3/06/05

Mahu menetapkan sendiri mas kahwin

Soalan
Saya akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, tetapi saya dan pasangan masih tidak dapat membuat kata putus tentang mas kahwin dan wang hantaran. Bakal suami saya mahu memberi sekali gus kerana katanya tidak ada beza dan memudahkan dia untuk membayar. Dia juga mahu menetapkan harga yang mahu dibayar. Saya agak keliru, sebenarnya apakah perbezaan antara mas kahwin dan wang hantaran? Adakah wajib bagi bakal suami untuk menyediakan kedua-duanya? Bolehkah jika saya ingin menetapkan mas kahwin lebih daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan kerana ia agak sedikit.

- Rozana Badrul Iman

Kedah

Jawapan:

Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang mengikat pasangan dan sebagai suatu ``..perjanjian atau persefahaman yang kuat..'' (al-Nisa ayat 21). Ia juga merupakan satu kontrak di mana pasangan akan melangsungkan perkahwinan dengan syarat-syarat yang telah ditentukan dan pembayaran mas kahwin adalah salah satu daripadanya.

Antara perkara penting yang sememangnya dibincangkan oleh pasangan ialah tentang mas kahwin dan pemberian.

Mas kahwin pada sejarahnya merupakan wang yang dibayar oleh pihak pengantin lelaki kepada ibu bapa pengantin perempuan untuk membantu kos perbelanjaan kenduri perkahwinan. Tetapi pada zaman ini dan setelah kompromi antara undang-undang Islam dan adat Melayu yang lama, mas kahwin adalah mahar pembayaran yang diberi atau dijanjikan dibayar kepada pengantin perempuan itu sendiri.

Mas kahwin ini boleh berupa wang atau barangan. Hadis Rasulullah s.a.w daripada riwayat Bukhari menyatakan; ``Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.''

Jadi, selain daripada wang ringgit, barangan lain seperti barangan kemas juga boleh diberikan sebagai mas kahwin jika saudari bersetuju berbuat demikian.

Mengikut hukum syarak, tiada jumlah tertentu yang harus dibayar sebagai mas kahwin. Pasangan boleh menetapkan jumlah mas kahwin menurut taraf hidup pasangan.

Namun, mengikut perundangan Islam di Malaysia, kerajaan telah menetapkan kadar minimum mas kahwin yang perlu dipatuhi. Memandangkan setiap negeri di Malaysia mempunyai Akta Perundangan Islamnya sendiri, kadar ini juga berbeza-beza mengikut negeri. Majlis Agama Islam Kedah tidak menetapkan sebarang jumlah minimum yang wajib diberi dan oleh itu saudari dan pasangan bolehlah menetapkan berapa jumlah mahar.

Bayaran mas kahwin mestilah dilangsaikan oleh pihak suami dan jika tidak ia merupakan hutang suami kepada isteri. Isteri berhak ke atas mas kahwinnya walaupun setelah diceraikan, manakala wang hantaran atau pemberian pula merupakan adat Melayu yang telah diamalkan turun-temurun.

Wang hantaran ini adalah hadiah yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Ini tidaklah diwajibkan seperti mas kahwin tadi. Ia lebih merupakan keikhlasan pihak lelaki untuk memberi kepada pihak perempuan sebagai membantu menampung perbelanjaan kenduri kendara.

Saudari dan pasangan sebenarnya boleh berbincang tentang jumlah yang mampu diberi sebagai mas kahwin dan hantaran. Jika mahu memberi secara sekali gus juga tidak menjadi satu kesalahan. Ramai pasangan kini hanya meletakkan mas kahwin sahaja, tetapi jumlah yang ditetapkan itu merupakan satu jumlah yang bersesuaian dengan taraf kedudukan pihak perempuan dan apa yang termampu oleh pihak lelaki. - Panel Peguam Syarie Sisters In Islam

Hak wanita Al-Quran memperincikannya

DALAM masalah pembahagian faraid, seolah-olah isteri sebagai wanita tidak mendapat hak yang sepatutnya. Di samping itu ayat 11 Surah an-Nisa memberikan bahagian anak lelaki dua kali ganda bahagian anak perempuan.

Sehubungan ini, mungkin terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan hukum yang telah ditetapkan oleh Islam dengan mengatakan bahawa al-Quran meletakkan wanita di kelas kedua. Ini kerana mereka tidak mengkaji hukum Islam secara menyeluruh. Sebagai contoh, anak lelaki diberikan bahagian dua kali ganda bahagian anak perempuan kerana lelaki dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada anak-anak dan bukannya perempuan.

Jika anak lelaki dan anak perempuan mendapat bahagian sama banyak, sedangkan anak lelaki tadi mempunyai tanggungjawab yang berlebihan; iaitu memberikan nafkah kepada isteri (menantu si mati) dan anak-anaknya (cucu si mati), sedangkan anak perempuan tidak dibebankan tanggungjawab tersebut. Sebaliknya suami beliau, iaitu menantu si mati yang di pertanggungjawabkan untuk memikul beban tersebut. Di sini jelas bahawa Islam memberikan hak bersesuaian dengan tanggungjawab.

Sebaliknya apa yang berlaku pada zaman moden ini ialah sistem kekeluargaan telah menjadi kucar-kacir kerana sesetengah wanita menuntut hak yang sama dengan lelaki tetapi mereka ingin mengekalkan tanggungjawab yang sedikit.

Sebagai contoh seorang wanita Muslim inginkan hak untuk bekerja, meninggalkan rumah dan mendapatkan gaji tetapi mereka menuntut agar suami menanggung semua perbelanjaan rumah dan menyara anak-anak sehinggakan kadang-kadang si suami terpaksa menanggung hutang yang banyak, sedangkan si isteri dapat menyimpan wang dan membeli perhiasan yang mahal.

Begitu juga dengan sesetengah pihak lelaki; mereka mahukan bahagian dua kali ganda saudara perempuan mereka tetapi menyerahkan kepada saudara perempuan untuk menjaga ibu tua yang telah kematian suami. Porak-peranda sesuatu keluarga ini terjadi berpunca daripada sikap cintakan dunia dan kebendaan dan tidak mempunyai keyakinan kepada ketetapan dan peraturan yang Allah berikan melalui al-Quran dan as-sunah.

Sesetengah pihak menyarankan agar sistem kekeluargaan dan sistem perwarisan dirombak untuk menyesuaikan dengan zaman moden, dengan mencadangkan agar bahagian lelaki diberikan sama banyak dengan bahagian wanita.

Mereka seterusnya mencadangkan juga agar wanita (isteri) hendaklah bertanggungjawab dalam memberi nafkah anak-anak dan menyediakan perbelanjaan isi rumah serta lain-lain perbelanjaan termasuk pendidikan anak-anak.

Malah inilah yang telah berlaku di Barat. Sehubungan ini, amatlah wajar bagi setiap orang menyedari bahawa Allah lebih mengetahui tentang perkara yang berkaitan dan sebijak mana pun manusia, mereka tidak dapat menandingi ilmu Allah.

Berhubung dengan harta pusaka, al-Quran menyatakan, Ini adalah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (An-Nisa : 11). Seterusnya al-Quran menyatakan, (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar daripada Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun. (An-Nisa : 12).

Perlu diingatkan bahawa al-Quran bukan sahaja menyatakan dengan jelas hak wanita yang terdekat iaitu ibu, isteri dan anak perempuan, tetapi juga menyatakan bahagian-bahagian untuk kaum wanita yang lain iaitu saudara perempuan. Al-Quran juga memperuntukkan hak saudara-saudara perempuan dalam keadaan-keadaan tertentu; sebagai contoh, jika si mati tidak mempunyai anak.

