Memaparkan catatan dengan label Khalwat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khalwat. Papar semua catatan

1/02/11

Hakim dituduh khalwat minta bicara

ADAM Tumiran dan pasangannya, Nurul Izani Md. Isa ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang, semalam.


Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my



PULAU PINANG 31 Jan. - Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran dan penasihat kewangan, Nurul Izani Md. Isa dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat di sebuah kuarters kerajaan di sini, Disember tahun lalu.

Adam, 43, memakai kemeja putih dan berseluar hitam sementara Nurul Izani, 34, berbaju kurung ungu masing-masing mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya kira-kira pukul 10.30 pagi.

Mengikut pertuduhan, Adam dan Nurul Izani yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 2.05 pagi, 5 Disember tahun lalu, di No. 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.

Adam yang menetap di negeri ini didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nurul Izani yang bertugas di Kuala Lumpur didakwa di bawah Seksyen 27 (b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap seorang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Nik Bukhari Hashimy menetapkan 22 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Beliau membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 berserta seorang penjamin yang bermastautin di negeri ini bagi mengelak mereka menghilangkan diri semasa perbicaraan.

Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie, Mohd. Zulkhairi Aziz memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan kerana membabitkan pegawai kanan dalam perkhidmatan kehakiman.

Selain itu menurut beliau, pelbagai isu perundangan luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang lebih mendalam akan dibangkitkan sepanjang perbicaraan kes itu.

"Saya tidak tahu apa lagi isu yang akan timbul kerana hari ini pun sudah ada macam-macam.

"Jadi adalah lebih wajar kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi yang mempunyai penafsiran lebih luas supaya orang ramai lebih percaya dan yakin dengan perjalanan kes ini," katanya.

Peguam Ahmad Munawir Abd. Aziz yang mewakili pasangan itu turut memohon membuat penghujahan secara bertulis berhubung isu memindahkan kes.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, baharu keputusan mengenainya wajar dibuat.

"Jangan hanya kerana tertuduh pegawai kanan perundangan, keadilan untuknya dipinggirkan," katanya.

Dalam prosiding yang sama, mahkamah turut menolak bantahan awal dikemukakan peguam mengenai pertuduhan yang dianggap cacat.

Ahmad Munawir berkata, pasangan terbabit sudah berkahwin di luar negara dan surat pengesahan nikah juga telah diperoleh.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita.

Ketika serbuan dilakukan, isteri dan anaknya tiada di rumah kerana dikatakan berada di ibu kota.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, My Biz Online.

5/01/10

Sosilawati kemuka bukti nikah

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya yang didakwa berkhalwat pada malam tahun baru, hari ini mengakui telah berkahwin sekali lagi.

Jason Natural Cosmetics - Earth's Best Everyday Lotion, 7 oz lotionPada sidang akhbar di pejabat peguamnya, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain di Menara Mutiara, Bangsar di sini hari ini, beliau turut mengemukakan bukti iaitu dokumen pernikahannya di Songkla, Thailand pada 25 November lalu.

Menurut laporan sebuah akhbar hari ini, Sosilawati sepatutnya hadir di ibu pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shah Alam pada pukul 9 pagi setelah diarahkan berbuat demikian bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Sosilawati sehingga pukul 3 petang masih belum ke JAIS atas alasan tidak dimaklumkan secara khusus tentang tempat, waktu dan tarikh dia sepatutnya hadir untuk memberikan keterangan.

Sosilawati dan pasangannya disyaki berkhalwat setelah diserbu di sebuah kondominium yang disewa oleh pasangannya di Astana Damansara, kira-kira pukul 12.30 tengah malam (pagi 1 Januari).

Bagaimanapun menurut Mohd. Zaidi, anak guamnya pada malam kejadian hanya diberi satu notis yang memintanya hadir di tempat yang sama pada pukul 2.30 pagi, 1 Januari lalu.

Kata Mohd. Zaidi, permintaan itu jelas tidak seiring dengan kenyataan seorang pegawai JAIS dalam akhbar hari ini.

Bahkan, peguam itu juga menyifatkan, tindakan itu merupakan satu ketidakadilan bagi anak guamnya menyebabkan dia dipandang serong oleh masyarakat.

"JAIS tidak ada apa-apa bukti khusus yang mengatakan anak guam saya berkhalwat malah langsung tidak diberikan notis pertuduhan.

"Kalau ingin memanggil anak guam saya untuk hadir memberi keterangan, sekurang-kurangnya ada notis ataupun dimaklumkan menerusi telefon terlebih dahulu," katanya yang merancang menghubungi JAIS.

Tambah Mohd. Zaidi, ketika kejadian Sosilawati dan suaminya dalam keadaan biasa dan baru sahaja masuk ke dalam rumah tersebut.

Benefit Cosmetics Rush Hour"Ia seperti dirancang kerana serbuan itu dilakukan secara tergesa-gesa sehinggakan hanya maklumat peribadi anak guam saya sahaja yang diambil tetapi tidak pasangannya.

"Seolah-olah sasaran tertumpu hanya kepada anak guam saya. Ini sesuatu yang tidak adil memandangkan dia seorang ahli perniagaan dan maruahnya perlu dijaga," katanya.

Sementara itu, mengulas kejadian itu, Sosilawati memberitahu, ketika kejadian beliau langsung tidak ditanya tentang surat nikah malah hanya berdiam diri kerana tidak membawa dokumen pernikahan.

"Saya langsung tidak perasan tentang tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan dalam notis tersebut, saya hanya menurunkan tandatangan.

"Malu saya, dua hari kisah saya ditangkap khalwat disiarkan dalam akhbar. Tiada isu berkhalwat namun apa yang berlaku menjatuhkan maruah saya.

"Ingatkan kalau diam boleh aman, rupa-rupanya jadi lebih kecoh," katanya yang bersedia ke JAIS sekiranya mendapat arahan berbuat demikian.

Ketika diminta menjelaskan personaliti suaminya, kata Sosilawati, beliau bakal mengadakan majlis perkahwinan tidak lama lagi sekali gus memperkenalkan suami barunya itu kepada media dan masyarakat.


Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.

2/01/10

52 pasangan berkhalwat tahun baru dicekup

SHAH ALAM 1 Jan. - Sebanyak 52 pasangan dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas disyaki berkhalwat dalam serbuan di beberapa buah hotel murah sekitar Shah Alam, Kajang dan Klang dekat sini awal pagi ini.

Kesemua pasangan yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an dengan kebanyakan mereka merupakan pekerja kilang dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Serbuan yang dibuat dalam operasi sempena tahun baru 2010 itu bermula pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi disertai Bahagian Penguat Kuasa JAIS, pegawai masjid negeri, anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani berkata, operasi bertujuan membanteras kegiatan maksiat, menguatkuasakan undang-undang syariah dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

Beliau berkata, tumpuan operasi di kawasan hotel, tasik dan pusat-pusat hiburan.

''Serbuan di beberapa buah hotel di Klang berjaya menahan 40 pasangan dan selebihnya diberkas di Shah Alam dan Kajang.

"Pasangan yang berkhalwat akan didakwa mengikut Seksyen 29 (1a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, selain 52 kes pasangan berkhalwat, sebanyak 53 kesalahan lagi membabitkan kesalahan syariah yang lain seperti minum arak dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

Katanya, selepas operasi selesai, hampir 100 orang yang ditahan kerana berkelakuan tidak sopan dikhalayak ramai dibawa balik ke ibu pejabat JAIS untuk diberikan kaunseling sebelum dibebaskan.

Mohd. Hidayat berkata, kesemua yang ditahan untuk kes khalwat akan didakwa di mahkamah Klang, Shah Alam dan Kajang pada Isnin depan.
Sumber: UUtusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.

Khalwat: Wanita aksi cat woman nyaris terjun hotel

KUANTAN 1 Jan. - Seorang wanita sanggup menyabung nyawa apabila bertindak ala cat woman apabila duduk mencangkung di luar tingkap hotel setinggi empat tingkat semata-mata mahu menyelamatkan diri daripada ditangkap khalwat dalam Operasi Insaf sempena tahun baru di Jalan Wong Ah Jang di sini hari ini.

Akibat takut dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), wanita berusia 20 tahun itu keluar melalui tingkap dan duduk mencangkung di ruang sempit selebar 20 sentimeter di luar tingkap hotel tersebut.

Wanita yang berasal dari Dungun, Terengganu itu dikatakan dipaksa teman lelakinya yang berusia 28 tahun untuk berbuat demikian selepas menyedari bilik mereka diserbu pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, anggota penguat kuasa terpaksa mengetuk pintu bilik berkenaan hampir 15 minit sebelum dibuka seorang lelaki lengkap berpakaian.

Semasa pemeriksaan awal, hanya lelaki terbabit berada di dalam bilik tersebut, namun, penguat kuasa mengesyaki sesuatu apabila menemui sepasang kasut dan beberapa barangan wanita terbabit.

Apabila penguat kuasa menjenguk ke luar tingkap, didapati seorang wanita sedang duduk mencangkung di ruang sempit di tepi tingkap itu pada ketinggian kira-kira 30 meter dari bawah.

Cemas dengan serbuan itu, wanita terbabit mengancam untuk terjun dari tingkat empat hotel berkenaan jika gambarnya dirakamkan pihak media yang menyertai operasi mencegah maksiat itu.

Selepas dipujuk, wanita tersebut akhirnya berjaya dibawa masuk melalui tingkap berkenaan selepas teman lelaki dan penguat kuasa memegang dan menariknya ke dalam bilik.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIP, Ahmad Raffli Ab. Malek berkata, kejadian sedemikian sering berlaku apabila salah seorang pasangan berkhalwat panik ketika serbuan dilakukan.

"Pelbagai ragam dan kerenah pesalah khalwat kita hadapi, ada yang hendak terjun bangunan, lari tinggalkan pasangan, menyorok atas syiling dan banyak lagi.

"Bagaimanapun, anggota penguat kuasa telah bersedia untuk mengatasinya," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu di sini hari ini.

Operasi yang bermula pukul 6.30 pagi hingga 9 pagi itu disertai 30 anggota penguat kuasa dan Skuad Briged Cegah Maksiat.

Mengulas operasi itu, kata Ahmad Raffli, seramai 59 orang berusia antara 16 dan 55 tahun ditahan atas kesalahan berkhalwat di 20 hotel murah di bandar ini.

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan itu, terdapat dua kes berulang dikesan.

Kata beliau, operasi berkenaan turut melibatkan kesalahan minum arak, wanita berpakaian tidak senonoh dan aksi peluk cium di khalayak ramai.

"Hasil operasi sejak malam semalam sehingga pagi ini, terdapat dua kes minum arak, 58 orang ditangkap khalwat, tiga kes kesalahan perempuan mendedahkan tubuh dan 20 orang berpeluk cium," katanya.

Turut ditahan dalam operasi sama, ujarnya, seorang lelaki bergelar 'Tengku' berusia 33 tahun, pasangan warga emas dan pelajar sekolah.

Tambah beliau, kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 145(1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) dan sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua- duanya sekali.
Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.