6/1/11

Salih belanja RM50,000 bulan madu

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pengantin baru, Salih Yaccob (gambar) memperuntukkan RM50,000 untuk berbulan madu dan membawa keempat-empat isteri serta 11 anaknya bercuti ke China selama lima hari, bermula Ahad ini.

Bagi Salih, 49, percutian itu adalah rezeki anak-anak di samping merapatkan hubungan dengan isteri keempat, Samihah Sheikh Amy yang baru dinikahinya semalam.

Jelas Salih, bukan mudah untuknya merancang percutian bersama semua ahli keluarga berikutan kekangan masa dan ini merupakan suatu yang baik untuk seluruh ahli keluarga.

"Alhamdulillah, ada rezeki lebih untuk anak-anak dan isteri-isteri saya. Tambahan pula sekarang ini musim cuti sekolah, jadi saya fikir ini adalah masa terbaik untuk bersama keluarga.

"Lagi pun dengan cara ini adalah lebih mudah untuk kami berkumpul bersama-sama memandangkan saya sendiri sering sibuk dengan kerja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, pada awalnya, percutian itu dirancang oleh sebuah agensi pelancongan yang ingin menganjurkan percutian 'Salih Yaccob bersama para peminat'.

Namun, percutian itu ditukar menjadi 'percutian peminat bersama keluarga Salih Yaccob' ke negara tembok besar itu.

Mengenai tiga isterinya yang tidak hadir ke majlis pernikahannya di Kulaijaya, Johor semalam, Salih berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana isteri pertamanya perlu menghantar anak lelaki mereka ke Kuantan untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara.

"Oleh kerana isteri pertama saya tak dapat hadir, isteri kedua dan ketiga pun enggan hadir kerana mereka tidak mahu orang salah anggap.

"Jadi, dengan penjelasan itu, saya berharap orang sekeliling tidak membuat andaian negatif kenapa isteri lain tidak hadir ke majlis pernikahan saya.

"Apa pun, mereka tetap mengiringi langkah saya ke Johor dengan doa agar semuanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan," kata Salih yang menghantar khidmat pesanan ringkas kepada ketiga-tiga isterinya semalam sebaik majlis akad nikahnya selesai.