25/03/05
Perkawinan Asia 2004
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Seluruh negara hari ini berada dalam suasana perayaan dengan ketibaan kemuncak Istiadat Perkahwinan Diraja antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Majlis persandingan penuh istiadat kebesaran diraja berlangsung di hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Di Istana Nurul Iman, para jemputan hadir seawal pagi lagi dengan penuh semangat dan ceria bagi menyaksikan istiadat bersejarah negara ini dengan para jemputan lelaki memakai pakaian cara melayu dan samping serba hitam dengan jemputan perempuan berbaju kurung dengan menyarungi 'kapit.'
Setiap ketibaan para jemputan khas ketika memasuki ruangan istana diiringi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara dan isteri, Datin Hajah Faizah serta anggota kerabat diraja bersama-sama tetamu khas Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri.
Selepas itu, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berangkat tiba bersama ketua-ketua negara dan wakil sahabat memasuki Balai.
Istiadat bersanding bermula keberangkatan masuk Pengantin Diraja Perempuan yang kelihatan sungguh ayu mengenakan pakaian tradisional berwarna biru lengkap dengan perhiasan yang membangkitkan lagi keanggunannya.
Kemudian Pengiran Muda Mahkota berangkat masuk dengan diapit sama oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, didahului dengan pembawaan alat-alat Perkahwinan Diraja dan dipimpin masuk Mufti Kerajaan, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz Juned.
Kedua-dua Mempelai Diraja kemudian bersanding dalam suasana gilang-gemilang di Balai Singgahsana Indera Buana Istana Nurul Iman.
Suasana ceria tetapi penuh kebeningan berlaku apabila Baginda Sultan seterusnya menapakkan tangan anakandanya, Pengiran Muda Mahkota ke atas kepala Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah diiringi tembakan meriam 19 das.
Istiadat Bersanding dimulakan dengan bacaan Selawat oleh Mufti Kerajaan dan seterusnya Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz membacakan Surat Pengisytiharan Gelaran bagi Dayangku Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman kepada Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah diikuti oleh bacaan doa selamat.
Sebaik saja selesai bacaan doa selamat, kedua-dua Pengantin Diraja berangkat ke Bilik Khas sementara menunggu untuk berarak mengelilingi Bandar Seri Begawan dan diikuti oleh Baginda Sultan dan Raja Isteri serta hampir semua anggota kerabat diraja.(Laporan Md Yusri Haji Tuah, Media Permata, Brunei)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan