Memaparkan catatan dengan label Perceraian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perceraian. Papar semua catatan

10/10/10

BAHAGIA Kak Engku dan Adzmin kini sudah berakhir


Robohnya tembok cinta Kak Engku

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Pelakon, pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin hari ini mengesahkan perceraian dengan suaminya, Adzmin Tan Sri Osman selepas melayari bahtera perkahwinan selama sembilan tahun.
Biarpun tidak menyatakan secara terperinci di mana dan bila perceraian tersebut, tegas Raja Azura, kes mahkamahnya telah diselesaikan secara damai dengan persetujuan bersama.
Beliau yang terkenal dengan panggilan Kak Engku bagaimanapun memberitahu, dia yakin masih mempunyai peluang untuk memulih dan menyelamatkan rumah tangganya memandangkan ia adalah perceraian kali pertama dan berdasar pada persetujuan kedua-dua pihak.
Malah, katanya, dia kini dalam tempoh idah dan kedua-dua pihak masih berpeluang untuk rujuk semula.
“Saya yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Ia mendewasakan saya dalam menempuhi perjalanan hidup dan alam rumah tangga.
“Peluang untuk rujuk dan kembali sebagai suami isteri masih terbuka kerana perceraian bukanlah penamatnya,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Raja Azura berkata, baik suami mahupun dirinya, mereka tidak pernah berputus asa mencari jalan perdamaian walaupun kini sudah lagi tidak bergelar suami isteri.
“Perceraian ini berlaku secara aman dan tidak perlu diperbesar-besarkan demi kebaikan bersama antara saya dan Adzmin.
“Kami memilih keputusan ini atas dasar memulihkan kerukunan rumah tangga setelah kaedah membaiki dari dalam tidak berhasil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Raja Azura turut meminta maaf kepada pihak media kerana sukar dihubungi beberapa hari ini malah meminta agar diberikan ruang untuk mengumpul kekuatan dan meredakan emosi.
Raja Azura, 38, dan Adzmin, 37, yang juga merupakan anak bekas Menteri Besar Kedah berkahwin atas dasar cinta pada Mac 2001 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7, dan Puteri Mia Maizura, 5.
Desas desus pergolakan rumah tangga mereka mula tersebar awal Ogos lalu apabila kedua-duanya didakwa memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor. ARKIB UTUSAN: 09/10/2010
Kak Engku yang mendirikan rumah tangga bersama Adzmin Tan Sri Osman pada 10 Mac 2001 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7, dan Puteri Mia Maizura, 4.
Perihal rumah tangga mereka yang dikatakan bergolak bukan perkara baru lagi. Sebelum ini juga Kak Engku pernah membuat sidang media menafikan yang mereka bakal bercerai.
Katanya dia hanya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor untuk mendapatkan khidmat kaunseling mengenai masalah rumah tangga yang melanda.

Sumber: Utusan Online, 10/10/10 untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas.net, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau

17/06/10

Sultan Brunei cerai Azrinaz

Foto: Sultan Hassanal Bolkiah bersama permaisurinya, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (tengah) dan Azrinaz Mazhar Hakim pada majlis perkahwinan Puteri Majeedah Nuurul Bulqiah dan Pengiran Khairul Khalil di Istana Nurul Iman, Brunei pada 10 Jun 2007. Puteri Majeedah ialah anakanda Sultan Hassanal Bolkiah bersama Raja Saleha. – REUTERS

KUALA LUMPUR 16 Jun – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini menceraikan isteri baginda, Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar dengan talak satu.
Pengumuman khas itu dibuat oleh Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alaudin Pengiran Paduka Abu Bakar menerusi slot berita Radio Televisyen Brunei (RTB) dan turut dimuatkan dalam laman web stesen tersebut.
Dalam kenyataan satu muka surat yang dibacakan itu dan turut diedarkan kepada media Brunei menyebut baginda menceraikan bekas personaliti TV3 itu atas sebab-sebab khas.
“(Ia) dipandu dan ditentukan oleh hukum syarak dalam perkahwinan dan perceraian dan juga menepati maksud ayat suci al Quran surah Al-Baqarah daripada sebahagian ayat 229, iaitu menikahi dengan baik (maaruf) dan melepaskan juga dengan baik (ihsan),” menurut kenyataan itu.

Teks perisytiharan perceraian antara Sultan Hassanal Bolkiah dengan Azrinaz Mazhar Hakim.


Sehubungan itu juga, terasul dan gelaran serta bintang kebesaran dan pingat kehormatan negara Brunei Darussalam yang dikurniakan kepada bekas isteri baginda itu ditarik balik.
Sultan Brunei, 63, diijabkabulkan dengan Azrinaz Mazhar, 31, pada 20 Ogos 2005 dalam satu majlis tertutup di ibu kota.
Hasil perkahwinan pasangan diraja itu dikurniakan dua cahayamata iaitu Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, 4, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 2.

30/12/09

Apabila manis jadi pahit



Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Pada pandangan zahir, pasangan itu sama cantik dan sepadan bagaikan pinang dibelah dua.

Pokoknya tiada yang kurang, dikurniakan pula kemewahan yang melimpah ruah namun hidup kita tiada yang sempurna. Apabila bersangkut soal hati, ia sukar dimengerti dan apabila sekeping hati itu sudah mula merajuk tiada yang dapat memujuk.

Perceraian bukan saja berlaku di kalangan artis dan selebriti bagaimanapun kerana kerjaya yang diceburi menjadikan mereka milik masyarakat, cerita mereka menjadi bualan. Semakin disorok semakin seronok untuk dibongkar kisah di sebalik tabir kemilau dan kemasyhuran yang dikecapi.

Tahun 2009 mencatat suka duka silih berganti. Yang baru mendirikan rumah tangga pasti sedang mengulit bahagia. Mereka yang baru mendapat cahaya mata pula tentu berasakan dunia ini mereka punya dan pada yang baru terlerai kasih, jangan bersedih.

Perceraian penceramah bebas, Akhil Hayy, 40, dengan isterinya, Maizawati Zainal, 33, akhir Mei lalu, paling mendapat perhatian berikutan Maizawati membuat pendedahan terbuka menerusi program televisyen.

Pasangan itu akhirnya bercerai pada 15 Julai lalu selepas Akhil melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.

Penyanyi Waheeda atau nama sebenarnya Norwahida Abdul Wahab dikatakan penyebab keruntuhan mereka. Pun begitu setiap kali ditanya keintiman yang mula terjalin sama ada Akhil atau Waheeda, mereka menafikan sekeras-kerasnya. Kisah mereka semakin panas apabila ada yang terserempak dengan mereka menonton wayang bersama. Akhil juga mengundang Waheeda muncul dalam rancangan berbentuk nasihat kepada golongan remaja, Cafe Akhil Hayy 2.

Selepas puas menafikan mereka ada hubungan intim, akhirnya kebenaran terbongkar jua apabila sebaik saja Akhil bercerai dengan Maizawati, mereka terus menikah pada 16 Ogos lalu.

Perceraian yang turut menjadi berita sensasi ialah pernikahan tidak sah penerbit, pelakon dan dan pengarah terkenal Aziz M Osman, 47 dan pasangannya, Nor Radhiah Ramli, 23.

Pada 1 Februari lalu. Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Trengganu, memutuskan pernikahan Aziz dan Radhiah yang berlangsung pada 16 Ogos 2008, tidak sah dan mengarahkan pasangan itu berfaraq (berpisah).

Perkahwinan itu diputuskan tidak sah kerana ketika mereka berkahwin, Radhiah belum tamat edah bagi perkahwinan pertamanya dengan Engku Ahmad Hisham Engku Abdullah. Pernikahan Nor Radhiah dengan Engku Ahmad Hisham pula diputuskan mahkamah sebagai tidak sah kerana dinikahkan secara wali hakim oleh jurunikah warga negara Thailand, di luar bidang kuasa istikhlafnya iaitu bukan di dalam wilayah Narathiwat, Thailand.

Barangkali tahun ini juga menjadi kenangan pahit untuk pelakon dan model, Natasha Liana Hudson, 28, yang sekali lagi gagal mempertahankan rumah tangga keduanya dengan ahli perniagaan dan politik, Datuk Shahrin Zahari, 28, yang hanya bertahan dua tahun.

Pasangan itu berkahwin pada 29 Julai 2007 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Neesa Helena. Pernikahan pertama Natasha dengan Mohd Faiz Mohd Raih, 29, hanya bertahan lima bulan. Mereka berkahwin pada 6 Mei 2006.

Beego, 29 pula mencatatkan sejarah peribadi tersendiri apabila hanya 10 hari bergelar suami. Perkahwinan yang diselimuti duka itu berakhir dengan perceraian. Punca kenapa ikatan suami isteri itu terlerai, hanya mereka yang tahu.

Mengakhiri hubungan itu yang terlalu banyak kekusutan yang timbul, maka pada 16 Mac lalu, Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, sah melafazkan cerai talak satu terhadap Intan Shahira Mohd Shahru Bahari, 28, yang dinikahinya pada 29 Disember 2007.

Aktres popular era 90-an, Salina Zaimon atau Lydiawati, 43, pula dibayar RM105,000 oleh bekas suaminya, Azhar Mohd Zar, 35, atas perintah mahkamah selepas dicerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat selepas tiada bersefahaman antara mereka. Mereka berkahwin pada Ogos 2008.

Kisah keretakan rumah tangga Jamaludin Elias atau Nash, 48, antara yang menjadi tajuk utama akhbar apabila pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages,Sosilawati Lawiya, 44, memohon cerai taklik sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membatalkan permohonan injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat bekas isterinya.

Bagaimanapun, Nash yang bernikah pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor dan didakwa keluar dari rumah kelamin mereka pada 13 Ogos 2007, akhirnya sah melafazkan talak satu kepada Sosilawati di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur pada 26 Mei lalu.

Pelawak, pelakon dan pengarah AR Badul turut mengejutkan ramai apabila disahkan bercerai dengan isterinya, Muna Liza Basir melalui talak khuluq (tebus talak) sebanyak RM1 pada 22 Jun lalu selepas gagal menemui jalan penyelesaian berhubung pergolakan rumah tangga mereka.

AR Badul yang berkahwin dengan Muna Liza sejak lapan tahun lalu didakwa wanita itu melafazkan cerai di Bukit Antarabangsa, Ampang pada 16 September 2008.

Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah, 50, sekali lagi berdepan dilema perceraian apabila perkahwinan ketiganya dengan Fatimatu Zahra Samad, 25, pada 3 Januari 2006 di Thailand, berakhir dengan pengesahan talak satu yang dilafazkannya pada 15 Mei 2007.

Pelakon utama filem Santau, Puteri Mardiana Zainal Abidin, 28, dan Shahnaz Norwawi, 32, disahkan bercerai taklik dengan talak satu pada 25 Ogos lalu selepas mengingkari syarat taklik dengan keluar rumah tanpa izin suami pada 3 Julai.

Tanpa banyak publisiti selepas berkahwin, tiba-tiba pasangan selebriti, Siti Nordiana Alias, 25, dan Mohd Faizal Mohd Yusop, 31, yang bernikah pada 26 April 2006 disahkan bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan setelah Faizal melafazkan cerai melalui telefon bimbit dua kali iaitu pada 27 Julai dan 25 Ogos.

Pelakon drama Kisah Kaisara dan Tari Tirana, Wan Sharmila Wan Mohamed, 28, turut disahkan bercerai dengan talak satu pada 23 Oktober lalu selepas tiga tahun bergelar isteri kepada penerbit Radius One Sdn Bhd, Fazli Baharom, 37, selain dramatis Emma Akma Yunus, 40, yang bercerai buat kali ketiga dengan bekas suaminya yang juga pengarang akhbar tabloid, Mohd Kamal.

Beberapa kes perceraian artis yang masih dalam proses perbicaraan turut dapat perhatian termasuk permohonan pengesahan lafaz cerai isteri penyanyi Mamat atau Mohd Ali Kamarudin, 31, Marshila Mustapa yang ditangguhkan sehingga Februari 2010 kerana bekas vokalis kumpulan Exists itu dimaklumkan masih di Singapura kerana terbabit dalam kes kecurian telefon bimbit pelakon di sana.

Turut mendapat perhatian, perbicaraan kes perceraian kali kedua vokalis OAG, Radhi Razali, 32, dengan Shazlin Sharif, 31, yang bakal disambung 18 Januari depan.

Selepas insiden tercedera akibat jatuh tangga di kediamannya, Ida Nerina Hussain, 45, menghadapi satu lagi tamparan hebat apabila suaminya yang juga bekas anggota kumpulan Black Rose, Sha'arin Mohammed Razali memohon pengesahan lafaz cerai 29 Oktober lalu.

Proses perceraian antara penyanyi Erema atau nama sebenarnya Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25, yang memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada Aidilfitri 2008 terhadap komposer, Jamaluddin Sulik atau Seri Bayu yang kini menghidap penyakit saraf 'motoneuron' juga belum selesai.

Sumber: Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.

16/12/09

Lydiawati mohon bekas suami diberi notis tunjuk sebab

SHAH ALAM 15 Dis. - Pelakon Lydiawati hari ini memfailkan permohonan agar notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap bekas suaminya, Azhar Mohd. Zar yang didakwa gagal memulangkan barangan perkahwinan serta membayar nafkah idah dan mutaah berjumlah RM103,000.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Zulkifli Che Yong Azmi & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini kira-kira pukul 11 pagi.

Dalam permohonan tersebut, Lydiawati atau nama sebenarnya Zalina Zaimon, 44, mendakwa Azhar, 34, telah gagal menjelaskan nafkah idah serta mutaah berjumlah RM30,000 dan tunggakan nafkah sebanyak RM6,000.

Ahli perniagaan itu juga dikatakan gagal memulangkan barangan perkahwinan atau nilainya sebanyak RM67,000 sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu.

Dakwa pelakon utama filem Suami, Isteri dan... itu lagi, kegagalan Azhar untuk mematuhi perintah tersebut menunjukkan responden telah secara berterusan menganiayanya daripada mendapatkan hak di sisi hukum syarak dan undang-undang.

Sehubungan itu, tindakan bekas suaminya itu didakwa telah menghina mahkamah mengikut Seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 dan perlu diberi notis tunjuk sebab mengapa dia tidak patut disabitkan.

Jika Azhar gagal menjawab notis tunjuk sebab serta disabitkan oleh mahkamah, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.

Lydiawati yang popular sekitar 90-an hadir berbaju kurung dan bertudung biru dengan ditemani anak keduanya yang berusia lapan tahun, Siti Nuranisah Abdullah.

Lydiawati dan Azhar bernikah pada 6 Jun 2008. Pasangan tersebut yang tidak dikurniakan cahaya mata bercerai dengan kebenaran Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu.

Pada tarikh yang sama, Hakim Syarie Mohamad Fauzi Ismail turut merekod dan memutuskan penyelesaian melalui persetujuan bersama antara kedua-duanya yang melibatkan pemulangan barangan perkahwinan dan pembayaran nafkah idah serta mutaah berjumlah RM103,000.

Ia kemudian ditandatangan dan dimeterai di mahkamah yang sama pada 10 Jun lalu.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

14/12/09

Tidak mudah jatuh cinta lagi




DALAM tempoh lima tahun, wanita jelita bernama Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson mungkin melakukan rekod apabila berkahwin dan bercerai sebanyak dua kali dengan dua lelaki berbeza.

Perkahwinan pertamanya bersama Mohd. Faiz Mohd. Raih hanya mampu bertahan selama empat bulan. Tidak sampai setahun, dia kembali bergelar isteri apabila disunting lelaki kaya, Datuk Shahrin Zahari.

Persada seni tempatan kenal siapa Natasha Hudson. Dia punyai pakej lengkap iaitu bakat dan rupa untuk melangkah jauh menggapai bintang sebagai aktres.

Namun, gara-gara inginkan privasi, Natasha atau lebih mesra dengan panggilan Tasha itu salah percaturan. Perkahwinannya cuba dirahsiakan bahkan wartawan tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke dewan persandingannya di Carcosa Seri Negara, pada Julai 2007.

Gara-gara kes itu, Tasha diboikot media buat seketika waktu. Sepanjang tempoh itu, nama dan reputasinya sedikit tercalar. Ada media yang langsung tidak mahu mengambil tahu perkembangan karier dan hidupnya.

Mengejutkan satu Malaya, nama Tasha kembali menggelegak baru-baru ini, bukan atas pencapaian karier tetapi dengan berita penceraiannya yang datang tiba-tiba. Sebenarnya, apabila aktres filem Chermin kembali sibuk dengan aktiviti seninya, ramai yang sudah tertanya-tanya. Adakah Tasha kembali bergelar pelakon kerana sebab peribadi atau kerana Tasha sedang bersiap sedia untuk menempuh satu fasa baru dalam hidupnya.

Kembali aktif dengan lakonan

Sedangkan dia merupakan isteri kepada Pengerusi Eksekutif Verti Global yang mampu memberikan dia 'tiket' untuk menjalani hidup senang, ternyata kesibukan wanita itu di gelanggang seni terus menjadi isu. Terlibat dalam teater Gamat, Tasha juga sibuk dengan penggambaran lapan episod drama Lembing dan Layang, telefilemSuperwoman serta Biar Putih Tulang.

Malah, ada juga orang berkata Tasha sanggup pergi sehingga ke Muar, Johor hanya untuk menjalankan penggambaran. Adakah Tasha terdesak sehingga perlu mencari pendapatan tambahan untuk menanggung kehidupannya sendiri?

"Sebenarnya saya sudah biasa berdikari. Anda tidak boleh cakap saya hanya berlakon selepas bercerai. Sebelum bercerai lagi saya sudah berlakon kerana lakonan adalah minat saya. Lagipun saya mahu mencari nafkah hidup sendiri," jelas Tasha yang sudah bercerai sebulan lalu.


MENAFIKAN dia seorang yang gemar mencari lelaki kaya, Natasha memberitahu dia sendiri sebenarnya kurang selesa dengan gelaran datin.

Kelihatan kurus, Tasha tidak mahu orang ramai terus berkata-kata dan membuat tekaan terhadap penceraiannya.

"Saya tahu orang ramai sedang berkata-kata. Disebabkan saya tidak mahu orang membuat fitnah yang lebih teruk pada masa akan datang saya membuat keputusan untuk mengumumkan penceraian saya. Kami berdua akan menjalani kehidupan masing-masing.

"Jadi saya tidak mahu nanti apabila orang umum terserempak dengan kami bersama orang lain akan mula membuat pelbagai andaian. Tapi saya tidak akan hidup dengan memikirkan apa yang dikatakan oleh orang. Memang saya tidak dapat menahan mulut mereka. Asalkan kami berdua tahu kebenarannya," jelasnya lagi.

Tidak selesa gelaran datin

Sentiasa dikaitkan dengan jejaka kaya, ada juga suara-suara sumbang yang menyatakan pelakon berusia 27 tahun ini sering menyasarkan lelaki kaya untuk menjadi pasangan hidupnya. Malah, dia juga tidak mahu memberitahu jumlah harta yang diterimanya daripada penceraian kali ini.

"Saya berkahwin dengan dia bukan kerana kekayaannya. Masa itu, saya juga tidak tahu dia memegang status datuk. Saya sendiri berasal daripada keluarga sederhana dan tidak selesa dengan gelaran datin.

"Saya berasa diri saya terlalu muda untuk gelaran itu. Jika anda perasan, saya tidak menggunakan gelaran itu semasa berlakon. Jadi saya tidak kisah hidup sederhana. Kalau tanya apa yang saya peroleh daripada perpisahan ini, biarkan sahaja ia satu rahsia," tambahnya.


PASANGAN Natasha dan Shahrin berpisah sejak sebulan lalu.

Bagi Tasha, dia tidak berdepan penceraiaan ini dengan perasaan sedih kerana dia dan bekas suaminya masih mengekalkan hubungan yang rapat. Lagipun keputusan penceraian itu dibuat atas kerelaan mereka berdua dengan cara baik.

"Setelah mencuba untuk satu jangka masa, perpisahan adalah jalan penyelesaian terbaik. Kami tidak bergaduh tetapi membuat keputusan selepas berbincang banyak kali. Kami bercerai talak satu dan perpisahan kali ini bukannya disebabkan kewujudan pihak ketiga," ujar Tasha yang sentiasa berfikiran positif.

Ditanya sama ada dia akan kembali bersama bekas suaminya, Tasha tidak menafikan bahawa dia masih mempunyai perasaan cinta terhadap Shahrin tetapi mahu memberikan ruang untuk masa peribadi masing-masing.

"Ramai orang terkejut bagaimana hubungan kami masih begitu baik. Kalau ada jodoh, kami akan kembali. Lagipun, saya memang mahukan anak lagi. Dia seorang ayah yang baik dan pernah menjadi suami yang baik. Perkahwinan itu sesuatu yang manis tetapi ia bukan senang untuk mengekalkannya," sambung Tasha.

Berharap tahun 2010 akan lebih berpihak kepadanya, Tasha kini mahu memberikan fokus kepada anaknya, Nessa Helena yang berusia setahun lima bulan, karier serta dirinya sendiri.

"Kerja dan anak saya akan membantu saya untuk tidak berfikir mengenai penceraian. Sampai bila saya kena menangis? Lagipun saya rasa saya sudah cukup tabah untuk melalui perpisahan ini.

"Setiap perkahwinan ada ombak tersendiri. Ketidaksefahaman itu datang sendiri dan kami tidak rancang. Itu semua ketentuan tuhan. Namun, rasanya kami berdua tidak mahu berkahwin semula dalam masa terdekat," ujar Tasha.


NATASHA berjanji untuk tidak mudah lagi jatuh cinta pada masa akan datang.

Tidak mahu memikirkan soal cinta bukannya bermaksud Tasha mahu kekal dengan status janda selama-lamanya. Namun, dia tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat. Bagi Tasha, setiap kesilapan adalah cara untuk dia belajar dan memperbaiki diri.

"Saya gembira sebenarnya kerana saya mempunyai anak daripada perkahwinan itu. Saya belajar cinta itu buta. Cinta itu adalah mengenai dua insan yang saling memerlukan tetapi tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan.

"Anda perlu mengenali hati budi masing-masing sebelum berkahwin. Pendek kata, cinta itu satu perasaan yang kompleks dan kini saya tidak mahu lagi jatuh cinta dengan senang. Tapi saya menikmati setiap saat bersamanya," kata Tasha yang akan terlibat dalam satu teater tahun depan.

Walaupun bercerai, Tasha bersyukur kerana dia tidak perlu berebut anaknya dengan bekas suaminya itu. Mereka berkongsi hak penjagaan tetapi Nessa akan kerap tinggal bersama Tasha.

Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info

23/06/09

Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh cerai talak satu

SHAH ALAM 22 Jun – Ekoran tiada lagi persefahaman, rumah tangga yang dibina selama 22 tahun antara Pengerusi Proton Holdings Bhd., Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan isterinya, Datin Nik Yasmin Dianara Nik M.F. Kamil akhirnya terlerai hari ini.

Ijab kabul yang termeterai pada 11 Jun 1987 berakhir secara rasmi pada pukul 3.35 petang ini setelah Mohd. Nadzmi selaku plaintif menceraikan Nik Yasmin, 46, yang dinamakan sebagai defendan dengan lafaz talak satu.

Mohd. Nadzmi, 54, melafazkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini di hadapan Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali secara persetujuan bersama.

Pasangan tersebut yang bernikah di ibu negara dikurniakan enam orang anak.

Mohd. Nadzmi yang diwakili peguam syarie, Mohamad Nor Bahari mengemukakan permohonan tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 iaitu bercerai secara persetujuan bersama dengan kebenaran mahkamah.

Terdahulunya, Mohamad Nor menjelaskan bahawa disebabkan tiada persefahaman sejak beberapa bulan lalu, Mohd. Nadzmi sudah tidak tinggal bersama defendan selama sebulan lebih.

Untuk memastikan keadaan tersebut, Kamarulzaman bertanya sendiri kepada Nik Yasmin yang kemudiannya mengesahkan mereka sudah tinggal berasingan dan tiada hubungan kelamin dalam tempoh suci.

Nik Yasmin yang memakai jubah berwarna putih turut menyatakan persetujuannya terhadap permohonan dan alasan yang dikemukakan Mohd. Nadzmi untuk bercerai.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

Badol bercerai

KUALA LUMPUR 22 Jun - ''Kita boleh menyayangi seseorang sebesar gunung tetapi masin dari sebutir garam mampu menghancurkan segalanya.''

Itu merupakan reaksi pelakon, A.R. Badul ketika ditanya sama ada dia masih mempunyai rasa sayang terhadap bekas isterinya, Muna Lisa Basir selepas selesai prosiding perceraiannya secara tebus talak di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Dia juga nyata tersentuh dengan perceraian itu apabila dilihat mengesat air matanya berulang kali.

Pada prosiding yang dijalankan di kamar Hakim Syarie, Mohd. Yunos Mohamad Zin, Muna Lisa, 34, membayar RM1 kepada Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 60, sebagai tebus talak.

Pasangan itu yang berkenalan selama empat tahun sebelum mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2001 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia lima tahun.

Perkahwinan Badul dengan Muna Lisa merupakan perkahwinan kali kelima buat pelakon dan pengarah filem Guru Badul dengan rumah tangga yang didirikan sebelum ini juga berakhir dengan penceraian.

Badul mempunyai tujuh orang anak hasil kesemua perkahwinannya.

Enggan mendedahkan punca sebenar yang membawa kepada penceraian tersebut, Badul sekadar memberitahu, berlaku sedikit pertengkaran dan dia telah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan itu.

''Sebelum ini kami sudah pernah ke mahkamah apabila dia (bekas isteri) mendakwa saya telah melafazkan cerai sewaktu bertengkar tetapi saya betul-betul tidak ingat sama ada lafaz telah diucapkan. Tapi kemudiannya, kami berbaik semula.

''Kemudian, beberapa bulan lalu, berlaku sekali lagi pertengkaran dan dia sekali lagi menuntut cerai tetapi kali ini secara fasakh. Tetapi sementara menunggu di mahkamah, kami sempat berbincang dan sekali lagi memutuskan untuk tidak meneruskan proses fasakh itu. Bagi tebus talak ini pun, saya mengambil masa tiga bulan untuk memikirkannya,'' kata Badul.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini menolak permohonan Muna Lisa untuk mendapatkan pengesahan lafaz cerai selepas Badul mengangkat sumpah istizhar bagi menyakinkan mahkamah bahawa dia tidak ingat semasa melafazkan cerai tersebut.

Menjawab pertanyaan mengenai tindakan untuk bercerai secara tebus talak, Badul yang juga anak kepada pelawak, A.R. Tompel dan abang kepada pelakon Adlin Aman Ramli, ia adalah sebagai 'pendinding' buat dirinya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Katanya, jika proses perceraian adalah seperti yang biasa dilakukan, dia khuatir akan dikenakan tindakan mahkamah sekiranya tidak mampu memenuhi perintah mahkamah.

Bagaimanapun Badul memberitahu, dia tetap akan memberikan nafkah bulanan kepada bekas isteri dan anaknya itu.

Ditanya adakah, dia serik untuk berkahwin lagi, Badul menjawab :''Kalau ada lelaki yang kata serik untuk berkahwin, maknanya dia bukan lelaki rasanya. Tetapi bagi saya, sekiranya seseorang itu ikhlas menerima saya sebegini, yang ada kekurangannya, maka saya akan terima.''

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

26/05/09

Akhil Hayy membisu

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas pendedahan mengenai masalah rumah tangga mereka pada Ahad lalu, penyanyi dan penceramah, Akhil Hayy tidak menghubungi isterinya berhubung isu itu.

Isterinya, Maizawati Zainal, 33, berkata dia tidak tahu di mana Akhil berada, malah suaminya itu tidak menghubunginya bagi mendapatkan penjelasan walaupun selepas kisah rumah tangga mereka didedahkan media massa.

Dia bagaimanapun tidak mahu memanjangkan lagi isu itu kerana sudah menyerahkannya kepada peguam.

“Kalau ada apa-apa pun biarlah di Mahkamah Syariah Ipoh pada 2 Jun nanti,” katanya yang dihubungi semalam.

Harian Metro semalam melaporkan Maizawati mendedahkan Akhil pernah buat pengakuan mengenai hubungannya dengan penyanyi, Waheeda dan meminta izin untuk berkahwin.

“Saya izinkan mereka berkahwin dan sedia menerimanya sebagai madu, namun kini saya tak tahu sama ada mereka sudah berkahwin atau belum,” katanya.

Maizawati dilaporkan berkata, dia mengetahui gosip hubungan suaminya dengan penyanyi itu melalui media, tetapi tekad tidak mempercayai apa yang dipaparkan kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Akhil.

Bagaimanapun, kesabarannya sampai ke penghujung apabila Akhil tidak pulang ke rumah sejak Februari lalu dan anak pula terpaksa bertukar sekolah kerana menjadi mangsa perli rakan mengatakan mereka mempunyai ibu tiri.

Cubaan Harian Metro untuk mendapatkan sebarang komen daripada Akhil juga gagal walaupun telefonnya berdering.

Spekulasi mengenai hubungan Akhil yang juga dikenali sebagai Ustaz Rock dengan penyanyi Norwahidah Abdul Wahab, 31, atau Waheeda kembali panas apabila Maizawati membuat pendedahan menerusi rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9, kelmarin.

Baru-baru ini, gosip mengenai hubungan dua penyanyi itu timbul semula selepas gambar mereka di pantai tersebar di Internet.

Sementara itu, Waheeda menerusi sebuah portal berita dilaporkan meminta supaya jangan bertanyakan isu berkenaan kepadanya.

Dalam kenyataan ringkas itu, Waheeda hanya meminta isu terbabit dirujuk kepada orang terdekat dengan Maizawati.
Ini adalah keratan akhbar dari MyMetro untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

Akhil Hayy tidak pulang ke rumah: Isteri nekad minta cerai

KUALA LUMPUR 25 Mei - ''Februari lalu, dia pernah meminta kebenaran untuk mengahwini Waheeda. Saya reda dan membenarkannya.

''Bagaimanapun, selepas dia mendiamkan diri termasuk tidak pulang ke rumah dan menjawab telefon, saya sudah hilang sabar serta nekad untuk menuntut cerai.''

Itu tegas isteri kepada penyanyi dan pendakwah Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, berhubung kemelut rumah tangga mereka yang kini sedang hangat diperkatakan gara-gara Akhil didakwa mempunyai hubungan dengan penyanyi Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 31.

Menurut Maizawati, selepas lama memendam perasaan, dia hilang rasa sabar dengan apa yang melanda hidupnya ekoran gosip hubungan berkenaan termasuk apa yang telah Akhil lakukan terhadap dirinya.

''Saya pernah beberapa kali menghubunginya tetapi dia tidak menjawab telefon. Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan kerja.

''Dia juga sudah lama tidak pulang ke rumah. Ketika saya memfailkan tuntutan meminta cerai awal bulan ini, dia ada meminta saya bersabar.

''Tetapi, saya tetap dengan keputusan untuk tidak lagi mahu bersamanya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhil, 40, dan Waheeda menjadi perhatian media sebelum ini lantaran gosip yang mempersoalkan mengenai status hubungan mereka berdua.

Menambahkan lagi kehangatan cerita, pelbagai pihak pernah mendakwa melihat kelibat mereka keluar menonton wayang bersama.

Mengulas lanjut, Maizawati berkata, kes tuntutan perceraiannya akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

''Sudah saya katakan, ini adalah keputusan saya. Saya juga mahu dia terima apa yang saya buat ini. Ahli keluarga saya pun memberi sokongan,'' jelasnya.

Ditanya mengenai penerimaan anak-anak terutama anak sulungnya yang berusia 16 tahun, Maizawati memberitahu bahawa kesemua enam anaknya hasil perkahwinan dengan Akhil sudah cukup matang dan memahami tindakannya itu.

''Anak sulung saya okey. Mereka sudah dilatih agar tidak ambil tahu sangat akan apa yang berlaku.

''Saya juga perlu mencari pekerjaan untuk menyara keluarga kerana sebelum ini saya tidak bekerja,'' katanya.

Jelasnya, selepas daripada ini, dia amat berharap agar Akhil berbahagia bersama pilihan hatinya dan tidak mengabaikan anak-anak.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk menghubungi Akhil dan Waheeda bagi mendapatkan jawapan berhubung hal berkenaan gagal selepas kedua-dua mereka enggan menjawab telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

25/05/09

“Saya izinkan mereka berkahwin ..." - Maizawati


Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Ustaz (Akhil Hayy) pernah buat pengakuan mengenai hubungannya dengan penyanyi wanita itu dan meminta izin untuk berkahwin dengannya.

“Saya izinkan mereka berkahwin dan sedia menerimanya sebagai madu, namun kini saya tak tahu sama ada mereka sudah berkahwin atau belum,” kata isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, mengulas isu hubungan suaminya dengan penyanyi Norwahidah Abdul Wahab, 31, atau Waheeda yang sedang hangat diperkatakan.

Menurut Maizawati, secara peribadi dia tidak mengenali Waheeda, tetapi mengetahui gosip hubungan suaminya dengan penyanyi itu melalui media.

Menurutnya, dia tekadkan hati untuk tidak mempercayai apa yang dipaparkan di media kerana diajar untuk tidak mengambil tahu perkara seumpama itu serta meletakkan sepenuh kepercayaan kepada suami.

“Kesabaran saya sudah sampai ke penghujung apabila ustaz tidak pulang ke rumah dan anak pula terpaksa bertukar sekolah kerana menjadi mangsa perli rakan mengatakan mereka mempunyai ibu tiri,” katanya yang mempunyai enam anak hasil perkahwinan dengan Akhil Hayy.

Hati Maizawati terguris apabila Akhil tidak memaklumkan di mana dia tinggal, malah tidak memberitahu apa yang dilakukan menyebabkannya tertanya-tanyakan haknya sebagai isteri.

Menurutnya, kali terakhir suaminya pulang ke rumah Februari lalu dan selepas itu, dia hanya mengetahui perkembangannya melalui media.

“Saya tetapkan dalam hati bahawa ustaz keluar bekerja mencari rezeki untuk kami sekeluarga dan tidak pernah menyimpan prasangka buruk terhadapnya,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9, semalam.

Dia berkata, walaupun ada pihak terkejut dengan keputusannya mengizinkan Akhil berkahwin lagi, namun dia menganggap itu cara terbaik untuk menjaga nama baik suaminya.

Sebagai isteri, dia tidak mahu nama suami tercemar disebabkan cerita kurang enak yang menjadi buah mulut orang.

“Kerana itu saya mengizinkannya berkahwin dengan penyanyi wanita berkenaan. Saya rasa tidak salah membenarkan suami saya berkahwin lagi kerana dia mampu serta boleh berlaku adil.

“Tambahan pula, ia langkah terbaik untuk menyelamatkan mereka daripada melakukan perkara tidak elok.

“Bagaimanapun, sehingga kini, saya tak tahu apa yang terjadi kerana tidak dimaklumkan apa-apa. Mungkin pihak di sana (Waheeda) tidak sudi menerima saya sebagai madu, jadi biarlah saya mengundur diri dan mendoakan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Yang membuatkannya hairan adalah sikap Waheeda bermati-matian menafikan hubungannya dengan Akhil hingga pernah membuat kenyataan media untuk menepis gosip itu.

Apapun Maizawati mengetahui apa yang berlaku dan dengan hati terbuka membenarkan suaminya mengambil Waheeda sebagai isteri.

“Tapi, saya hairan kenapa dia (Waheeda) seolah-olah enggan menerima saya sedangkan saya sudah mengizinkan dia hadir dalam keluarga kami, malah tampil membuat kenyataan dia dan suami saya tidak mempunyai hubungan,” katanya.

Menurut Maizawati, dia mengambil keputusan memohon perceraian untuk membina kehidupan baru.

“Saya sering mengingatkan anak supaya jangan ambil peduli apa orang kata. Yang penting, saya terima hakikat bahawa jodoh kami sampai sini saja dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk ustaz dan wanita itu,” katanya.

Harian Metro cuba mendapatkan reaksi Akhil, namun dia gagal dihubungi.

Waheeda pula enggan mengulas apabila dihubungi satu laman berita online.
Ini adalah keratan akhbar dari MyMetro untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

24/05/09

Maizawati Zainal: “Saya rasa jodoh kami sudah tiada..."

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my


MESRA... Akhil sering digosipkan dengan Waheeda.

KUALA LUMP UR: “Saya rasa jodoh kami sudah tiada. Ini ketentuan Allah SWT dan ia untuk kebaikan kami bersama,” kata isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, berhubung desas-desus perpisahan mereka yang kini menjadi perbualan hangat.

Menurut Maizawati, desas-desus mengatakan mereka bakal berpisah adalah benar dan dia turut mengesahkan kes berkaitan perceraian mereka akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Katanya, keputusan berpisah bukan dibuat atas dasar mereka bermusuhan, tetapi ia jalan terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku.

“Saya tidak salahkan dia. Saya reda kerana saya anggap apa yang berlaku sebagai mainan dunia semata-mata. Cinta kita cinta kepada Allah. Setiap perkara yang berlaku ada qada’ dan qadarnya,” katanya.

Maizawati berkata, keputusan untuk tampil di media bukan dirancang, sebaliknya ia ketentuan Allah.

“Tiba masanya saya tampil memberi penjelasan supaya masyarakat memahami apa yang berlaku.

“Tiada langsung niat untuk memburukkan sesiapa. Mungkin ada hikmahnya selepas ini,” katanya yang muncul di dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 pada jam 8 hingga 10 pagi hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana dia berdepan situasi kontroversi demi kontroversi membabitkan suaminya dengan penyanyi Waheeda, Maizawati berkata, dia sentiasa berfikiran positif.

“Saya terima penjelasan dia. Saya fikir semuanya positif,” katanya.

Menurut Maizawati, dia juga percaya suaminya tidak berkahwin dengan Waheeda.

“Apa yang dia beritahu (tidak berkahwin dengan Waheeda) adalah benar. Saya harap masyarakat tidak lagi memandang serong kepadanya,” katanya.

Sebelum ini, hangat diperkatakan mengenai desas-desus Akhil, 40, menjalin hubungan dengan Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 31, malah ada juga cakap-cakap mengatakan mereka sudah berkahwin.

Bagaimanapun, Akhil menafikannya dan memberitahu hubungannya sebagai Waheeda cuma sebagai rakan sekerja apabila penyanyi itu dijemput menjayakan program Cafe Akhil Hayy musim kedua.

Sebelum ini, mereka pernah dipertemukan dalam program Hijrah Remaja yang pernah disiarkan Astro.
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

12/05/09

Roslin, Faizah sah cerai talak bain sughro

PETALING JAYA 12 Mei - Mahkamah Rendah Syariah di sini petang ini memutuskan lafaz yang dibuat jaguh badminton negara, Roslin Hashim telah mengugurkan talak terhadap isterinya, Faizah Mohamad.

Hakim Syarie, Jamil Ahmad mendapati lafaz talak yang dibuat pada pukul 10.50 malam, 11 Februari lalu dibuat Roslin dalam keadaan sedar dan lafaz tersebut adalah sorih (jelas). Sehubungan itu, lafaz tersebut telah menjatuhkan talak jenis bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).

Mahkamah juga memutuskan bahawa tidak pernah berlaku persetubuhan antara Roslin, 34, dan Faizah, 32, berdasarkan sumpah yang dibuat jaguh badminton tersebut.
Plaintif memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai setelah mendakwa Roslin menceraikannya di rumah ibu bapanya di Taman Puchong Perdana pada pukul 10.50 malam, 11 Februari lalu setelah bernikah pada 31 Januari lalu. ‘‘Faizah. Saya ceraikan Faizah Haji Mohamad dengan talak satu.’’

Pada 21 April lalu, Roslin menyatakan kesediaan untuk bersumpah dengan nama Allah SWT bahawa beliau tidak pernah mengadakan hubungan kelamin sepanjang 12 hari bernikah dengan Faizah sebelum meceraikan plaintif pada 11 Februari lalu.

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada 30 Januari dan diraikan dalam dua majlis persandingan penuh gilang-gemilang yang dihadiri rakan taulan di Puchong dan Kota Bharu.
Kisah rumah tangga mereka menggemparkan peminat badminton tanah air apabila Roslin mengaku melafazkan cerai terhadap Faizah pada 11 Februari lalu iaitu hanya 12 hari selepas bernikah. - Utusan

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

28/11/08

Kes Zakiah tuntut cerai tangguh 23 Dis.

SHAH ALAM 27 Nov. – Suami personaliti TV3, Zakiah Anas yang berhadapan dengan tuntutan cerai oleh isterinya, memohon supaya Mahkamah Rendah Syariah di sini memberi peluang kepadanya untuk mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi menyelesaikan kes itu dengan cara baik.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie, Azmi Mohd. Rais yang mewakili Zakiah, 42, selaku plaintif semasa prosiding tuntutan cerai tersebut di hadapan Hakim Syarie Kamarulzaman Ali hari ini.

Ketika prosiding yang bermula pada pukul 11.40 pagi, Azmi menyebut bagi pihak Mohamad Yusof Mohamad Taib, 46, yang tidak hadir di mahkamah dan tiada peguam mewakilinya.

Menurut beliau, saman telah diterima oleh Mohamad Yusof selaku defendan pada 3 November lalu.

‘‘Sungguhpun begitu defendan yang menghubungi saya semalam memberitahu dia belum bersedia untuk menghadiri prosiding tuntutan cerai oleh plaintif. Yang Arif, pada dasarnya defendan tidak bersetuju dengan permohonan plaintif,’’ jelas Azmi.

Kes disebut semula pada 23 Disember.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

27/11/08

Kes pengesahan lafaz cerai Mazidul 14 Januari

PETALING JAYA 26 Nov. - Permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Khairul Fazlin Kamaruddin, isteri pengacara rancangan 360 terbitan TV3, Mazidul Akmal Sidik akan mula dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 14 Januari depan.

Hakim Syarie, Ghazali Ahmad menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar pengakuan Mazidul yang memberitahu mahkamah bahawa dia memahami permohonan yang dibuat oleh isterinya.

Dalam prosiding ringkas hari ini, Ghazali turut memerintahkan Mazidul memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan itu.

Pada 20 Oktober lalu, permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh Khairul Fazlin, 38, terpaksa ditangguhkan kerana Mazidul, 41, selaku defendan tidak menghadiri prosiding.

Bagaimanapun, Mazidul melalui sepucuk surat yang dihantar kepada mahkamah memaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir kerana mempunyai tugasan di Kota Bharu, Kelantan.

Khairul Fazlin mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 kerana mendakwa Mazidul telah melafazkan cerai terhadapnya di luar mahkamah.

Mazidul dan Khairul Fazlin berkahwin pada 21 Mei 1997. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Afif Faiq, 10, dan Muhammad Azard, 7.

Sebaik sahaja prosiding selesai, Mazidul yang ditemui media enggan mengulas lanjut berhubung kes tersebut dan bergegas meninggalkan mahkamah bersama-sama isterinya.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

25/11/08

"Aku ceraikan kau... TQ... selamat berjaya."


Nasrizal Ngasri (Bell), 28, mengirim SMS "Aku ceraikan kau... TQ... selamat berjaya."
kepada isterinya, Nur Farhana Mahamad Fauri (Syasya), 26, pada 22 Oktober lalu kira-kira pukul 3 petang.

Kemudian, lafaz cerai yang dilakukan melalui SMS itu disahkan oleh Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin dan jatuh talak satu kali pertama.

Keputusan itu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan selepas mendengar penjelasan Nasrizal yang lebih dikenali dengan nama Bell dan Nur Farhana atau Syasya.

Bell telah menghantar SMS tersebut kepadanya pada 22 Oktober lalu dan pada ketika itu dia berada di rumah manakala Bell di lokasi penggambaran, demikian menurut Syasya.

Bell memberitahu mahkamah punca SMS itu dihantar, semuanya salah faham kerana ada orang memberitahu Nur Farhana ternampak Bell di suatu tempat dan bukannya menjalani penggambaran.

Akibatnya, kedua-dua pasangan itu bergaduh melalui SMS sehinggalah Bell mengirimkan SMS cerai.



Hakim bertanya kepada Sasya, apa yang Bell lakukan selepas itu? Sasya memberitahu, Bell menghubunginya dan bertanya sama ada menerima kiriman SMS itu atau tidak. Syasya menjawab, ada.

Bell kemudian memberitahu kemungkinan orang yang dilihat itu adalah pelanduk dua serupa dengan berkata: "Banyak sangat kembar saya."

Ketika di luar mahkamah, Bell yang tertidur ketika hakim memanggil kesnya sehingga dikejutkan oleh Syasya memberitahu pemberita, dia mengakui kesilapannya itu dan ia merupakan pengalaman dan pengajaran buat dirinya.
Berita ini disunting daripada Kosmo! Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

30/05/08

Adun Melor fail cerai isteri kedua


MINTA KEADILAN: Siti Aishah (kiri) berbincang sesuatu di luar Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, semalam. Gambar kecil, Wan Ismail Wan Jusoh.

Oleh Betty Subaryati

KOTA BHARU: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas Kelantan semalam, mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, untuk mengesahkan lafaz cerai terhadap isteri keduanya yang juga warga Kemboja berketurunan Cina, berusia 24 tahun yang dikahwini sejak lima tahun lalu.

Adun Melor, Wan Ismail Wan Jusoh, 53, selaku defendan, yang tidak hadir di mahkamah semalam, mengemukakan permohonan itu menerusi peguamnya, Mahani Mustafa, atas alasan sudah melafazkan cerai talak satu di rumah sewa isterinya, Siti Aishah Abdullah, 24, dekat Wakaf Mek Zainab, pinggir bandar ini pada 16 April lalu.

Prosiding permohonan mengikut Seksyen 57 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002 itu berlangsung dalam kamar Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan. Siti Aishah yang diwakili peguam, Mohd Sibri Ismail, hadir mengikuti prosiding itu sambil ditemani bapanya, Kim Ti, 63.

Berikutan ketidakhadiran defendan, Nik Najib menangguhkan prosiding pengesahan lafaz talak itu kepada 2 Julai ini, bagi memberi peluang kepada Wan Ismail hadir di mahkamah untuk memberi keterangan mengenai lafaz cerai terbabit.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Siti Aishah yang berkahwin dengan Wan Ismail di Kuala Lumpur pada 2003, berkata beliau diceraikan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 16 April lalu ketika suaminya pulang ke rumah sewa bersama seorang wanita yang identiti tidak dikenalinya, sebelum melafazkan cerai talak satu terhadapnya tanpa memberi sebarang alasan.

"Kejadian itu berlaku ketika saya berada di rumah sewa di Taman Tg Ahmad Panglima, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu bersama sepasang anak kami berusia antara satu hingga tiga tahun.

"Sebelum melafazkan talak terhadap saya, dia jarang-jarang balik ke rumah menjenguk saya dan anak. Selepas menjatuhkan talak, dia tidak lagi balik ke rumah atau bertanya khabar anak serta tidak memberi nafkah serta mengambil berat mengenai anak, termasuk sewa rumah yang kini saya terpaksa tanggung sendiri," katanya yang kini membuka perniagaan kecil menjual kain tudung di bandar ini untuk menyara hidup.

Siti Aishah berkata, beliau tidak menyangka akan diceraikan tanpa sebarang sebab oleh suaminya, walaupun sebelum ini seorang wanita pernah menghubungi dan menyuruh saya pulang ke negara asal, Kemboja.

Katanya, walaupun kini terpaksa menempuh dugaan hidup sebagai ibu tunggal bersama dua anak yang masih kecil, beliau bertekad tidak akan meninggalkan Islam yang sudah menjadi pegangan hidupnya sejak 2003.

"Ibu bapa kandung saya cukup marah dengan tindakan suami menceraikan saya tanpa sebab selepas saya berkorban meninggalkan keluarga dan agama asal untuk menjadi isterinya. Mereka meminta saya kembali ke Kemboja, tetapi saya mahu meneruskan kehidupan di sini, sambil menaruh harapan mahkamah memberi keadilan kepada saya," katanya.





Ini adalah keratan akhbar dari Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

18/04/08

Beego fail permohonan nusyuz terhadap isteri

KUALA LUMPUR 17 April - Pelakon, Beego yang baru empat bulan berkahwin dan hanya sempat mendampingi isterinya selama 10 hari, telah memfailkan permohonan nusyuz (derhaka) terhadap pasangannya itu, Intan Shahira Mohd. Shahru, 27, di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Permohonan Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 28, yang difailkan pada 22 Februari lalu, disebut di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail hari ini.

Hakim tersebut menetapkan 30 Mei ini untuk pengurusan kes setelah peguam syarie, Md. Nor Md. Din yang mewakili Beego memohon sedikit masa bagi membolehkan Intan Shahira memfailkan pembelaan dan diikuti balasan oleh pihaknya serta persediaan kes.

Di mahkamah hari ini, Beego yang dikenali melalui drama bersiri 'Puteri' dan merupakan bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz hadir bersama beberapa rakannya termasuk pelakon Que Haidar.

Intan Shahira yang tidak hadir diwakili oleh peguam syarie, Marlina Sobri.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Md. Nor berkata, Intan Shahira telah memfailkan tuntutan fasakh terhadap suaminya tetapi dokumen tuntutan itu masih belum diterima oleh pihaknya.

Difahamkan tuntutan fasakh itu difailkan kira-kira sebulan lalu.

Sementara itu, Beego berkata, permohonan nusyuz itu difailkan kerana dia tidak dibenarkan berjumpa isterinya dan tidak diizinkan pulang ke rumah.

''Sembilan tahun kami berkawan, saya sedih dan tidak sangka kes seperti ini terjadi. Mungkin ini satu dugaan untuk saya," katanya.

Pasangan itu bernikah pada 28 Disember tahun lalu di Bandar Baru Uda, Johor Bharu dan majlis perkahwinan diadakan sehari selepas itu serta pada 30 Disember lalu.

Pasangan itu turut mengadakan resepsi perkahwinan di Hotel Palace of The Golden Horses, di sini pada 12 Januari lalu.

''Sehari selepas majlis resepsi itu, saya pergi ke Singapura untuk pengambaran drama selama 10 hari. Saya bersama isteri saya selama 10 hari sahaja kerana selepas balik dari Singapura saya tidak dibenarkan menemuinya.

''Sehingga hari ini, telah tiga bulan saya tidak berjumpa isteri saya," katanya sambil menambah bahawa Intan Shahira hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) kepadanya pagi ini menyatakan dia tidak dapat hadir ke mahkamah kerana bekerja.

Beego turut menafikan bahawa dia mendirikan rumahtangga dengan Intan Shahira demi harta.





Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

17/04/08

Beego fail permohonan Nusyuz

KUALA LUMPUR 17 April - Pelakon Beego yang baru berkahwin empat bulan lalu, telah memfailkan permohonan Nusyuz (enggan mematuhi perintah atau kemahuan suami) terhadap isterinya, Intan Shahira Mohd. Shahru, 27.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Ahamd Irwan Ismail, menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan permohonan itu yang difailkan oleh Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 28, pada 22 Februari lalu.




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

8/10/07

Isteri Nash dapat injunksi halang pindah harta RM880,000

SHAH ALAM 26 Sept. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan Sosilawati Lawiya, 44, isteri Nash untuk mendapat injunksi ex parte (sebelah) bagi menghalang penyanyi itu membuat transaksi atau pindah milik melibatkan amanah saham dan hartanah bernilai RM880,000.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Shaarani Ismail setelah mendengar secara tertutup afidavit permohonan interim (sementara) di kamar beliau hari ini.

Sosilawati yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelle Visage mengemukakan permohonan tersebut apabila mendakwa perkahwinannya dengan Nash atau nama penuhnya, Jamaludin Elias, 48, selama 10 bulan itu berada dalam syiqaq (pertikaian) sehingga tiada jalan penyelesaian kecuali melalui penceraian.

Berdasarkan permohonannya, dia mendakwa Nash (responden) tidak pulang ke rumahnya di No. Lot 9933, Jalan Harmoni, Taman Harmoni, Gombak sejak 13 Ogos lalu.

Responden juga dikatakan berkali-kali meluahkan hasrat untuk menceraikannya selepas Aidilfitri ini.

Sehubungan itu, Sosilawati telah memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur pada 18 September lalu.

Sosilawati memohon injunksi untuk menghalang Nash, wakil atau keluarganya daripada membuat transaksi atau pindah milik Sijil Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) yang masing-masing bernilai RM200,000 yang diletakkan atas nama responden.

Beliau juga menuntut supaya Nash membayar semula wang sebanyak RM480,000 yang dipinjamkan olehnya untuk bayaran hartanah di alamat No. 28, Jalan Turmalin 4, 7/12D, Seksyen 7, di sini yang telah dilelong oleh bank akibat kegagalannya melangsaikan baki pinjaman tersebut.

Sosilawati turut mengemukakan beberapa alasan lain di dalam permohonan tersebut yang memaksanya mengemukakan injunksi dan memfail tuntutan cerai.

Sementara itu, peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd. Zin yang hadir mewakili Sosilawati, memberitahu wartawan bahawa tarikh sebutan bagi mendengar afidavit permohonan belum ditetapkan tetapi ia akan




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. Dia kini bekerjasama dengan Zubli Zainordin pengasas Sains dan Seni Jaya Diri, pengarang blog Total Happiness dan pengelola Book Project blog.

Kisah cerai Rossa – Yuni Shara

Oleh: WANDA IDRIS

KETIKA Erra Fazira sibuk membilang hari bahagia untuk ke pelamin lagi, dua penyanyi genit dari Indonesia, Yuni Shara dan Rossa pula dikatakan akan bercerai.

Sedih sekali kerana pada saat-saat umat Islam berseronok dengan kehadiran bulan mulia Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma, mereka pula kecoh dengan kisah rumah tangga yang berantakan.

Rossa yang popular dengan lagu Pudar itu dikatakan telah meminta cerai daripada suaminya, pemain deram kumpulan Padi, Yoyo baru-baru ini. Manakala Yuni pula digosipkan berpisah dengan suaminya sejak seminggu yang lalu.

Ketika bertemu dengan kedua-dua mereka pada majlis berbuka puasa dan pelancaran album Hari Raya SRC Selasa lalu, pembantu Yuni turut memberitahu sudah ramai wartawan yang berkumpul di rumah Yuni untuk mendapatkan pengesahan daripada penyanyi yang popular dengan lagu Sepi itu.

“Memang sejak dua hari lalu timbul berita kurang enak yang mengaitkan rumah tangga saya. Di sana sekarang sedang ribut kisah saya berpisah dengan Henri,” kata Yuni tanpa berselindung.

Kepada beberapa wartawan tempatan, Yuni mengakui berita itu tidak benar sama sekali namun dia sendiri, katanya, belum membuat sebarang kenyataan dengan pihak media di negaranya.

“Kami baik-baik saja,” kata Yuni lagi sambil memberitahu gosip itu bukan pertama kali menimpa dirinya dan suami, Henri Siahaan.

“Mungkin menjelang lebaran begini, selalunya cerita-cerita artisnya mendatar, jadi mereka lakukan sesuatu untuk memeriahkannya. Tapi masalahnya cerita begini hanya mengeruhkan suasana,” ungkap Yuni yang kedengaran sedikit kesal dengan gosip terbaru yang melanda dirinya itu.

Bagaimanapun, kata Yuni, dia tidak mahu membebani dirinya dengan permasalahan yang bukan diciptanya. Malah pernah meminta pihak media di Indonesia supaya mendapatkan sahaja jawapan daripada orang yang menjaja berita tersebut.

“Selagi saya tidak mengesahkan perkara itu maknanya berita itu tidak benar. Tapi mereka tetap memaksa. Jadi saya katakan kepada mereka, pergi saja tanya kepada orang yang membuat cerita itu,” kata Yuni.

Tambah Yuni, “Saya sendiri tidak mahu ambil pusing tentang perkara itu kerana terang-terang ia tidak benar. Cuma saya kasihankan mama kerana sekarang dia kurang sihat.

“Saya tidak mahu kesihatannya lebih terganggu gara-gara gosip begini. Ini kerana pihak media tidak sahaja memburu saya tetapi juga mama dan keluarga lain. Saya tidak mahu mereka susah.”

Malah saat disoal mengenai hubungannya dengan Tamara Blaszenky, Yuni hanya tersenyum dan kemudian ketawa kecil memberitahu tidak tahu bagaimana boleh timbul kisahnya bergaduh dengan aktres itu seperti yang digembar-gemburkan baru-baru ini.

“Sedangkan baru kelmarin kami minum kopi bersama,” kata Yuni atau nama sebenarnya Wahyu Setyaning Budi itu lagi.

Dia yang bakal mengerjakan haji pada Disember ini juga memberitahu tidak mahu terganggu dengan kisah perpisahan itu malah lebih senang mempersiapkan diri untuk menyambut lebaran bersama keluarga besarnya.

* Rossa tiada rahsia

Rossa juga tenang sahaja bercerita soal rumah tangganya dengan Yoyo. Malah dia menegaskan cerita tentang dia meminta cerai daripada suaminya itu tidak benar sama sekali.

“Bohong! Saya sendiri dikejar sampai ke kampung hanya untuk mendapatkan pengesahan cerita itu. Bingung sekali jadinya tapi yang pasti, belum lagi dan insya-Allah, tidak,” katanya sambil tersenyum.

Biarpun berkali-kali memberitahu akan mempertahankan ikatan perkahwinannya dengan Yoyo, Rossa tetap mengakui hubungan mereka suami isteri sudah tidak semesra dahulu. Walaupun begitu Rossa sudah memaafkan perbuatan tidak bermoral yang dilakukan suaminya tidak berapa lama dahulu.

“Hubungan kami biasa-biasa saja. Kami masih bersama. Tapi kalau mahu dikatakan seperti dahulu, mungkin tidak. Saya tidak mahu berdendam tapi hanya masa yang boleh menyembuhkan luka ini,” kata Rossa berterus terang.

Dia yang kelihatan sentiasa ramah dan gembira nyata tidak mahu berpura-pura menunjukkan kebahagiaan diri.

“Kalau ramai-ramai begini, ya saya gembira sekali. Tapi kalau sendirian, ada kala memang terasa sedih memikirkannya,” ungkap Rossa.

Namun Rossa begitu seronok bercerita persiapan sambutan Syawal yang bakal dirai di kampung halaman di Sumedang, Jawa Barat.

Apalagi ini merupakan sambutan lebaran kedua bersama anaknya, Muhammad Rizky Langit Ramadan.

“Ibu Rizky ini lebih obsesi membeli persiapan anaknya,” kata Rossa sambil ketawa.

Dia seronok memikirkan sambutan Syawal bersama keluarga besarnya. Ada lebih 50 kaum keluarga daripada empat generasi yang akan berkumpul.

“Setiap tahun saya akan menyediakan baju raya sedondon. Bukan sahaja untuk saya, Yoyo dan Rizky tetapi juga untuk orang tua, abang, kakak dan anak-anak saudara kedua-dua keluarga,” kata Rossa yang menggemari masakan ketupat, opor ayam dan sambal goreng hati untuk juadah Hari Raya.

Dia yang hanya akan bercuti selama seminggu pada Hari Raya nanti juga memberitahu sedang sibuk di studio rakaman untuk album terbarunya.

“Saya juga akan merakamkan dua lagu ciptaan Yoyo. Sebuah lagu rancak dan sebuah lagi berentak perlahan. Liriknya juga dihasilkan oleh Yoyo. Tapi lagu-lagu itu telah dicipta dua tahun lalu. Jadi tentunya liriknya bagus-bagus saja,” katanya berseloroh.





Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. Dia kini bekerjasama dengan Zubli Zainordin pengasas Sains dan Seni Jaya Diri, pengarang blog Total Happiness dan pengelola Book Project blog.