Sehubungan ini al-Quran menyatakan Mereka meminta fatwa kepadamu tentang kalalah. Katakanlah : Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu), jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua daripada harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempu-

nyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi kedua-duanya dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri daripada) saudara-saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah me-

nerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (An-Nisa : 176)

Ayat ini menunjukkan kepada kita seolah-olah saudara perempuan mengambil tempat anak perempuan jika si mati tidak mempunyai anak perempuan. Walaubagaimanapun, para ulama kita menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan `saudara lelaki' dan `saudara perempuan' ialah saudara sekandung; iaitu saudara seibu sebapa. Jika tiada saudara kandung, ia diertikan kepada saudara sebapa. Ayat tersebut tidak berlaku kepada saudara (lelaki atau perempuan) seibu kerana hak-hak saudara perempuan seibu sebapa telah dinyatakan dalam ayat 12 Surah an-Nisa:

Jika seseorang mati, sama ada lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing daripada kedua-dua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih daripada seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris). (An-Nisa : 12)

Sekufu dalam perkahwinan elak pelbagai masalah

Oleh: ZUARIDA MOHYIN

`DUDUK sama rendah, berdiri sama tinggi', 'Sama cantik sama padan' dan `Bagai pinang dibelah dua'.

Itulah kepelbagaian ungkapan yang sering benar diucapkan apabila hendak memuji kecantikan dan ketampanan sepasang pengantin baru.

Luahan perasaan sebegini jelas membuktikan naluri kita sebagai manusia yang gemar kepada keindahan, dan menolak sesuatu yang tidak sepadan atau tidak secocok.

Apatah lagi, perkahwinan merupakan ikatan perjanjian dua orang insan untuk berkongsi segalanya dalam menempuh kehidupan berumah tangga, yang mengharapkannya kekal sepanjang hayat.

Lantaran itu, sebaiknya kedua-duanya setaraf dalam banyak hal supaya rumah tangga yang akan diharungi lebih mudah dilayari.

Kesesuaian atau sefahaman dalam memilih suami mahupun isteri, merupakan asas dalam membina keluarga Muslim.

Kesesuaian bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan akan tetapi kesamaan atau sefahaman dalam agama turut diambil kira di dalam Islam.

Firman Allah s.w.t. bermaksud: Hai manusia, se-

sungguhnya Kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujarat: 13)

Penolong Profesor di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Dr. Amilah Awang Abd. Rahman dalam hal ini menjelaskan, apabila kita membicarakan soal sekufu atau `kafaah', kita tidak boleh melihat ia sebagai satu perkara yang terpisah daripada agama itu sendiri.

Menjadi satu kepentingan, agar umat Islam melihatnya sebagai satu keadaan yang menyeluruh kerana Islam sentiasa memandang sesuatu perkara itu secara global.

``Dalam isu kafaah ini, sebenarnya Islam mengutamakan kepentingan pembinaan keluarga itu sendiri, atau ia memandang jauh kerana keluarga di dalam Islam itu amat penting.

``Bahkan ada yang mengatakan, keluarga merupakan buah pinggang kepada masyarakat.

``Ini bermaksud, kalau keluarga itu baik, maka baiklah masyarakat. Begitu juga sekiranya keluarga itu pincang, maka pincanglah juga masyarakatnya,'' kata Dr. Amilah sewaktu ditemui di pejabatnya.

Hakikatnya terang Dr. Amilah lagi, keluarga memainkan peranan penting dalam agama Islam.

Jadi apabila Islam menggalakkan sekufu, ini bermakna Islam melihat lebih jauh lagi mengenai peranan sesuatu keluarga itu.

Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara di antara pasangan suami dengan isteri dalam pelbagai perkara, hanya akan menimbulkan berbagai-bagai masalah untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang akan dibina kelak.

Bahkan sekiranya tiada sekufu antara kedua-duanya, maka isteri atau walinya berhak menuntut fasakh selepas perkahwinannya.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya.

``Sekufu didefinisikan oleh para ulama sebagai `al musawah wal muqarab' atau yang bermaksud per-

samaan atau hampir.

``Yang dimaksudkan dengan persamaan atau hampir ini lebih dite-

kankan dalam Islam kepada pihak perempuan.

``Jadi di sini, sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang lebih rendah pendidikannya atau yang lebih sedikit hartanya dan sebagainya, ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

``Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Dalam hal inilah, Islam melihat kafaah sebagai satu aspek yang perlu dijaga,'' jelas Dr. Amilah.

Tambah beliau, menurut ulama fikah, keseluruhan mereka mengambil kira kepentingan sekufu, sehingga didapati Mazhab Syafie meletakkan sekufu sebagai hak seorang perempuan dan hak walinya.

Sementara bagi Mazhab Hanafi, walaupun tidak ada wali mujbir (wali yang boleh memaksa anaknya untuk berkahwin atau tidak berkahwin, misalnya ayah dan datuk) seorang perempuan itu boleh mengahwinkan dirinya tanpa wali.

Namun wali mujbirnya iaitu bapanya contohnya, masih berhak untuk membubarkan perkahwinan itu sekiranya mendapati pasangan tersebut tidak sekufu.

Sebagaimana dijelaskan di atas bahawa sekufu merupakan hak kepada wanita dan walinya, maka sekiranya salah seorang daripada orang yang berhak ini menghalang perkahwinan disebabkan tidak sekufu, maka perkahwinan itu tidak boleh dilangsungkan.

Contohnya, seorang perempuan membawa calon suaminya tetapi tidak dipersetujui oleh bapanya sebagai seorang wali mujbir dengan alasan lelaki tersebut tidak sekufu dengan anaknya, maka alasan itu dianggap munasabah dan hak bapanya sebagai wali tidak boleh dipindahkan kepada wali hakim atau wali selepasnya.

Begitu juga sekiranya seorang perempuan yang dipaksa berkahwin oleh wali mujbirnya, sama ada bapa ataupun datuk tetapi dia menolak dengan alasan bahawa perkahwinan ini tidak sekufu, maka dia berhak untuk menghalang perkahwinan ini.

Jelas di sini, kata Dr. Amilah, bahawa semua mazhab meletakkan sekufu sebagai satu perkara yang penting.

Jumhur mengatakan, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan, bukannya syarat sah perkahwinan tetapi tidak dinafikan bahawa sekufu penting dalam perkahwinan.

Sementara menurut Imam Shirazi, apabila seorang wanita ingin berkahwin dengan orang yang tidak sekufu, tidak menjadi kewajipan kepada wali mengahwinkannya.

Manakala, bagi Imam Imrani pula, pemerintah tidak boleh mengambil alih ataupun wali tidak boleh dipaksa untuk mengahwinkah anak perempuan dengan pasangannya yang tidak sekufu.

Jelas di sini kata Dr. Amilah, sekufu adalah hak kedua-dua belah pihak, iaitu calon isteri dan walinya. Pun begitu ia boleh digugurkan de-

ngan syarat dipersetujui oleh kedua-dua.

Ini dijelaskan lagi oleh hadis riwa-

yat Aisyah, Rasulullah s.a.w. bersabda: Pilihlah olehmu untuk keturunan kamu dan bernikahlah dengan orang yang sekufu. (Riwayat al-Baihaqi)

Manakala di dalam kitab Fathul Qadir, ``Tidak boleh menikahkan seorang perempuan itu kecuali walinya dan mereka tidak akan menikahkannya kecuali yang sekufu''.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang hamba bernama Burairah yang dimerdekakan oleh Aisyah r.a.

Setelah dia dimerdekakan, Rasulullah bertanya kepadanya kerana dia telah berkahwin dengan seorang hamba.

Baginda memberi pilihan kepada Burairah sama ada mahu meneruskan perkahwinannya atau bercerai.

Nyatalah bahawa Rasulullah begitu menitikberatkan soal sekufu, memandangkan suami Burairah masih menjadi hamba berbanding dirinya yang sudah merdeka.

Kata Dr. Amilah lagi, ayat al-Quran yang begitu terang menceritakan tentang sekufu ini tidak ada. Cuma yang ada ialah ayat yang agak hampir dalam masalah sekufu ini, iaitu surah an-Nur ayat 26, Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (juga), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Malah kepentingan sekufu ini tidak terhad kepada gadis dan wali sahaja, wanita yang berstatus janda juga perlu dititikberatkan soal sekufu.

Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Ali bin Abi Talib, Tiga perkara jangan kamu tangguhkan. Pertama, menunaikan sembahyang apabila masuk waktunya. Kedua, menguruskan jenazah, dan ketiga, janda sekiranya didapati ada lelaki yang sekufu dengannya, maka langsungkanlah pernikahannya. (Riwayat Tirmizi)

Menyedari kepentingan sekufu ini, saran Dr. Amilah kepada ibu bapa dan remaja perempuan, agar mengambil berat mengenainya tetapi ja

ngan bersikap terlalu rigid.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Apabila datang pinangan kepada kamu daripada orang-orang yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dengannya. Sesungguhnya, sekiranya kamu tidak berbuat demikian, akan menyebabkan fitnah dan kefasadan (kerosakan) di muka bumi.

Menyentuh mengenai tahap pendidikan ujar Dr. Amilah, aspek pendidikan boleh dikaitan dengan profesion atau kerjaya dan penghayatan agama (ilmu agama).

Contohnya sebuah kisah yang berlaku pada zaman baginda Rasulullah. Bilal bin Rabah (bekas hamba) berketurunan Habshi telah dikahwinkan dengan seorang wanita Ansar.

Wanita tersebut mengetahui bahawa Bilal bukan berbangsa Arab. Namun, Rasulullah mengenepikan soal darjat antara kedua-duanya dan mengatasinya dengan cara memberi kefahaman dan penghayatan agama.

Begitu juga kisah sekumpulan orang-orang Ansar yang berkata kepada Ali bin Abi Talib, ``Alangkah baiknya kalau kamu memiliki Fatimah.'' Lalu Ali menemui Rasulullah s.a.w. untuk meminang puterinya, Fatimah. Setelah mengucapkan salam beliau ditanya oleh Rasulullah s.a.w.: Apa hajatmu wahai putera Abi Talib? Jawab Ali, Aku hendak melamar Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. Rasul menjawab: Marhaban Wa Ahlan. dan tidak berkata apa-apa lagi. Maka Ali keluar menemui sekumpulan orang-orang Ansar yang sedang menunggunya tadi. Mereka bertanya, ``Berita apa yang kau bawa?'' Ali menjawab, ``Aku tidak tahu kerana baginda hanya mengatakan kepadaku, Marhaban.''

Daripada peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa sekufu dalam agama merupakan aspek penting dalam pemilihan jodoh.

2/06/05


PASANGAN Mohamed Nazim Tun Razak dan Norjuma Habib Mohamed yang akan melangsungkan perkahwinan di Pulau Pinang hari ini dalam satu pose istimewa di Kuala Lumpur semalam.
Adik Najib kahwin bekas wartawan TV3
KUALA LUMPUR 22 April - Datuk Mohamed Nazim, adik kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak akan melangsungkan perkahwinan dengan bekas wartawan TV3, Norjuma Habib Mohamed di Pulau Pinang esok.
Majlis akad nikah akan dilangsungkan di Masjid Jamek Bayan Baru pagi esok dan diikuti dengan majlis persandingan pada sebelah malam di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas.
Selain Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali adalah antara tetamu kehormat yang dijangka menghadiri majlis persandingan itu.
Menurut Datuk Idris Shaari Mat Aris, Setiausaha Sulit kepada ibu pengantin lelaki, Tun Hajah Rahah Mohd. Noah, majlis persandingan pihak pengantin lelaki akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 30 April ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Idris Shaari berkata, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja-Raja Melayu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menghadiri majlis persandingan itu.
Mohamed Nazim merupakan seorang arkitek yang mendapat pendidikan awal di Oundle School United Kingdom sebelum melanjutkan pelajaran di The Architectural Association, School of Architecture, United Kingdom.
Norjuma yang berkelulusan jurusan Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah St George, Pulau Pinang dan menyertai TV3 sebagai wartawan penyiaran. - Bernama
http://www.utusan.com.my/ utusan/archive.asp?y=2005&dt=0423& pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_02.htm&arc=hive

