaminya, Wan Kasmizi Wan Kamaruddin selepas dua tahun berumah tangga.

Di mana silapnya? Sudah tiadakah lagi kasih sayang antara mereka? Tapi siapalah kita untuk menduga masalah yang berlaku kepada kehidupan masing-masing.

Apa yang boleh kita harapkan supaya mereka tabah menghadapi dan mengharungi setiap dugaan yang melanda kerana sesungguhnya jodoh pertemuan, ajal maut, bak kata Azharina Azhar, adalah di tangan Tuhan Yang Maha Esa.

Pelakon dan pengacara popular, Sheila Rusly juga terpaksa berhadapan dengan kes mahkamah apabila mengambil tindakan terhadap rakan kongsinya sendiri.

Semuanya gara-gara kerugian dan rasa malu yang terpaksa ditanggung apabila terpaksa menutup Restoran Nasi Dagang House yang diusahakan bersama, tiga tahun lalu.

Sheila, 36, mendakwa tindakan-tindakan rakan kongsinya itu yang menjejaskan perniagaan mereka dan menutup restoran itu tanpa pengetahuannya.

Itu sebahagian cerita rakan artis yang terpaksa ditelan dan 'dikongsi' bersama khalayak. Pun begitu, Wanda percaya, pada setiap kejadian, jika kita bersabar dengan dugaan yang mendatang dan memperbanyakkan muhasabah diri maka kita akan dapat mengharungi setiap perjalanan yang direncanakan-Nya dengan penuh reda.

Kerana akhirnya, kebenaran tetap akan berpihak kepada kita seandainya kita sememangnya adalah di pihak yang benar.





Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

22/06/07

Arni abai anak: Awie



Oleh Sariha Mohd Ali

Gambar kesan Aleeya, Aleefa digigit nyamuk bahan bukti

KUANTAN: Penyanyi dan pelakon, Ahmad Azhar Othman atau Awie memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, pelajaran kedua-dua anaknya merosot dan kesihatan mereka terjejas sejak bekas isterinya, Arni Nazira Anuar dibenar bersama mereka pada setiap hujung minggu bermula 7 Mac lalu.

Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus, Awie berkata, dua anaknya, Puteri Aleeya Antasha, 7, dan Puteri Aleefa Antasha, 4, sering sakit ketika dikembalikan Arni kepadanya pada malam Ahad, selepas bersama-sama ibunya sejak pagi Sabtu.

Beliau berkata, antara lain, badan anaknya kelihatan susut, wajah berbintat digigit nyamuk, selain cedera di lutut dan kaki tersepit.

Selain itu, katanya, Aleeya juga gagal menumpukan kepada pelajaran kerana sering dibawa keluar oleh ibunya, malah dia sukar bangun pagi untuk ke sekolah pada Isnin kerana dikembalikan kepadanya pada lewat malam oleh Arni.

“Anak saya sering sakit dan cedera ketika dijaga bekas isteri sedangkan ketika diserahkan kepadanya, dua anak saya sihat dan ceria.

“Pada 15 Mac iaitu dua hari selepas dipulangkan Arni, Aleefa dimasukkan ke Hospital Ampang kerana wajah dan badannya berbintat digigit nyamuk serta luka di lutut dan dibenarkan keluar lima hari selepas itu.

“Pada 26 April pula, Aleeya dimasukkan ke hospital sama kerana disyaki demam denggi dan diberi cuti sakit lima hari, selepas Arni memulangkan mereka pada 22 April bersama ubat dari Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Saya diberitahu, Arni membawa dua anak ke lokasi penggambaran kerana dia berlakon dan bagi saya, itu bukan tempat untuk anak. Bagaimana ibu nak jaga anak jika dia (Arni) sedang berlakon,” katanya.

Awie berkata demikian ketika menjawab soalan peguam belanya, Mastuni Muhammad pada sesi perbicaraan bagi mendapatkan hak jagaan kekal terhadap Aleeya dan Aleefa, di sini, semalam.

Selain Mastuni, Awie turut diwakili peguam bela, Mohd Sazali Abdul Aziz, manakala Arni yang hadir berbaju kurung merah bertudung coklat, diwakili peguam bela, Mohd Zuki Che Mat Ghani dan Aminuddin Abdullah.

Sebanyak 18 keping gambar menunjukkan Aleeya dan Aleefa digigit nyamuk, luka di lutut dan ketika dirawat di hospital, diserahkan kepada mahkamah untuk dijadikan bahan bukti.

Awie berkata, dia terpaksa meninggalkan lokasi penggambaran filemnya di Bangkok pada 26 April, selepas dimaklumkan keadaan anaknya yang lemah dan dimasukkan ke hospital oleh isteri, Rozana Misbun dan kakaknya, Hawa Othman.

Beliau berkata, Arni mengetahui anaknya sakit, tetapi dia mungkin tidak mengetahui kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital.

“Saya tak hubungi dia sebab sebagai ibu, dia patut telefon bertanya kerana dia tahu anak yang diserahkan kepada saya itu sakit.

“Dia tak pernah bercakap dengan saya dan hanya menghantar SMS ‘hari ni saya ambil anak’ atau ‘esok saya hantar anak’ kepada Rozana.

“Sebab tu, masa dia datang hendak ambil anak pada minggu berikutnya, saya tak benarkan kerana anak masih belum sihat,” katanya.

Awie berkata, dia juga terpaksa menggandakan masa anaknya belajar kerana pencapaiannya semakin merosot dan keadaan itu menyebabkan anaknya memberontak.

Katanya, ketika dibenar tinggal bersama Arni selama seminggu ketika cuti sekolah bulan lalu, anaknya gagal menyiapkan latihan kerja sekolah diberikan.

“Saya bagi peluang anak buat latihan sekolah bersama ibunya, tetapi anak hanya buat sehelai setengah saja dan Arni beritahu yang anak enggan belajar,” katanya.

Perbicaraan kes itu disambung pada 23 Julai ini. [BH]

20/07/06

Bekas isteri Datuk K fail tuntutan harta sepencarian esok

Oleh SUWARNI MOKHTAR

KUALA LUMPUR 19 Julai – Bekas isteri Datuk Khalid Mohamed Jiwa atau Datuk K akan memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Jumaat ini.

Peguam syarie yang mewakili Tengku Zawiyah Tengku Izham, Zulkifli Che Yong berkata, pihaknya sedang mengemas kini perkara-perkara yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Antara perkara dipersetujui ialah tiga buah rumah kediaman termasuk sebuah rumah di Bukit Antarabangsa di sini yang dianggarkan bernilai RM7 juta akan diserahkan kepada anak-anak manakala dua buah rumah di Damansara diberikan kepada Tengku Zawiyah.

‘‘Kami sedang menyusun dokumen-dokumen berkaitan dan pagi Jumaat nanti kami akan ke mahkamah,’’ kata Zulkifli ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Khalid, 47, bercerai secara taklik dengan Tengku Zawiyah, 43, pada 12 Mac 2005.

Pengesahan cerai taklik itu dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.

Pasangan itu mempunyai empat orang anak iaitu Mohd. Anas, 19; Mohd. Adib, 16; Mohd. Ashraf, 14, dan Mohd. Azif, 8.

Sebelum ini, status perkahwinan Khalid dan Tengku Zawiyah menarik perhatian awam apabila bekas isterinya itu memfailkan permohonan pengesahan status perkahwinan mereka pada 27 April lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.

Permohonan itu bagaimanapun ditarik balik oleh Tengku Zawiyah pada 3 Julai lalu.

Zulkifli turut menjelaskan tuntutan tersebut tidak meliputi nafkah mutaah dan hanya melibatkan harta-harta sepencarian.

Katanya, perkara berkaitan dengan nafkah mutaah akan difailkan secara berasingan sedikit masa lagi.

Khalid dijadual akan menamatkan zaman dudanya dengan Siti Nurhaliza Tarudin, 27, pada 21 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini. [UM]

11/07/06

Erra, Yusry sah cerai talak satu

Erra & YusriERRA Fazira dan Yusry masih akrab dan pulang bersama menaiki sebuah kereta selepas Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam mengesahkan penceraian mereka.

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES


PETALING JAYA 10 Julai
- Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini memutuskan gugur talak satu ke atas penyanyi dan pelakon popular, Erra Fazira ekoran lafaz yang diucapkan oleh bekas suaminya, pelakon dan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 26 April lalu.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad berpendapat berdasarkan lafaz yang dibuat oleh Yusry, 33, pada pukul 5 petang 26 April lepas di kediaman mereka di Damansara Utama, telah jatuh talak satu rajie ke atas Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 32.

Sehubungan itu, Ghazali memerintahkan supaya Erra beredah tiga kali suci termasuk suci ketika bercerai.

Sepanjang Ghazali membacakan penghakiman bertulis mulai pukul 3.40 petang, pasangan itu yang diminta supaya berdiri kelihatan sering berpandangan.

Riak-riak kesedihan jelas tergambar di wajah apabila air mata kelihatan bergenang-genang di kelopak mata mereka sejurus mahkamah mensabitkan jatuhnya talak.

Pasangan itu telah diijabkabulkan pada 15 Jun 2003.

Berdasarkan persetujuan bersama pasangan itu, Ghazali juga memerintahkan supaya Yusry selaku plaintif membayar nafkah edah sebanyak RM2,000 sebulan selama tiga bulan yang berjumlah RM6,000 kepada Erra.

Dalam penghakiman bertulis hakim itu turut menyebut, Erra dan Yusry dikehendaki memenuhi prosedur biasa selepas bercerai misalnya membatalkan sijil nikah dan mendaftarkannya di mahkamah.

Yusry diwakili peguam syarie, Fahda Nur Ahmad Kamar.

Mengenakan sepasang kebaya bercorak hitam putih dan berselendang hitam manakala Yusry berkemeja biru gelap berjalur-jalur masih secocok apabila hadir dan pulang bersama-sama menaiki kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam jenis Mercedes-Benz.

Yusry mengemukakan permohonan bagi membuat pengesahan lafaz cerai yang diucapkannya di luar mahkamah.

Dalam prosiding 16 Jun lalu, Yusri memberitahu terdapat tiga lafaz yang dibuat oleh beliau iaitu dua dalam bentuk tulisan dan satu lagi telah diucapkannya kepada Erra.

Menurut Yusry ketika menulis lafaz (pertama), beliau tiada niat (menceraikan), cuma untuk menjelaskan. Namun ketika melafazkannya, saya memang berniat untuk menceraikan Erra.

Kata Yusry, lafaz tersebut dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan mana-mana pihak. Dua rakannya, Syed Abu Bakar Syed Agil dan Faizal Muhaiyin mendengar dan menjadi saksi, lafaz yang dibuatnya.

Erra pula pada tarikh lalu mengesahkan yang beliau berada dalam keadaan suci dan dalam tempoh tersebut, mereka tiada hubungan kelamin.

Pada 7 Disember 2005, Erra dan Yusry membuat pengakuan terbuka kepada media bahawa mereka sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu.

Pasangan tersebut yang ditemui pemberita di luar mahkamah sejurus prosiding selesai berkata, mereka merasa lega dan bersyukur kerana semuanya telah selesai.

Erra: “Kini saya rasa lebih tenang. Kami akan berkawan baik buat selamanya.”

Disoal mengenai pembahagian harta, pasangan itu mengesahkan isu tersebut tidak timbul. [UM]

28/07/05

Anak Shaikh Dawood tuntut harta pusaka RM1 bilion

Oleh SUWARNI MOKHTAR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Anak sulung isteri keempat seorang ahli perniagaan terkenal, Allahyarham Datuk Shaikh Dawood @ A.S. Dawood Abdul Razak mengemukakan tuntutan harta pusaka melibatkan aset syarikat dan hartanah yang dianggarkan bernilai RM1,000 juta atau RM1 bilion.

