22/05/05
Jeslina hidup baru bermula
Oleh: JAMLIAH ABDULLAH
SAAT yang terindah buat wanita ketika melangkah ke gerbang perkahwinan barangkali apabila terlafaz akad itu dan kehidupan baru pun berlangsung.
Itu tandanya, diri tidak keseorangan lagi melalui masa depan. Biarpun yang mendatang adalah getir, tidak perlu bimbang kerana yang terbeban sudah boleh dikongsi bersama.
``Ia suatu perasaan yang istimewa dan indah,'' itu komen artis muda, Jeslina Hashim mengenai status barunya sebagai isteri.
``Memang benar satu perasaan istimewa yang orang selalu cakap rasa terjamin dan terjaga.
``Selama ini semuanya kena tanggung sendiri tetapi sekarang sudah ada untuk berkongsi. Senang atau susah memang tidak risau lagi,'' kata Jeslina.
Jeslina melangsungkan pernikahan dengan jejaka idaman berasal dari New Zealand, Dion pada April lalu dalam satu majlis tertutup.
Resepsi perkahwinan pula berlangsung pada 1 Mei juga dalam satu majlis sederhana untuk keluarga dan teman terdekat saja.
``Semuanya kami raikan dengan sederhana kerana saya dan Dion lebih memikirkan soal kehidupan selepas perkahwinan itu daripada majlis yang besar-besar,'' luah Jeslina yang kelihatan berseri-seri dan ceria.
Majlis akad nikah Jeslina, 27, atau Nor Jeslina Hashim Khairudin dan Dion, 32, atau Dion Rais Vercoe yang berasal dari New Zealand itu berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
``Jess buat secara sederhana saja,'' kata Jeslina yang memilih untuk menggayakan koleksi busana pengantin daripada Rizalman Ibrahim untuk majlis tersebut.
Sementara majlis resepsi pula diadakan di sebuah kafe di Kuala Lumpur pada 1 Mei dan Jeslina memilih konsep perkahwinan ala taman.
``Ia adalah perkahwinan idaman Jess sejak kecil lagi dan akhirnya tertunai juga,'' katanya yang memilih untuk mengenakan rekaan Melinda Looi bagi majlis itu.
Kata Jeslina lagi, dia cuma menjemput ahli keluarga dan sahabat handai yang terdekat saja untuk majlis itu.
``Ia sebuah majlis yang kecil dan Jess menjemput cuma 100 orang saja,'' tambahnya.
Selain itu untuk menghormati keluarga ibunya yang berketurunan Cina, satu majlis minum teh turut diadakan.
Majlis perkahwinan tersebut turut dihadiri oleh lapan ahli keluarga Dion dari New Zealand termasuk ibu bapanya.
Tidak seperti artis lain, Jeslina memilih untuk mengadakan majlis itu secara tertutup tanpa kehadiran media.
Jeslina mengakui dia berada dalam dilema kerana sebelum ini pernah berjanji untuk menjemput wartawan.
``Jess terpaksa mengadakan majlis yang tertutup atas kehendak ayah Jess dan ahli keluarga yang lain.
``Memang serba salah juga tetapi Jess harus menjaga hati keluarga. Ia pun sebuah majlis yang kecil, banyak sahabat dan ahli keluarga lain tidak dapat kami jemput. Jess sangat berharap semua akan faham,'' katanya.
Kata Jeslina, dia bukan terburu-buru untuk berkahwin walaupun ia berlangsung tanpa ikatan pertunangan.
``Dulu lagi Jess sudah menetapkan umur 24 mesti kahwin, ini pun sudah terlewat tiga tahun,'' katanya.
Artis itu bagaimanapun mengakui bahawa hasratnya untuk berkahwin sebelum ini memang mengejutkan keluarga terutama bapanya.
``Ayah Jess memang berat untuk melepaskan Jess. Mungkin kurang percaya dengan sikap Jess sendiri.
``Tetapi sejak tiga tahun lebih mengenali Dion, ayah sebenarnya lebih yakin,'' ceritanya.
Jeslina dan Dion yang memeluk Islam pada Februari yang lepas mengambil keputusan untuk berkahwin dua bulan lepas setelah lebih tiga tahun menjalinkan hubungan cinta.
Terus terang Jeslina mengakui bahawa cinta mereka bukan cinta pada pandangan pertama.
Ketika pertama kali bertemu di majlis teman mereka, Jeslina dan Dion yang sudah 10 tahun menetap di sini tidak menyukai antara satu sama lain.
``Jess memang tidak suka lelaki mat saleh. Kalau boleh selalu menghindari daripada berkawan dengan mereka. Jadi bila diperkenalkan oleh kawan Jess dulu, Jess buat tak tahu saja.
``Dion pun anggap Jess sombong pada masa itu,'' katanya.
Satu lukisan kanvas, kata Jeslina sebenarnya yang menukar benci menjadi sayang.