PENGANTIN baru, Mohamed Nazim Tun Razak bersanding dengan isterinya, Norjuma Habib Mohamed di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang malam tadi.
Nazim, Norjuma diijab kabul
Oleh: ZULKIFLI JALIL dan AHMAD SYAHIR KASSIM
PULAU PINANG 23 April - Pasangan Datuk Mohamed Nazim Tun Razak dan Norjuma Habib Mohamed selamat diijabkabulkan pada majlis yang meriah dan penuh kesyukuran di Masjid Bayan Baru di sini hari ini.
Mohamed Nazim yang segak mengenakan baju Melayu putih susu dan samping songket krim keemasan dengan tenang mengucapkan akad nikah dengan sekali lafaz di hadapan Naib Kadi Daerah Barat Daya, Ishak Ariffin.
Norjuma, 25, yang duduk bersimpuh berbaju kurung moden berwarna serupa kelihatan berdebar-debar memerhatikan Mohamed Nazim, 43.
Bekas pengacara Nona TV3 itu dilihat mengusap muka sebagai tanda syukur sejurus suaminya melafazkan akad nikah.
Mohamed Nazim kemudian menunaikan sembahyang sunat nikah sebelum menyarungkan cincin ke jari isterinya pada majlis yang dihadiri kira-kira 400 tetamu terdiri daripada saudara-mara dan rakan taulan.
Pasangan mempelai yang ditemui selepas itu sambil tersenyum berkata: ``Syukur Allah telah menyatukan kami.''
Mohamed Nazim yang memiliki firma arkitek memberi mas kahwin RM80 serta wang hantaran RM40,000 bersama 11 dulang dan dibalas Norjuma sebanyak 13 dulang berupa persalinan dan barangan lain.
Terdahulu, rombongan pengantin lelaki yang diketuai abang kedua Mohamed Nazim, Datuk Johari Tun Razak tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 11 pagi. Turut mengiringi rombongan itu ialah bonda pengantin lelaki, Tun Rahah Mohd. Noah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut memeriahkan majlis perkahwinan adik keempatnya itu.
Hadir sama, Menteri Pelajaran yang juga sepupu Mohamed Nazim, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan isteri serta ahli keluarga.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Basharuddin Saad yang mewakili keluarga pengantin perempuan di atas kedatangan rombongan pengantin lelaki dari Pekan, Pahang itu ke Pulau Pinang menerusi pujangganya: ``Izinkan saya bercakap bagi tuan rumah, (ibu bapa Norjuma) Mohamed Habib Said Ahmed dan Zainab Haroon.
``Orang kata tanpa bersuara, apa yang terpendam di hati tidak dapat difahami, hajat pun terpendam, maka meranalah badan, jika boleh kita elakkan.
``Dalam hati dua sejoli, janji diikat kasih berpadu, syariat dan adat mesti dipatuhi, ibu dan bapa memberi restu.''
Johari dalam pantun balasnya berbunyi: ``Dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, pergi bermain pantai, perkara yang lazim, kami datang ke sini mengambil peluang, menemukan jodoh Norjuma dan Nazim.
``Dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang, sudah lama Nazim mencari, nyata dipilih Norjuma seorang.''
Johari turut mengusik mempelai sehingga mencuit hati tetamu termasuk Rahah, Najib dan Hishammuddin.
``Siapa sangka, dalam kami ini sering asyik pi mai pi mai ke Pulau Pinang, untuk bercuti, bersantai di pantai yang indah, rupanya diam-diam, Nazim telah menaruh hati dengan sekuntum bunga di Pulau Mutiara ini, mekar di taman Pak Haji Habib dan Puan Zainab,'' katanya.
Pasangan mempelai turut diraikan malam ini dalam majlis persandingan di Dewan Besar, Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas.
Selain Najib dan Rosmah, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali adalah antara tetamu kehormat yang menghadiri persandingan itu. Majlis persandingan pihak pengantin lelaki akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 30 April ini.
Mohamed Nazim merupakan seorang arkitek yang mendapat pendidikan awal di Oundle School United Kingdom sebelum melanjutkan pelajaran di The Architectural Association, School of Architecture, United Kingdom.
Norjuma yang berkelulusan jurusan Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah St. George, Pulau Pinang dan menyertai TV3 sebagai wartawan penyiaran.