Ini merupakan kes tuntutan harta persendirian yang terbesar pernah didengar oleh mana-mana mahkamah di negara ini.

Kes tuntutan harta pusaka itu mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang didengar di hadapan Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid.

Abdul Ravuff A.S Dawood, 53, membuat tuntutan itu terhadap Syarikat Pasla Holdings Sdn. Bhd., dan 23 defendan terdiri daripada isteri pertama, kedua, ketiga dan keempat bapanya serta 19 adik beradiknya.

Empat isteri Allahyarham ialah Datin Patama @ Amajibibi Daud Sah, Ammena Beevi (meninggal), Maimoon Beevi dan Aisha Beevi.

Keluarga Ammena dan Aisha kini menetap di India, manakala Patama dan Maimoon tinggal di Seremban.

Shaikh Dawood yang lebih dikenali sebagai Datuk A.S. Dawood meninggal dunia pada 3 April 1989 dengan mempunyai senarai harta iaitu 540,000 unit saham Pasla Holdings dan tanah seluas 99.55 hektar di Labu, Negeri Sembilan.

Pasla Holdings menjalankan perniagaan pengurup wang, perhotelan, pembinaan dan membekal makanan di kem-kem tentera. Bagaimanapun perniagaan syarikat itu dikatakan bergerak perlahan setelah tuntutan harta pusaka ini dikemukakan di mahkamah.

Pada perbicaraan hari ini, Abdul Ravuff mendakwa bahawa saham sebanyak 540,000 unit milik bapanya dalam syarikat berkenaan tidak pernah dibahagikan seperti yang dinyatakan dalam satu surat perjanjian yang dibuat sebelum bapanya meninggal.

Dia menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan peguam syarie yang mewakilinya, Dr. Mohd. Rafie Mohd. Shafie.

Abdul Ravuff yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, dia bersama dua orang adik beradiknya tidak pernah dilantik sebagai pengarah Pasla Holdings seperti yang diwasiatkan dalam perjanjian tersebut.

Terdahulu, Abdul Ravuff mendakwa bahawa seorang abang yang dinamakan defendan ketiga, Dr. Abd. Rahman A.S. Dawood mengawal kesemua dokumen syarikat dan tidak membenarkannya mendapatkan dokumen tersebut walaupun dia merupakan salah seorang pemegang saham syarikat.

Selain itu, Abdul Ravuff mendakwa bahawa bapanya pernah menandatangani borang pindah milik saham yang kosong dan tidak bertarikh sebelum meninggal dunia dan berada dalam simpanan isteri pertama (Patama).

Dalam tuntutan itu, Pasla Holdings dan isteri pertama hingga ketiga serta anak-anak mereka yang dinamakan sebagai defendan diwakili oleh dua peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman dan Syumaimah Jaya @ Yahaya.

Sementara itu, enam defendan lagi yang merupakan isteri keempat (ibu Abdul Ravuff) dan lima anaknya bagaimanapun bersetuju dengan tuntutan itu.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 24 Disember 1997, Abdul Ravuff memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah supaya segala harta di bawah nama Pasla Holdings dan tanah di Labu, Negeri Sembilan seluas 99.55 hektar diisytiharkan sebagai harta pusaka.

Beliau juga memohon agar pindah milik saham sebanyak 540,000 unit kepada isteri pertama adalah tidak sah dari segi undang-undang kerana wujud unsur syubhah dan penipuan dari borang penukaran penama saham.

Di samping itu, Abdul Ravuff memohon kesemua harta peninggalan Allahyarham bapanya difaraidkan dan diagih mengikut hukum syarak kepada empat isteri dan 20 orang anak.

Abdul Ravuff juga menuntut agar tanah di Labu dijual dan dibahagikan mengikut faraid serta membenarkan Pendaftar atau Pentadbir Tanah Negeri Sembilan memindah milik hartanah tersebut kepada pembeli atau waris mengikut hukum dan syarak.

Perbicaraan bersambung esok.