23/07/06

Impian baru Ina selepas putus tunang

NordianaWAJAH ayu Ina mengenakan baju kurung tajaan butik Kirana mampu menawan kalbu. Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Ramai yang bersimpati dengan nasib Nordiana Md. Naim selepas Mawi memutuskan pertunangan dengannya. Ia lebih tragis lagi apabila hubungan itu diputuskan tatkala Mawi sedang berada di puncak populariti sedangkan Nordiana atau Ina hanya seorang gadis kampung.

Walaupun terlalu berat tetapi Ina menerima tragedi itu sebagai satu takdir ke atas dirinya. Bagi Ina, perkara yang berlaku itu umpama mimpi kerana tidak pernah terfikir percintaan dan pertunangan dengan Mawi putus di tengah jalan.

Gadis berusia 22 tahun itu terpaksa menerima hakikat jodohnya dengan Mawi sudah tiada. Namun Ina tetap berterima kasih kerana Mawi merupakan insan pertama yang berjaya mengetuk pintu kasihnya dan menjaganya ketika mereka merentasi relung-relung percintaan.

Ina juga tidak akan melupakan saat-saat manis mereka berdua sebelum Mawi bergelar penyanyi. Bagi Ina, kenangan indah pertemuan pertama ketika Mawi mengajak dia menonton wayang di Johor Bahru akan terus tersemat selama-lamanya.

“Setiap hujung minggu kami selalu keluar tengok wayang. Kami suka tengok cerita kelakar terutama lakonan Yassin dan Apek.

“Kalau ada masa terluang kami selalu pergi karaoke di Kulai. Biasanya Mawi akan naik kereta Ina, cuma sesekali saja Ina menumpang motor Mawi,’’ kata Ina diminta mengimbas saat manis itu.

Tetapi itu semua sudah berlalu. Ia sekadar kenangan yang telah pergi dan tidak akan datang kembali. Bagi Ina, sekalipun pertunangan diputuskan tetapi dia tetap bersyukur biarpun hanya sekadar mengenggam kenangan manis suatu waktu dulu.

Ina juga bersyukur hubungannya dengan Mawi turut mengubah kedudukan Ina daripada seorang gadis kilang, kepada seorang eksekutif.

Semuanya kerana Ina merupakan tunang Mawi dan populariti yang diraih penyanyi itu turut Ina rasai tempiasnya. Sebelum hubungannya dengan Mawi putus, Ina banyak mendapat tawaran bekerja termasuklah dipanggil temu duga sebagai kerani bank.

Namun Ina menolak kerana tidak mendapat keizinan Mawi. Bagaimanapun selepas hubungan mereka putus, Ina perlu membuat keputusan sendiri selain nasihat daripada kedua-dua orang tuanya. Ina juga ingin menyara keluarga di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.

“Ina perlu bayar ansuran kereta, nak tolong mak ayah dan macam-macam lagi yang perlu Ina buat.

“Bila ada tawaran kerja dengan gaji yang lebih daripada apa yang Ina dapat sebelum ini, Ina perlu mengambil peluang itu dengan baik,’’ katanya.

Jelas Ina, dia kini bekerja sebagai eksekutif pemasaran dengan Syarikat Etnik Harmoni Sdn. Bhd., berpejabat di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.

Ina memulakan tugasnya hampir tiga minggu lalu dengan syarikat tersebut yang membekalkan rangkaian Internet. Gajinya juga lumayan dan mencecah empat angka yang jarang Ina peroleh sebelum ini.

Dalam masa yang sama syarikat tersebut turut memberi peluang kepada Ina mencari pendapatan lain sebagai model.

Bagi projek pertama, Ina terlibat sebagai model cara-cara memakai tudung untuk sebuah syarikat telekomunikasi yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Ina mengambil peluang menceburi bidang baru itu selepas dipujuk beberapa kali oleh pengarah syarikat berkenaan. Selepas berbincang dengan ahli keluarga, mereka bersetuju melepaskan Ina ke Kuala Lumpur dan memberi kebenaran tinggal bersama mak cik Ina di Kampung Baru.

“Mungkin ada yang anggap Ina gila glamor tetapi percayalah hajat pertama Ina hendak bantu keluarga.

“Rezeki itu tidak datang bergolek sebaliknya kita yang perlu berusaha mencarinya. Ina begitu gembira dengan pekerjaan sekarang di samping majikan yang betul-betul ingin melihat kehidupan Ina sekeluarga berubah,’’ katanya.

Apabila ditanya bagaimana perasaannya terhadap Mawi, kata Ina, tipulah jika dia dapat melupakan terus semua kenangan dulu yang telah berlalu itu. Namun Ina sering mengelak apabila ditanya tentang penyanyi itu.

“Cukuplah... Ina tidak mahu mengingatinya lagi,’’ kata Ina mengelak diungkit-ungkit kerana kenangan yang dulunya manis kini sudah menjadi pahit kepadanya. [MM]

20/07/06

Bekas isteri Datuk K fail tuntutan harta sepencarian esok

Oleh SUWARNI MOKHTAR

KUALA LUMPUR 19 Julai – Bekas isteri Datuk Khalid Mohamed Jiwa atau Datuk K akan memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Jumaat ini.

Peguam syarie yang mewakili Tengku Zawiyah Tengku Izham, Zulkifli Che Yong berkata, pihaknya sedang mengemas kini perkara-perkara yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Antara perkara dipersetujui ialah tiga buah rumah kediaman termasuk sebuah rumah di Bukit Antarabangsa di sini yang dianggarkan bernilai RM7 juta akan diserahkan kepada anak-anak manakala dua buah rumah di Damansara diberikan kepada Tengku Zawiyah.

‘‘Kami sedang menyusun dokumen-dokumen berkaitan dan pagi Jumaat nanti kami akan ke mahkamah,’’ kata Zulkifli ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Khalid, 47, bercerai secara taklik dengan Tengku Zawiyah, 43, pada 12 Mac 2005.

Pengesahan cerai taklik itu dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.

Pasangan itu mempunyai empat orang anak iaitu Mohd. Anas, 19; Mohd. Adib, 16; Mohd. Ashraf, 14, dan Mohd. Azif, 8.

Sebelum ini, status perkahwinan Khalid dan Tengku Zawiyah menarik perhatian awam apabila bekas isterinya itu memfailkan permohonan pengesahan status perkahwinan mereka pada 27 April lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.

Permohonan itu bagaimanapun ditarik balik oleh Tengku Zawiyah pada 3 Julai lalu.

Zulkifli turut menjelaskan tuntutan tersebut tidak meliputi nafkah mutaah dan hanya melibatkan harta-harta sepencarian.

Katanya, perkara berkaitan dengan nafkah mutaah akan difailkan secara berasingan sedikit masa lagi.

Khalid dijadual akan menamatkan zaman dudanya dengan Siti Nurhaliza Tarudin, 27, pada 21 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini. [UM]

18/07/06

Siti, Datuk K bernikah 21 Ogos

BAKAL PENGANTIN BARU... Khalid Mohamed Jiwa dan Siti Nurhaliza Tarudin pada sidang media khas selepas mengumumkan tarikh pertunangan dan pernikahan mereka di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR 17 Julai – Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin, 27, dan Datuk Khalid Mohamed Jiwa atau Datuk K, 47, akhirnya menamatkan teka-teki mengenai hubungan mereka apabila kedua-duanya mengumumkan tarikh pertunangan dan pernikahan serentak pada Isnin, 21 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini.

Pasangan sehati sejiwa itu pada satu sidang akhbar khas di sebuah hotel di sini turut memaklumkan, mereka sepakat memilih tarikh berkenaan bagi memperoleh keberkatan sempena Israk Mikraj yang jatuh pada hari sama.

Majlis persandingan pula akan berlangsung seminggu kemudian iaitu pada 28 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tarikh itu secara kebetulan merupakan hari ulang tahun ke-38 perkahwinan ibu bapa penyanyi itu, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik.

Pasangan itu akan turut diraikan di rumah pengantin perempuan di Kuala Lipis, Pahang pada Ahad, 3 September ini.

Sidang akhbar hampir satu jam itu berlangsung dalam suasana agak ‘kecoh’ apabila Siti Nurhaliza dan kekasihnya yang berpakaian sedondon berwarna jingga kekuningan dihujani soalan bertubi-tubi.

Keadaan diburukkan lagi apabila sebilangan besar jurugambar mengeluh ekoran kesukaran mendapatkan sudut terbaik kerana dewan yang agak sempit dan panas dipenuhi hampir 250 tetamu dan wakil media.

Pada sidang akhbar itu, Siti Nurhaliza cukup berahsia ketika ditanya kriteria tertentu membuatkan beliau tertawan kepada Datuk K.

“Biarlah perkara-perkara yang membuatkan Siti tertarik kepada Datuk Khalid menjadi rahsia. Namun salah satu daripadanya yang boleh Siti kongsi bersama dengan anda semua adalah kasih sayang beliau terhadap empat anaknya, itu yang membuatkan Siti kagum,’’ ujar beliau.

Keempat-empat anak Datuk K hasil perkongsiannya dengan bekas isteri, Tengku Zawiyah Tengku Izham ialah Mohd. Anas, 19; Mohd. Adib, 16; Mohd. Ashraf, 14 dan Mohd. Azif, 8.

Selain ibu bapa Siti, anak ketiga ahli perniagaan itu, Mohd. Ashraf turut hadir pada sidang akhbar tersebut ditemani kakak Datuk K, Zaiton Mohamad Jiwa.

Datuk K pula ketika diajukan soalan serupa, secara ringkas berkata, ‘‘Siti Nurhaliza adalah seorang yang istimewa’’.

Penyanyi tersohor itu turut menyatakan, keputusan memilih Datuk K sebagai pasangan hidup dibuat selepas berfikir secara mendalam selain mendapat petunjuk Allah s.w.t.

Siti Nurhaliza turut diuji dengan soalan ‘nakal’ mengenai penerimaan anak-anak Datuk K terhadapnya selepas berkahwin kelak.

Penyanyi itu bagaimanapun bijak menjawab dengan menyatakan beliau akan mencuba sedaya upaya menjadi ibu yang baik kerana perkahwinan tersebut bukan melibatkan Datuk K semata-mata tetapi turut melibatkan keluarganya.

“Siti perlu memberikan kasih sayang terbaik, tidak ada bezanya. Insya-Allah, insya-Allah,’’ ujar beliau.

Gadis manis kebanggaan Malaysia itu turut ditanya mengenai hubungannya yang dikatakan mendapat tentangan keluarga.

Siti Nurhaliza menjelaskan, perkara itu adalah biasa tetapi ia dapat ditangani seandainya kedua-dua pasangan berniat jujur dan berani menerima risiko.

Penyanyi itu cukup tenang ketika dilontarkan soalan mengenai jarak umur 20 tahun yang memungkinkan wujud masalah dalam berumah tangga.

Beliau menangkisnya dengan menyatakan, setiap pasangan perlu berbalik kepada amalan agama dan yakin bahawa jodoh pertemuan dan ajal maut ditentukan oleh Allah s.w.t.

Ketika ditanya mengapa mengambil masa begitu lama membuat pendedahan pada media, Siti Nurhaliza menyatakan, bukan niat mereka berahsia tetapi mereka memilih tarikh sesuai selepas mengadakan perbincangan mendalam dengan keluarga kedua-dua belah pihak.

Siti Nurhaliza turut ditanya bila beliau mula menjalin hubungan intim dengan duda beranak empat itu.

Penyanyi itu menyatakan, mereka mula rapat selepas pulang dari mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London, April tahun lalu.

Suasana sidang akhbar yang pada mulanya hangat turut diselitkan dengan soalan-soalan peribadi termasuk panggilan Siti Nurhaliza kepada Datuk K dan lokasi mereka akan berbulan madu.

Seperti biasa, penyanyi itu menyatakan: “Biarlah rahsia.’’

Datuk K turut dihujani pelbagai soalan termasuk lagu penyanyi itu yang paling diminatinya dan beliau juga menjawab: “Biarlah rahsia.’’

Siti Nurhaliza ketika ditanya mengenai reaksi berbeza peminat mengenai kisah percintaannya menyatakan, beliau pasrah kerana masyarakat mempunyai pandangan masing-masing.

Sebelum sidang akhbar berlangsung, bapa penyanyi tersebut dalam ucapan ringkasnya menyatakan, beliau sekeluarga merestui hubungan anaknya dengan Datuk K. [UM]

‘Masa yang sesuai’ sudah terjawab

KUALA LUMPUR 17 Julai – ‘Masa yang sesuai’ untuk mengumumkan tarikh pertunangan, pernikahan dan persandingan di antara Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K dan Siti Nurhaliza Tarudin tiada kaitan dengan dakwaan bahawa keluarga Siti kurang merestui perhubungan antara Datuk K dengan penyanyi No. 1 negara itu.

Sebaliknya menurut kakak Datuk K, Zaiton Mohamad Jiwa, ia merupakan spekulasi semata-mata dan hakikatnya tiada masalah timbul antara adiknya dengan keluarga penyanyi itu.

‘’Tetapi macam yang kita cakap tadilah mungkin ibu bapa dia (Siti) ambil masa sedikit. Hendak minta pendapat daripada semua ahli keluarga. Sebab keluarga Siti keluarga beradat. Dia (Siti) tidak boleh buat keputusan sendiri. Kena tanya kakak yang sulung, abang, kakak, adik...minta restu semua. Barulah pengumuman ini dibuat, ‘’ kata Zaiton kepada pemberita selepas majlis pengumuman tarikh pertunangan, pernikahan dan persandingan di antara Datuk K dan Siti di sini hari ini.

Zaiton juga berkata atas sebab inilah Datuk K dan Siti sentiasa menekankan untuk menunggu ‘masa sesuai’ setiap kali ditanya media mengenai status hubungan mereka.

Dalam pada itu, Zaiton melahirkan kelegaan dan gembiranya atas pengumuman tersebut. Katanya, seluruh keluarga lega kerana segala spekulasi dan desas-desus kini terjawab sambil mengharapkan ia tidak akan berlaku lagi.

‘’Saya sebagai kakak dan yang paling tua dalam keluarga, apa yang mampu saya lakukan ialah berdoa untuk yang terbaik kepada mereka berdua,’’ katanya.

Sementara itu kakak ipar yang juga pengurus Siti, Rozie Abdul Razak berharap peminat Siti dapat terus menyokong dan mendoakan kebahagian Siti.

‘’Sememangnya kita tahu Siti itu kesayangan ramai orang. Jadi bila dia ambil keputusan untuk berkahwin tentulah ada baik buruk. Tapi kita kena faham dia sudah 28 tahun. Seperti orang biasapun pada usia itu tentulah dah fikirkan tentang perkahwinan. Siti dengan orang lain pun tidak ada beza. Bagi dia perkahwinan dia adalah kebahagiaan dia. Jadi kita berharaplah peminat terus menyokongnya. Ini pun Datuk K ada bercakap, dia tidak akan menghalang Siti untuk teruskan. Jadi, sekarang ni cuma doa yang terbaik,’’ katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun Rozie tidak menafikan bahawa pada peringkat awal keluarganya agak terkejut apabila mengetahui perhubungan antara Siti dan Datuk K.

‘’Pada awal tu satu keluarga sudah mengenali Datuk K. Cuma tidak termasuk lagi bab cinta-cinta tu. Tapi Siti cakap apa yang benar, dia luahkan isi hati dia, luahkan perancangan dia, kita sebagai keluarga fikir dan pada hari ini bapa merestuilah.

‘’Kita berharap Datuk K dapat beri kebahagiaan kepada Siti dan kerana itu Siti pilih dia sebagai calon dalam hidup dia. Saya harap dia boleh beri kebahagiaan kepada Siti hingga ke akhir hayat,’’ kata Rozie. [UM]

Anak Datuk K minat Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR 17 Julai – ‘’Saya minat Siti Nurhaliza kerana dia juga seperti wanita lain yang bersopan-santun.

‘’Sebelum ini, saya panggil dia Kak Siti sahaja, tetapi selepas ini saya pun tidak tahu hendak panggil apa.’’

Begitulah komen Mohd. Ashraf Khalid, 14, tentang Siti Nurhaliza yang akan bernikah dengan bapanya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, atau Datuk K pada 21 Ogos ini.

Dia ditemui selepas majlis pengumuman tarikh pertunangan, pernikahan dan persandingan pasangan itu di Hotel The Zon On The Park di sini hari ini.

Jelas anak ketiga daripada empat beradik itu, hubungannya dengan Siti Nurhaliza juga baik biarpun banyak gosip timbul membabitkan bapanya dan penyanyi tersebut sejak kebelakangan ini.

‘’Hubungan saya dengan Kak Siti okeylah, dia pernah datang ke rumah kami, sudah lama juga...tetapi lupalah bila tarikhnya,’’ ujarnya.

Menurut Mohd. Ashraf, dia juga gembira apabila majlis tersebut menamatkan spekulasi serta gosip ke atas bapanya dan penyanyi tersohor itu.

“Kalau bapa saya gembira dengan perkahwinan ini, saya pun akan rasa gembira. Tetapi saya minta supaya tidak ada pihak cuba mengkucar-kacirkan lagi keadaan,’’ ujarnya. [UM]

15/07/06

Datuk K, Siti umum minggu depan


GAMBAR (kiri): Siti Nurhaliza Tarudin;
(kanan): Datuk Khalid Mohd Jiwa
Oleh Hanizam Abdullah


KUALA LUMPUR:
Teka-teki hubungan Siti Nurhaliza Tarudin dengan usahawan, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk K, akan terjawab apabila mereka dijangka membuat pengumuman rasmi minggu depan.

Berita Harian difahamkan, pengumuman yang akan diadakan dalam sidang media di ibu kota, turut merangkumi tarikh pernikahan dan majlis persandingan pasangan itu.

Seperti dilaporkan sebelum ini, majlis akad nikah dijadualkan pada 21 Ogos di Masjid Wilayah Persekutuan, manakala majlis keraian pada 28 Ogos di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC).

Sejak mengaku bahawa hatinya sudah dimiliki pada April lalu, pelbagai gosip dan spekulasi timbul termasuk mengenai persiapan menjelang detik bahagia itu. Terbaru, desas-desus bertiup kencang kononnya lelaki yang bakal menjadi suami Siti Nurhaliza ialah Fazley Yaakob.

Bagaimanapun, Fazley ketika dihubungi menafikan perkara itu.

“Tolonglah jangan kaitkan kami. Andaian si polan meminang bagi pihak saya tidak betul,” katanya.

Sementara itu, sumber terdekat keluarga pengantin melahirkan rasa kesal dengan laporan bahawa majlis itu akan berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang sehingga menelan belanja berjuta ringgit.

“Perbelanjaan membabitkan ribuan ringgit saja. Begitu juga dengan harga cincin Siti. Takkan sanggup berbelanja lebih setengah juta.

“Tak masuk akal. Siti ada beritahu bahawa dia cuma mahu bakal suaminya menyediakan sebentuk cincin sederhana,” katanya. [BH]

14/07/06

Epilog: Akhirnya Mawi ingkar pesanan Tunku Mahkota Johor

BEBERAPA hari selepas muncul juara Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) tahun lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar memberi pesanan kepada Mawi supaya jangan memutuskan pertunangan dengan Nordiana atau Ina, sambil berkata, “Jangan lepaskan tunang awak...” sambil jari telunjuk baginda diangkat dan digoyangnya beberapa kali di depan Mawi.

Mawi yang cuma senyum sedikit mengangguk-angguk kepalanya dan kemudian apabila pihak media bertanyakan komennya berhubung pesanan Tunku Mahkota itu, Mawi dengan yakin berkata, “Insya-Allah, saya akan ingat dan junjung pesanan Tunku Mahkota sebagai azimat dan peringatan. Yang penting jaga hati... dan saya ikhlas.”

Kelmarin, apabila media melaporkan Mawi secara rasmi memutuskan pertunangannya dengan Ina, ternyata ia bercanggah dengan ikrar janji Mawi dulu. Tidak sampai setahun janji Mawi yang mengaku menjunjung nasihat Tunku Mahkota itu, akhirnya dia terpaksa ingkar. Pesanan Tunku Mahkota itu tidak boleh lagi dijadikan azimat buat Mawi.

Banyak pihak dalam industri hiburan lega dengan janji Mawi itu, apatah lagi berdasarkan imej diciptanya semasa berada di AF3 dengan gaya Islamik dan ala ‘lelaki Melayu terakhir’. Sudah tentu ramai yakin janji dipegang Mawi akan dikotakannya kerana sebagai Muslim, falsafah janji itu sangat besar makna dan hikmahnya apatah membabitkan soal kahwin.

Golongan media ketika itu sudah mula bimbang kerana kesan populariti yang diraih Mawi sejurus meninggalkan AF3 adalah satu kejadian luar biasa. Mawi mencipta fenomena yang tidak pernah dikecapi mana-mana artis di Malaysia sebelum ini, waima Allahyarham P Ramlee dan Allahyarham Sudirman Haji Arshad pun bukannya ‘naik mendadak’ dari segi populariti seperti Mawi.

Kebimbangan menjurus hal peribadinya yang sudah bertunang dengan Ina, gadis kampung yang bekerja kilang sebagai operator pengeluaran. Ini kerana status Mawi sebagai penyanyi yang begitu popular akan menghadapi laluan sukar untuk dia berada dalam landasan kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan yang tinggi kerana perbezaan darjat, status, kemewahan, gaya hidup, cita rasa, keinginan, nafsu serta dilimpahi sanjungan berlebihan.

Bukan untuk mempertikai, tetapi masa itu kita dapat jangkakan sukar bagi Mawi sebagai orang baru yang mengalami kejutan budaya mampu mengurus popularitinya yang hebat itu. Sukar baginya untuk bersikap lebih teguh pada cinta dalam ikatan pertunangan, iaitu ketika beliau ‘belum ada apa-apa’ dan tidak dikenali pun dalam industri hiburan hingga berubah menjadi rich and famous. Bukan calang-calang insan yang mampu teguh kesetiaannya seperti diharapkan itu. Sudah tentu Mawi harus ada will power untuk terus memupuk kasih, kesetiaan dan memegang janji terhadap Ina, sesudah dia berada dalam spektrum kehidupan mewah dan penuh sanjungan.

Ketika itu juga, sebenarnya ramai antara kita sudah meramalkan, tidak hairan Mawi akan kecundang dalam ikatan cintanya terhadap Ina kerana perubahan mendadak hidup Mawi selepas menjadi manusia popular sebegitu memerlukan keteguhan hati luar biasa, apatah lagi harus berkahwin dalam tempoh terdekat sebagaimana janji mereka sewaktu pertunangan. Ini ditambah imejnya yang sudah menjadi somebody berbanding tunangnya yang nobody. Malah, mungkin orang di sekelilingnya masa itu termasuk keluarga, pengurusan dan peminat fanatik pula mahukan dia supaya tidak perlu lagi berfikir soal kahwin kerana perjalanan karier dan popularitinya sedang memuncak apatah lagi usia Mawi baru 25 tahun. Sudah tentu, tidak hairan hati Mawi boleh berubah dengan mudahnya dan faktor inilah juga mungkin dilihat boleh dijadikan alasan yang tidak diisytihar.

Akhirnya, ramalan senyap selama ini menjadi kebenaran. Ikatan janji menerusi pertunangan yang dibuat dengan rela dan reda tiba-tiba diputuskan dengan alasan rapuh. Maka janji Mawi yang pernah diucapkannya: “yang penting jaga hati... dan saya ikhlas” kini menjadi slogan kosong dan tidak bererti lagi kerana Mawi sendiri yang putuskan tunangan mereka, bukan Ina.

Kita menyedari soal rezeki, jodoh dan ajal maut di tangan Tuhan. Namun, setiap kejadian akan ada sebab dan musabab. Maut tidak akan datang kalau tidak ada sebab, rezeki tidak akan berhasil tanpa ada usaha dan begitu juga jodoh, ia tidak akan berlaku kalau tidak diikhtiarkan.

Demikian jugalah persoalan putus tunang Mawi-Ina. Bukan faktor putus itu yang kini dipersoalkan tetapi sebab dan musabab serta punca ke arah itu yang menjadi pertanyaan dan kekecohan. Tanpa penjelasan jujur dan terbuka, sebaliknya kelihatan lebih banyak dalam nada berhelah, berteka-teki dan berdolak-dalik, pertunangan itu diputuskan hingga menimbulkan kehairanan dan tanda tanya peminat. Ada yang marah, suka, kecewa, geram dan bersyukur. Itu hak masing-masing.

Soalnya, selepas bapanya meninggal dunia, Mawi akui dia kini menjadi ketua keluarga tetapi peliknya dia serahkan soal pertunangan dia dengan Ina pada keluarga atau kakaknya untuk buat keputusan. Siapa yang hendak kahwin? Ahli keluarganya atau Mawi. Alasan longgar sebeginilah yang menjadi pelik. Kenapa Mawi tidak bersikap gentleman? Kenapa tidak ada alasan munasabah pertunangan diputuskan dan akibatnya ramai peminat nampak Mawi yang penyebabnya. Apakah ini berkait kerana sikap Mawi sudah berubah sesudah gaya hidupnya juga sudah berubah?

Menerusi akhbar Metro Ahad pada 9 Julai lalu, Mawi berkata dia sudah tawar hati pada Ina dan menuduh Ina bukan lagi yang dia kenali dulu. Sebenarnya, apa kecurangan Ina sampai Mawi mahu putuskan tunang? Selama ini apa yang diketahui Ina sukar nak hubungi Mawi dan Mawi beri alasan sibuk tetapi keluar gosip dia pla sempat luangkan masa dengan artis wanita lain sampai timbul gosip. Malah, gosip Mawi dengan Diana Rafar lebih memberi kesan kalau nak dipersoal soal curang. Ina juga boleh menuduh Mawi bahawa bekas tunangnya ini juga bukan lagi Mawi yang dikenalinya dulu ketika Mawi tidak ada apa-apa dan ketika Mawi tidak jadi manusia glamor. Tapi, Ina tidak sepopular Mawi sebab Ina bukan artis jauh lagilah orang popular, maka sukar untuk Ina meraih simpati sebagaimana Mawi yang boleh menagih simpati ribuan peminatnya, walaupun banyak kenyataan Mawi dalam isu ini sebenarnya diragui, alasan lemah dan boleh dipertikai!

Soal putus tunang atau cerai di kalangan artis popular bukan benda luar biasa, malah sudah menjadi satu berita biasa yang sentiasa menjadi panas.

Isu putus tunang Mawi-Ina, ia menjadi menarik dan kontroversi kerana rahsia sebenar dan sebab pertunangan itu diputuskan menjadi teka-teki, tidak ada alasan kukuh, berselindung di sebalik ‘tuduh-menuduh’ dan lebih musykil kerana ia berlaku selepas heboh Mawi digosipkan dengan Diana Rafar dan kini dikatakan pula menjalin hubungan intim dengan adik kepada seorang penyanyi dan pelakon.

Kita hormati keputusan Mawi. Kita juga sanjungi ketabahan Ina dan keluarganya yang reda dalam kemelut ini. Keluarga Ina memang berduka tetapi mereka sedar dan terpaksa mengukur baju di badan mereka sendiri. Mungkin ini yang harus keluarga Ina terima kerana Mawi kini sudah berubah hidupnya, bukan lagi Mawi dulu yang sanggup diterima mereka meskipun dia tidak ada kerja tetap. Tahun lalu, masa Mawi bukan artis popular, mereka terima seadanya Mawi tetapi tahun ini sesudah Mawi popular, Mawi pula ‘membuang’ Ina. Itu pun mereka sanggup terima juga. Syabas pada keluarga Ina. Ini hikmah besar buat Ina.

Namun, menganalisis tempoh pertunangan suci yang terjalin tidak sampai satu setengah tahun ini, ia mengundang banyak kemusykilan bukan saja masyarakat dan peminat, malah pihak media sendiri. Mawi dan keluarganya tidak boleh lari dengan kehendak dan perhatian media yang terus memberi tumpuan pada isu putus tunang Mawi-Ina atas alasan itu soal peribadi. Status Mawi sebagai artis paling popular di Malaysia ketika ini tidak akan dibiarkan begitu saja terutama menyentuh hal peribadinya, malah mana-mana artis popular di negara lain juga, cerita peribadi seperti ini akan terus dijadikan bualan, bahan siaran dan polemik kerana ia sememangnya fitrah kehidupan, cerita begini sentiasa mahu diketahui masyarakat dan peminat.

Dalam konsep skrip drama, konflik sebegini cukup menarik untuk membina dramatik menerusi kemelut dua watak utama yang berdepan persoalan hati dan perasaan. Ia agak beza berbanding kisah hampir sama sebagaimana dalam filem Gila-Gila Pengantin Popular arahan dan karya Aziz M Osman yang ditayangkan tahun lalu apabila watak utama wanita yang menang pertandingan menyanyi dan menjadi popular dalam sekelip mata melupakan tunangnya di kampung kerana status diri sudah berubah kerana glamor dan pihak pengurusannya cuba menghapuskan pertunangan yang sudah termaktub. Namun, dalam filem itu digambarkan selepas si tunang wanita tadi bangki dan mampu membina namanya sendiri (popular), barulah keinsafan berlaku pada watak penyanyi itu dan ketulenan cinta akhirnya menjelma juga akhirnya. Namun, bersandarkan realiti dihadapi Mawi-Ina, kemungkinan sebagaimana ending filem itu, ia agak mustahil.

Mawi dalam kenyataannya menerusi Metro Ahad minggu lalu juga meluahkan hasratnya, paling penting selepas ini beliau mahu mencari teman hidup yang menerimanya bukan kerana popularitinya. Alasan itu melucukan kerana sekarang Mawi sudah menjadi artis popular dan tentulah elemen itu akan menjadi faktor untuk mana-mana gadis lain menjadi teman hidupnya. Cinta suci Ina pada Mawi adalah bukti jelas kerana Ina memilihnya secara tulen, bukan kerana popular, sebaliknya Mawi ketika itu cuma pemuda simple dari kampung Felda Taib Andak yang masih menganggur, tercari-cari arah hidup dan banyak dibantu Ina. Ina terima Mawi seadanya. Namun, hati manusia siapa yang menyangka.

Kalau Mawi mahu pandangan dan tindakannya dihormati orang, beliau juga harus hormati teguran, nasihat dan kritikan yang orang lain berikan terhadapnya. Mawi walaupun dah popular tetapi masih dalam kategori ‘budak mentah’ dalam dunia hiburan dan sesekali dia kena to’maninah sambil bermuhasabah diri. Salam takziah buat Mawi.

Kata orang, kerbau diikat dengan tali, manusia diikat pada janji, Mawi terikat dek populariti... - akmel@bharian.com.my [BH]

Nostalgia lafaz nikah


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

MESKIPUN
sudah menjalani upacara mandi mayang, pelakon Ezany Nizariff tetap gementar ketika acara akad nikah dilakukan. Lalu, selepas dua kali lafaz, barulah jejaka dari Perlis ini sah bergelar suami kepada Lizda Nuryanti Abidin, 1 Julai lalu.

Mandi mayang kononnya sebahagian tradisi etnik Bisayak (belah isteri) bagi mengelakkan rasa gemuruh serta menaikkan seri pengantin sebelum dikahwinkan. Sebagai menghormati resam keluarga Lizda, Ezany tunaikan acara berkenaan. Namun, sudah ditentukan dia perlu melafazkan akad sebanyak dua kali sebelum wanita berusia 24 tahun itu menjadi miliknya.

“Sewaktu kursus kahwin, mereka menggunakan lafaz ‘aku’, manakala ketika akad sebenar, ‘saya’ pula digunakan. Ketika menghadiri kursus juga, mereka memberikan isyarat untuk saya menjawab lafaz dengan mengeratkan lagi genggaman tangan, sebaliknya ketika acara sebenar, tiada pula isyarat itu diberikan. Itulah sebabnya saya terlambat jawab sehingga lafaz kedua perlu dilakukan,” cerita Ezany yang mengenali Lizda pada sebuah majlis hari lahir seorang rakan, kira-kira setahun setengah yang lalu.

Bersyukur kerana semuanya berlangsung dengan sempurna, Ezany tetap tidak dapat melupakan kemeriahan majlis perkahwinannya dengan wanita dari keturunan Banjar (sebelah bapa) dan Filipina (ibu) itu.

“Bayangkan, kami hanya menjemput kira-kira 600 tetamu, bagaimanapun hampir 4,000 orang yang datang pada hari persandingan. Tidak ramai sangat yang hadir pada acara sebelah siang, tetapi pada malamnya, saya sendiri tidak percaya melihat lautan manusia yang mengerumuni rumah Lizda.

“Namun, alhamdulillah tetamu berkenaan sedikit sebanyak dapat juga merasa hidangan. Kami menambah 100 kilogram lagi beras untuk dimasak. Tetapi, bukan semua datang untuk makan. Ramai yang datang sekadar memeriahkan acara dan ingin bergambar dengan kami berdua. Kehadiran tetamu yang cukup ramai itu mungkin kerana hebahan yang dibuat sebuah stesen radio di Sabah,” kata Ezany.

Terlanjur bercerita mengenai keinginan untuk bergambar, Ezany ketawa kecil apabila mengingatkan peristiwa dia dan isteri ke pasar, sehari selepas persandingan mereka.

“Kami ke pasar untuk membeli ikan, tetapi sebaik saja tiba di sana, tiba-tiba hampir semua penjual berkenaan meninggalkan tempat jualan masing-masing. Mereka datang untuk merakam kenangan. Lebih melucukan apabila mereka memanggil saya dengan nama Irfan, watak lakonan saya dalam Natasya,” cerita pelakon berusia 33 tahun ini.

Berkahwin di Tawau juga, katanya, banyak kelainan. Selain acara makan gula dan garam, badan dicalit dengan air kapur, dia juga tidak menyangka jamuan makan diadakan sehingga lima malam dengan pelbagai tujuan.

Sementara itu, pada majlis pernikahan itu, Lizda menerima wang hantaran berjumlah RM15,000, sebentuk cincin tunang (acara merisik dan bertunang diadakan sehari sebelum akad nikah) dan sebentuk cincin kahwin, seutas rantai pada upacara membatalkan air sembahyang, serta tujuh dulang hantaran yang berbalas sembilan.

Setelah mendirikan rumah tangga, tentu saja pasangan pengantin baru mempunyai perancangan untuk membesarkan keluarga. Ezany dan Lizda pula mengambil pendekatan menerima saja ketentuan Maha Esa. Mereka pastinya tidak menolak jika rezeki datang dalam masa terdekat.

FAKTA

EZANY dan Lizda kini menjadikan Bukit Jalil sebagai tempat tinggal mereka berdua.


LIZDA yang dulunya bekerja bersama sebuah syarikat pengurusan acara, kini berkemungkinan mengikuti suami sebagai pembantu peribadi.


PAKAIAN pengantin sepanjang acara ditaja Butik Jalinan Mutiara, Semua House, Kuala Lumpur.


REZEKI perkahwinan, Ezany kini turut terbabit dalam perniagaan SMS. Peminat boleh menaip EZANY dan menghantarkannya ke 33313 untuk mendapatkan profil, maklumat lakonan, muat turun, belian topi dan kemeja, serta peluang untuk memenangi hadiah bercuti bersamanya di sebuah pulau dan wang tunai yang secara keseluruhannya berjumlah RM10,000.


EZANY akan muncul di Astro Ria bermula 1 Ogos depan, menerusi drama bersiri Januari, diikuti Kantoi pada pertengahan Ogos dan filem Ikon kemudiannya. Tiga projek tadi adalah terbitan Emac Vision. Ezany turut terbabit dalam penggambaran drama 40 episod Desir Hadhari serta berkemungkinan besar sekali lagi memegang watak Irfan dalam Natasya 2. [BH]

13/07/06

'Jangan rosakkan persahabatan kami'

Oleh Zul Husni Abdul Hamid


SEPERTI
tidak pernah ada peristiwa hitam yang berlaku antara pasangan artis sensasi, Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim biarpun jauh di sudut hati, masing-masing memohon pengertian media supaya tidak lagi memperbesarkan isu perceraian mereka.

“Cukuplah... jangan dirosakkan persahabatan kami,” pinta Yusry, memohon media supaya tidak terus bertanya perkara yang menyentuh peribadi mereka.

“Kami bukan sengaja mahu menjaja cerita peribadi. Harap semua pihak faham dan kami minta maaf. Bukan tidak mahu bekerjasama tetapi pemahaman orang berbeza. Ada pihak mengatakan kami hanya berlakon, berpura-pura baik.

“Sebab itu saya enggan memberi komen apabila Erra tiada di sebelah. Saya tak nak kami dilaga-lagakan, tak nak ada yang berkecil hati nanti jadi musuh,” katanya kepada media selesai menjayakan majlis makan malam KRU Muzik Group (KMG) di JW Marriott Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pasangan artis popular itu kembali menjadi tumpuan apabila Erra yang kebetulan menjayakan persembahan amal di hotel berdekatan, turut hadir pada akhir majlis sambutan 10 tahun KMG itu.

Pada mulanya pasangan yang baru saja mendapat pengesahan lafaz cerai mereka di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, kelmarin cuba mengelak dari ditemubual, malah enggan untuk bergambar bersama.

Bagaimanapun, sebagai memenuhi janjinya kepada wartawan untuk memberi kenyataan apabila Erra berada di sisi, Yusry menjelaskan antara mereka masih bersahabat, biarpun ikatan perkahwinan selama tiga tahun itu diakhiri dengan perceraian.

“Kami sudah lama berkawan. Tak semestinya apabila perkahwinan tidak menjadi, kami kena bermusuh. Cuma pinta kami, cukuplah... Macam-macam yang diperkatakan, menyalahkan orang itu dan ini.

“Kami sudah mencuba untuk hidup sebagai suami isteri dan hanya setakat itu tertulis jodoh antara kami berdua. Jangan beri kami tekanan kerana kini masing-masing ada hidup sendiri,” katanya.

Sementara itu, Erra yang pada mulanya lebih banyak menyerahkan kepada Yusry untuk menjawab soalan pihak media, berharap ia adalah kenyataan terakhir yang keluar daripada mereka berdua.

“Kami perlu meneruskan hidup. Memang di luar nampak seperti tidak ada apa yang berlaku tetapi dalam hati hanya Tuhan yang Tuhan. Saya terpaksa pendam. Berilah kami ruang untuk menangani perkara ini dengan baik.

“Tolonglah jangan dibangkitkan lagi kerana saya dan Yusry tetap akan berkawan,” katanya.

Kembali bersama?

APABILA diajukan persoalan apakah mereka bersedia untuk merujuk semula, Yusry berkata, dia dan Erra menyerahkan perkara itu kepada Tuhan.

“Itu kuasa Tuhan tetapi pinta saya, janganlah kami terus dikaitkan. Itu semua memberi tekanan kepada kami. Daripada sebelum kahwin, selepas kahwin dan bercerai, banyak sangat cerita peribadi kami yang dipaparkan,” katanya.

Erra pula berkata, pada mulanya dia sendiri teragak-agak untuk datang ke acara itu kerana tidak mahu kehadirannya disalahertikan pihak yang tidak mengerti.

“Walaupun kami sudah berpisah, jangan lupa tali silaturahim yang pernah kami lalui sebagai sebuah keluarga. Apabila difikirkan apa yang saya buat ini tidak salah, kenapa harus saya

takut kepada orang lain.

“Memang ada yang memberi amaran supaya saya tidak datang. Tetapi saya hanya menghormati jemputan kerana KRU sendiri banyak berjasa dalam menaikkan nama saya,” katanya.[BH]

11/07/06

Erra, Yusry sah cerai talak satu

Erra & YusriERRA Fazira dan Yusry masih akrab dan pulang bersama menaiki sebuah kereta selepas Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam mengesahkan penceraian mereka.

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES


PETALING JAYA 10 Julai
- Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini memutuskan gugur talak satu ke atas penyanyi dan pelakon popular, Erra Fazira ekoran lafaz yang diucapkan oleh bekas suaminya, pelakon dan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 26 April lalu.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad berpendapat berdasarkan lafaz yang dibuat oleh Yusry, 33, pada pukul 5 petang 26 April lepas di kediaman mereka di Damansara Utama, telah jatuh talak satu rajie ke atas Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 32.

Sehubungan itu, Ghazali memerintahkan supaya Erra beredah tiga kali suci termasuk suci ketika bercerai.

Sepanjang Ghazali membacakan penghakiman bertulis mulai pukul 3.40 petang, pasangan itu yang diminta supaya berdiri kelihatan sering berpandangan.

Riak-riak kesedihan jelas tergambar di wajah apabila air mata kelihatan bergenang-genang di kelopak mata mereka sejurus mahkamah mensabitkan jatuhnya talak.

Pasangan itu telah diijabkabulkan pada 15 Jun 2003.

Berdasarkan persetujuan bersama pasangan itu, Ghazali juga memerintahkan supaya Yusry selaku plaintif membayar nafkah edah sebanyak RM2,000 sebulan selama tiga bulan yang berjumlah RM6,000 kepada Erra.

Dalam penghakiman bertulis hakim itu turut menyebut, Erra dan Yusry dikehendaki memenuhi prosedur biasa selepas bercerai misalnya membatalkan sijil nikah dan mendaftarkannya di mahkamah.

Yusry diwakili peguam syarie, Fahda Nur Ahmad Kamar.

Mengenakan sepasang kebaya bercorak hitam putih dan berselendang hitam manakala Yusry berkemeja biru gelap berjalur-jalur masih secocok apabila hadir dan pulang bersama-sama menaiki kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam jenis Mercedes-Benz.

Yusry mengemukakan permohonan bagi membuat pengesahan lafaz cerai yang diucapkannya di luar mahkamah.

Dalam prosiding 16 Jun lalu, Yusri memberitahu terdapat tiga lafaz yang dibuat oleh beliau iaitu dua dalam bentuk tulisan dan satu lagi telah diucapkannya kepada Erra.

Menurut Yusry ketika menulis lafaz (pertama), beliau tiada niat (menceraikan), cuma untuk menjelaskan. Namun ketika melafazkannya, saya memang berniat untuk menceraikan Erra.

Kata Yusry, lafaz tersebut dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan mana-mana pihak. Dua rakannya, Syed Abu Bakar Syed Agil dan Faizal Muhaiyin mendengar dan menjadi saksi, lafaz yang dibuatnya.

Erra pula pada tarikh lalu mengesahkan yang beliau berada dalam keadaan suci dan dalam tempoh tersebut, mereka tiada hubungan kelamin.

Pada 7 Disember 2005, Erra dan Yusry membuat pengakuan terbuka kepada media bahawa mereka sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu.

Pasangan tersebut yang ditemui pemberita di luar mahkamah sejurus prosiding selesai berkata, mereka merasa lega dan bersyukur kerana semuanya telah selesai.

Erra: “Kini saya rasa lebih tenang. Kami akan berkawan baik buat selamanya.”

Disoal mengenai pembahagian harta, pasangan itu mengesahkan isu tersebut tidak timbul. [UM]

Tokoh korporat mohon pengesahan lafaz cerai

KUALA LUMPUR 10 Julai - Tokoh korporat, Tan Sri Mohd. Ibrahim Mohd. Zain telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dengan Puan Sri Susi Nurani Razikin di Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas isterinya itu mempersoalkan perkahwinan beliau dengan seorang wanita Filipina, 16 tahun lalu.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 22 Jun lalu, Mohd. Ibrahim, 63, mendakwa, beliau melafaz dan menandatangani satu dokumen dengan niat menceraikan Susi Nurani, 44, pada pukul 3.10 petang, 21 Jun lalu di ibu negara.

Lafaz cerai itu berbunyi seperti berikut:

“Saya, Mohd. Ibrahim Mohd. Zain dalam keadaan sedar dan waras, pada hari ini dengan rela hati menceraikan isteri saya, Susi Nurani Razikin dengan talak satu.''

Menurut pernyataan tuntutan itu, Mohd. Ibrahim menyatakan beliau bernikah dengan Susi Nurani secara sah pada 6 Jun 2002.

Pasangan tersebut tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.

Pada prosiding hari ini, Hakim Syarie, Abdul Shukor Abd. Hamid menetapkan 24 Julai ini sebutan semula permohonan itu bagi memberi peluang kepada Susi Nurani selaku defendan menjawab pernyataan tuntutan Mohd. Ibrahim.

Abdul Shukor juga menetapkan 27 Julai ini untuk mendengar permohonan Mohd. Ibrahim bagi membatalkan permohonan Susi Nurani yang ingin mendapatkan perintah agar perkahwinan antara tokoh korporat itu dengan Crystal Desiree Raymond Abdullah, 51, difaraqkan (dipisahkan) mengikut Seksyen 10(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Permohonan itu dikemukakan setelah Susi Nurani, seorang perunding perniagaan sangsi dengan perkahwinan Mohd. Ibrahim dan Crystal di Pulau Phuket, Thailand pada tahun 1990.

Ini kerana, Susi Nurani mendakwa, pernikahan antara Mohd. Ibrahim dan Crystal dilangsungkan tanpa mengikut hukum syarak memandangkan wanita Filipina tersebut waktu itu dikatakan masih belum memeluk agama Islam.

Ia berdasarkan kepada rekod yang menunjukkan bahawa Crystal memeluk agama Islam pada 12 Ogos 1995 di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Mohd. Ibrahim pula dalam notis membatalkan permohonan itu memberi alasan bahawa Susi Nurani tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memulakan kes faraq kerana beliau telah menceraikan Susi Nurani pada 21 Jun lalu.

Mohd. Ibrahim turut menyatakan perkahwinannya dengan Crystal tidak perlu dipertikaikan kerana telah disahkan dan didaftar secara sah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan surat perakuan nikah telah pun dikeluarkan.

Mohd. Ibrahim adalah tokoh korporat yang pernah atau masih memegang jawatan dalam pelbagai syarikat termasuk Amanah-Chase Merchant Bank Berhad, Metrojaya Berhad, Pan Malaysia Industries Berhad (PMI), KNK Kenanga Holdings Bhd. dan Semantan Capital Sdn. Bhd.

Mohd. Ibrahim diwakili peguam syarie, Zulkifli B.C.Yong dan Normawaddah Ramli manakala peguam syarie Aziani Resaman mewakili Susi Nurani.

Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor, hari ini turut menangguhkan pada 18 September ini bagi permohonan Susi Nurani berhubung pindaan cerai kepada hidup bersama semula dengan suaminya, Mohd. Ibrahim.

Hakim Syarie, Saharuddin Selamat membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh peguam Rubiah Jaafar bahawa wujudnya perkembangan baru iaitu permohonan Mohd. Ibrahim untuk menceraikan Susi pada 22 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. [UM]

Isteri didakwa tukar agama dibenar tuntut fasakh


KUALA LUMPUR 10 Julai
- Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membenarkan tuntutan fasakh (cerai) seorang wanita terhadap suaminya, seorang rakyat Britain yang mendakwa bekas isterinya itu telah memeluk agama Kristian.

Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin membenarkan tuntutan Amnah Shaari, 41, yang berkahwin dengan Roderick John Brooks @ Roderick Yusof Abdullah, 60, pada 8 Jun 1992 di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur, Selangor.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 12 April tahun lalu, Amnah mengemukakan tuntutan itu dengan alasan bahawa Roderick Yusof tidak menunaikan nafkah batin sejak lapan tahun lalu, cuai dan tidak memberikan nafkah zahir selama lebih tiga bulan, menganiaya dan menyebabkan kehidupannya menderita, berkelakuan sumbang serta tidak bermoral.

Pasangan itu berkahwin kira-kira enam bulan selepas Roderick Yusof memeluk agama Islam.

Sepanjang pernikahan mereka, pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Hakim Syarie Zulfikri Yasoa menetapkan 2 Oktober ini hujahan lisan kedua-dua pihak berhubung dakwaan Roderick yang menyatakan Amnah telah menukar agama kepada Kristian.

Roderick Yusof pada 7 Februari lalu mengemukakan permohonan perisytiharan sama ada Amnah seorang Islam atau Kristian pada tarikh pernikahan mereka berdua.

Amnah bagaimanapun telah memfailkan notis bantahan memohon supaya permohonan Roderick Yusof ditolak.

Amnah diwakili oleh peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman manakala peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Roderick Yusof.

Dalam permohonannya, Roderick Yusof mendakwa, Amnah yang pernah menetap di Amerika Syarikat telah memeluk agama Kristian pada 23 September 1988.

Lelaki itu yang menetap di negara ini di bawah program ‘Malaysia Sebagai Rumah Kedua’ mendakwa, dia ada menerima maklumat daripada penyiasat di Amerika yang mengesahkan pertukaran agama Amnah tersebut.

Amnah dalam afidavit sokongannya pula menegaskan bahawa dia masih menganut agama Islam, ibu bapanya beragama Islam dan dia berpegang teguh kepada ajaran Islam dan menunaikan kewajipan solat serta berpuasa dari dahulu hingga kini.

‘‘Saya tidak pernah mengisytiharkan diri saya ataupun membuat apa-apa permohonan di mana-mana Mahkamah Syariah atau pun Sivil untuk keluar daripada Islam,'' kata Amnah.

Wanita itu turut menyatakan bahawa kandungan Laporan Keahlian Gereja bertarikh 6 Mac 2005 yang kononnya dia telah menukar agama kepada Kristian pada 23 September 1988 di Church of Latter Day Saint adalah tidak benar sama sekali. [UM]

10/07/06

Datuk K bebas menikahi Siti

Bintang Popular : Variasi

Datuk K bebas menikahi Siti


PERNIKAHAN yang bakal termeterai antara ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K dengan penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza Tarudin terus diperkatakan sepanjang minggu ini. Selagi Siti mahupun Khalid belum membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh pernikahan mereka, selagi itulah pelbagai spekulasi diperkatakan peminat. Apakah tarikh terbaru yang disebut-sebut itu ialah 21 Ogos ini?

Menurut sumber terdekat dengan pasangan itu, Siti dijadualkan membuat pengumuman rasmi pada bila-bila masa saja, sejajar kenyataan Khalid sebelum ini yang dilapor akan mengumumkan tarikh majlis perkahwinannya sekitar Julai ini.

Spekulasi terbaru menerusi laporan muka depan sebuah akhbar tabloid Khamis lalu, memberitahu Siti berkemungkinan akan bermadu jika dia berkahwin dengan Datuk K dalam masa terdekat.

Ini berikutan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur masih belum mengesahkan kes cerai membabitkan Datuk K dengan isterinya Tengku Zawyah Tengku Izham.

Sehubungan itu, Unit Perhubungan Awam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi kenyataan akhbarnya bertarikh 6 Julai lalu, menafikan dakwaan laporan tabloid berkenaan yang mengatakan aktres terkenal, Siti Nurhaliza terpaksa bermadu jika mahu meneruskan perkahwinannya dengan Datuk K.

Pihak Jais dimaklumkan bahawa pihak bekas isteri Datuk K, Tengku Zawyah pada 3 Julai lalu, sudah menarik balik permohonan untuk menentukan kesahihan dari segi syarak sama ada berlaku rujuk atau sebaliknya di antara kedua pihak di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Justeru, surat perakuan cerai yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur pada 13 April 2005 adalah sah dan berkuat kuasa. Sehubungan itu, Datuk K adalah bebas untuk memohon kebenaran bernikah dengan sesiapa tanpa perlu mendapatkan kebenaran berpoligami.

Buku kisah cinta Datuk K - Siti laris!

SELAIN itu, kisah percintaan Siti dan Datuk K menjadi bahan penulisan terbaru penulis buku politik, Syed Hussein Alwee Alattas (SH Alattas @ Pak Habib).

Pak Habib dalam bukunya yang berharga RM10 senaskah itu seolah-olah mengesahkan perkahwinan di antara Siti dan Datuk K akan dilangsungkan Ogos ini. Ia juga memaparkan status Datuk K sebagai duda yang sudah bercerai taklik dengan Tengku Zawyah.

Menurut sumber yang sama, Datuk K tidak menyangka buku berkenaan begitu cepat memasuki pasaran dan kini ia mudah diperoleh di kedai buku sekitar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Mengenai hak penyiaran majlis persandingan Siti dan Datuk K yang dikatakan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Ogos ini yang hanya diperoleh stesen satelit Astro, sumber berkenaan berkata, perkara berkenaan belum ada sebarang perbincangan rasmi.


PEMINAT begitu tertarik meneliti kandungan
buku tulisan S H Alattas.

Sementara itu, satu lagi khabar angin menerusi e-mel ialah sebentuk cincin emas putih bertatah dua butir berlian yang diberi nama Bague Coeur Toiet Moi Diamants (bermaksud Permata Hati Kamu dan Saya) yang dianggarkan berharga kira-kira RM460,000. Ia pernah dipamerkan di Chaument, Paris dan dikatakan sudah dibeli Datuk K untuk Siti bersempena hari perkahwinan mereka.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, sumber berkenaan turut menafikan perkara yang tersebar di Internet itu.

Kini, baik Siti mahupun Datuk K hanya membilang hari untuk menyambut hari bahagia mereka. Difahamkan undangan untuk golongan VIP dan istana sudah dilayangkan. Kita tunggu apa perkembangan selanjutnya.

Syafinaz terlalu memilih?

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Syafinaz belum sedia tempuhi perkahwinan

SEORANG
demi seorang lelaki hadir dalam hidupnya tetapi semuanya ditolak. Mereka bukannya tiada rupa atau tidak berharta tetapi belum berupaya menawan hatinya. Itulah ketentuan hidup guru vokal paling seksi, Syafinaz Selamat.

Melihat usianya kini, 33 tahun, Syafinaz sepatutnya sudah berumah tangga tetapi dia terus membujang. Adakah kerana sikapnya yang terlalu memilih?

"Memilih? Saya tak fikir begitu. Saya ini simple saja orangnya. Saya percaya, semuanya terletak pada hati. Kalau kita tidak benar-benar cintakan seseorang, mengapa perlu memaksa diri?" ujarnya.

Terbaru, timbul pula desas-desus mengatakan pensyarah vokal di Jabatan Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) ini mula menjalinkan hubungan akrab dengan rakan sepengkritiknya, Paul Moss, selepas mereka dipertemukan dalam program realiti popular, One In A Million di 8TV.

Ada pihak mendakwa, Paul selalu `cair' dengan sikap Syafinaz malah turut menyimpan hati terhadapnya.

Apabila ditanya sendiri mengenai gosip itu, Syafinaz tergelak besar.

"Mana mungkin Paul `tergila-gilakan' saya kerana dia sudah pun beristeri? Paling-paling lebih pun, saya fikir, Paul mungkin selesa apabila kami bekerja bersama-sama dalam One In A Million. Pelik juga, dalam program itu, kami selalu berdebat dan bertekak untuk kebaikan peserta, jadi macam mana pula boleh timbul cerita kami kononnya bercinta?

"Entahlah, dunia saya masih lagi untuk kerjaya. Soal teman hidup, saya berserah kepada Allah untuk menentukannya," jelasnya kepada Bintang Popular.

Bercakap lagi mengenai rumah tangga, Syafinaz berkata, tanggungjawab sebagai isteri bukannya mudah, lebih lagi bagi wanita berkerjaya dalam dunia hiburan. Buat masa ini, dia belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri disebabkan kesibukan tugas yang makin bertambah.

"Saya tak mahu suami dan rumah tangga terabai kerana saya kesibukan saya. Akhirnya, yang jadi mangsa adalah perkahwinan. Mungkin untuk mengatasi masalah ini, saya kena bersara daripada tugas sekarang. Bila masanya saya hendak bersara, saya sendiri tak pasti," katanya yang kembali jelita tanpa pendakap gigi.

Album pop klasik jadi pilihan

SELEPAS lima tahun tiada album baru, Syafinaz sudah bersedia untuk merakamkan album solo lagi. Album berkonsep pop klasikal tetap pilihannya walaupun ramai beranggapan konsep berkenaan hanya untuk orang bandar semata-mata.

"Saya memilih komposer seperti Ajai untuk menjayakan rakaman album itu.

Saya sedar ramai beranggapan album pop klasikal hanya menjadi pilihan orang kota dan elit tetapi anggapan itu sebenarnya meleset sama sekali.

"Pernah satu ketika saya diundang menyanyi dalam satu persembahan dan apabila menyampai sebuah lagu berentak pop klasikal, ia turut diminati oleh Mat Rock.

"Sejak itu, saya mula yakin genre muzik tidak mempunyai batasan peminat. Saya juga mahu mengubah persepsi orang kita terhadap muzik pop klasikal. Ia perlukan lebih pendedahan dan dikomersialkan," katanya yang berharap akan dapat menyiapkan album berkenaan sebelum penghujung tahun ini.

INFO SYAFINAZ:

# Syafinaz Selamat, dilahirkan pada 11 Januari 1973 di Pontian, Johor tetapi dibesarkan di Batu Pahat.

# Beliau mula menyanyi sejak di bangku sekolah iaitu ketika berusia tujuh tahun. Selain menyertai pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan daerah Batu Pahat, Syafinaz sering menerima undangan RTM untuk rancangan kanak-kanak.

# Selain bergelar penyanyi, penyanyi bersuara soprano itu memikul tiga tanggungjawab sekali gus iaitu sebagai pensyarah vokal di Jabatan Muzik, Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, pensyarah Akademi Seni Kebangsaan (ASK) serta vokal master untuk Koir Kebangsaan Malaysia.

# Pengkritik tetap program One In A Million ini merakamkan album pertamanya, Syafinaz pada 1989 diikuti, Ingin Bersamamu (1999) dan Syyh... (2001).

# Selain nyanyian, Syafinaz, 33, pernah mencuba bakat lakonan menerusi teater muzikal Rubiah. [BP/BM]

7/07/06

Wedding Of The Year hampir pasti

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

PERKAHWINAN gemilang yang dicanang akan berlangsung suatu hari di bulan Ogos - 8, 21 atau 28 Ogos nanti? - terus meresahkan peminat dunia hiburan terutama mereka yang meminati Siti Nurhaliza Tarudin.

Kalangan ini bertanya bila agaknya Siti dan pasangannya Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih terkenal dengan panggilan Datuk K akan bersuara? Ada sumber berbisik barangkali Siti akan membuka rahsia sekembalinya dari Jakarta ini. Melihat jadualnya penyanyi itu akan berada di ibu negara esok.

Topik perbincangan semakin hangat apabila kalangan ini terus berbicara mengenai buku tulisan Syed Sheikh Al-Attas atau Pak Habib berjudul Kalau Jodoh Tak Ke Mana. Ada yang bagaikan tidak percaya rupa-rupanya kisah cinta Siti dan Datuk K sudah berlangsung agak lama.

Dalam pada itu bukan tidak sampai juga ke meja Hip, ada kalangan peminat yang berkata bahawa orang sebenar yang akan menjadi milik Siti adalah Dr Fazley Yaakob dan bukannya Datuk K. Kononnya, Datuk K itu adalah bapa saudara kepada penyanyi yang kini menjadi pakar motivasi dalam program Akademi Fantasia musim keempat.

Bagaimanapun dalam kekalutan itu, kedua-dua bakal pengantin ini terus membisu seribu bahasa sedangkan orang lain yang tidak kena mengena lebih sibuk dan resah merisik khabar.

Siti sendiri sudah seminggu berada di Jakarta untuk mempromosikan album terbarunya Transkripsi. Bagaimanapun, sumber dari Jakarta berkata, kisah cinta dan perkahwinan Siti tetap menjadi bahan bualan peminatnya di sana. Semalam, Siti muncul dengan Desy Ratnasari dalam sebuah program malam amal.

Persiapan perkahwinan semakin rancak?

