2/06/05


PASANGAN Mohamed Nazim Tun Razak dan Norjuma Habib Mohamed yang akan melangsungkan perkahwinan di Pulau Pinang hari ini dalam satu pose istimewa di Kuala Lumpur semalam.
Adik Najib kahwin bekas wartawan TV3
KUALA LUMPUR 22 April - Datuk Mohamed Nazim, adik kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak akan melangsungkan perkahwinan dengan bekas wartawan TV3, Norjuma Habib Mohamed di Pulau Pinang esok.
Majlis akad nikah akan dilangsungkan di Masjid Jamek Bayan Baru pagi esok dan diikuti dengan majlis persandingan pada sebelah malam di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas.
Selain Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali adalah antara tetamu kehormat yang dijangka menghadiri majlis persandingan itu.
Menurut Datuk Idris Shaari Mat Aris, Setiausaha Sulit kepada ibu pengantin lelaki, Tun Hajah Rahah Mohd. Noah, majlis persandingan pihak pengantin lelaki akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 30 April ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Idris Shaari berkata, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja-Raja Melayu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menghadiri majlis persandingan itu.
Mohamed Nazim merupakan seorang arkitek yang mendapat pendidikan awal di Oundle School United Kingdom sebelum melanjutkan pelajaran di The Architectural Association, School of Architecture, United Kingdom.
Norjuma yang berkelulusan jurusan Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah St George, Pulau Pinang dan menyertai TV3 sebagai wartawan penyiaran. - Bernama
http://www.utusan.com.my/ utusan/archive.asp?y=2005&dt=0423& pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_02.htm&arc=hive

Tiada ulasan: