2/06/05


PENGANTIN baru, Mohamed Nazim Tun Razak bersanding dengan isterinya, Norjuma Habib Mohamed di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang malam tadi.
Nazim, Norjuma diijab kabul
Oleh: ZULKIFLI JALIL dan AHMAD SYAHIR KASSIM
PULAU PINANG 23 April - Pasangan Datuk Mohamed Nazim Tun Razak dan Norjuma Habib Mohamed selamat diijabkabulkan pada majlis yang meriah dan penuh kesyukuran di Masjid Bayan Baru di sini hari ini.
Mohamed Nazim yang segak mengenakan baju Melayu putih susu dan samping songket krim keemasan dengan tenang mengucapkan akad nikah dengan sekali lafaz di hadapan Naib Kadi Daerah Barat Daya, Ishak Ariffin.
Norjuma, 25, yang duduk bersimpuh berbaju kurung moden berwarna serupa kelihatan berdebar-debar memerhatikan Mohamed Nazim, 43.
Bekas pengacara Nona TV3 itu dilihat mengusap muka sebagai tanda syukur sejurus suaminya melafazkan akad nikah.
Mohamed Nazim kemudian menunaikan sembahyang sunat nikah sebelum menyarungkan cincin ke jari isterinya pada majlis yang dihadiri kira-kira 400 tetamu terdiri daripada saudara-mara dan rakan taulan.
Pasangan mempelai yang ditemui selepas itu sambil tersenyum berkata: ``Syukur Allah telah menyatukan kami.''
Mohamed Nazim yang memiliki firma arkitek memberi mas kahwin RM80 serta wang hantaran RM40,000 bersama 11 dulang dan dibalas Norjuma sebanyak 13 dulang berupa persalinan dan barangan lain.
Terdahulu, rombongan pengantin lelaki yang diketuai abang kedua Mohamed Nazim, Datuk Johari Tun Razak tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 11 pagi. Turut mengiringi rombongan itu ialah bonda pengantin lelaki, Tun Rahah Mohd. Noah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut memeriahkan majlis perkahwinan adik keempatnya itu.
Hadir sama, Menteri Pelajaran yang juga sepupu Mohamed Nazim, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan isteri serta ahli keluarga.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Basharuddin Saad yang mewakili keluarga pengantin perempuan di atas kedatangan rombongan pengantin lelaki dari Pekan, Pahang itu ke Pulau Pinang menerusi pujangganya: ``Izinkan saya bercakap bagi tuan rumah, (ibu bapa Norjuma) Mohamed Habib Said Ahmed dan Zainab Haroon.
``Orang kata tanpa bersuara, apa yang terpendam di hati tidak dapat difahami, hajat pun terpendam, maka meranalah badan, jika boleh kita elakkan.
``Dalam hati dua sejoli, janji diikat kasih berpadu, syariat dan adat mesti dipatuhi, ibu dan bapa memberi restu.''
Johari dalam pantun balasnya berbunyi: ``Dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, pergi bermain pantai, perkara yang lazim, kami datang ke sini mengambil peluang, menemukan jodoh Norjuma dan Nazim.
``Dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang, sudah lama Nazim mencari, nyata dipilih Norjuma seorang.''
Johari turut mengusik mempelai sehingga mencuit hati tetamu termasuk Rahah, Najib dan Hishammuddin.
``Siapa sangka, dalam kami ini sering asyik pi mai pi mai ke Pulau Pinang, untuk bercuti, bersantai di pantai yang indah, rupanya diam-diam, Nazim telah menaruh hati dengan sekuntum bunga di Pulau Mutiara ini, mekar di taman Pak Haji Habib dan Puan Zainab,'' katanya.
Pasangan mempelai turut diraikan malam ini dalam majlis persandingan di Dewan Besar, Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas.
Selain Najib dan Rosmah, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali adalah antara tetamu kehormat yang menghadiri persandingan itu. Majlis persandingan pihak pengantin lelaki akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 30 April ini.
Mohamed Nazim merupakan seorang arkitek yang mendapat pendidikan awal di Oundle School United Kingdom sebelum melanjutkan pelajaran di The Architectural Association, School of Architecture, United Kingdom.
Norjuma yang berkelulusan jurusan Pengurusan Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah St. George, Pulau Pinang dan menyertai TV3 sebagai wartawan penyiaran.

Tiada ulasan: