28/03/05


Pengantin baru mengadu isteri dilarikan bomoh
Oleh: NIEZAM ABDULLAH
KOTA BHARU 27 Mac - Keluarga kepada seorang pengantin lelaki yang baru tiga minggu diijabkabulkan membuat laporan polis dan Jabatan Agama Islam negeri selepas pengantin perempuan dilarikan seorang bomoh di Kampung Kubang Edam, Melor di sini pada 10 Mac lalu.
Pengantin perempuan Norfarihan Yunus, 20, yang berkahwin dengan Mohd. Nasir Mohd. Razali pada 7 Mac lalu, dilarikan bomoh untuk mengubati penyakit wanita itu yang diserang histeria selepas tiga hari mendirikan rumah tangga.
Bomoh itu yang tinggal kira-kira 100 meter dari rumah mangsa dikatakan mahu membawa mangsa ke Jeli untuk menemui `mahaguru' yang didakwa boleh mengubati Norfarihan.
Menurut Mohd. Nasir, 22, akibat percayakan kata-kata bomoh, pihaknya membenarkan isterinya menjalani rawatan tradisional itu.
``Selepas bertemu mahaguru, bomoh itu tidak menghantar isteri saya pulang sebaliknya membawa isteri saya ke rumahnya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelas Mohd. Nasir, beliau bersama ibu mertuanya, Che Asiah Ismail, 49, kemudian merayu kepada bomoh supaya memulangkan semula isterinya.
Malah, kata Mohd. Nasir, bomoh berusia 40-an dan sudah berumah tangga serta mempunyai anak itu, menghalau mereka.
Selain tidak dapat berhubung dengan isterinya, beliau juga dimaklumkan bomoh terbabit menyembunyikan isterinya di tempat lain untuk mengelak daripada dikesan.
Mohd. Nasir yang bekerja di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan Norfarihan atas dasar suka sama suka.
Katanya, disebabkan usaha memujuk bomoh itu gagal, mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
``Saya buat laporan di IPD Kota Bharu petang semalam dan kepada Pejabat Agama Islam pagi ini,'' katanya.
Jurucakap polis IPD Kota Bharu dan Pejabat Agama Islam di sini yang dihubungi mengesahkan menerima laporan suami mangsa dan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Tiada ulasan: