31/07/07

Cinta bertaut


Oleh Azida Shaharuddin
Majlis persandingan Fenda dan Azizah meriah dalam hujan gerimis, dihadiri lebih 1000 tetamu

SUASANA gerimis pada tengah hari Sabtu lalu menyambut majlis perkahwinan perantara program Malaysia Hari Ini (MHI) TV3, Nuraffenda Mohd Ibrahim atau panggilan mesra Fenda dan jejaka pilihannya, Azizan Ariff Ariffin, 39, yang diadakan secara sederhana tetapi tetap meriah.

Fenda yang baru mencecah usia 25 tahun kelihatan berseri menyambut kedatangan Azizan dan rombongan di rumah bapanya, di Villa Aman, Johor Bahru yang tiba pada jam 2.45 petang, 28 Julai lalu.

Kedatangan rombongan pengantin lelaki disambut dengan pertunjukan silat oleh Persatuan Budi Suci Sejati Malaysia dan diiringi dengan persembahan gamelan oleh Kumpulan Gamelan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sebelum dibawa masuk untuk digandingkan pengantin perempuan.

Sebelum Azizan dibenarkan duduk bersama Fenda di atas pelamin, beliau perlu melalui satu adat yang dikenali sebagai 'adat tol' di mana beliau perlu membayar sejumlah wang kepada mak andam serta pengapit pengantin perempuan.

Azizan melalui pengapitnya kemudian membayar tol itu untuk duduk bersama isterinya, Fenda yang kelihatan sudah tidak sabar menunggu kedatangan suaminya.

Mereka yang kelihatan sedondon dengan pakaian pengantin berwarna kuning air daripada Butik Lagenda yang bercirikan pakaian penduduk pulau Bali disandingkan di atas pelamin yang turut berkonsepkan Bali.

Lebih 1,000 tetamu hadir pada majlis yang turut dimeriahkan dengan kehadiran keluarga, kenalan dan rakan setugasnya termasuk Ally Iskandar.

Fenda, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, beliau bersyukur kerana majlis persandingan berjalan dengan lancar walaupun dilakukan dalam suasana sederhana.

“Terima kasih kepada keluarga yang banyak membantu dalam persediaan untuk majlis ini sebelum ini kerana saya sentiasa sibuk dengan tugasan harian di Kuala Lumpur, " katanya ketika ditemui Hip sebaik selesai majlis perkahwinan itu.

Terdahulu, pasangan berkenaan selamat diijab kabul di Masjid Sultan Abu Bakar di sini, Jumaat lalu oleh imam masjid berkenaan, Datuk Mahad Mohd Said dan disaksikan kira-kira 50 tetamu membabitkan ahli keluarga kedua-dua pengantin dan rakan mereka.

Azizan menghadiahkan isterinya barang hantaran sebanyak sembilan dulang, manakala Fenda membalas dengan 11 dulang dan ditukar selepas majlis itu. Azizan turut menghadiahkan sebentuk cincin batu permata kepada isterinya sebagai tanda mas kahwin, manakala wang hantaran sebanyak RM25,000 turut diserahkan keluarga pengantin perempuan.

"Perkahwinan bukan penghalang untuk seseorang itu meneruskan karier," kata Fenda ketika ditanya mengenai tugasnya yang mungkin mengurangkan masa bersama suami serta program baru yang bakal dikendalikannya, Khazanah Bumi Merdeka.




Katanya, mereka merancang untuk berbulan madu pada September ini dan selepas itu akan menunaikan umrah sebelum kembali ke tanah air menyambung tugas masing-masing.

"Saya tertarik kepada Azizan kerana beliau seorang yang 'simple' dan sepanjang berkawan dengannya saya tidak mempunyai masalah, beliau juga tidak cerewet dan memahami kerja saya yang lazimnya sentiasa sibuk," katanya.

Sambil menunjukkan cincin berbentuk hati berwarna merah jambu bertatah berlian di sekelingnya, beliau berkata, ia adalah cincin yang ditempah khas dari AKS House of Jewels yang dimiliki sepupunya mengikut cita rasanya.

"Sebenarnya saya seorang yang boleh dikatakan 'hopeless romantic', jadi sejak kecil lagi saya memang mengimpikan satu cincin istimewa sebagai hadiah perkahwinan daripada suami tersayang, warna merah jambu juga adalah warna kegemaran saya dan saya bangga dengan cincin ini.

"Suami saya berasa pelik dengan keinginan saya itu namun beliau turutkan saja impian saya itu," katanya ketawa kecil.

Azizan pula berkata, pada awalnya beliau tidak mengetahui Fenda bekerja dengan TV3 kerana tidak kisah dengan pekerjaan teman wanitanya ketika itu.

"Saya tidak kisah dengan apa jua pekerjaan yang dilakukannya, apabila kita sayang seseorang itu, kita akan menerima beliau seadanya tidak kira beliau kerja apa pun. Malah saya juga tidak menghalang beliau terus bekerja kerana itu kerjanya, " kata Azizan.

FAKTA NOMBOR:
Perkahwinan Fenda-Azizan


  • RM25,000 - Wang hantaran untuk pengantin perempuan

  • 11 - Jumlah dulang hantaran daripada pengantin perempuan

  • 9 - Jumlah dulang hantaran daripada pengantin lelaki.