``Jess buatkan lukisan untuk kawan Jess dan Dion kebetulan ternampak. Katanya dia tidak percaya Jess yang buat dan cabar Jess buat lukisan untuk dia,'' katanya.
Pertemuan mereka selepas itu, kata Jeslina, tidak seperti dulu lagi dan dalam diam mereka akhirnya jatuh cinta.
Menurut Jeslina, sikap Dion yang loving dan penyabar itu sebenarnya berjaya menawan hatinya.
``Bila sudah dekat dan kenal Dion baru Jess tahu dia memang penyabar dan loving. Bila sudah berkahwin ini bertambah-tambah lagi sikap loving dan penyabar Dion,'' katanya.
Aktres itu juga memberitahu bahawa secara peribadi, mereka mempunyai personaliti dan sikap yang berbeza. ``Memang opposite attract antara yang ketara, Jess boros dan suka sangat shopping tetapi Dion seorang yang berjimat dan benci shopping.
``Sikap Dion yang penyabar itu sebenarnya yang berjaya menyeimbangkan perbezaan kami,'' akui Jess yang mengecapi kemanisan bergelar suami isteri itu sepenuhnya.
Selain itu kata Jeslina, suaminya itu cukup memahami terutama kerjaya seninya.
Walaupun sudah beberapa minggu resepsi tamat, pasangan tersebut belum sempat lagi berbulan madu.
Walau bagaimanapun, kata Jeslina, mereka merancang untuk `berbulan madu kecil' di Pulau Pangkor tidak lama lagi.
``Sudah lama mengidam untuk ke pulau tersebut cuma masa yang tidak mengizinkan tetapi nanti mesti pergi juga,'' katanya.
Menjelang Disember nanti, barulah mereka berbulan madu secara besar-besaran dan negara kelahiran Dion menjadi destinasi pasangan itu.
``Kebetulan keluarga Dion akan mengadakan resepsi perkahwinan kami juga di sana dan terlanjur ke situ, kami bulan madu sekali. Lagipun New Zealand juga mempunyai lokasi pelancongan yang menarik,'' tambah Jeslina.
Resepsi di New Zealand juga penting kata Jeslina memandangkan banyak ahli keluarga yang lain tidak berkesempatan hadir untuk majlis itu di sini.
Menurut Jeslina, mereka merancang untuk mengadakan resepsi di pantai kelak.
Jeslina ketawa besar apabila diminta berbicara soal anak.
Katanya, dia harus merancang dengan teliti hal tersebut dan menetapkan tiga tahun lagi untuk bergelar ibu.
``Kalau boleh Jess ingin tunggu sehingga umur 30. Banyak perkara yang harus kami fikirkan masa ini.
``Lagipun Jess dan Dion ingin berdua-duaan dulu buat sementara waktu. Kecapi saat-saat itu dengan baik sebelum membawa orang baru dalam kehidupan kami. Tetapi apa pun Jess serahkan kepada Tuhan,'' katanya yang cuma mengharapkan satu keluarga yang kecil.
Soal kerjaya pula kata Jeslina, dia ingin terus menyanyi dan masih berharap untuk merakamkan album barunya kelak.
Walaupun melalui banyak cabaran yang membawa kegagalan kepada album pertama dan keduanya, kata Jeslina, dia ingin terus mewarnai dunia nyanyian.
``Cuma kali ini Jess harus berhati-hati. Sudah dua kali album Jess sangkut dan Jess percaya itu bukan salah Jess. Jess harus membuat yang ketiga dengan sebaik mungkin atau orang ramai yang terus mengandaikan itu semua silap Jess,'' katanya.
Sebaliknya dalam soal lakonan, Jeslina mengakui, dia agak kecewa dan serik untuk berlakon lagi. ``Berlakon bukan mudah tetapi apabila ia tidak memulangkan apa-apa keuntungan ia lebih meletihkan.
``Lagipun Jess tidak suka dengan cara produksi filem kita yang kurang profesional,'' tambahnya yang pernah berlakon dalam filem Seri Dewi Malam, Iskandar, Idola dan Aku Nombor 1.
Kekecewaan tersebut juga terdorong dengan persepsi banyak penerbit filem yang menganggap dia sesuai untuk melakonkan watak komedi saja, kata Jeslina.
``Jess sebenarnya tidak suka dengan watak komedi. Jess suka filem yang serius. Boleh diandaikan satu-satunya filem yang benar-benar meninggalkan kesan di hati Jess adalah Seri Dewi Malam,'' tambahnya.
Selain itu, Jeslina juga berusaha membangunkan perniagaannya, Just Party iaitu sebuah syarikat yang mengendali pelbagai majlis keraian.
``Selain itu Jess juga bertindak sebagai konsultan untuk syarikat hiasan dalaman milik Dion,'' katanya yang sibuk menghias sendiri pangsapuri mereka kini.
Jeslina memiliki dekorasi berkonsepkan Inggeris dan tropika untuk `istana kecil' mereka itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan