15/07/09

Pertunangan Elyana


ELYANA bersama ahli keluarganya.


KALI pertama dipertemukan sekitar April 2006, kedua-duanya tidak menyangka bahawa perkenalan yang terjalin itu akan membawa mereka untuk menempuh ke alam baru.

Diikat dengan tali pertunangan dalam satu majlis yang berlangsung di Jeumpa D'ramo, Bangsar, Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu, banyak kisah-kisah yang tersimpul sepanjang tempoh tiga tahun mereka saling mengenali hati budi masing-masing.

Bagi sang jejaka, episodnya untuk melamar si gadis bukanlah semudah yang disangka.

Tiga kali lamaran cinta itu dipandang sepi, tetapi dia tidak pernah berputus asa.

Langkah demi langkah dilalui, namun akhirnya penantian tersebut membuahkan hasil sebaik si gadis menyatakan kesediaan untuk menerimanya dengan seadanya.

Begitulah kisah percintaan yang dilalui antara pemilik sebuah restoran makanan Jepun di Bangsar, Khairul Anuar Hussin, 34, dengan penyanyi dan pelakon Erneelya Elyana Emrizal, 22, atau lebih dikenali dengan nama Elyana.

Sungguhpun begitu, selain dilamar Khairul, Elyana mengakui bahawa dirinya juga pernah melamar lelaki itu.

"Dia (Khairul) memang sudah lama melamar saya. Sememangnya dalam perhubungan ada pasang surutnya.

"Satu hari, apabila lamaran itu 'hilang' begitu sahaja, barulah saya terfikir bahawa ia adalah sesuatu yang cukup berharga.

"Sebab itulah saya kemudiannya melamar Khairul kembali,'' kata Elyana saat ditemui selepas berlangsungnya majlis pertunangannya bersama Khairul.

Pada majlis serba ringkas itu, Elyana yang kelihatan anggun mengenakan busana rekaan Datin Lynda Rahim dan Zery Zamry menerima cincin pertunangan daripada Khairul yang disarungkan oleh kakak kepada lelaki berkenaan, Razieka Hussin.

Kedua-dua keluarga bagi pihak lelaki dan perempuan juga bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dalam tempoh setahun, manakala soal wang hantaran akan diumumkan kemudian.

Sebelum itu apabila hubungan mereka menjadi lebih erat, pada 11 April lalu, Khairul telah menghantar rombongan ahli keluarganya untuk merisik Elyana.

Ketika bertemu pada 2006, Khairul pada waktu itu langsung tidak mengetahui bahawa Elyana adalah seorang artis kerana wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Farah, seorang peniaga kecil-kecilan.

Menyambung bicara, Elyana yang bakal menemui peminatnya dalam drama terbaru berjudul Katrina Kamelia di Astro Prima tidak lama lagi berkata, dia berdoa agar dapat menjadi pasangan yang terbaik untuk Khairul.

"Selepas bertunang, perasaan gembira dan takut mula bercampur aduk dalam hati saya. Gembira kerana telah melangkah ke alam baru.

"Takut pula adalah disebabkan perasaan andai saya tidak mampu menjadi yang terbaik di sisi Khairul.

"Apa pun, saya akan berusaha untuk berubah ke arah lebih baik. Saya pun sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri biar dikata orang masih terlalu muda,'' jelasnya.

Kata Elyana, Khairul adalah seorang lelaki yang baik dan penyayang termasuk menyayangi ahli keluarganya.

"Dia juga tidak menghalang saya untuk meneruskan karier seni sebaik bernikah nanti.

"Cuma, dia menasihatkan saya supaya pandai menjaga diri,'' katanya sambil mengukir senyuman.

Apa kata Khairul?

Sementara itu, di pihak Khairul pula, Elyana pada kaca matanya adalah seorang wanita yang ikhlas dan natural.

"Inilah hari yang ditunggu-tunggu. Doa saya semoga semuanya berjalan dengan baik,'' ujarnya yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik.

Ditanya persediaannya untuk menempuh cabaran memilih artis sebagai pasangan, Khairul menjelaskan bahawa dia sudah cukup bersedia dengan apa jua dugaan menimpa.

"Saya dan Elyana sudah berkenalan lebih tiga tahun. Biarlah apa orang hendak kata. Saya tidak memikirkan sangat kata-kata orang,'' tegasnya yang terharu tatkala Elyana turut melamarnya untuk meneruskan hubungan.

Rasa syukur bapa Elyana

Selain Elyana dan Khairul, insan yang turut sama berkongsi rasa syukur dan gembira dengan majlis pertunangan pasangan itu adalah bapa kandung Elyana, Emrizal Shamsuddin, 55.

Melihat Khairul sebagai lelaki yang matang, dia juga memuji lelaki terbabit kerana banyak mengambil berat soal kehidupan Elyana dan ahli keluarganya.

"Apa yang penting, Khairul tidak kekok bercampur gaul dengan keluarga kami,'' tambahnya.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

Tiada ulasan: