1/6/08

Beego & Intan menitis air mata hari pernikahan

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

BEEGO & Intan.

SEMBILAN tahun melayari bahtera percintaan akhirnya membawa mereka sehingga ke jenjang pelamin. Kedua-duanya juga tidak menyangka onak dan duri dapat diharungi juga sepanjang melalui detik percintaan itu.

Mungkin ada yang sudah mengetahui bagaimana pelakon Beego dan Intan begitu sukar untuk memeterai ikatan hubungan apabila percintaan terhalang atas sebab-sebab tertentu.

Tetapi itulah dinamakan jodoh, walaupun pelbagai ujian datang menimpa ia tetap akan ada. Pada 28 Disember lalu detik yang bersejarah apabila Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 28, sah menjadi suami kepada Intan Shahira Mohd. Shahru, 26.

Majlis akad nikah diadakan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru dalam suasana yang meriah. Dek kerana kedua-dua mereka merupakan anak sulung dalam keluarga, tidak hairanlah ia bagaikan sebuah majlis meraikan pernikahan anak raja.

Majlis persandingan pihak lelaki diadakan di Kelab Golf Diraja Johor pada 29 Disember manakala sebelah pengantin perempuan sehari selepas itu di Dewan Tabung Haji, Johor Bahru.

Ketika kedua-dua mereka selamat dinikahkan, Beego menitiskan air matanya tatkala bapa Intan, Mohd. Shahru Bahari membaca nota penyerahan.

Kata Mohd. Shahru, dia menyerahkan anaknya itu kepada Beego dan segala tanggungjawab yang dipikulnya sebagai bapa sebelum ini. Dalam suasana hiba itu, bukan sahaja Beego malah Intan dan seluruh ahli keluarga mereka turut menitiskan air mata.

Walaupun titisan itu adalah air mata kegembiraan namun ia memberi pengertian yang cukup bermakna dalam kamus hidup mereka. Bermulalah satu tanggungjawab baru ke atas Beego untuk menjadi ketua kepada isteri dan anak-anaknya nanti.

“Pada waktu itu saya merasakan berat tanggungjawab sebagai seorang suami. Tetapi niat saya baik, untuk membina keluarga dan akan memikul peranan itu.

“Sebab itulah saya menangis kerana saya perlu menjaga anak orang dan rumah tangga dengan baik. Lagipun perkahwinan adalah sesuatu yang diseru oleh agama,” kata Beego.

Tidak ada impian lain katanya melainkan berazam untuk menjadi seorang suami yang baik selain berkahwin untuk mengelak daripada terjerumus kepada gejala kemaksiatan.

Walaupun masih baru dalam dunia rumah tangga ini kata Beego, antara perkara yang dia takut selepas berumah tangga ialah ujian yang tidak mampu untuk dihadapi.

Oleh itu dia dan Intan sentiasa ingat-mengingatkan agar tidak terburu-buru dalam membuat keputusan sekiranya hubungan mereka menghadapi ujiannya.

“Saya tak nafikan selepas kita kahwin, macam-macam ujian yang akan kita hadapi. Cuma yang penting kita jangan terlalu mengikut perasaan sebaliknya perlu banyak berbincang,” katanya. Selain hantaran kira-kira RM20,000 keseluruhan kos majlis mereka dianggarkan hampir RM100,000.

Ia termasuklah tempahan pelamin dan pakaian pengantin serta majlis untuk meraikan rakan-rakan artis di Hotel Palace of The Golden Horses, Kuala Lumpur pada 12 Januari ini.

Bukan untuk membazir kata Beego, tetapi ia merupakan hasrat keluarga untuk melihat kedua-dua anak sulung ini gembira menempuh alam perkahwinan yang pertama dalam hidup.

Memilih Australia sebagai destinasi berbulan madu nanti, tiada apa yang diminta cuma pohon Beego agar para peminat dapat mendoakan kebahagiaannya dengan Intan kekal selama-lamanya.

“Doakanlah kami bahagia dan gembira membina rumah tangga ini,” katanya.





Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

No comments: