4/02/08

Yatt sudah berpunya


SEMALAM kamus hidup Yatt atau Norhayati Hamzah mencatatkan satu peristiwa yang cukup bermakna.

Secara rasmi, dia menjadi milik orang lain. Dan secara rasminya juga Yatt membuat pengakuan dia kini merupakan tunangan orang.

Dalam satu majlis yang sederhana, pertunangan Yatt dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor dilangsungkan dengan meriah di rumah keluarga pelakon itu di Seremban 2, Negeri Sembilan.

Selepas waktu Zuhur, jari manis Yatt disarungkan cincin pertunangan bagi menandakan termeterainya perjanjian kedua-dua mereka yang akan melangkah ke alam rumah tangga tidak lama lagi.

Yang lebih bermakna, Yatt tentunya gembira majlis itu dapat dilangsungkan juga selepas mereka menundanya pada bulan Disember lalu.

‘‘Syukurlah, akhirnya langkah pertama sebelum berkahwin dengan mengadakan majlis pertunangan dapat dilaksanakan juga,’’ katanya yang terlalu gembira dengan majlis itu.

Seperti pasangan lain, kedua mereka mengharapkan ikatan pertunangan itu akan merapatkan lagi hubungan mereka.

Mencecah usia 28 tahun, masanya sudah tiba untuk mereka serius memikirkan masa depan dan membina mahligai bahagia di alam rumah tangga.

Mengimbas kembali detik pertemuan pertama, Yatt bertemu Mutalib pada saat dirinya lara akibat kehancuran hati kerana kegagalan cintanya.

Ketika membawa hati yang remuk redam itu, Yatt meluangkan masanya untuk bermain futsal di Ampang Sport Planet.

Di situlah kedua-dua mereka bertemu apabila Yatt dan Mutalib diperkenalkan melalui seseorang.

‘‘Detik itu tidak akan saya lupakan dalam hidup ini kerana ia merupakan permulaan terhadap perjalanan kisah cinta kami,’’ kata Yatt.

Berpakaian putih, Yatt kelihatan ayu dengan solekan hasil sentuhan Fiza Zainuddin manakala pakaian seakan majlis raja sehari itu direka oleh Kasih Design, Shamnina Omar.

Malah pelamin pertunangan pula yang dihasilkan oleh Butik Pesona Anggun, Nilai seolah-olah menggambarkan ia seperti majlis nikah gantung.

Dengan 11 dulang hantaran daripada pihak lelaki, keluarga perempuan membalas 13 dulang yang antaranya terdiri daripada pakaian, manisan, kek, buah-buahan dan kasut.

Bimbang dikatakan mahu menunjuk-nunjuk, kata Yatt lebih baik dia merahsiakan sahaja mengenai jumlah wang hantaran yang diberikan oleh pihak lelaki.

Bukannya tidak mahu berkongsi dengan peminat tetapi menganggap soal wang ringgit merupakan perkara yang agak peribadi.

Cukuplah mereka berdua dan ahli keluarga sahaja yang tahu mengenai jumlah itu.

‘‘Sesetengah orang tidak kisah untuk menerangkan jumlah wang hantaran tetapi bagi kami biarlah ia menjadi rahsia.

‘‘Yang lebih penting kami tidak merahsiakan majlis ini,’’ katanya.

Tetapkan tempoh setahun

Sebagaimana biasa ketika ikatan pertunangan itu dimeterai, tentunya ramai yang akan bertanya bilakah agaknya tarikh kedua mereka untuk diijabkabulkan?

Jelas Yatt, selepas berbincang mereka mencapai persetujuan majlis pernikahan sesuai diadakan dalam tempoh setahun selepas pertunangan itu.

Seandainya dalam tempoh itu mereka merasakan ia perlu dipercepatkan, maka akan cepatlah kedua mereka untuk naik di atas pelamin.

‘‘Insya-Allah, tak lama kami bertunang. Dalam tempoh setahun keluarga menetapkan tempohnya. Seandainya dalam waktu itu kami ada tarikh yang sesuai, maka majlis pernikahan akan dilakukan,’’ ujarnya.

Berjaya sembunyikan si dia

Sebelum ini Yatt pernah mengakui hatinya sudah dimiliki tetapi enggan mendedahkan siapakah gerangan jejaka yang dimaksudkan itu.

Malah cukuplah dia hanya bercerita teman lelakinya itu bekerja sebagai pengurus di pusat sukan tersebut.

Bukannya apa kata Yatt, Mutalib hanyalah orang biasa dan bukannya artis. Adalah lebih baik dia tidak membawa kekasihnya itu ke alam glamor yang dilaluinya ini.

Jelas Yatt, perkara itu penting kerana dia tidak mahu bakal suaminya itu diheret sama sekiranya ada apa juga gosip yang melanda.

‘‘Dalam dunia hiburan ni kita tak jangka apa-apa perkara yang akan berlaku. Sebab itulah apabila orang tanya mengenainya, Yatt tidak bersedia untuk mendedahkan kepada umum.

‘‘Biarlah Yatt sendiri yang melalui gosip dan susah payah dalam dunia hiburan ini ,’’ katanya.

Walaupun berjaya menyembunyikan tunangnya itu tetapi adalah penting Yatt tidak melupakan janjinya untuk berkongsi kegembiraan majlis pertunangan dan hari bahagia nanti.

Hubungan teruji

Seperti pasangan lain yang melayari detik percintaan, Yatt tidak menafikan dia dan Mutalib juga menerima banyak ujian yang mengganggu hubungan mereka.

Sebaliknya Yatt bersyukur kerana mereka berdua dikurniakan kekuatan untuk menempuh dunia percintaan yang penuh dengan pancaroba itu.

Mengakui bukannya mudah untuk bercinta kerana kadangkala dugaan itu seolah-olah membuatkan mereka merasakan kasih sayang bagaikan perlu dinoktahkan.

Bagaimanapun menyedari setiap masalah itu akan mencapai penyelesaiannya dengan kesabaran dan permuafakatan, maka hubungan mereka akhirnya melewati juga usia tiga tahun.

‘‘Bohonglah kalau Yatt katakan hubungan kami tidak ada apa-apa masalah. Syukurlah kami mempunyai persefahaman dan masalah yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan baik,’’ jelasnya.

Doakan rezeki melimpah

Ketika namanya sedang diukir di pentas hiburan, Yatt mengambil langkah untuk mengikat tali pertunangan sebelum berumah tangga.

Ada yang beranggapan, sebagai pendatang baru, soal percintaan atau pertunangan hendaklah disembunyikan kerana bimbang ia boleh membawa kesan terhadap populariti seseorang.

Bagaimanapun Yatt menyangkal dakwaan itu dan menganggap rezeki itu akan ada dengan usaha dan keikhlasan.

Mengambil contoh beberapa artis lain yang sudah kahwin tetapi masih popular seperti Rosyam Nor, Erra Fazira dan Ziana Zain, kata Yatt, mereka merupakan insan yang mampu mengekalkan populariti bersandarkan bakat.

Jika seseorang itu mempunyai kebolehan soal status tidak menjadi halangan untuk menjadi popular.

‘‘Sebenarnya rezeki adalah kurniaan Allah. Kalau kita belum berkahwin tetapi tidak mahu berusaha, tidak akan datang juga rezeki itu.

‘‘Yatt percaya walaupun akan mendirikan rumah tangga tetapi Yatt tetap akan berdoa agar rezeki Yatt dalam bidang lakonan bertambah,’’ katanya.

Hampir dua tahun serius dalam bidang seni sesuatu yang menggembirakan Yatt apabila dia dapat mengotakan hasratnya selama ini untuk membeli kereta dan rumah.

Lebih bererti rumah semi-D yang terletak di Seremban 2 itu dibeli hasil titik peluhnya menjadi pengacara dan berlakon drama.

‘‘Ia merupakan hadiah Yatt kepada keluarga kerana Yatt telah berjanji sekiranya ada rezeki yang lebih, Yatt tidak akan melupakan mereka.

‘‘Syukurlah baru beberapa minggu kami tinggal di rumah baru, majlis pertunangan terus diadakan,’’ katanya.

Selain menanti jadual untuk penggambaran filem Toyol Nakal arahan Z.Lokman, lebih bermakna drama terbaru Yatt akan mula disiarkan di TV3 bermula esok.

Drama bersiri berjudul Bella itu akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 6.30 petang menggantikan drama Spa-Q.

Yang penting katanya, peminat boleh menilai hasil kerja kerasnya itu dan tidak akan berkecil hati sekiranya ada pihak yang ikhlas untuk memberikan sebarang komen.




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.