31/12/06
Redup suram dan tawa ria 2006
Tahun 2006 menoktahkan lebarannya hari ini dan esok kita semua akan menyambut tahun baru 2007 dengan keazaman baru. 2006 yang berlalu meninggalkan seribu satu macam kenangan indah, pahit dan manis. Dunia hiburan tentunya tidak pernah sunyi dengan segala macam kisah sensasi yang terjadi.
Tahun ini dunia artis dibuka dan ditutup dengan penuh meriah dan warna-warni. Daripada soal perkahwinan sehinggalah kisah-kisah sedih melibatkan perceraian dan kematian.
Kita imbas kembali peristiwa-peristiwa utama yang menarik sepanjang tahun 2006.
Perkahwinan
* 29 Mac
* Syura
Penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 20, mendirikan rumah tangga dengan sepupunya, Mohd. Fadhly Md. Yassin pada 29 Mac di Johor Bahru, Johor. Syura bagaimanapun mengalami keguguran selepas beberapa bulan perkahwinan itu.
* 28 April
* Siti Nordiana dan Mohd. Faizal Yusop
Penyanyi Siti Nordiana Alias, 22, dan pelakon Mohd. Faizal Yusop, 28, berkahwin pada 28 April di Felda Sendayan, Negeri Sembilan. Mereka kemudian mendirikan persandingan untuk penduduk kampung dan peminat di Dewan Felda Sendayan pada 29 April berkonsepkan persandingan dalam taman.
* 29 April
* Nurfarahin Jamsari
Personaliti TV3 – Nurfarahin Jamsari selamat mendirikan rumah tangga keduanya dengan Noor Eddie Putera Noordin, 36, di Keramat, Kuala Lumpur.
Sebelum itu pada 16 Januari, Nurfarahin berpisah dengan suaminya Sheikh Omar Sheikh Anuar dengan talak satu. Hasil perkahwinan pertamanya, Nurfarahin dikurniakan empat orang anak.
* 26 Mei
* Anne Ngasri
Anak kepada pelakon Ngasri Sain - Anne Ngasri, 22, berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan di Taman Permai Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
* 24 Jun
* Fendi (X-Factor)
Bekas penyanyi kumpulan X-Factor, Fendi mendirikan rumah tangga dengan Wan Intan Nadia Noraman di Keramat, Kuala Lumpur. Sebelum itu Fendi pernah bertunang dengan seorang peguam tetapi hubungan mereka tidak kekal lama.
* 20 Jun
* Nora Danish
Pelakon siri Puteri, Nora Danish, 24, berkahwin dengan Rizal Ashram iaitu anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis pernikahan mereka diadakan secara eksklusif.
* 15 Julai
* Aleeza Kasim
Pelakon dan model Aleeza Kassim, 35, mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan terkenal Mohd. Fauzi Che Ros, 42. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
* 1 Julai
* Ezany
Mohd. Ezany Nizariff, 33, yang popular menerusi drama bersiri Natasha berkahwin dengan gadis dari tawau Sabah – Lidza Nuryanti Abidin, 23. Majlis persandingan mereka diadakan serba sederhana.
* 21 Ogos
* Siti Nurhaliza
Akhirnya desas-desus perkahwinan Siti Nurhaliza Taruddin, 27, terjawab apabila gadis itu berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Perkahwinan itu merupakan satu sejarah di dalam dunia hiburan tanah air kerana ia disiarkan secara langsung oleh TV3.
Wang Hantaran yang diterima Siti ialah RM30,000 dan mas kahwin pula RM22,222.22. Persandingan mereka diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos dan seminggu selepas itu di Dataran Lipis, Pahang. Pada bulan Oktober lalu Siti dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk.
* 8 September
* Fiza
Bekas anggota kumpulan Elite yang juga seorang pelakon – Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 25, berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 26, di Masjid Al-Syarif, Gombak, Selangor. Mereka berkawan selama lima tahun sebelum memilih untuk menjadi suami isteri.
* 4 November
* Ieda (Moin)
Penyanyi Ieda Moin, atau Siti Haidah Abdul Moin, 27, memilih Pengurus Produksi, Mohd. Naquib Idris, 27, sebagai suaminya. Mereka berkahwin di Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan pada 4 November dengan hantaran RM10,000.
* 12 November
* Noorkhairiah
Pelakon Noorkhairiah Ahmad Shapie, 30, mendirikan mahligai bahagia dengan seorang jurutera Azfaizul Ahtan, 29. Mereka selamat bernikah di taman Muhibah, Raub Pahang. Selepas berumahtangga, Noorkhairiah tetap mahu aktif berlakon.
* 18 November
*Bob Azrai
Pelakon Bob Azrai, 38, bernikah dengan Siti Khalifah Alihan, 18, di Masjid Bukit Indah, Ampang. Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua Bob selepas keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon Aida Aris.
* 2 Disember
* Linda Rafar dan Syed Aiman
Pasangan duda dan janda Linda Rafar, 28, dan Syed Aiman, 31, selamat diijabkabulkan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Kedua-dua pelakon itu turut mengadakan majlis resepsi di rumah keluarga Linda di Shah Alam dan di hotel Concorde seminggu kemudian.
* 16 Disember
* Aziz Sattar
Pelakon veteran, Aziz Sattar mendirikan rumah tangga ketika berusia 81 tahun dengan peminatnya, Hashimah Delan, 48. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
* 19 Disember
* Erema dan Seri Bayu
Tahun 2006 ditutup dengan perkahwinan penulis lirik Seri Bayu dengan penyanyi Erema Awang Mohdad, 23, di Masjid danau Desa, Taman Desa Kuala Lumpur. Biarpun Seri bayu menghidap penyakit saraf namun Erema sanggup menerimanya sebagai suami.
Pertunangan
* 11 Mac
* Haiza
Penyanyi dangdut – Haiza melangsungkan pertunangan dengan pemain hoki sebuah bank - Hanafi Omar di rumah kakak penyanyi itu di Kuala Lumpur.
Kedua mereka berusia 26 tahun dan masih memikirkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan. Mereka cuba menyembunyikan pertunangan itu atas atasan ia tidak perlu diheboh-hebohkan. “Takut apa-apa jadi nanti malu...’’ kata Haiza.
* 4 Jun
* Nasha Aziz
Pelakon popular Nasha Aziz atau Noraishah Abdul Aziz, mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof di Keramat, Kuala Lumpur. Nasha juga mahu merahsiakan pertunangannya tetapi dapat dihidu juga oleh wartawan.
Pada majlis itu Nasha menerima sebentuk cincin Chopard yang disarungkan oleh bakal ibu mentuanya, Hasnah Hassan.
* 28 Oktober
* Lisdawati dan Fauzi Nawawi
Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005, Lisdawati mengikat tali pertunangan dengan pelakon Fauzi Nawawi di rumah keluarga Lisdawati di Kualam Lumpur. Mereka merancang mengadakan majlis perkahwinan pada tahun hadapan. Hantaran perkahwinan ditetapkan sebanyak RM21,111.11 dan mas kahwin RM999. Fauzi merupakan seorang duda
Perpisahan
* 7 April
* Noraniza Idris dan Fareez
Pasangan penyanyi dan pelakon ini berpisah selepas 20 tahun berkahwin. Lafaz cerai dilakukan oleh Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Tajuddin terhadap Noraniza di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 7 April.
* 26 April
* Erra Fazira dan Yusri
Erra Fazira dan Yusry Abd. Halim yang cuba mengelak memperkatakan mengenai rumah tangga mereka akhirnya mengambil keputusan berpisah selepas tiga tahun berkahwin.
Lafaz cerai dilakukan pada 26 April di kediaman Erra di Damansara dan pengesahan cerai tersebut dilakukan pada 16 Jun di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, Selangor.
* 5 Mei
* Norman Hakim dan Abby
Sesuatu yang mengejutkan apabila pasangan pelakon Norman hakim, 30, dan Abby Abadi, 28, berpisah. Norman melafazkan cerai terhadap Abby pada 5 Mei dan mereka rujuk semula beberapa hari selepas itu. Penyanyi Farahdiaya dikatakan menjadi punca penceraian itu. Abby dan Norman mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan mereka.
* 16 Oktober
* Awie dan Arni Nazira
Penyanyi kumpulan Wings, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 38, melafazkan cerai talak satu terhadap penyanyi Arni Nazira, 28, di Mahkamah Rendah Syariah, Kuantan, Pahang. Penceraian itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar perkahwinan Awie dengan Rozana Misbun di Internet.
Akibat penceraian itu, Awie mendapat hak penjagaan terhadap dua anaknya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 4.
* 20 Oktober
* Ajai dan Nurul
Pasangan yang popular dengan lagu Serasi Bersama rupa-rupanya tidak serasi apabila Nurul atau namanya Noorul Huda Abdul Wahab, 29, memfailkan permohonan pengesahan cerai dengan Mohd. Faizal Maas, 31, atau Ajai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.
Nurul mendakwa Ajai melafazkan cerai terhadapnya sebanyak tiga kali pada 2001 dan dua kali pada 2006.
Kembali ke rahmatullah
* 20 Jan
* Rosiah Chik
Penyanyi veteran, Rosiah Chik meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada usia 74 tahun akibat serangan penyakit jantung.
Allahyarham menjadi penyanyi ketika berusia 16 tahun dan merakamkan lebih 200 buah lagu ketika hayatnya. Hasrat beliau untuk mendengar lagu duetnya iaitu Hantaran Hati bersama Bob (Akademi Fantasia 2) tidak kesampaian.
* 7 Februari
* S. Jibeng
Penyanyi popular tahun 60-an S. Jibeng meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana sakit jantung dan kencing manis.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas zuhur di Tanah Perkuburan Islam, Kebun Teh.
* 25 Julai
* Hani Mohsin
Pelakon filem dan drama terkenal Hani Mohsin Hanafi, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, ketika sedang menunggu penerbangan ke Alor Star bersama anaknya Hani Karmila, 9.
Beliau juga adalah bekas suami Datin Seri Tiara Jacquelina. Pelakon itu merancang untuk bercuti ke Langkawi semasa kejadian.
Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang selepas solat isya sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Hasni Bakar di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.
* 10 Oktober
* Seha
Bekas penyanyi kumpulan Freedom, Norsehah Abu Bakar atau Seha (44 tahun) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit barah paru-paru.
Beliau meninggal dunia kira-kria pukul 8 pagi di sisi suaminya Azmi Thambi Chik. Hajatnya untuk menemui anak sulungnya Misha Kyrie Lind, 15, yang tinggal bersama bekas suaminya di London tidak kesampaian. Sebaliknya mereka sempat berhubung menerusi e-mel selepas penderitaan Seha disiarkan di akhbar. Seha juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun iaitu Karissa Iris Lund.
Kejayaan
* 5 Ogos
* Mohd. Faizal Ramly
Jejaka dari Marang, Terengganu – Mohd. Faizal Ramly, 22, menjadi Juara Akademi Fantasia Keempat (AF4) dan sekali gus membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM370,000 termasuk sebuah kereta Toyota Vios serta wang tunai RM20,000.
* 22 September
* Suki
Low Sook Yee atau lebih dikenali dengan nama Suki menjadi juara pertandingan One In A Million anjuran 8TV dan sekali gus melayakkan gadis berusia 17 tahun itu menerima wang tunai RM1 juta.
* 19 November
* Datuk Ahmad Nawab
Komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab menerima Anugerah Seniman Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail. Beliau turut mendapat hadiah wang tunai RM60,000.
* 3 Disember
* Fiq
Pertandingan Mentor anjuran TV3 memperlihatkan jejaka dari Sabah, Fiq atau nama sebenarnya Mohd. Firdauz Abdul Halim, 24, menjadi juara pertandingan itu dan menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, tawaran menjadi artis rakaman EMI Music Sdn. Bhd., dan trofi. Fiq juga berjaya mengalahkan Ima dari Indonesia dalam pertandingan Juara Antara Juara pada 24 Disember lalu. Dalam pertandingan itu Fiq berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM18,500.
Sensasi
* 1 Julai
* Mawi
Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi memutuskan pertunangannya dengan Nordiana Md. Naim. Mawi mendakwa hubungan itu terputus akibat masalah peribadi yang berlaku. Akibat kejadian itu, Nordiana mengambil kesempatan meluahkan rasa hatinya dengan menghasilkan sebuah buku Catatan Duka Diana Naim yang menceritakan kisahnya bersama Mawi sebelum penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia.
Mawi turut mencipta kontroversi apabila membuat kenyataan tidak mahu berpegangan tangan sekiranya ditawarkan berlakon sehingga mencetuskan kemarahan beberapa orang pelakon termasuk Rosyam Nor.
* 13 Ogos
* Sharifah Amani
Pelakon Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), mencetus kontroversi apabila berucap di dalam bahasa Inggeris dengan berkata, ‘‘I sound like stupid if I speak in Malay.’’ (Saya rasa seperti orang bodoh kalau saya bercakap dalam bahasa Melayu).
Ucapannya itu menimbulkan rasa tidak senang sebilangan besar penonton termasuk tetamu kehormat majlis itu iaitu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Pelakon itu bagaimanapun tidak bermaksud untuk menghina bahasa Melayu sebaliknya menganggap ucapannya telah disalah tafsir.
* 15 Ogos
* Rita Rudaini dan Lisdawati
Pelakon Rita Rudaini dan Lisdawati dikatakan bercakaran di dalam sebuah kolam renang ketika penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang di Pulau Pinang.
Lisdawati mendakwa Rita cuba mencederakannya di dalam penggambaran itu sehingga memaksa Lisda membuat laporan polis. Bagaimanapun pihak polis telah menutup kes tersebut dan menganggap ia selesai.
19/11/06
Linda & Syed Aiman layari perkahwinan kedua
Oleh NIEZAM ABDULLAH
TermeterAi juga kasih yang dibina biarpun sejarah lama membawa duka. Biarpun terluka, tidak bererti kasih yang terputus itu akan terus terputus tanpa ada pengganti buat selama-lamanya.
Cinta Linda Rafar dan bakal suaminya Syed Aiman Syed Mahmud yang dipupuk akhirnya membawa ke jenjang pelamin.
Pada 2 Disember ini, kedua-dua mereka akan disatukan sebagai suami isteri selepas sekian lama memegang status kembali ‘solo’.
Bercerita mengenai rumah tangga, Linda dan Aiman suatu ketika dahulu tidak pernah membayangkan mereka akan menemui pengganti selepas berpisah dengan pasangan masing-masing. Itulah namanya jodoh yang ditentukan oleh Ilahi.
“Memang... kami tidak pernah menyangka untuk merasai perkahwinan buat kali kedua,’’ kata Linda. Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar, 27, pernah kecundang di dalam rumah tangganya dengan pelumba kereta terkenal Keifli Othamn selepas melayari hidup sebagai suami isteri selama lima tahun.
Hasil perkahwinan itu Linda dikurniakan dua cahaya mata iaitu Rezaril Keiflin, 6, dan Rezaimen Keiflin, 3. Selepas dua tahun berpisah, kedua-dua anak itu berada di bawah penjagaan Linda.
Begitu juga dengan Aiman yang menduda sejak enam tahun lalu. Dia hanya sempat merasai kemanisan sebagai suami kepada Zulina Razali selama setahun.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang berada di bawah jagaan bekas isterinya itu. Apa yang menyebabkan Linda dan Aiman berpisah itu ada sebab tersendiri yang disimpan di pintu hati masing-masing.
Namun, naluri sebagai manusia untuk mendirikan rumah tangga tetap terbuka antara kedua-dua mereka.
Pengalaman yang menyebabkan hidup mereka kecundang di dalam rumah tangga itu sebenarnya membawa pengertian yang cukup bermakna untuk Linda dan Aiman membuka lembaran baru sebagai suami isteri Disember nanti.
Adakan majlis serba sederhana
Linda dan Aiman mengikat tali pertunangan pada 11 Ogos lalu dengan hantaran perkahwinan mereka RM11,111.11.
Mengikut cerita Linda, dalam perkahwinan kedua ini mereka ingin bersederhana. Selepas majlis nikah yang dijadualkan di Masjid Shah Alam, mereka akan diraikan untuk majlis persandingan di rumah pengantin perempuan di Seksyen 9, Shah Alam.
“Pada majlis persandingan, dijangkakan 1,000 tetamu akan datang termasuk rakan-rakan artis yang akan Linda jemput.
“Seminggu selepas itu pula majlis resepsi untuk VIP, wartawan dan artis akan diadakan secara tertutup di Hotel Concorde, Shah Alam.
“Semuanya kami adakan serba sederhana tetapi dijangka meriah dengan kehadiran kawan-kawan,’’ kata Linda.
Seperti pertama kali kahwin
Perpisahan di dalam rumah tangga merupakan peristiwa yang sukar untuk dilupakan kedua-dua mereka. Namun begitu dalam perkahwinan kedua ini, Linda dan Aiman tetap merasakan mereka seperti pertama kali ingin melangsungkan perkahwinan.
Bagi lelaki yang berusia 31 tahun ini, perkahwinan keduanya betul-betul diaturkan dengan sempurna berbanding perkahwinan pertama dahulu.
Walaupun pernah rasa serik untuk mencari calon isteri namun selepas enam tahun menduda, hatinya tiba-tiba terbuka untuk menjadikan Linda sebagai suri di dalam rumah tangganya.
“Pertama kali kahwin dulu majlis persandingan saya tidak begitu teratur dengan baik. Biasalah ketika itu masih muda selain tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk mengadakan majlis yang meriah.
“Kali ini saya sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan majlis. Sebab itulah saya rasakan perkahwinan ini seperti perkahwinan pertama saya,’’ kata Aiman.
Perkahwinan ini pula bagi Linda walaupun tidak semeriah seperti majlis pertamanya dengan Keifli dahulu tetapi ia mempunyai kelainan.
Selepas dua tahun hidup solo, Linda tidak pernah memikirkan lagi sama ada dia akan naik pelamin atau tidak tetapi ternyata, jodohnya masih ada.
“Linda tak sangka akan berkahwin kali kedua kerana selepas berpisah dengan Keifli, Linda merasakan malas untuk berkahwin lagi.
“Tapi jodoh itu kuasa Tuhan. Perasaan untuk berkahwin semula itu timbul selepas Linda mengenali Aiman. Atas dasar itu, Linda rasakan kami seperti pasangan yang baru hendak berumah tangga,’’ katanya.
Dapat banyak penaja
Kedua-dua pasangan tersebut merasakan amat bertuah kerana mendapat banyak tajaan daripada kawan-kawan untuk sama-sama meraikan hari bahagia mereka.
Hantaran pihak lelaki iaitu sebanyak tujuh dulang dan 11 dulang oleh pengantin perempuan ditaja oleh sepupu Linda sendiri iaitu Emma K.
Emma K juga turut menyiapkan beberapa hadiah perkahwinan istimewa untuk tetamu VIP pada majlis yang akan diadakan di hotel.
Selain itu perfume Aura turut menaja produk mereka manakala kelengkapan sistem bunyi pula diuruskan oleh KRU Music Group.
“Linda cukup gembira kerana dalam perkahwinan ini, ramai rakan-rakan yang hendak bantu. Pakaian pengantin dan juga pelamin pun Linda dapat diskaun daripada Halim Bridal di Shah Alam,’’ kata Linda yang betul-betul bersedia untuk menempuh perkahwinan barunya itu.
Aiman hubungi Keifli
Walaupun Keifli tidak lagi menjadi suami Linda namun Aiman bersikap lebih terbuka untuk menjemput bekas suami Linda itu menghadiri majlis resepsi mereka.
Menurut Aiman, adalah lebih manis dia berbuat demikian kerana selepas berumah tangga nanti, sudah tentulah Keifli akan bertemu Linda untuk menguruskan soal anak-anak mereka.
“Keifli okey. Dia ucap tahniah kepada saya kerana ingin berkahwin dengan bekas isterinya. Pada saya, Keifli seorang yang baik dan dapat menerima hakikat Linda akan berkahwin lain,’’ katanya.
Kena jaga pantang larang
Masalah perceraian dalam kalangan artis sejak kebelakangan semakin menjadi-jadi. Selepas terputusnya cinta Erra dan Yusry, berlaku pula masalah baru apabila Noraniza Idris dan Fareez melafazkan cerai.
Ia diikuti pula dengan Norman Hakim - Abby Abadi yang kemudiannya rujuk kembali. Belum pun reda kes tersebut, Awie - Arni pula berpisah dan diikuti pula dengan Ajai - Nurul.
Ia tidak termasuk lagi beberapa kisah rumah tangga selebriti lain yang ada sesetengahnya dikatakan bergoyang dan menunggu masa untuk diselesaikan ke mahkamah Syariah.
Melihat kepada perkembangan itu, ramai yang mengatakan perkahwinan sesama artis itu sukar membawa kepada kebahagiaan.
Bagi Linda dan Aiman, sebelum mendirikan rumah tangga sudah banyak perkara telah mereka bincangkan terutamanya soal perceraian yang sering dikaitkan terhadap pasangan sesama artis.
Kedua-dua mereka tidak menafikan keadaan yang berlaku itu menyebabkan mereka agak gentar untuk menempuh perkahwinan.
Bagaimanapun sebelum kedua-duanya bersetuju untuk bergelar suami isteri, Aiman dan Linda telah mengadakan banyak perbincangan bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berlaku.
“Memang kami takut perpisahan apatah lagi kami pernah mengalaminya suatu ketika dahulu. Atas dasar pengalaman silam itu, banyak perkara yang telah kami persetujui sebelum perkahwinan ini dimeterai,’’ kata Linda.
Antara yang menjadi syarat mereka tidak akan menerima apa-apa tawaran berlakon. Mereka juga ingin mengelak daripada membawa babak-babak cinta kerana ia boleh mengundang perasaan cemburu antara satu sama lain.
“Berdasarkan pengalaman Linda ‘hidup’ dalam dunia artis, antara faktor berlakunya masalah dalam sesebuah rumah tangga itu apabila pasangan mereka berlakon adegan peluk sehingga mewujudkan cinta lokasi.
“Sebab itulah kami meletakkan syarat untuk bahagia dalam rumah tangga tidak boleh menerima watak-watak yang boleh mengundang wujudnya perasaan cemburu itu,’’ kata Linda.
Atas dasar tidak mahu masalah seperti perkahwinan pertama mereka berlaku, Linda dan Aiman akan berbincang terlebih dahulu setiap skrip sebelum menerima tawaran berlakon.
19/10/06
Sebak lepas lafaz talak satu
Rohaidah berkata, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 38, mendapat kebenaran mahkamah untuk menceraikan Arni dengan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Wahid Md Ali.
“Awie dan Arni tenang ketika di kamar hakim. Mereka berbincang secara baik.
“Kedua-duanya boleh membuat tuntutan selepas ini, termasuk hak bekas isteri seperti nafkah, edah dan harta sepencarian. Awie juga boleh menuntut apa-apa yang diperuntukkan dalam enakmen berkaitan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Awie dan Arni belum memutuskan tarikh membuat tuntutan berikutan perlu membuat permohonan berasingan.
Sementara itu, Arni sebak sebaik keluar dari kamar hakim jam 10.05 pagi semalam.
Arni yang ditemani Rohaidah dilihat memegang tisu sambil mengesat matanya dalam mahkamah itu sebelum dihampiri seorang lelaki dipercayai ahli keluarganya.
Selepas itu, Awie yang keluar bersama peguamnya, Mastuni Mohamad segera memeluk lelaki berkenaan mungkin sebagai tanda berdamai.
Seperti Arni, Awie sebak sebaik keluar dari mahkamah sebelum menaiki Mercedes Benz putih dan beredar.
'Sudah takdir putus jodoh'
“Saya cuma berharap dua cucu saya akan pulang menyambut Aidilfitri di sini,” kata Anuar Jaafar, 52, bapa penyanyi dan pelakon, Arni Nazira, 28, ketika dihubungi, semalam.
Anuar mengulas perceraian anaknya, Arni dengan Awie atau Ahmad Azhar Othman, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, semalam.
Arni dan Awie yang mendirikan rumah tangga pada 10 Disember 1998 di Kuala Terengganu dikurniakan dua cahaya mata, Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 3.
Difahamkan, perceraian mereka difailkan di mahkamah berkenaan, Julai lalu.
Sambil mengimbau kenangan lalu dengan Arni dan Awie sering pulang ke sini untuk menyambut Aidilfitri, Anuar berkata, kehadiran cucu kesayangannya bersama Arni akan menggembirakan keluarganya.
“Setiap Aidilfitri, mereka berempat pulang beraya di sini tapi kali ini agak lain sikit kerana sudah pasti Awie tidak bersama,” katanya.
Walaupun Arni mempunyai rumah di Selangor, dia berharap anaknya itu pulang beraya ke kampung walaupun tanpa suami.
Sebagai bapa, Anuar berkata, agak sukar untuk melahirkan kata-kata apabila diberitahu rumah tangga Arni sudah berakhir.
“Mereka sudah tiada jodoh. Oleh itu, saya terima sajalah. Mungkin itu (bercerai) jalan terbaik untuk mereka,” katanya.
Anuar berkata, dia hanya diberitahu perceraian Arni oleh saudaranya ketika pergi ke Shah Alam, Selangor.
Malah, anaknya itu sendiri tidak memaklumkan mengenai keputusan kes itu kepadanya.
“Saya anggap hal itu sudah takdir dan tiada jodoh. Saya juga tidak mahu mengambil tahu mengenai apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka,” katanya.
Ketika ditanya kemungkinan wujud orang ketiga yang menyebabkan rumah tangga Awie dan Arni berkocak, Anuar berkata, dia tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
Sebelum ini pun, kata Anuar, Arni tidak pernah menceritakan sebarang masalah rumah tangganya, justeru menganggap segalanya baik.
18/10/06
Effendi setuju serah harta RM50j kepada Farida
Effendi, 58, dan Farida, 55, turut bersetuju menarik balik semua permohonan yang berkaitan kes mereka dan dua peguam yang mewakili mereka berdua telah menandatangani notis penarikan balik kes pada 13 Okt lepas dalam kamar Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid.
Effendi diwakili peguam syarie Mohammed Burok, manakala Dr Mohd Rafie Shafie mewakili Farida.
Menurut Mohammed, kedua-dua pihak telah berbincang dan mencapai kesepakatan dalam pembahagian harta sepencarian itu pada 29 Sept lepas.
“Tarikh hari ini telah dilapangkan (sepatutnya keputusan kes) kerana kedua-dua pemohon bersetuju menyelesaikan kes di luar mahkamah dan perjanjian penyerahan harta ditandatangani di pejabat peguam Fairoz Moidunny yang juga mewakili Farida,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Syariah di sini.
Mohammed berkata, Farida akan mendapat harta seperti yang dijanjikan sebelum ini dan mengenai tujuh hartanah yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan di pejabat tanah, Effendi bersedia membayar gantirugi dalam bentuk wang tunai.
Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah sebenar, tetapi difahamkan ia berjumlah kira-kira RM7 juta.
Mengikut perjanjian persetujuan perceraian yang ditandatangani pada 28 Jan 2005, Effendi, bersetuju menyerahkan 25 bidang tanah di Sarawak dan Semenanjung yang bebas daripada sebarang bebanan.
Turut dipersetujui ialah 100 peratus saham syarikat Encorp Utility Sdn. Bhd., nafkah edah serta mutaah sebanyak RM50,000 dan tiga buah rumah termasuk di London dan sebuah di Taman U-Thant yang bernilai RM10 juta.
Perjanjian itu telah dijadikan perintah pada 21 Jun 2005 oleh Ketua Hakim Syarie, Hussin Ahamad.
Pasangan itu berkahwin pada Jun 1972 dan dikurniakan seorang anak lelaki Ezra serta dua perempuan Efeida dan Elyna. - Bernama
17/10/06
Awie, Arni sah bercerai talak satu
KUANTAN 16 Okt. – Pelakon dan penyanyi popular, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman bercerai talak satu dengan isterinya, Arni Nazira Anuar di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Lafaz cerai tersebut dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Wahid Md. Ali di dalam kamarnya.
Arni sebelum ini memfailkan tuntutan cerai pada 27 Julai lalu.
Sebaik sahaja keluar daripada kamar hakim, pasangan tersebut kelihatan sugul dan Arni dilihat mengalirkan air mata.
Awie diwakili oleh peguam syarie, Mastuni Mohamad, manakala Arni pula diwakili oleh peguam syarie, Rohaidah Ali.
Rohaidah ketika ditemui pemberita berkata, perceraian tersebut yang dilakukan di dalam kamar hakim dilafazkan oleh Awie menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.
‘‘Mereka telah bercerai talak satu secara aman dan untuk tuntutan lain hanya akan dilakukan pada satu tarikh yang bakal ditetapkan kemudian,” katanya.
Ketika ditanya mengenai punca pasangan itu bercerai, beliau menjelaskan, alasan yang diberikan oleh kedua-dua pihak ialah tidak ada lagi persefahaman di dalam rumah tangga.
Menurut Rohaidah, Awie dan Arni boleh membuat sebarang tuntutan termasuk nafkah edah, mutaah dan harta sepencarian seperti yang telah diperuntukkan dalam enakmen.
Mengulas mengenai penjagaan anak pasangan tersebut, beliau memberitahu, keputusan itu juga akan dibuat sekali gus dengan tuntutan-tuntutan lain.
Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 1998 memiliki dua orang cahaya mata iaitu Putri Aleeya Antasha, 6, dan Putri Aleefa Antasha, 4 yang kini dipelihara oleh Arni. [UM]
29/08/06
Persandingan Siti seindah fantasi
SEMOGA DIBERKATI: Siti Nurhaliza dan Khalid mengaminkan
doa yang dibaca oleh Asri Ubaidullah dari Kumpulan Rabbani.
Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Farihad Shalla Mahmud dan Serimah Mohd Sallehuddin
KUALA LUMPUR: Ibarat kisah fantasi yang sering dibayangkan dalam novel cinta, begitulah gambaran kemeriahan majlis persandingan penyanyi terkenal, Datin Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
Daripada riak wajah pengantin tergambar segenap rasa bahagia yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
Melangkah anggun dengan persalinan kebaya moden putih, Badarsila dipetik daripada judul lagu popularnya rekaan Radzuan Radziwill ke Dewan Pameran 1 & 2, Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC), senyuman dan debaran mengiringi langkah pasangan pengantin baru itu untuk upacara bersanding.
KENANGAN MANIS: Pasangan pengantin bersama pengiring kanak-kanak
pada majlis persandingan mereka malam tadi.
Paluan irama gamelan kumpulan Tepak Sirih dari Singapura bergema di segenap ruang foyer ketika pasangan pengantin sensasi itu diarak menuju ke pelamin, Mahligai Asmara rekaan Datuk Shah Rezza dari Nusantara Gems Sdn Bhd yang tersergam di tengah dewan.
Bungaan segar melatari setiap sudut dewan seperti mengalu-alukan ketibaan lebih 2,500 tetamu yang diundang khas bagi meraikan hari bersejarah pasangan yang diijabkabulkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, pagi Isnin lalu.
Kira-kira jam 9 malam, upacara persandingan bermula apabila pasangan mempelai sepadan itu diarak masuk dewan, serentak dipancarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TV3.
Bermula dengan bacaan doa dan pujian ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW oleh Ustaz Asri Ubaidullah daripada kumpulan Rabbani, majlis penuh gemilang itu diteruskan dengan acara merenjis sebelum upacara makan beradab dilangsungkan.
Siti kelihatan tenang, wajah bersihnya yang disolek cantik oleh jurusolek dari Indonesia, Mia terukir senyuman bahagia namun suaminya kelihatan agak gementar, lebih banyak tertunduk ketika upacara berlangsung.
Upacara merenjis itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan isteri, Sultanah Nur Zahirah; Tuan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Sallahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tan Sri Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Ketika acara makan beradab, sebagai halwa telinga tetamu persembahan hiburan daripada dijayakan artis terkenal tempatan dan Indonesia antaranya Azlina Aziz, Kris Dayanti, Ning Baizura, Ziana Zain, Datuk M Daud Kilau, Uji Rashid, Ezlynn, Too Phat, Nora dan Nash dipersembahkan.
Rangkaian lagu popular bertemakan cinta antaranya Syurga Di Hati Kita, Permata, Semakin Hari Semakin Sayang, Bukan Cinta Biasa, Mencintaimu, Percayalah dan Can't Help Fallin' Love berkumandang, seakan meraikan cinta suci mereka.
MAHLIGAI ASMARA: Pemandangan dalam dewan persandingan
hasil rekaan Datuk Shah Reza daripada Nusantara Gems.
Pengantin perempuan turut mengalunkan lagu terbarunya, Cahaya Cinta ciptaan sepenuhnya Siti yang ditujukan khas buat suami tercinta.
Peluklah daku, sayangi daku, berjanji denganku semai cinta nan satu adalah antara bait lirik Cahaya Cinta yang jelas menggambarkan betapa tinggi harapan yang diletakkan Siti terhadap istana cinta yang baru seminggu dilayarinya.
Melengkapkan hari bersejarah mereka, kedua mempelai kemudian menukar persalinan dengan rekaan Michael Ong untuk acara memotong kek perkahwinan sembilan tingkat bernilai RM12,000.
Untuk upacara itu, Siti menggayakan gaun berwarna krim dan pink bernilai RM35,000, diserikan dengan layah sepanjang enam meter yang disiapkan sepenuhnya selama sebulan.
Pasangan mempelai turut meraikan ulang tahun perkahwinan ibu bapa pengantin perempuan, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik yang ke-38 yang kebetulan disambut semalam. Acara itu juga menjadi kejutan manis buat ibu bapa Siti yang diraikan pada malam bahagia anak kesayangan mereka.
Sebagai memeterai upacara ulang tahun itu, Siti membuat kejutan dengan menjemput kedua-dua ibu bapanya untuk memotong pulut kuning. Ishak Nengah dan Zakiah Anas bertindak sebagai pengacara sepanjang majlis persandingan itu berlangsung.
Antara artis yang hadir ialah Anita Sarawak dan suami, Mohd Mahathir Abdullah, Erra Fazira, Umie Aida, Camelia, Ella, Chef Wan, Hetty Koes Endang, Aishah, Norlia Ghani, Azwan Ali dan Betty Banafe.
Terdahulu, kira-kira jam 5.40 petang, Siti menunaikan janjinya untuk bertemu peminat yang diadakan di balkoni Tingkat 3, KLCC sebagai menggantikan acara perarakan berkuda yang dibatalkan atas sebab keselamatan.
Siti yang jelita dengan gaun putih disulami 8,888 butiran mutiara asli rekaan Khoon Hooi berharga RM300,000, sempat meluangkan masa selama tujuh minit sebelum memberi laluan kepada pihak media untuk sesi bergambar.
Lebih 1,000 peminat yang membanjiri pekarangan Taman KLCC mengambil kesempatan untuk melihat dari dekat wajah penyanyi terkenal itu, sebahagian besarnya adalah peminat warga Indonesia.
Bagaimanapun, sesi itu mengundang rasa kecewa sebahagian peminat yang hadir kerana tidak puas menatap wajah Siti yang hanya muncul dalam masa singkat sebelum kembali ke dewan untuk persiapan majlis resepsi.
Sebelum ini pihak pengurusan Siti menjanjikan sesi itu berlangsung selama 30 minit.
Maka tertunailah segala impian yang pernah Siti impikan dan lengkap kini fasa kehidupan penyanyi tersohor itu apabila bergelar isteri kepada Khalid, usahawan ternama yang bertakhta di sudut hatinya sebagai suami. [BH]
INFO
Persandingan Siti, Datuk K
Ina sebak, Mawi selamba
PUTRAJAYA 28 Ogos – Selepas putus tunang Julai lalu, Asmawi Ani atau Mawi dan Nordiana Md. Naim atau Ina buat pertama kali diketemukan dalam satu rancangan khas secara langsung RTM1 dan Astro yang menyentuh perasaan dan berterus terang.
‘‘Susah nak lupa bang, cinta pertama. Saya masih ingat lagi sewaktu dia (Mawi) nak pergi uji bakat AF3, saya bekalkan dia kuih jemput-jemput dan sardin tetapi dia tak nak makan sebab nak jaga suara,” kata Ina, 22, sambil mengesat air matanya menjawab soalan pengacara Rosyam Nor.
Berbeza dengan Mawi, 25, dia kelihatan tenang.
Diwawancara oleh Aznil Nawawi di studio bersebelahan dengan Ina di Auditorium Putrajaya Holdings, Putrajaya, dia menjawab setiap soalan mengenai perjalanan hubungannya dengan Ina, biarpun menggunakan alasan terlalu peribadi untuk berkongsi bersama umum.
Sesekali studio riuh-rendah dengan teriakan penonton apabila Mawi kelihatan cuba untuk tidak berterus-terang mengenai perjalanan dan masalahnya dalam hubungan dengan Ina.
Ditanya sama ada hubungan cintanya dengan Ina terputus berikutan desakan pihak lain, Mawi berkata: ‘‘Ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada orang. Saya dah anggap semua perkara ini selesai.’’
Reaksi Mawi juga agak tegang dan gugup apabila tiba-tiba diberitahu akan dibawa bertemu bekas tunangnya itu yang berada bersebelahan studio dalam bangunan itu.
Sebaik sahaja bertentang mata, kedua-dua mereka tersenyum sinis dan Ina kelihatan tenang walau sesekali menjeling ke arah Mawi yang agak tegang dan berasa tidak selesa.
‘‘Saya tidak ada masalah untuk berjumpa dengan dia (Ina), kami kini sudah menjadi artis dan akan bertemu pada majlis-majlis tertentu dan pada waktu itu kami adalah rakan artis.
‘‘Nasihat saya ialah ingatlah bahawa dunia seni ini banyak dugaan. Saya faham awak seorang yang kuat,’’ reaksi Mawi sewaktu dipertemukan dengan Ina selepas beberapa bulan tidak bertemu.
Pada pertemuan itu, Mawi mengambil kesempatan memohon kemaafan kepada keluarga Ina sekiranya beliau melakukan kesalahan sehingga melukakan perasaan keluarga bekas tunangnya itu.
Selain dipertemukan secara mengejut, Ina turut menyampaikan lagu bertajuk ‘Penawar Rindu’ yang pertama kali dinyanyikan oleh gadis itu, khas untuk Mawi. Mawi pula membawakan lagu hitnya Kian’ - lirik kedua-dua lagu itu seakan-akan menceritakan isi hati masing-masing.
‘‘Abang (Mawi), saya ingin minta maaf terutama sekali mengenai penerbitan buku saya Catatan Duka Diana Naim, saya mahu abang baca dan fahamkan isi kandungan buku ini.
‘‘Jangan buat andaian terlebih dahulu,’’ kata Ina sebelum program yang berlangsung selama dua jam itu berakhir.
Program menarik yang pertama kali dianjurkan bersama RTM dan stesen berbayar, Astro, bagi membolehkan kedua-dua mereka menghuraikan secara terus terang mengenai apa yang menjurus kepada terlerainya ikatan pertunangan mereka, disiarkan serentak dengan siaran langsung upacara persandingan Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohd. Jiwa. [UM]
Siti titis air mata temui 1,000 peminat di KLCC
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Penyanyi tersohor negara Datin Siti Nurhaliza Tarudin, 27, sebak dan menitiskan air mata sewaktu muncul 10 minit di khalayak ramai pada majlis persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) petang ini.
Isteri kepada Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, itu menangis kerana terharu dapat bertemu kira-kira 1,000 peminatnya yang membanjiri bahagian luar sayap barat KLCC.
‘‘Siti menangis sebab dapat bertemu dekat dengan peminat walaupun dari tempat tinggi, walaupun Siti tak dapat berbicara dengan mereka,’’ katanya kepada pemberita selepas sesi bergambar bersama media di atas pelamin khas berkonsepkan taman rekaan Kem Salleh di Ballroom 2 KLCC.
Siti yang mengenakan tiara dan aksesori Rafflesia, memakai gaun putih Dewi Mustika yang berhiaskan 888 mutiara asli bernilai RM300,000 rekaan Khoon Hooi, muncul di khalayak ramai pada 5.35 petang.
Beliau disambut dengan jeritan peminat yang menunggu artis pujaan mereka sejak dari pukul 4 petang lagi.
Acara muncul di khalayak ramai diadakan bagi menggantikan perarakan berkuda untuk mempelai itu mengelilingi KLCC yang terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.
Mengulas perkara itu, Siti berkata ia dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang bimbangkan keselamatan beliau.
Malah, kira-kira lima minit sebelum muncul di khalayak, sepasukan skuad pemusnah bom memeriksa pelantar tempat Siti akan muncul di khalayak ramai itu.
‘‘Siti sedih sebab mahu dekat dengan peminat tetapi perancangan awal tak jadi... itu yang mampu Siti lakukan,’’ katanya.
Beliau turut menjemput semua peminat untuk hadir di majlis persandingannya yang kedua di Kuala Lipis pada 3 September ini.
Majlis persandingan yang bermula 9 malam ini disiarkan secara langsung di TV3 dan dihadiri kira-kira 2,500 jemputan yang terdiri daripada orang kenamaan, kerabat diraja serta rakan artis dari dalam dan luar negara.
– Bernama
Persandingan Siti - Datuk K meriah
Siti Nurhaliza Tarudin dan Khalid Mohd. Jiwa ceria di atas pelamin yang direka khas sempena persandingan mereka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Majlis persandingan penyanyi nombor satu negara, Datin Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang berkonsepkan ‘Persandingan Dalam Taman’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini berlangsung meriah dan penuh tradisi.
Majlis yang diberi julukan Wedding of the Year itu bermula pukul 5.30 petang apabila Siti Nurhaliza, 27, yang mengenakan gaun putih silk duchess satin ‘Dewi Mustika’ rekaan Khoon Hooi muncul melambai tangan kepada kira-kira 1,000 peminatnya dari balkoni tingkat 3, sayap barat KLCC berhampiran Hotel Mandarin Oriental.
Tanpa ditemani Khalid, 47, atau lebih dikenali sebagai Datuk K, Siti kelihatan terharu dan menitiskan air mata sambil melambaikan tangan kepada peminatnya selama 10 minit.
Siti bergelar isteri apabila diijabkabulkan dengan Khalid dalam majlis pertunangan dan akad nikah di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 21 Ogos lalu.
Majlis persandingan itu disiarkan secara langsung oleh TV3 bermula pukul 9 malam.
Tepat pukul 7.45 malam, Siti yang mengenakan persalinan kebaya moden french lace dan songket (padasila) rekaan Radzuan Radziwil, menghadiri sesi penggambaran dengan Khalid di singgahsana persandingan yang direka penasihat pelamin, Kem Salleh.
Kedua-dua mempelai meluangkan masa hampir sejam bagi sesi penggambaran bersama media dan kenamaan sebelum menuju ke Dewan Pameran 1 & 2 KLCC.
Pada pukul 9 malam, kedua-dua mempelai bersanding di atas pelamin khas “Mahligai Asmara” rekaan Datuk Shah Rezza dari Nusantara Gems, yang juga perunding bagi majlis persandingan yang menelan belanja RM500,000 itu.
Seramai 2,500 jemputan termasuk golongan kenamaan dan kerabat diraja disambut dengan haruman 2,500 kuntum bunga termasuk dari jenis hydrenges, casablanca lily dan ros putih yang diimport dari Belanda dan China.
Turut menarik perhatian ialah 13 sangkar burung yang ditempah oleh Khalid yang diletakkan di hadapan 32 tempat duduk tetamu khas terdiri daripada orang kenamaan.
Kenamaan yang duduk di meja utama itu dijamu 12 menu khas dengan kos mencecah RM297,000.
Antara kenamaan yang hadir ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Barieng Mohammed Salahuddin; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Artis tempatan dan luar negara termasuk Kris Dayanti serta Hetty Koes Endang turut menghadiri majlis persandingan itu yang dimeriahkan dengan pengacara Farah Fauzana, Aidil Abdul Ghaffar, Zakiah Anas dan Ishak Nengah.
Selain pelbagai hidangan istimewa yang dinamakan sempena lagu-lagu Siti, tetamu dihiburkan dengan persembahan gamelan dan tarian serta nyanyian oleh artis tempatan seperti Ziana Zain, Ezlynn, Hijjaz, Datuk M Daud Kilau, Nash Lefthanded dan Uji Rashid.
Upacara menepung tawar pengantin didahului Sultan Ahmad Shah diikuti orang kenamaan dan keluarga mempelai sebelum diteruskan dengan majlis santapan.
Ia disusuli dengan acara memotong kek perkahwinan khas tujuh tingkat yang diberi nama “Indah Percintaan” berharga RM12,000.
Kedua-dua mempelai mengenakan persalinan rekaan Michael Ong bagi acara memotong kek. Siti memakai `English Wedding Gown’ ala Cinderella berwarna merah jambu, perak dan krim daripada kain lace serta sutera Thai.
Kejutan yang dijanjikan oleh Siti pada majlis persandingannya merupakan dendangan sebuah lagu khas untuk suaminya yang tersayang, “Cahaya Cinta” yang gubahan lagu dan liriknya hasil nukilan Siti sendiri.
Beliau tidak lupa mengundang ibu bapanya, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik untuk memotong pulut kuning sempena ulang tahun ke-38 perkahwinan mereka hari ini.
Seramai 90 krew TV3 terbabit bagi menjayakan majlis persandingan malam ini di bawah kawalan lebih 100 anggota keselamatan daripada pasukan polis dan Rela.
Majlis itu turut mendapat liputan lebih 10 wakil media Indonesia termasuk dari Trans TV, SCTV, Jawa Pos, Nova dan beberapa majalah hiburan dari negara jiran itu. [UM]
23/08/06
Berat hati melepaskan...
Oleh: KHADIJAH IBRAHIM DAN MOHD. ARIF NIZAM ABDULLAH
BETAPA berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apatah lagi dalam situasi untuk melepaskan tanggungjawab menjaga anak gadis yang telah 27 tahun dipikul.
Anak gadisnya pula bukan calang-calang orang, penyanyi nombor satu negara.
Begitulah kepiluan yang dirasai Tarudin Ismail, 64, untuk melepaskan Siti Nurhaliza, penyanyi kebanggaan negara yang sempurna dinikahkan dengan lelaki idamannya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa, atau lebih dikenali Datuk K, 47 tahun.
Kesayuan hati anak dan abah ini jelas ketara kala Siti bersalaman dan dua kali berpelukan dengan abahnya, Tarudin kemudian menemui dan memeluk ibunya, Siti Salmah Bachik.
Kemudian dengan air mata yang masih bertakung, Siti melangkah pula ke arah abangnya Saiful Bahri Tarudin atau Ayie, mencium tangannya kemudian dipeluk erat Ayie juga dengan sebak yang menerkam di dada.
Namun bagi Siti Nurhaliza, biar apa jua perasaan berbaur di jiwa ini satu permulaan tanggungjawab yang dipikul setelah menjadi isteri Datuk K.
“Selalunya, Siti di bawah jagaan keluarga dan sekarang ini di bawah jagaan Datuk Khalid, Siti berjanji akan menjadi seorang isteri solehah yang mempunyai kerjaya sebagai anak seni.
“Bila sudah menjadi isteri Siti akan pastikan mempunyai masa untuk menjalani kehidupan sebagai isteri. Untuk seminggu dua ini mungkin Siti akan berehat dan tumpukan pada rumah tangga serta bertemu dengan saudara mara kedua-dua belah pihak.”
Begitu janji dan impian Siti. Apa pun perasaan yang bersilih ganti, kini Siti telah menjadi seorang isteri. Bersama Khalid Mohd Jiwa mereka akan melayari alam rumah tangga dengan janji yang telah dimeterai.
Semoga janji yang diikat akan tersimpul mati sehingga ke penghujung hayat.
Selamat Berbahagia!
*Pesan Abah
Dalam melayari alam rumah tangga yang baru ditempuhi sebagai anak yang taat kepada ayah dan ibunya sudah pasti Siti tidak melupakan pesan abah tersayang.
“Sebenarnya abah Siti adalah orang yang paling sensitif dan sebab itu dia nampak emosional. Walaupun dia anggota polis dan nampak tegas dan serius tapi kalau hal-hal berkaitan hari bersejarah atau hari raya, bila kami bersalaman, abah orang pertama yang akan menangis.
“Sepanjang tempoh Siti hampir melalui alam baru, abah berpesan agar Siti menjaga maruah sebagai isteri, jaga rumah tangga dengan baik dan jangan lupakan keluarga.”
*Sayu hati seorang abang...
Rasa sebak turut terbayang di wajah Saiful Bahri Tarudin (Ayie) yang selama 11 tahun menjaga Siti sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.
*Doa Ibu
Walaupun ibunya, Salmah Bachik lebih banyak berdiam tetapi jauh di sudut hati seorang ibu hanya doa dapat dipanjatkan agar anak tercinta selamat melayari hidup berumah tangga sambil berkata;
“Saya amat lega, syukur alhamdulillah ke hadrat Illahi semuanya sudah selamat.”
*Nenek gembira
Pada usia 83 tahun, nenek Siti, Teh Ahmad turut hadir memberi sokongan kepada cucunya itu. Teh yang merupakan ibu kepada Siti Salmah Bachik berkata, dia amat gembira kerana cucunya itu selamat melangsungkan pernikahan.
“Nenek gembira kerana Siti sudah selamat menjadi isteri dan harap dia akan bahagia hingga ke akhir hayat.” [UM]
22/08/06
Siti sah jadi isteri Datuk K
Khalid Mohd. Jiwa menyerahkan mas kahwin kepada Siti Nurhaliza selepas mereka diijab kabulkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Sadatul Mahiran Rosli dan Wan Syamsul Amly
KUALA LUMPUR 21 Ogos – Hanya dengan satu lafaz, penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin, 27, hari ini sah menjadi isteri ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd. Jiwa, 47.
Siti Nurhaliza yang bertudung litup dan mengenakan busana anggun kain lace berwarna putih bertatahkan batu pertama rekaan pereka fesyen terkenal Radzuan Razwill, kelihatan tenang sebaik sahaja akad nikah selesai dilafazkan Khalid pada pukul 11.40 pagi di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini.
“Insya-Allah, Siti akan menjadi isteri yang solehah, misali dan taat kepada suami serta pada masa sama menjadi wanita yang mempunyai kerjaya iaitu sebagai anak seni.
“Siti akan cuba membahagikan sebaiknya antara kerjaya dan rumah tangga, malah Datuk Khalid tidak pernah menghalang Siti meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian,’’ katanya pada sidang akhir selepas upacara bersejarah majlis pernikahan pertama artis Malaysia yang disiarkan secara langsung oleh televisyen negara ini.
Khalid turut menyatakan kesyukuran kerana majlis pernikahan tersebut selamat disempurnakan.
“Saya lega dan bersyukur kerana segala-gala telah selesai,’’ katanya dengan ringkas sebelum bergegas meninggalkan masjid.
Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Nasroddin Mat Daud dengan mas kahwin RM22,222 tunai bersamaan dengan sempurnanya kitab suci al-Quran diturunkan iaitu 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari.
Selesai pembacaan taklik, Khalid menyarungkan cincin emas putih bertatahkan berlian bermata satu ke jari manis Siti Nurhaliza pada majlis membatalkan air sembahyang.
Selepas acara pembatalan air sembahyang, Siti Nurhaliza dua kali memeluk erat dan mencium bapanya Tarudin Ismail yang berbaju Melayu warna hijau sebelum bersalaman dengan ibu dan anggota keluarga lain, diikuti kemudiannya oleh Khalid.
Sebak bercampur gembira di atas pernikahan itu jelas terpancar pada wajah ibu bapa Siti apabila selesai sahaja upacara itu.
Tambah Siti Nurhaliza, pernikahannya hari ini merupakan fasa baru dalam kehidupannya dan insya-Allah beliau dan Khalid akan melayari keharmonian rumahtangganya dengan sabar sehingga ke akhir hayat.
“Ini adalah perkara baru dalam hidup Siti dan Siti berharap dorongan daripada Datuk Khalid serta doa daripada semua,’’ jelasnya.
Kata Siti Nurhaliza, beliau memang agak berdebar semasa dibawa ke Dewan Solat Utama untuk upacara akad nikah.
“Walaupun pada mulanya Siti agak gementar ketika dibawa ke upacara akad nikah, namun dengan berselawat dalam hati, alhamdulillah pernikahan itu berjalan baik dan akad hanya sekali dilafazkan,’’ katanya.
Terdahulu, pada majlis pernikahan itu, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu menerima tujuh dulang hantaran berkonsepkan tradisional berwarna merah jambu, emas dan krim daripada Khalid yang dinamakan sempena nama lagu popular Siti Nurhaliza Azimat Cinta.
Hantaran itu mengandungi wang hantaran bernilai RM30,000 yang membawa maksud 30 juzuk al-Quran, halwa, kitab al-Quran dan bunga rampai, set permata Chopard, kain lace, beg tangan Louis Vuitton dan seutas jam tangan Roger Dubuis.
Siti Nurhaliza pula membalas hantaran Khalid dengan sembilan dulang berkonsepkan kontemporari berwarna perak dan hijau bertemakan lagunya Sebenar Cinta.
Ia terdiri daripada bunga rampai, kain sampin songket, butang baju Melayu, jam tangan Richard Mille, cincin, kek, tali pinggang beserta dompet, cuff links Louis Vuitton dan sepasang sut. [UM]
29/07/06
Pengantin Rock
Avril Lavigne bagaikan hilang kata-kata apabila diajak bicara mengenai majlis perkahwinannya 15 Julai lalu
“IA akan sentiasa menjadi detik terindah dalam kehidupan yang tidak mungkin saya lupakan.” Dalam sebak yang bersisa bintang rock muda, Avril Lavigne hampir kehilangan kata-kata usai upacara pernikahannya, 15 Julai lalu.
Setahun mengikat tali pertunangan, ikatan cinta Lavigne dan Derick Whibley, vokalis kumpulan punk rock terkenal Kanada, Sum 41, akhirnya bersatu di jinjang pelamin.
Majlis pernikahan penuh tradisi itu berlangsung di sebuah estet persendirian di Montecito, California dihadiri lebih 100 tetamu keluarga terdekat dan teman rapat mempelai.
Anggun menggayakan gaun pengantin putih rekaan Vera Wang, tangannya pula kemas menggenggam sejambak mawar putih, membias kejelitaan dan raut feminin penyanyi yang popular dengan lagu, I’m With You dan Complicated itu.
Dalam debaran, penyanyi itu tenang melangkah ditemani alunan orkestra memainkan lagu nyanyian Mendelsshon, Wedding March. Sebaik disatukan, pasangan ini seterusnya diraikan dalam satu majlis ringkas.
Bagaimanapun, sesuatu yang melucukan berlaku apabila Lavigne dan suami diminta untuk menari bersama. Permintaan yang agak membingungkan seperti yang diakui Lavigne, “Kami hanya mampu terpaku di lantai tari, berpelukan dan sebagainya. Kami tidak pernah menari bersama sebelum ini.
“Ia sudah lama tidak dipraktikkan. Kali terakhir saya menari ketika menghadiri acara tarian di sekolah. Saya juga pernah menyertai teman berdansa di kelab, namun untuk tarian romantik seperti ini ia tidak lagi dilakukan orang muda,” katanya.
Biarpun mempunyai pandangannya yang tersendiri, pasangan pengantin baru itu tidak menolak permintaan itu. Penuh romantis mereka berpelukan, menari ditemani alunan lagu Iris daripada The Goo Goo Dolls yang menjadi lagu kegemaran Lavigne.
“Sentuhan lagu ini terlalu indah,” katanya, penuh ceria.
Lavigne menyifatkan upacara pernikahannya berlalu dengan sempurna dan bermakna.
“Saya kerap naik ke pentas, mengadakan persembahan dan menyanyi di depan orang ramai. Namun, suasananya tidak sama seperti majlis perkahwinan saya. Ia lebih mengujakan dan detik ini menjadi kenangan terindah dalam kehidupan saya,” katanya.
Sebaik kakinya melangkah perlahan menuruni tangga ke tempat upacara pernikahan dijalankan, air mata Lavigne mula mengalir perlahan. Namun, dia mengingatkan diri untuk tidak rapuh pada hari bahagianya itu.
“Saya cuba menahan air mata daripada gugur. Ia detik permulaan dalam kehidupan dan saya cuba bertenang. Dan saya berjaya melakukannya,” katanya.
Lavigne bagaimanapun, menolak khabar angin perkahwinan mereka dipercepatkan kerana dia sudah mengandung.
“Belum lagi, bukan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Pasangan yang berasal dari Ontario, Kanada ini mengikat tali pertunangan di Venice, tahun lalu ketika Lavigne menjayakan konsert jelajah di Eropah.
Sibuk siapkan album ketiga
Lavigne kini dalam persiapan untuk menyempurnakan album ketiganya dan baru-baru ini, menyumbang suara untuk filem animasi, Over The Hedge membawakan karektor, Heather.
Lebih dikenali dengan imej skate punk, namun sebaik usianya menganjak 20 dia mengubah sedikit penampilan memilih gaya sofistikated dan feminin. Lavigne pernah merakamkan dua album, Let Go dan Under My Skin.
Bagaimanapun, album keduanya itu kurang menyerlah dan untuk memulihkan kembali namanya yang sedikit merudum, dia beralih ke dunia lakonan. Malah, percubaan berlakon itu juga barangkali didorong kekagumannya terhadap aktres berbibir seksi, Angelina Jolie.
“Saya mengagumi Winona Ryder dan Angelina Jolie serta ingin mencontohi mereka dalam membawakan watak serius,” katanya.
Bagaimanapun, sukar diramalkan peluang yang bakal diperolehnya kerana sehingga ini, dia belum menerima apa-apa tawaran berlakon.
“Saya mendambakan watak suram dan sukar. Sama seperti muzik yang saya bawakan dan mungkin ia menjadi satu daripada cara untuk saya meluahkan perasaan,” katanya.
PROFIL Avril Lavigne
Tarikh Lahir: 27 September 1984
Asal: Napanee, Ontario, Kanada
Album: Let Go (2002) dan Under My Skin (2004)
Suami: Derick Whibley
Tarikh Perkahwinan: 15 Julai 2006
[BH]
28/07/06
Kesihatan: Kemurungan selepas bersalin perlu perhatian
WANITA yang tinggal di bandar dan menjalani pantang secara bersendirian atau jauh daripada keluarga lebih cenderung mengalami kemurungan selepas bersalin (PND) berbanding wanita yang tinggal bersama keluarga seperti ibu, nenek atau saudara mara lain.
Perunding Psikologi Klinikal, Paul Jambunathan, berkata walaupun tiada data khusus menunjukkan bilangan sebenar wanita yang mengalami PND, kebanyakan kes yang ditemui mendapati PND lebih kerap terjadi di kalangan wanita Cina berbanding Melayu dan India.
“Ini mungkin disebabkan faktor keluarga nuklear iaitu tiada ahli keluarga lain selain suami dan anak seperti yang ada hari ini. Kehadiran ahli keluarga lain seperti ibu, ibu mentua, makcik dan sebagainya sebenarnya membantu mengurangkan beban pasangan ketika menjalani pantang. Bagaimanapun, kebanyakan wanita terutama di bandar tinggal berjauhan daripada keluarga masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Mengatasi Perubahan Fizikal dan Kesihatan Mental Selepas Bersalin di Wisma Institut Pengurusan Wanita (WIM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, wanita terdedah kepada tekanan emosi apabila terpaksa menguruskan bayi yang masih kecil dan rumah tangga tanpa bantuan sesiapa sedangkan kesakitan yang dialami selepas bersalin masih belum sembuh sepenuhnya.
“Dianggarkan tiga hingga empat daripada 10 wanita mengalami PND. Ia selalunya berlaku antara satu hingga tiga bulan selepas melahirkan bayi dengan tanda umum yang dapat dilihat seperti tertekan, kesedihan, kehilangan minat, kesunyian, gelisah dan ingin membunuh diri. Perasaan juga bercelaru menyebabkan mereka tidak dapat bertindak mahupun berfikir secara waras.
“Mereka bimbang tidak tentu pasal mengenai bayi dan sangsi dengan kemahiran sebagai ibu, bimbang dengan tahap kebersihan rumah walaupun tidak melakukan apa-apa untuk memperbaikinya, mudah berasa sedih, menangis dan sukar tidur. Sesetengah wanita kecewa apabila merasakan susu badan mereka sedikit dan selepas membuangnya mereka mula rasa bersalah,” katanya.
Selain PND, ada dua lagi kategori kemurungan selepas bersalin iaitu Baby Blues dan Psikosis Selepas Bersalin. Kemurungan akibat Baby Blues adalah kemurungan biasa yang dialami kebanyakan wanita selepas beberapa hari melahirkan bayi.
Dianggarkan lebih 50 peratus wanita mengalaminya dengan purata tujuh hingga lapan daripada setiap 10 wanita. Berbanding PND, mereka yang menghidapnya juga tidak memerlukan sebarang ubat.
“Psikosis Selepas Bersalin lebih serius berbanding Baby Blues dan PND. Ia jarang berlaku di negara ini dengan anggaran purata kurang 0.001. Psikosis menyebabkan wanita mengalami halusinasi dan kegilaan yang mendorong mereka untuk membunuh bayi mereka.
“Ada pesakit yang ingin membunuh diri tetapi tidak tergamak meninggalkan bayi mereka sendirian. Jadi, mereka fikir perlu untuk membunuh bayi itu juga,” katanya.
Beliau berkata, wanita yang memiliki sejarah keluarga menghidap PND berisiko tinggi mengalaminya. Faktor lain yang mendedahkan wanita kepada PND ialah tekanan akibat kematian keluarga terdekat secara tiba-tiba, kesakitan, masalah kewangan, konflik perkahwinan seperti perceraian, ditinggalkan suami dan didera secara fizikal, seksual atau emosi.
“Ibu muda lebih berisiko tinggi mengalami PND disebabkan kekurangan kemahiran keibuan. Sesetengah bapa muda juga berisiko mengalami PND. Justeru menghadiri kelas antenatal amat penting sebagai persediaan menjadi ibu bapa.
“Bagaimanapun harus diingatkan, belajar menjadi ibu bapa adalah satu proses yang berterusan sepanjang hayat. Ibu yang ingin cepat mendapatkan semula bentuk badan selepas bersalin juga berisiko mengalami kemurungan. Ini disebabkan kepentingan semasa tidak diubahsuai mengikut keadaan hidup yang baru,” katanya.
PND juga boleh berlaku akibat kehamilan yang tidak diingini. Misalnya hamil semata-mata kerana desakan keluarga yang inginkan pasangan berkenaan mendapat anak segera. Selain itu keadaan bayi yang cacat, tidak sempurna dan tingkah laku anak yang terlalu aktif juga boleh menimbulkan tekanan kepada ibu.
Sehubungan itu, beliau berkata, bagi mengelakkan PND, suami hari ini perlu memainkan peranan membantu meringankan beban isteri yang masih di dalam pantang.
“Biarkan isteri banyak berehat selepas bersalin dengan membantu mereka melakukan kerja rumah dan menguruskan bayi yang masih kecil. Tiada maknanya suami mendabik dada, berbangga kerana memiliki bayi tetapi dalam masa sama isteri pula menderita akibat tertekan.
“Suami seharusnya lebih bersabar dan tunjukkan rasa kasih kepada isteri dengan membelai atau mendakapnya. Kalau boleh dapatkan bantuan keluarga terdekat ketika tempoh berpantang,” katanya.
Beliau berkata, PND tidak boleh dibiarkan sebaliknya perlu dirawat secepat mungkin kerana boleh mempengaruhi pembesaran anak. Ada kes ibu yang tidak dirawat tetapi masih terus mengandung sehingga memperoleh empat anak tetapi anaknya itu didapati mempunyai masalah tingkah laku.
“Selain kaunseling, penghidap diberikan ubat hormon dan ubat anti kemurungan yang selamat untuk penyusuan ibu. PND boleh dipulihkan jika dirawat. Seperkara penting yang harus diingat ialah PND bukanlah satu kelemahan yang dialami wanita atau tiada lagi harapan untuk memulihkannya kerana ia adalah masalah biasa yang boleh diselamatkan.
“Pasangan perlu faham bahawa memiliki anak bukan saja menggembirakan, tetapi juga meletihkan. Justeru, kerjasama suami amat diperlukan bagi mengurangkan beban si isteri,” katanya.
FAKTA
Kemurungan selepas bersalin
PND adalah masalah psikologi yang menyerang wanita dan menyebabkan mereka kehilangan mood dan kemurungan selepas melahirkan bayi.
Tanda dan gejala umum
Kemurungan, kesedihan, hilang minat terhadap sesuatu seperti selera makan dan seks, kesunyian, putus harapan, gelisah dan ingin membunuh diri.
Apa boleh dilakukan
# Dapatkan rawatan segera.
# Banyakkan berehat.
# Tidur lebih kerap.
# Amalkan pengambilan makanan normal (pantang keterlaluan mungkin tidak sesuai).
# Babitkan pasangan anda dalam tugas menguruskan rumah tangga dan bayi.
# Luangkan masa untuk diri sendiri.
# Dapatkan kumpulan sokongan terutama ahli keluarga terdekat.
Apa yang suami boleh lakukan
# Bersabar
# Beri galakkan pada isteri dengan cuba memahami perasaannya.
# Jangan mudah kecil hati dengan tingkah laku isteri.
# Dapatkan bantuan ahli keluarga terdekat atau rakan.
# Beritahu dan tunjukkan anda sayangkannya.
# Bantu isteri melakukan kerja rumah dan menguruskan bayi.
# Jangan kritik isteri.
[BH]
Suami kena selami perasaan isteri
Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Ho Choon Moy, berkata suami harus memahami bahawa wanita dalam pantang mudah tertekan terutama sekiranya suami tidak menunjukkan perasaan simpati seperti membantu menguruskan rumah tangga mahupun bayi yang baru dilahirkan.
“Selepas bersalin, biasanya 5 hingga 30 peratus wanita mengalami tidak lawas membuang air kecil. Ini disebabkan otot menjadi longgar selepas bersalin, menyebabkan pengaliran air kecil tidak dapat dikawal seperti dulu.
“Akibatnya mereka perlu kerap ke tandas dan akhirnya ia cukup meletihkan dan menimbulkan tekanan. Ini adalah antara masalah utama yang paling kerap dihadapi wanita tetapi kurang dipandang serius. Kira-kira 11 peratus wanita berusia 70 tahun menjalani pembedahan akibat kencing tidak lawas atau vagina yang menurun,” katanya.
Beliau berkata, masalah lain yang dihadapi wanita selepas bersalin ialah luka akibat pembedahan, sembelit, buasir atau haemorrhoids dan vena verikos (urat bersimpul).
Selain itu, perubahan diri selepas bersalin juga menyebabkan rasa tertekan kepada ibu seperti keguguran rambut yang banyak, perubahan pada kulit akibat menyusu dan tanda bersalin seakan rekahan yang tidak hilang sama ada pada payu dara atau perut.
“Kemurungan disebabkan kesihatan dan perubahan tubuh juga menyebabkan perubahan kepada penurunan keinginan untuk melakukan hubungan intim. Fungsi seks menurun sebanyak 43 peratus juga disebabkan bimbang jika hamil semula dan rasa tidak selesa akibat masalah kencing tidak lawas.
“Perubahan hormon juga menjadi faktor penurunan keinginan seks. Hampir 50 peratus wanita langsung tidak bernafsu, manakala 21 peratus kurang ghairah,” katanya.
Bagi mengatasi masalah kencing tidak lawas atau penurunan vagina atau salur kencing, Dr Ho mencadangkan pesakit mengamalkan senaman untuk lantai pelvik menggunakan kaedah senaman Keegel. Senaman ini dilakukan dengan melakukan kemutan pada vagina seolah-olah menahan kencing selama beberapa saat.
Kaedah ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya 50 kali sehari pada bila-bila masa, sama ada ketika berjalan, berdiri, duduk atau berbaring.
“Wanita lepas bersalin boleh mengembalikan bentuk badan asal dengan bersenam dan menjaga pemakanan. Ramai berfikir, menyusukan bayi boleh menyebabkan payu dara hilang bentuk tetapi ini tidak benar. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan memakai baju dalam yang betul walaupun tidak menyusu.
“Amalkan makanan kurang berminyak dan lemak serta bersenam seperti berjalan pantas selepas habis pantang. Sebolehnya dalam tempoh dua minggu banyakkan berehat dan jangan berdiri terlalu lama kerana tarikan graviti boleh menyebabkan rahim ‘jatuh’,” katanya.
Beliau juga menggalakkan pasangan merancang kehamilan bagi mengawal jarak kelahiran anak dan menjamin kebahagiaan pasangan. Berdasarkan kajian pada 1976, purata perceraian di kalangan pasangan yang tidak menggunakan perancang keluarga lebih tinggi iaitu sebanyak 16.4 peratus berbanding pasangan yang menggunakan perancang keluarga iaitu 6.1 peratus.
Pada tahun 1988 juga menunjukkan kadar perceraian di kalangan pasangan yang tidak menggunakan perancang keluarga lebih tinggi dengan jumlah 10.6 peratus berbanding pasangan yang menggunakan perancang keluarga iaitu hanya 4.6 peratus.
Statistik ini secara tidak langsung menunjukkan keluarga yang terancang lebih bahagia. Apa yang penting, suami perlu membantu dan lebih memahami supaya isteri tidak tertekan selepas melahirkan. [BH]
23/07/06
Apabila Siti - Datuk K membuka rahsia
MAWAR putih berselirat di anjung kala menyambut kehadiran tetamu. Menapak dari satu ke satu anak tangga, beruntaian rasa yang bergetaran di dada, menumpang bimbang dan ragu di majlis orang.
Apa pengumuman khasnya? Jadikah Siti dengan si polan, si polan, atau akan ada pengumuman di luar jangkaan?
Dan sebaik membelek siaran akhbar yang dihulurkan, sah – pengumuman perkahwinan Siti Nurhaliza dan duda beranak empat, Datuk Khalid Jiwa.
Masih lagi menanti orang yang perlu dinantikan dan tiba-tiba yang di sebelah bersuara.
“Ah, ini baru majlis sidang akhbar pengumumannya. Bagaimana agaknya majlis kahwin mereka nanti ya?”
Nakal juga tanya rakan itu tadi, tetapi tanya itu dibiarkan berlalu tanpa sebarang jawapan pun.
Sesiapa juga akan tumpang gembira apabila mata dijamu dengan kembang mawar yang mekar dan mengharum baunya. Belum lagi jambangan indah, cenderahati teman-teman rapat sebagai doa dan harapan agar hubungan itu dibawa ke jenjang pelamin.
Tiba-tiba debaran semakin rancak di dada, entah kenapalah agaknya. Lambat lagi ke ni? Siti seorang sahaja ke? Atau berdua? Apakah akan muncul ibu dan bapanya? Kerana kononnya keluarga tidak begitu memberi restu, tetapi barangkali ia hanya persepsi biasa saja. Entahkan betul entahkan tidak.
Dan dalam seribu tanya yang terlontar dari fikiran, kelam-kabut selama hampir satu jam, akhirnya yang dinanti muncul jua. Kebisingan terusir tiba-tiba, yang tinggal hanyalah cahaya dari kamera yang tidak henti-henti menyala.
Bakal pengantin ini berjalan di atas karpet merah dan ini lebih memudahkan kamera terarah kepada mereka yang menjadi pemegang watak penting dalam sesi yang bakal dikenang dalam minda jutaan manusia itu.
Mana tidaknya, inilah pertama kali dalam sejarah sidang media pengumuman khas seorang artis disiarkan secara langsung di stesen televisyen. Dan buat pertama kalinya juga si dara dan duda itu duduk berdampingan tampil ke depan umum untuk menyatakan “Benar, memang kami sedang dalam alam percintaan.”
Memang hebat sekali penangan Siti Nurhaliza dan Datuk K. Seindah mawar putih yang dirias, barangkali itu jugalan perasaan hati pasangan kekasih yang diburu semenjak sekian lama ini pada hari berkenaan.
Sama ada bimbang akan adakah hati yang terluka dan kecewa dengan keadaan itu, persoalan itu tidak lagi penting buat masa sekarang. Yang penting ini adalah kebahagiaan mereka. Dan kebahagiaan itu juga barangkali lebih bererti setelah mereka menunaikan apa juga janji seperti yang sudah dilafazkan sebelum ini.
Seperti kata Siti sendiri, yang penting sekali ialah pengumuman mengenai tarikh perkahwinan mereka yang semenjak sekian lama menjadi spekulasi di akhbar.
“Hal-hal lain akan kami uruskan selepas ini,” kata Siti seperti yang ditonton oleh jutaan peminat melalui rancangan Wanita Hari Ini di TV3 pada hari Isnin, 17 Julai lalu.
Pasangan ini mengumumkan tarikh perkahwinan mereka ialah pada 21 Ogos akan datang dan majlis persandingannya akan diadakan seminggu kemudian iaitu pada 28 Ogos.
Ini bermakna hanya tinggal kurang dari satu bulan lagi, Siti Nurhaliza akan menjadi milik lelaki yang digelar hartawan yang berusia 47 tahun itu.
Dan seperti diduga majlis sidang media ini menjadi panas tiba-tiba. Aliran udara dari pendingin hawa bagaikan tidak memberi apa-apa makna. Tambah hangat lagi keadaan apabila sampai kepada sesi soal jawab dengan media yang semenjak sekian lama ‘memendam’ perasaan untuk mencungkil sebanyak mungkin berita untuk tatapan pembaca.
Siti dan Datuk K tinggal berdua – melayan soalan wartawan setelah kedua-dua ibu bapanya beredar meninggalkan majlis bersama bonda Datuk K yang turut hadir. Sebelum itu si ayah, Taruddin Ismail membuat pengumuman penting – menjelaskan betapa dia sebenarnya merestui hubungan antara Siti dan Datuk berkenaan.
Usai saja kedua-dua orang tuanya bicara, Siti dan Datuk K mengambil tempat menjelaskan apa juga soal yang timbul. Hampir 30 soalan diajukan dalam masa hampir satu jam sidang akhbar berkenaan.
Banyak wartawan tidak melepaskan soalan-soalan bernas yang memang sudah lama mahu diketahui. Dalam pada itu ada juga soalan yang kurang cerdik – seperti mahu berapa anak? Apa sudah jadi dengan Mentor, dan sebagainya. Helo... tanya yang penting sajalah.
Bagaimanapun banyak soalan mengenai urusan perkahwinan belum dijelaskan dengan lebih terperinci. Ini termasuk soal kos, soal hantaran, bulan madu dan sebagainya.
Pertanyaan yang tidak dapat tidak dielakkan oleh Siti ialah mengenai penerimaan masyarakat yang pelbagai terhadap hubungannya dengan jejaka berkenaan.
Banyak yang tahu sana sini peminat bicara yang mereka ‘kurang’ memberi restu kepada hubungan ini kerana pelbagai faktor termasuk perbezaan umur yang sangat ketara antara mereka.
Namun, katalah apa saja, benci dan cacilah sesukanya. Tetapi yang penting kata Siti, setiap orang boleh membuat apa juga pandangan mengenai apa saja perkara.
“Siti tak kisah pada apa yang orang hendak katakan. Biarlah mereka kata apa saja sekalipun. Tak boleh hendak sekat orang cakap apa tetapi Siti, yakin dengan apa yang Siti lakukan,” katanya tegas dalam bahasa yang berhemah.
Kepada soalan wartawan yang sedikit berbisa mengenai persoalan yang menyatakan dia menjadi punca keretakan rumah tangga Datuk K, Siti hanya membiarkan ia berlalu tanpa jawapan.
Tidak mahu menjawab atau mungkin tidak mendengar soalan yang diajukan membuatkan soalan panas itu tidak bertingkah, entahlah.
Bagaimanapun sepanjang sidang akhbar berkenaan, Siti kelihatan cukup tenang dan tidak henti-
henti melemparkan senyuman. Bahagia yang menjadi makanan jiwanya terpancar ke seri wajah.
Sesekali matanya melirik manja kepada lelaki yang berada di sisinya yang kelihatan lebih banyak diam dari berkata-kata. Khalid hanya sesekali mencelah pada ketika soalan ditujukan tepat kepadanya. Selebihnya hanya Siti yang banyak menjawab.
Dari bicara yang ‘mahal’nya itu terungkap jua soal keistimewaan Siti yang menyebabkan dia menjadi pilihan untuk dijadikan bakal isteri.
“Siti memiliki banyak keistimewaan. Biarlah hanya saya saja yang tahu,” katanya, ringkas dalam senyuman yang penuh makna.
Siti pula mengakui betapa dia terpesona dengan sikap ‘kebapaan’ yang dimiliki oleh lelaki berkenaan.
“Cara dia melayan anak-anak menjadikan Siti yakin kepadanya,” katanya [MM]
Mawi dan Marsha pula ke?
Riuh sana sini kalangan orang media pada ketika ini bercerita kononnya jejaka yang menjadi idaman banyak si gadis manis, Mawi akhir-akhir ini semakin intim dengan rakan seakademinya. Siapa dia? Amylea? Bukan... Eliza? Bukan. Marsha? Ya, betul. Tepat sekali.
Menurut sumber Joyah, kemesraan Mawi dan Marsha terbawa-bawa sehingga ke beberapa acara persembahan di dalam negara dan di negara Brunei tidak lama dulu.
“Si Marsha tu memang manja dengan sesiapa saja Joyah. Tapi dengan Mawi ni lain sikit. Alah orang sekeliling dia orang pun ada juga yang sudah tahu, tapi mereka tutup mulut saja. Joyah cubalah risik-risik dengan mereka. Memang ada sesuatu,” bagi tahu sumber berkenaan.
Walaupun mereka pernah digosipkan dulu, tetapi tidak ke mana-mana hubungan itu apabila Mawi masih menjadi tunangan orang. Maka usikan, senyuman dan kemesraan hanyalah sekadar ‘usik-
usik’ saja. Bila timbul gosip Mawi dan Diana Rafar, maka cerita itu tenggelam semula. Tetapi semenjak hubungan Mawi dan Ina bermasalah, hubungan baru itu mula terjalin. Dan ia diteruskan lagi sehinggalah sekarang.
Jeng... jeng... jeng... episod baru akan bermula. Dan biasalah selepas ini Joyah akan dikutuk dan dimaki oleh peminat fanatik Mawi. Tapi tak apalah. Selagi Joyah dapatkan berita daripada sumber yang layak untuk dipercayai, Joyah akan menyatakannya di ruangan ini walaupun mungkin ada sesetengah peminat tidak boleh menerimanya.
Hubungan yang cukup mesra itu ada kaitannya dengan keserasian antara mereka berdua, kononnyalah. Kalaulah betul macam tu, Joyah tak mahu ulas apa-apalah. Dan Joyah pun tahu juga apa yang akan terkeluar daripada mulut mereka selepas ini kalau ditanya. Tapi tak apa. Banyak mulut yang akan membuat laporan secara terus kepada Joyah dari semasa ke semasa. Kita tunggu dan lihat. [MM]
Impian baru Ina selepas putus tunang
Ramai yang bersimpati dengan nasib Nordiana Md. Naim selepas Mawi memutuskan pertunangan dengannya. Ia lebih tragis lagi apabila hubungan itu diputuskan tatkala Mawi sedang berada di puncak populariti sedangkan Nordiana atau Ina hanya seorang gadis kampung.
Walaupun terlalu berat tetapi Ina menerima tragedi itu sebagai satu takdir ke atas dirinya. Bagi Ina, perkara yang berlaku itu umpama mimpi kerana tidak pernah terfikir percintaan dan pertunangan dengan Mawi putus di tengah jalan.
Gadis berusia 22 tahun itu terpaksa menerima hakikat jodohnya dengan Mawi sudah tiada. Namun Ina tetap berterima kasih kerana Mawi merupakan insan pertama yang berjaya mengetuk pintu kasihnya dan menjaganya ketika mereka merentasi relung-relung percintaan.
Ina juga tidak akan melupakan saat-saat manis mereka berdua sebelum Mawi bergelar penyanyi. Bagi Ina, kenangan indah pertemuan pertama ketika Mawi mengajak dia menonton wayang di Johor Bahru akan terus tersemat selama-lamanya.
“Setiap hujung minggu kami selalu keluar tengok wayang. Kami suka tengok cerita kelakar terutama lakonan Yassin dan Apek.
“Kalau ada masa terluang kami selalu pergi karaoke di Kulai. Biasanya Mawi akan naik kereta Ina, cuma sesekali saja Ina menumpang motor Mawi,’’ kata Ina diminta mengimbas saat manis itu.
Tetapi itu semua sudah berlalu. Ia sekadar kenangan yang telah pergi dan tidak akan datang kembali. Bagi Ina, sekalipun pertunangan diputuskan tetapi dia tetap bersyukur biarpun hanya sekadar mengenggam kenangan manis suatu waktu dulu.
Ina juga bersyukur hubungannya dengan Mawi turut mengubah kedudukan Ina daripada seorang gadis kilang, kepada seorang eksekutif.
Semuanya kerana Ina merupakan tunang Mawi dan populariti yang diraih penyanyi itu turut Ina rasai tempiasnya. Sebelum hubungannya dengan Mawi putus, Ina banyak mendapat tawaran bekerja termasuklah dipanggil temu duga sebagai kerani bank.
Namun Ina menolak kerana tidak mendapat keizinan Mawi. Bagaimanapun selepas hubungan mereka putus, Ina perlu membuat keputusan sendiri selain nasihat daripada kedua-dua orang tuanya. Ina juga ingin menyara keluarga di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.
“Ina perlu bayar ansuran kereta, nak tolong mak ayah dan macam-macam lagi yang perlu Ina buat.
“Bila ada tawaran kerja dengan gaji yang lebih daripada apa yang Ina dapat sebelum ini, Ina perlu mengambil peluang itu dengan baik,’’ katanya.
Jelas Ina, dia kini bekerja sebagai eksekutif pemasaran dengan Syarikat Etnik Harmoni Sdn. Bhd., berpejabat di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.
Ina memulakan tugasnya hampir tiga minggu lalu dengan syarikat tersebut yang membekalkan rangkaian Internet. Gajinya juga lumayan dan mencecah empat angka yang jarang Ina peroleh sebelum ini.
Dalam masa yang sama syarikat tersebut turut memberi peluang kepada Ina mencari pendapatan lain sebagai model.
Bagi projek pertama, Ina terlibat sebagai model cara-cara memakai tudung untuk sebuah syarikat telekomunikasi yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Ina mengambil peluang menceburi bidang baru itu selepas dipujuk beberapa kali oleh pengarah syarikat berkenaan. Selepas berbincang dengan ahli keluarga, mereka bersetuju melepaskan Ina ke Kuala Lumpur dan memberi kebenaran tinggal bersama mak cik Ina di Kampung Baru.
“Mungkin ada yang anggap Ina gila glamor tetapi percayalah hajat pertama Ina hendak bantu keluarga.
“Rezeki itu tidak datang bergolek sebaliknya kita yang perlu berusaha mencarinya. Ina begitu gembira dengan pekerjaan sekarang di samping majikan yang betul-betul ingin melihat kehidupan Ina sekeluarga berubah,’’ katanya.
Apabila ditanya bagaimana perasaannya terhadap Mawi, kata Ina, tipulah jika dia dapat melupakan terus semua kenangan dulu yang telah berlalu itu. Namun Ina sering mengelak apabila ditanya tentang penyanyi itu.
“Cukuplah... Ina tidak mahu mengingatinya lagi,’’ kata Ina mengelak diungkit-ungkit kerana kenangan yang dulunya manis kini sudah menjadi pahit kepadanya. [MM]
20/07/06
Bekas isteri Datuk K fail tuntutan harta sepencarian esok
KUALA LUMPUR 19 Julai – Bekas isteri Datuk Khalid Mohamed Jiwa atau Datuk K akan memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Jumaat ini.
Peguam syarie yang mewakili Tengku Zawiyah Tengku Izham, Zulkifli Che Yong berkata, pihaknya sedang mengemas kini perkara-perkara yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Antara perkara dipersetujui ialah tiga buah rumah kediaman termasuk sebuah rumah di Bukit Antarabangsa di sini yang dianggarkan bernilai RM7 juta akan diserahkan kepada anak-anak manakala dua buah rumah di Damansara diberikan kepada Tengku Zawiyah.
‘‘Kami sedang menyusun dokumen-dokumen berkaitan dan pagi Jumaat nanti kami akan ke mahkamah,’’ kata Zulkifli ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Khalid, 47, bercerai secara taklik dengan Tengku Zawiyah, 43, pada 12 Mac 2005.
Pengesahan cerai taklik itu dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.
Pasangan itu mempunyai empat orang anak iaitu Mohd. Anas, 19; Mohd. Adib, 16; Mohd. Ashraf, 14, dan Mohd. Azif, 8.
Sebelum ini, status perkahwinan Khalid dan Tengku Zawiyah menarik perhatian awam apabila bekas isterinya itu memfailkan permohonan pengesahan status perkahwinan mereka pada 27 April lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.
Permohonan itu bagaimanapun ditarik balik oleh Tengku Zawiyah pada 3 Julai lalu.
Zulkifli turut menjelaskan tuntutan tersebut tidak meliputi nafkah mutaah dan hanya melibatkan harta-harta sepencarian.
Katanya, perkara berkaitan dengan nafkah mutaah akan difailkan secara berasingan sedikit masa lagi.
Khalid dijadual akan menamatkan zaman dudanya dengan Siti Nurhaliza Tarudin, 27, pada 21 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini. [UM]
18/07/06
Siti, Datuk K bernikah 21 Ogos
Oleh NORLIZAH ABAS
KUALA LUMPUR 17 Julai – Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin, 27, dan Datuk Khalid Mohamed Jiwa atau Datuk K, 47, akhirnya menamatkan teka-teki mengenai hubungan mereka apabila kedua-duanya mengumumkan tarikh pertunangan dan pernikahan serentak pada Isnin, 21 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini.
Pasangan sehati sejiwa itu pada satu sidang akhbar khas di sebuah hotel di sini turut memaklumkan, mereka sepakat memilih tarikh berkenaan bagi memperoleh keberkatan sempena Israk Mikraj yang jatuh pada hari sama.
Majlis persandingan pula akan berlangsung seminggu kemudian iaitu pada 28 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Tarikh itu secara kebetulan merupakan hari ulang tahun ke-38 perkahwinan ibu bapa penyanyi itu, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik.
Pasangan itu akan turut diraikan di rumah pengantin perempuan di Kuala Lipis, Pahang pada Ahad, 3 September ini.
Sidang akhbar hampir satu jam itu berlangsung dalam suasana agak ‘kecoh’ apabila Siti Nurhaliza dan kekasihnya yang berpakaian sedondon berwarna jingga kekuningan dihujani soalan bertubi-tubi.
Keadaan diburukkan lagi apabila sebilangan besar jurugambar mengeluh ekoran kesukaran mendapatkan sudut terbaik kerana dewan yang agak sempit dan panas dipenuhi hampir 250 tetamu dan wakil media.
Pada sidang akhbar itu, Siti Nurhaliza cukup berahsia ketika ditanya kriteria tertentu membuatkan beliau tertawan kepada Datuk K.
“Biarlah perkara-perkara yang membuatkan Siti tertarik kepada Datuk Khalid menjadi rahsia. Namun salah satu daripadanya yang boleh Siti kongsi bersama dengan anda semua adalah kasih sayang beliau terhadap empat anaknya, itu yang membuatkan Siti kagum,’’ ujar beliau.
Keempat-empat anak Datuk K hasil perkongsiannya dengan bekas isteri, Tengku Zawiyah Tengku Izham ialah Mohd. Anas, 19; Mohd. Adib, 16; Mohd. Ashraf, 14 dan Mohd. Azif, 8.
Selain ibu bapa Siti, anak ketiga ahli perniagaan itu, Mohd. Ashraf turut hadir pada sidang akhbar tersebut ditemani kakak Datuk K, Zaiton Mohamad Jiwa.
Datuk K pula ketika diajukan soalan serupa, secara ringkas berkata, ‘‘Siti Nurhaliza adalah seorang yang istimewa’’.
Penyanyi tersohor itu turut menyatakan, keputusan memilih Datuk K sebagai pasangan hidup dibuat selepas berfikir secara mendalam selain mendapat petunjuk Allah s.w.t.
Siti Nurhaliza turut diuji dengan soalan ‘nakal’ mengenai penerimaan anak-anak Datuk K terhadapnya selepas berkahwin kelak.
Penyanyi itu bagaimanapun bijak menjawab dengan menyatakan beliau akan mencuba sedaya upaya menjadi ibu yang baik kerana perkahwinan tersebut bukan melibatkan Datuk K semata-mata tetapi turut melibatkan keluarganya.
“Siti perlu memberikan kasih sayang terbaik, tidak ada bezanya. Insya-Allah, insya-Allah,’’ ujar beliau.
Gadis manis kebanggaan Malaysia itu turut ditanya mengenai hubungannya yang dikatakan mendapat tentangan keluarga.
Siti Nurhaliza menjelaskan, perkara itu adalah biasa tetapi ia dapat ditangani seandainya kedua-dua pasangan berniat jujur dan berani menerima risiko.
Penyanyi itu cukup tenang ketika dilontarkan soalan mengenai jarak umur 20 tahun yang memungkinkan wujud masalah dalam berumah tangga.
Beliau menangkisnya dengan menyatakan, setiap pasangan perlu berbalik kepada amalan agama dan yakin bahawa jodoh pertemuan dan ajal maut ditentukan oleh Allah s.w.t.
Ketika ditanya mengapa mengambil masa begitu lama membuat pendedahan pada media, Siti Nurhaliza menyatakan, bukan niat mereka berahsia tetapi mereka memilih tarikh sesuai selepas mengadakan perbincangan mendalam dengan keluarga kedua-dua belah pihak.
Siti Nurhaliza turut ditanya bila beliau mula menjalin hubungan intim dengan duda beranak empat itu.
Penyanyi itu menyatakan, mereka mula rapat selepas pulang dari mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London, April tahun lalu.
Suasana sidang akhbar yang pada mulanya hangat turut diselitkan dengan soalan-soalan peribadi termasuk panggilan Siti Nurhaliza kepada Datuk K dan lokasi mereka akan berbulan madu.
Seperti biasa, penyanyi itu menyatakan: “Biarlah rahsia.’’
Datuk K turut dihujani pelbagai soalan termasuk lagu penyanyi itu yang paling diminatinya dan beliau juga menjawab: “Biarlah rahsia.’’
Siti Nurhaliza ketika ditanya mengenai reaksi berbeza peminat mengenai kisah percintaannya menyatakan, beliau pasrah kerana masyarakat mempunyai pandangan masing-masing.
Sebelum sidang akhbar berlangsung, bapa penyanyi tersebut dalam ucapan ringkasnya menyatakan, beliau sekeluarga merestui hubungan anaknya dengan Datuk K. [UM]
‘Masa yang sesuai’ sudah terjawab
Sebaliknya menurut kakak Datuk K, Zaiton Mohamad Jiwa, ia merupakan spekulasi semata-mata dan hakikatnya tiada masalah timbul antara adiknya dengan keluarga penyanyi itu.
‘’Tetapi macam yang kita cakap tadilah mungkin ibu bapa dia (Siti) ambil masa sedikit. Hendak minta pendapat daripada semua ahli keluarga. Sebab keluarga Siti keluarga beradat. Dia (Siti) tidak boleh buat keputusan sendiri. Kena tanya kakak yang sulung, abang, kakak, adik...minta restu semua. Barulah pengumuman ini dibuat, ‘’ kata Zaiton kepada pemberita selepas majlis pengumuman tarikh pertunangan, pernikahan dan persandingan di antara Datuk K dan Siti di sini hari ini.
Zaiton juga berkata atas sebab inilah Datuk K dan Siti sentiasa menekankan untuk menunggu ‘masa sesuai’ setiap kali ditanya media mengenai status hubungan mereka.
Dalam pada itu, Zaiton melahirkan kelegaan dan gembiranya atas pengumuman tersebut. Katanya, seluruh keluarga lega kerana segala spekulasi dan desas-desus kini terjawab sambil mengharapkan ia tidak akan berlaku lagi.
‘’Saya sebagai kakak dan yang paling tua dalam keluarga, apa yang mampu saya lakukan ialah berdoa untuk yang terbaik kepada mereka berdua,’’ katanya.
Sementara itu kakak ipar yang juga pengurus Siti, Rozie Abdul Razak berharap peminat Siti dapat terus menyokong dan mendoakan kebahagian Siti.
‘’Sememangnya kita tahu Siti itu kesayangan ramai orang. Jadi bila dia ambil keputusan untuk berkahwin tentulah ada baik buruk. Tapi kita kena faham dia sudah 28 tahun. Seperti orang biasapun pada usia itu tentulah dah fikirkan tentang perkahwinan. Siti dengan orang lain pun tidak ada beza. Bagi dia perkahwinan dia adalah kebahagiaan dia. Jadi kita berharaplah peminat terus menyokongnya. Ini pun Datuk K ada bercakap, dia tidak akan menghalang Siti untuk teruskan. Jadi, sekarang ni cuma doa yang terbaik,’’ katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun Rozie tidak menafikan bahawa pada peringkat awal keluarganya agak terkejut apabila mengetahui perhubungan antara Siti dan Datuk K.
‘’Pada awal tu satu keluarga sudah mengenali Datuk K. Cuma tidak termasuk lagi bab cinta-cinta tu. Tapi Siti cakap apa yang benar, dia luahkan isi hati dia, luahkan perancangan dia, kita sebagai keluarga fikir dan pada hari ini bapa merestuilah.
‘’Kita berharap Datuk K dapat beri kebahagiaan kepada Siti dan kerana itu Siti pilih dia sebagai calon dalam hidup dia. Saya harap dia boleh beri kebahagiaan kepada Siti hingga ke akhir hayat,’’ kata Rozie. [UM]
Anak Datuk K minat Siti Nurhaliza
‘’Sebelum ini, saya panggil dia Kak Siti sahaja, tetapi selepas ini saya pun tidak tahu hendak panggil apa.’’
Begitulah komen Mohd. Ashraf Khalid, 14, tentang Siti Nurhaliza yang akan bernikah dengan bapanya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, atau Datuk K pada 21 Ogos ini.
Dia ditemui selepas majlis pengumuman tarikh pertunangan, pernikahan dan persandingan pasangan itu di Hotel The Zon On The Park di sini hari ini.
Jelas anak ketiga daripada empat beradik itu, hubungannya dengan Siti Nurhaliza juga baik biarpun banyak gosip timbul membabitkan bapanya dan penyanyi tersebut sejak kebelakangan ini.
‘’Hubungan saya dengan Kak Siti okeylah, dia pernah datang ke rumah kami, sudah lama juga...tetapi lupalah bila tarikhnya,’’ ujarnya.
Menurut Mohd. Ashraf, dia juga gembira apabila majlis tersebut menamatkan spekulasi serta gosip ke atas bapanya dan penyanyi tersohor itu.
“Kalau bapa saya gembira dengan perkahwinan ini, saya pun akan rasa gembira. Tetapi saya minta supaya tidak ada pihak cuba mengkucar-kacirkan lagi keadaan,’’ ujarnya. [UM]