Walaupun setakat ini tidak ada apa-apa yang lahir di bibir bakal pengantin atau keluarga terdekat tetapi segala perancangan perkahwinan mereka sudah pun dihidu.

Siti dan Datuk K khabarnya memilih Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) bersebelahan Menara Berkembar Petronas (KLCC) untuk melangsungkan perkahwinan. Selain lokasi yang strategik, KLCC tentunya menjadi pilihan mempelai yang bercita rasa tinggi dan berkemampuan.

Siti penyanyi wanita paling popular, sementara Datuk K pula usahawan berjaya yang dikenali dikalangan pembesar negara. Majlis persandingan itu khabarnya akan berlangsung di Dewan Pameran (Exhibition Hall) yang mampu memuatkan 2,000 tetamu.

Nusantara Gems milik Datuk Shah Reza yang menjadi perancang perkahwinan Aidit Marcello dan Norzie Pak Wan Chik katanya dilantik untuk merancang perkahwinan paling ‘meletup’ tahun ini.

Siti serta bakal suami tercinta akan berarak menaiki kereta kuda menuju ke dewan besar yang lazimnya menjadi pilihan golongan korporat menganjurkan apa saja majlis sama ada korporat atau perkahwinan.

Kononnya untuk majlis di KLCC saja, Datuk K melabur kira-kira RM500,000 untuk meraikan saudara mara dan sahabat handai. Bukan Datuk K saja akan berbuat sedemikian, rasanya sesiapa saja yang dapat berkahwin dengan seorang penyanyi popular, cantik dan berbudi pekerti mulia seperti Siti tentu sanggup berhabisan demi isteri tercinta.

Kebetulan pula, pihak pengurusan pusat itu baru saja melancarkan pakej perkahwinan mereka, kelmarin. Memang hebat pakej itu dan sesuai sekali untuk meraikan pasangan popular ini. Apabila ditanya, sama ada Datuk K sudah membuat tempahan, kakitangannya tetap ‘zip’ mulut.

KLCC memang lokasi paling sesuai untuk mempelai popular seperti mereka melangsungkan perkahwinan kerana terletak di kawasan segi tiga emas yang sering menjadi tumpuan tidak kira penduduk tempatan dan luar negara.

Apa lagi orang yang mempunyai nama dan ramai kenalan hebat seperti Datuk K, tentulah mahu perkahwinan dilangsungkan dalam majlis yang cukup gilang gemilang dan sempurna. Di luar Dewan Pameran, sebuah taman cantik terhampar cukup sesuai untuk laluan kuda.

Untuk sebuah majlis yang sempurna seperti itu, rasanya berbaloi Datuk K berhabisan kerana dewannya memang cukup eksklusif dengan pemandangan sekitar yang cukup cantik.

Gaun pengantin ciptaan Adji Notonegoro

PENDEK kata semuanya perlu sempurna daripada dewan, hantaran dan busana pengantin yang akan digayakan. Melihat Siti menyarung pakaian pengantin memang sudah lama dinantikan peminatnya kerana Siti mempunyai prinsip tidak memakainya selagi belum benar-benar bergelar raja sehari.

Beberapa nama pereka fesyen terkenal tersenarai antara yang menghasilkan baju Siti seperti Radzwan Radzwill dan Michael Ong. Tetapi apabila ditanya mereka juga ‘zip’ mulut juga.

Khabarnya juga mengikut satu sumber dari Jakarta, seorang pereka popular dari kota itu, Adji Notonegoro juga diberi kepercayaan oleh Siti mereka baju untuk hari bahagianya.

Adji bukan calang-calang pereka kerana busananya hanya disarungkan isteri pak menteri dan penyanyi terkenal di Indonesia.

Menurut satu sumber, Siti memang menyenangi rekaan Adji yang bernilai daripada RM25,000 hingga RM100,000.

Setiap kali berkunjung ke Indonesia, Siti pasti memilih rekaan Adji. Orang yang memperkenalkan Siti kepadanya ialah penyanyi popular juga iaitu Krisdayanti. Dalam klip video Biarlah Rahsia, Siti turut menyarungkan rekaan Adji.

Tak syak lagi perkahwinan antara Siti Nurhaliza dan Datuk K pasti akan menjadi ‘Wedding Of The Year’. Bagaimanapun, semuanya masih lagi menjadi tanda tanya selagi Siti tidak bersuara. Apakah yang dinantikan pasangan yang sedang asyik bercinta ini tiada siapa yang tahu. Hip mendoakan agar perkahwinan mereka akan berkekalan hingga hujung nyawa! [BH]

3/07/06

Kalau ingin putus tunang, ikutlah adat

KUALA LUMPUR 2 Julai - Pelbagai pihak mempersoalkan tindakan bintang Akademi Fantasia 3, Mawi memutuskan pertunangannya dengan Nordiana Mohd. Naim melalui telefon.

Menurut mereka, Mawi tidak seharusnya bertindak demikian dan menyifatkan tindakan Mawi itu sebagai tidak gentleman.

Presiden Yayasan Wanita Islam, Najwa Abdul Aziz berkata, tindakan Mawi itu bukan sahaja tidak manis di mata masyarakat, malah menyimpang dari amalan orang Melayu yang penuh dengan adat.

Menurutnya, biar apa pun alasan yang menjadi punca keretakan hubungan mereka, namun ia bukan alasan untuk Mawi bertindak dengan cara begitu.

‘‘Memutuskan pertunangan melalui telefon amat kurang manis dan agak janggal pada mata masyarakat kita. Mawi jangan lupa, kita masyarakat Melayu yang amat mementingkan adat.

Wakil

‘‘Kalau dulu, boleh merisik dengan menghantar wakil keluarga ke rumah tunang, kenapa putus tunang tidak mahu lakukan perkara yang sama?” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu putus tunang Mawi dengan Nur Diana atau Ina semalam.

Mawi mengesahkan dia menghubungi Ina dan memutuskan ikatan pertunangan mereka melalui telefon.

Sementara itu, Pengurus Majlis Dakwah Islamiah Malaysia, Mohd. Fitri Aziz menasihatkan Mawi supaya bertindak mengikut adab dan tidak terlalu mengikut emosi.

‘‘Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku tetapi saya harap beliau (Mawi) tidak memutuskan pertunangannya disebabkan sudah popular dan bekas tunangnya pula tidak terkenal seperti dirinya.

‘‘Kalau ingin putus tunang juga, ikutlah adat, tidak manis buat begitu,” katanya.

Sementara itu, seorang pembaca Utusan Malaysia turut melahirkan rasa kecewanya terhadap tindakan Mawi itu.

Fadzlullah Abdullah dari Taman Mayang Jaya, Petaling Jaya yang menyatakan kekesalannya melalui kiriman faks ke pejabat Utusan Malaysia hari ini memberitahu, Mawi tidak melihatkan sifat kelakian sebenarnya.

‘‘Mawi mengambil jalan mudah dengan menyatakan sudah suratan takdir sebagai alasan putus tunang dan minta semua pihak terimanya dengan hati terbuka.

‘‘Saya juga pelik mengapa Mawi menyatakan dia memerlukan restu keluarga dan dia hormati keputusan keluarga dalam perkara ini

‘‘Siapa yang ingin berkahwin dan siapa yang buat keputusan, saya fikir peminat-peminat Mawi boleh mentafsirkannya sendiri,” katanya. [Utusan]

Keluarga akan ke rumah Ina beri penjelasan


JOHOR BAHRU 2 Julai
- Kakak penyanyi popular Mawi, Rashidah Ani berkata, keluarganya akan mengadakan perjumpaan dengan keluarga bekas tunang adiknya, Nor Diana Md. Naim, dalam masa terdekat ini bagi menjelaskan secara rasmi status hubungan mereka.

Beliau berkata, keluarganya tidak mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian sebelum ini kerana keadaan tidak mengizinkan berikutan bapanya ketika itu sakit tenat.

‘‘Kami nampak pihak sana (keluarga Diana) minta putus, jadi kami akan pergi kepada mereka. Tetapi buat masa ini, tunggulah dulu kerana ayah baru pulang ke rahmatullah,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas majlis pengkebumian jenazah bapanya, Ani Ahmad, 66, di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, di sini hari ini.

Allahyarham meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pukul 9.55 malam tadi.

Menurut Rashidah, mereka sekeluarga perlu berbincang dan mencapai keputusan sebulat suara sebelum mengunjungi rumah Diana (Ina).

‘‘Kami, keluarga Mawi, merestui pertunangannya dengan Ina dulu dan begitulah sebaliknya tetapi alasan mengapa kami lambat (memberitahu putus tunang) ialah keadaan ayah kami yang tidak membolehkan kami berbincang.

‘‘Selepas habis kenduri dan tempoh cuti ini, kami akan mencapai kata sepakat dan akan ke rumah Ina,” ujarnya. [Utusan]

‘Saya masih sayang Mawi’

Nor Diana Md. Naim
Oleh SUNARTI KIBAT

JOHOR BHARU 2 Julai - ‘‘Saya masih mempunyai hati dan perasaan sayang terhadap Mawi.” Itulah luahan hati Nor Diana Md. Naim sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai di sini hari ini.

Beliau yang membahasakan dirinya sebagai Ina sampai dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.30 petang dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.

Ketika ditemui pemberita beliau enggan mengulas lanjut mengenai putus tunang antara beliau dengan penyanyi popular Asmawi Ani, 25, atau Mawi kelmarin.

Ini kerana Ina menghormati bekas tunangnya itu dan keluarganya kerana baru sahaja kehilangan bapa, Allahyarham Ani Ahmad.

Katanya, tidak sesuai untuknya mengulas lanjut mengenai putus tunang.

‘‘Ina di sebelah pihak perempuan. Lagipun Mawi dan keluarga masih bersedih. Benda ini biarlah reda dulu dan setakat ini Ina nak balik rumah dulu sebab tak ada kata putus lagi. Kena ikut adatlah,” katanya.

Ina yang ditemani ibu saudaranya berada di Kuala Lumpur sejak kelmarin kerana sepatutnya bertemu dengan Mawi di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Selangor.

Bagaimanapun, pertemuan itu tidak berlaku apabila Mawi tidak muncul dan sebaliknya hanya menerima panggilan telefon menyatakan pertunangan mereka terpaksa diputuskan.

Ina yang mula menjadi buruan media sebaik sahaja kisah pertunangannya berjaya dicium oleh media ketika Mawi masih berada di Akademik Fantasia 3 mengakui dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas tunangnya itu dan mungkin terdapat salah faham sahaja.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mempunyai niat untuk berbaik semula dengan Mawi, Ina enggan mengulas dan tetap menyatakan biarlah pihak Mawi menentukannya.

Sebaliknya beliau mahu semua pihak menghormati keadaan Mawi dan keluarganya yang masih dalam keadaan sedih dan bersedia bersemuka dengan media untuk menjelaskan perkara sebenarnya apabila keadaan sudah mengizinkan.

Bagaimanapun, Ina mengakui dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan menganggap itu sebagai dugaan daripada Allah s.w.t kepadanya dan reda menerimanya.

Ketika ditanya mengapa beliau masih belum menanggalkan cincin pertunangan diberikan oleh Mawi, Ina hanya tersenyum simpul dan enggan mengulas lanjut.

Malah katanya, apa yang berlaku mungkin disebabkan Mawi berasa tertekan dengan keadaan keluarga terutama kesihatan ayahnya.

‘‘Orang tak tahu kisah Ina dan Ina tidak mampu memendamkannya sendiri. Apapun yang akan berlaku biarlah ia dengan cara baik,” ujarnya.

Ina yang tidak berkesempatan menziarah jenazah ayah Mawi, yang meninggal pukul 9.50 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN) akibat komplikasi sakit jantung, berhasrat mengunjungi keluarga Mawi di Felda Taib Andak dalam waktu terdekat. [Utusan]

3/06/06

Siti Nor Bahyah lancarkan tiga buku bersama Telaga Biru

Nor BahyahOleh ZUARIDA MOHYIN

TEKNIK Cakar Harimau dan Urutan Labah-labah sekelip mata telah membawa nama Siti Nor Bahyah Mahamood sebagai pendakwah bebas dan pakar motivasi yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kepopularan beliau tidak sahaja di Malaysia malah tersebar ke negara-negara jiran.

Semenjak itu rutin hariannya berubah daripada banyak menghabiskan masa bersama keluarga, kini dirinya menjadi rebutan pelbagai pihak media tidak kira elektronik atau cetak.

Namun tidak hairanlah dengan aset kemanisan, keramahan dan kemesraan keperibadian serta disokong dengan cara penyampaian ceramahnya yang pandai membaca audiens dan bersahaja, turut menyumbang kepada popularitinya.

Siti Nor Bahyah bukan sahaja aktif menyampaikan ceramah sama ada secara langsung ataupun bentuk rakaman malah kini beliau turut menceburkan diri dalam dunia penulisan sebagai salah satu cabang berdakwah.

Pada pertengahan Mei lalu, penerbit album-album ceramah dan juga selaku penerbit buku motivasi, Telaga Biru Sdn. Bhd. telah mengadakan majlis pelancaran serentak tiga buah buku Ustazah Siti Nor Bahyah di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Pelancaran buku bertajuk; Panduan Mencerdaskan Minda, Panduan Ibu Mengandung dan Cakar Harimau - Tips Kebahagiaan Rumah tangga, merupakan pembabitan pertama beliau dalam bidang penulisan buku setelah sekian lama berdakwah dan menjadi perunding motivasi.

Pada majlis itu juga, Siti Nor Bahyah telah menerima anugerah Outstanding Artist Award 2005 daripada Pengarah urusan Telaga Biru, Waharp Yusoff atas pencapaian rekod jualan album-album ceramah beliau yang amat membanggakan.

Akui Siti Nor Bahyah, semenjak di zaman kanak-kanak lagi minatnya dalam dunia pembacaan seperti isi dengan kuku. Malah tempat yang paling disukai ialah ke kedai-kedai buku.

Kebiasaan

“Alhamdulillah setelah berumah tangga, kami suami isteri menjadikan kebiasaan membaca buku sebelum melelapkan mata.

“Saya sendiri tidak sangka semasa membelek-belek buku di sebuah kedai, rupa-rupanya saya sedang membelek buku saya sendiri,” luah Siti Nor Bahyah dalam satu sesi temu bual bersama para wartawan, pagi itu.

Menjawab perancangan beliau dalam dunia penulisan, kata Siti Nor Bahyah kejayaan pertama ini menjadi pemangkin semangat kepadanya untuk mengembangkan skop penulisan.

Sekarang ini, beliau sedang dalam proses menyiapkan sebuah lagi buku berjudul, 27 Tips Suami Idaman. Harapan Siti Nor Bahyah, buku-buku yang menyentuh alam kanak-kanak, doa, warga emas dan solat adalah antara aspek yang akan cuba diceburi.

Sementara itu, penerbitan buku-buku Telaga Biru telah bermula pada pertengahan 2005. Sehingga kini sebanyak hampir 300 tajuk album ceramahnya telah mendapat permintaan untuk dibukukan.

Lantaran itu, langkah awal pihak Telaga Biru ialah mensasarkan menerbitkan 60 tajuk pada tahun ini.

Menurut Waharp bagi mereka yang telah memiliki album siri motivasi dan ceramah agama tidak perlu bimbang kerana apa yang terkandung di dalam setiap buku hanya mengekalkan 30 peratus daripada isi kandungan album. Ini bermakna, kupasan dalam bentuk buku adalah lebih mendalam iaitu sekitar tiga ke empat kali ganda berbanding isi kandungan album.

Biarpun masih baru dalam dunia penerbitan buku, Telaga Biru telah berjaya menerbitkan 13 tajuk di antaranya; Petua Pelajar Cemerlang, 21 Kaedah mendidik Anak, Menempuh Gerbang Perkahwinan, Petua Membuat Orang Jatuh Cinta, Petua Sentiasa Ceria dan Menangani Anak Masalah daripada Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah. Manakala Teknik Belajar Berkesan oleh Nur Amalina, Tentang Cinta oleh Pahrol Mohd Juoi dan dua buku ICT oleh Mokhtar Ahmad. [UM]

27/05/06

Jangan terlalu emosi kerana misyar

SOKONG
Oleh: ZULKIFLEE BAKAR (Wartawan Utusan)

JIKA Gunung Merapi di Yogjakarta baru menghembuskan asapnya tetapi di Malaysia ini sebahagian kaum wanita ibarat ‘sudah memuntahkan lavanya’.

Segalanya berikutan kenyataan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr.Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Sudah pastilah sesetengah kaum lelaki terutamanya yang sudah berkahwin akan tersenyum dengan ‘pendedahan’ perkahwinan ini kerana ia ‘bagai pucuk dicita ulam mendatang’.

Jika sebelum ini syarat untuk berpoligami memerlukan mereka yang berkemampuan sahaja boleh menikmatinya tetapi dalam perkahwinan misyar semua itu tidak perlu.

Dalam misyar jika wanita atau gadis yang mempunyai sumber ekonominya sendiri bersetuju untuk bernikah dengan seseorang lelaki tanpa perlu menerima sebarang nafkah zahir, maka ia boleh dilaksanakan.

Maknanya bagi kaum lelaki, isteri mereka tidak boleh marah kerana ‘dia tidak kurang apa-apa’ malah mungkin akan lebih untung lagi.

Itu tafsiran lelaki tetapi tidak bagi wanita, mereka ‘bangkit” melahirkan penentangan dan seperti biasa isu penganiayaan menjadi ‘senjata’ kepada kaum Hawa untuk menentang habis-habisan biarpun perkahwinan misyar bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

Sebenarnya, janganlah terlalu awal kita membuat rumusan bahawa perkahwinan ini akan mendatangkan keburukan, masih banyak perkara yang perlu kita perdebat dan pertimbangkan.

Sesuatu yang dibenarkan oleh Allah itu pasti ada kebaikannya, justeru isu seumpama ini perlu diperbincangkan dengan waras.

Mungkin sudah menjadi adat bagi kaum wanita, dia bersetuju jika suaminya ingin membeli rumah, dia akan tersenyum jika suaminya ingin menambah kereta dan dia juga akan masih mampu ketawa jika suami memendam cita-cita untuk bergambar dengan Aishwarya Rai, tetapi kalau menyentuh soal kahwin lagi, percayalah taufan Katrina pun tidak sekuat kemarahan mereka.

Apa pun, kita perlu rasional dalam soal misyar ini, sesungguhnya setiap manusia itu mempunyai hati dan perasaan.

Kahwin misyar bukan hanya melibatkan soal lelaki yang sudah berkahwin sahaja tetapi juga lelaki bujang.

Kita perlu ingat sesebuah perkahwinan tidak akan terbentuk tanpa persetujuan.

Jika seseorang gadis itu rela berkahwin biarpun ia tidak mendapat apa-apa nafkah zahir kerana dia berkemampuan kenapa perlu pihak-pihak lain mewakili emosinya.

Begitu juga jika seorang isteri bersedia membenarkan suaminya melakukan misyar, kenapa pihak lain pula yang berkobar-kobar untuk menghalang ‘persetujuan' itu.

Soal sama ada gadis atau wanita berkenaan akan teraniaya atau tidak ia adalah sebahagian risiko yang perlu mereka tanggung kerana persetujuan yang diberikan.

*‘Suratan atau kebetulan’

Tetapi persoalannya, berapa ramai sangatkah kita akan bertemu dengan gadis dan isteri seumpama itu?

Kadang-kala kita terlupa, bak lirik lagu Suratan atau kebetulan nyanyian Kenny, Remmy dan Martin iaitu, “sesuatu yang tidak disangka sering kali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan atau sekadar satu kebetulan.”

Justeru bagi kaum wanita, mereka perlu sedar bahawa perkahwinan bukanlah penamat kepada sebuah perasaan cinta seorang lelaki bergelar suami.

Mereka mungkin boleh menghalang dan membantah suami mereka berkahwin lain, tetapi mereka tidak akan terdaya untuk menghalang tercetus sekali lagi perasaan cinta di hati suami.

Percayalah tidak ada cinta abadi selagi kita bernama hamba Allah, cinta abadi hanya untuk Allah justeru terimalah hakikat kehidupan.

Begitulah juga dalam soal misyar ini, kenapa perlu kita menolak perkara yang dihalalkan oleh Islam sedangkan kita hanya menilainya dari satu sudut negatif sahaja.

Simpatilah kepada sesetengah kaum wanita atau gadis yang rela dimadukan atau bersedia berkorban apa sahaja demi cinta mereka kepada seorang lelaki.

Fikirkanlah bagaimana jika kita berada pada kedudukan mereka? Apakah ketika itu kita akan berhujah berdasarkan ‘matlamat menghalalkan cara?’

Justeru janganlah kita terlalu emosi dan membangkitkan banyak prasangka mengenai misyar kerana prasangkalah yang seringkali memporak-perandakan kehidupan dan memutuskan silaturahim sesama manusia. [UM]

Perkahwinan bukan taruhan

BANTAH
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (Wartawan Utusan)

APA sudah jadi dengan lelaki? Soalan ini ditanya oleh seorang kawan lelaki. Sedikit hari dulu heboh cerita lelaki nak jadi suri rumah dan dua tiga hari ini kecoh pula mereka menyokong nikah misyar.

Seperti biasa mereka menggunakan alasan mematuhi hukum syarak untuk ‘menghalalkan’ isu-isu berkaitan nikah kahwin. Fatwa yang dikeluarkan oleh ulama Arab diterima tanpa segan silu sehingga sanggup mengetepikan maruah apatah lagi harga diri golongan yang sering mendabik dada sebagai ‘gagah dan berani' ini.

Tanpa penyelidikan mengenai fatwa itu, kenapa ia dikeluarkan, siapa yang mengeluarkannya, isu nikah misyar tiba-tiba dikaitkan dengan agenda membantu golongan wanita yang lewat berkahwin dan mengelak maksiat berleluasa.

Ia seolah-olah merujuk salah satu punca bertambahnya maksiat ialah kerana wanita lewat berkahwin, oleh itu mereka perlu dikahwinkan tidak kiralah apa caranya asalkan halal di sisi agama.

Ada yang bertanya terdesak sangatkah wanita-wanita di Malaysia terutama yang berpelajaran tinggi untuk berkahwin sehingga sanggup membiarkan diri mereka dijadikan tempat memuaskan nafsu lelaki semata-mata.

Sementelah nikah misyar itu sendiri tidak mensyaratkan tanggungjawab dalam sebuah perkahwinan, pastinya lelaki memukul kompang meraikan impian yang terbayang di benak fikiran masing-masing.

Sememangnya pelik apabila menyentuh bab nikah kahwin, ada saja alasan yang tidak logik cuba dirasionalkan oleh kaum lelaki menunjukkan kedangkalan fikiran mereka apabila berhujah tentang seks dan kehidupan.

Atau adakah umat Islam kini telah menyempitkan objektif murni sebuah perkahwinan kepada hubungan seks semata-mata sedangkan hakikatnya pernikahan itu mempunyai maksud yang terlalu luas.

Terlalu menyedihkan apabila wanita bersuara mempertahankan hak mereka, ada saja suara yang melabelkan golongan ‘lemah’ ini sebagai sarat dengan emosi dan menolak hukum Tuhan.

Sedangkan dalam banyak hal berkaitan wanita ditindas, tidak diberi nafkah dan ditinggalkan begitu sahaja, kurang pula lelaki yang mahu tampil membela nasib kaum Hawa ini. Tidak mahu pula mereka memetik ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh mengenai tanggungjawab dan sebagainya.

Saya sendiri tidak tahu jika ada lelaki yang bergelar bapa sanggup menyerahkan anaknya untuk dinikahinya secara misyar.

Islam adalah agama suci yang tidak pernah membataskan tanggungjawab kepada wanita semata-mata, hakikatnya wanita itu sendiri sering ditonjolkan sebagai insan lemah yang perlu dilindungi.

Ikatan perkahwinan yang berlangsung di antara Nabi Muhammad s.a.w dengan Saidatina Khadijah amat wajar dijadikan renungan di sebalik kegawatan isu nikah misyar ini.

Walaupun Rasulullah mengahwini seorang wanita kaya yang lanjut usia tetapi baginda tidak melepaskan tanggungjawab begitu sahaja. Baginda berniaga dan menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

Bukankah indah jika amalan Rasulullah ini dijadikan panduan untuk memastikan perkahwinan menepati objektifnya dan tidak tersasar daripada matlamat asalnya.

*Tanggungjawab

Jika dalam hal berpoligami, Rasulullah sering menjadi rujukan kenapa tidak dalam hal memikul tanggungjawab sebagai seorang suami baik bagi lelaki yang telah beristeri mahu pun yang masih bujang dan teringin untuk bernikah misyar.

Mengapa perlu ditonjolkan soal perlunya nikah misyar dibenarkan di negara kita sedangkan hakikatnya kaum lelaki lebih gemar menjadi penghuni pusat serenti sehingga tidak mampu bertanggungjawab kepada diri sendiri.

Di Barat yang menghalalkan pasangan tinggal serumah pun meletakkan tanggungjawab kepada lelaki jika pasangan itu memperoleh anak luar nikah.

Bukan mahu mengagungkan Barat tetapi sekadar membuat perbandingan mengenai objektif perkahwinan itu sendiri yang bukan semata-mata berlandaskan seks sebaliknya mengajar suami dan isteri erti tanggungjawab.

Saya percaya banyak lagi perkara yang perlu dirisaukan oleh kaum lelaki di negara kita, usah pening kepala memikirkan kaedah untuk menarik minat wanita supaya berkahwin kerana tiada statistik yang tepat boleh membuktikan wanita ramai tidak berkahwin.

Akhir kata, sanggupkah wanita yang lembut hatinya dan sarat dengan kasih sayang berdiam diri jika suami yang dikahwininya atas nama nikah misyar meninggalkannya begitu sahaja.

Sanggupkah wanita-wanita intelek ini menahan kesayuan hati dan air matanya jika suami yang dikahwininya hanya untuk berkongsi katil. Fikirkanlah! [UM]

Nik Aziz setuju lelaki dibenar kahwin mis-yar

Oleh: NIZAM YATIM

KOTA BHARU 26 Mei
- Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) bersetuju dengan cadangan supaya kaum lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Beliau berkata, Islam membenarkan perkahwinan seumpama itu tetapi dengan syarat mendapat keizinan wanita yang akan dikahwini dan diadakan perjanjian bertulis antara kedua-dua belah pihak.

``Mesti ada pengakuan bertulis daripada perempuan dalam perjanjian yang menyatakan bahawa saya izinkan suami tidak beri duit serta nafkah zahir lain dan tidak cukup giliran pun tidak apa,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di pejabat Pas negeri di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid kelmarin supaya perkahwinan itu dibenarkan kerana membawa pelbagai kebaikan termasuk mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, perjanjian bertulis hanyalah satu keperluan dari segi teknikal bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah sekiranya isteri yang dikahwini secara misyar berubah fikiran dan membuat tuntutan untuk mendapatkan nafkah zahir di mahkamah.

Mengenai bantahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam - termasuk oleh Dewan Muslimat Pas sendiri - dengan alasan masalah wanita tidak berkahwin tidak harus dilayan sebagai kes kebajikan, Nik Abdul Aziz berkata:

``Golongan wanita tidak sepatutnya rasa terhina kerana ia dibuat hanya setelah mendapat keizinan bakal isteri.

``Nak hina macam mana, dia sendiri izin, orang nak kahwin dengan saya dan saya hendak beri rumah sebuah, mari dua kali seminggu pun tak apa,'' ujarnya.

Tambah Nik Abdul Aziz, pandangan beliau itu bukan sahaja merujuk kepada rakyat Kelantan malah untuk semua orang kerana Islam itu untuk seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada pelaksanaan perkahwinan misyar itu akan melibatkan pindaan enakmen agama Islam di negeri-negeri.

Ketua Muslimat Pas, Azizah Khatib Mat semasa menolak cadangan kahwin misyar itu semalam berkata, cara itu tidak sesuai dipraktikkan di negara ini. [UM]

26/05/06

Debat kahwin misyar -- * Menteri, mufti tolak * Persatuan Ibu Tunggal, pensyarah sokong

Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID dan WAN MOHD. HAFIZ WAN HAMZAH

KUALA LUMPUR 25 Mei
- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menolak cadangan supaya lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar dengan alasan tidak sesuai dengan keperluan masyarakat negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya tidak mahu mempromosikan perkahwinan misyar kepada masyarakat negara ini kerana dikhuatiri akan mendatangkan implikasi negatif.

Bagaimanapun dalam reaksi berbeza, Ketua Jabatan Dakwah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Mohd. Kamil Abdul Majid dan Persatuan Ibu Tunggal Terengganu (PITT) menyokong pelaksanaan perkahwinan itu.

Ketika menegaskan pendirian kementeriannya, Shahrizat berkata, umat Islam Malaysia hari ini tidak memerlukan perkahwinan misyar.

``Kenapa perlu, jika diikutkan nisbah antara wanita dan lelaki, ia tidak ketara perbezaannya.

``Malah, isu wanita tidak berkahwin bukan satu masalah dan mereka ini tidak sepatutnya dilayan sebagai kes kebajikan, golongan ini harus dihormati.

``Jangan layan golongan ini seperti itu, sebenarnya mereka ini lebih bahagia daripada memilih untuk berkahwin,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shahrizat mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid semalam supaya golongan lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Malah, Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Shahrizat berkata, syarat asas perkahwinan menetapkan bahawa suami berperanan memberi nafkah zahir dan batin kepada wanita.

Malah, katanya, berdasarkan kajian kementerian mendapati, kira-kira 711,000 keluarga pada 1994 menunjukkan wanita menjadi penyumbang utama kepada pendapatan keluarga.

Beliau juga menegaskan walaupun perkahwinan misyar dipraktikkan di negara Islam lain, ia tidak semestinya wajib diamalkan di negara ini.

``Ini kerana, kita mempunyai cara dan budaya berbeza, tidak sama dengan negara-negara Arab terbabit,'' katanya.

Sementara itu, ketika mempertahankan hujahnya mengenai kebenaran perkahwinan misyar, Mohd. Kamil berkata, amalan itu boleh menjadi satu alternatif untuk membantu golongan wanita yang berdepan dengan masalah atau situasi tertentu.

Katanya, perkahwinan tersebut juga boleh dijadikan jalan keluar bagi menyelesaikan masalah ibu tunggal atau andartu yang berharta.

Beliau menjelaskan amalan perkahwinan misyar ini tidak melanggar hukum syarak, asalkan ia dibuat berdasarkan persetujuan di antara pihak lelaki dan wanita.

``Namun, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih serius serta ditetapkan beberapa peraturan atau garis panduan supaya tidak ada pihak yang teraniaya,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd. Kamil berharap, semua pihak dapat memandang isu itu dari aspek positif dan tidak hanya melihat dari sudut negatif sahaja.

Di samping itu, beliau turut menyentuh pemahaman umat Islam di negara ini mengenai definisi nafkah batin yang digunakan dalam bab nikah kahwin.

Menurutnya, apabila disebut nafkah batin, ramai yang memikirkan ia hanya berkisar perlakuan seksual semata-mata.

``Seks hanya salah satu cabang bagi maksud nafkah batin. Selain seks, berkongsi masalah, mendengar luahan isteri, berbual dan bermesra serta mendidik ajaran agama terhadap isteri juga termasuk dalam definisi nafkah batin,''katanya. [UM]

25/05/06

Datuk K, Tengku Zawiyah bincang selesai di luar mahkamah

KUALA LUMPUR 24 Mei - Ahli perniagaan, Datuk Khalid Muhamad Jiwa atau dikenali sebagai Datuk K dan Tengku Zawiyah Tengku Izham akan mengadakan perbincangan sulh dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan penyelesaian bagi sebarang tuntutan di luar mahkamah.

Hakim Syarie, Muhamad Fauzi Ismail memberi pasangan itu tempoh sehingga 14 Jun depan bagi mendapat penyelesaian tersebut.

Muhamad Fauzi memutuskan demikian selepas dimaklumkan oleh peguam syarie Zulkifli Che Yong yang mewakili Tengku Zawiyah selaku plaintif dan perkara itu dipersetujui oleh peguam Muhamad Burok yang mewakili Khalid di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini.

Tambah Zulkifli, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kes itu memandangkan beliau baru dilantik untuk mengambil alih daripada peguam syarie yang terdahulu, Mohd. Fuad Jaapar.

Pada prosiding hari ini, Zulkifli juga membuat pindaan secara lisan dalam perenggan terakhir pernyataan tuntutan Tengku Zawiyah mengenai status sama ada beliau dan Khalid masih suami isteri atau sebaliknya.

Zulkifli menjelaskan permohonan itu dibuat ekoran dakwaan bahawa Tengku Zawiyah dan Khalid masih tinggal bersama sebagai suami isteri dalam tempoh edah walhal masa itu kedua-dua pihak tidak menyedari telah berlaku perlanggaran taklik.

Permohonan tersebut difailkan oleh Tengku Zawiyah pada 12 April lalu selepas dinasihatkan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor, Alwi Parman.

Tengku Zawiyah bertemu dengan Alwi sekitar Februari 2006 bagi membincangkan perihal hak dan tuntutan selepas perceraian dan dalam perbincangan tersebut timbul isu rujuk.

Pada 12 Februari 2005, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memutuskan bahawa berlakunya pelanggaran taklik pada Februari 2004 dan mengesahkan pasangan tersebut telah bercerai secara taklik.

Tengku Zawiyah turut diwakili oleh peguam syarie Azmi Mohd. Rais dan dibantu oleh Normawaddah Ramli.

Pihak responden turut diwakili peguam syarie Mohd. Nasir Abdul Majid dan dibantu oleh Hamirah Ab. Hamid.

Berhubung isu bantahan awal yang difailkan oleh Khalid sebelum ini, Muhamad Burok bersetuju untuk menangguhkan perkara itu sehingga mahkamah menetapkan perbicaraan sekiranya tidak mencapai persetujuan dalam perbincangan sulh.

Namun begitu, menurut Muhammad Burok pihaknya tetap akan menyerahkan satu salinan bantahan awal kepada pihak plaintif. [UM]

Syor benarkan lelaki mengamalkan perkahwinan misyar

Oleh: WAN MOHD. HAFIZ WAN HAMZAH

KUALA LUMPUR 24 Mei - Seorang pensyarah universiti hari ini mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Malah menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Beberapa ulama termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fatwa Muasaraahnya berpendapat nikah misyar adalah sah.

Mereka membenarkan amalan tersebut berdasarkan situasi mashalahat berlakunya ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin.

Perkahwinan misyar difatwakan harus oleh beberapa ulama negara Arab dan telah pun diamalkan di Arab Saudi serta beberapa buah negara Teluk.

Perbezaan antara perkahwinan misyar dengan mutaah ialah mutaah mempunyai tarikh atau tempoh tertentu bagi sesebuah perkahwinan manakala misyar tiada tempoh ditetapkan.

Isu nikah misyar mula menjadi tumpuan apabila beberapa pihak menggesa supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ia boleh dilaksanakan di negara ini atau tidak.

Ini kerana ada umat Islam di Malaysia yang berpendapat bahawa pernikahan tersebut merupakan salah satu cara bagi mengatasi masalah ramai wanita yang belum berkahwin.

Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.

``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah,'' tegasnya.

Apa yang menjadi masalah kata beliau, apabila timbul pertikaian berhubung siapa yang bertanggungjawab memberi nafkah dalam rumahtangga.

``Sekiranya tidak timbul soal siapa yang patut memberi nafkah atau siapa yang patut menanggung siapa, maka perkahwinan seperti itu tidak ada masalah untuk diamalkan.

``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.

Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak.

``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah.

``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.

Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan seumpama itu sepatutnya dibenarkan, berdasarkan permasalahan yang berlaku pada masa kini.

Bagaimanapun, katanya perkahwinan ini harus dilakukan secara jujur dan tidak disalahgunakan bagi menganiaya kaum wanita. [UM]