6/04/08

Mawi & Ekin dua tahun cinta jadi rahsia

MAWI dan Ekin sedang melalui rona-rona bahagia sebagai pasangan yang sedang bercinta.

Di puncak Genting Highlands sempena Anugerah Bintang Popular Ahad minggu lalu, terjawab sudah segala kesahihan hubungan penyanyi popular Asmawi Ani, 27, dengan Nora’asikin Rahmat, 29, apabila membuat pengesahan yang kedua-duanya bercinta.

Selama ini Mawi mahupun Ekin cuba berahsia tentang hubungan cinta yang terjalin sejak dua tahun itu.

Bagaimanapun bermula hujung tahun lalu, Mawi sedikit demi sedikit mahu menjelaskan kepada peminat hatinya sudah dimiliki oleh orang tersayang. Tanpa mahu menyebut siapa namanya tetapi umum sudah meneka, orang yang dimaksudkan Mawi tentulah gadis berasal dari Johor Bahru itu.

Banyak bukti yang mengesahkan mereka bercinta termasuklah memakai cincin yang sama selain beberapa sumber memberitahu pernah melihat mereka keluar makan berdua di sebuah restoran mamak berdekatan Taman OUG, Petaling Jaya, sebelum ini.

Akhirnya selepas tewas dengan desakan demi desakan, Mawi terpaksa menyatakan kepada umum pada saat ini Ekin adalah gadis yang berjaya bertakhta di hatinya.

Dengan penjelasan Mawi itu maka terjawab seribu satu macam teka-teki siapakah gadis yang dikaitkan dengan Mawi sebelum ini.

Malah dalam Pancaindera beberapa keluaran lalu Mawi juga secara jujur membayangkan majlis perkahwinannya nanti mahu diadakan secara sederhana.

Pengakuan Mawi tersebut membuktikan kepada peminat fanatik penyanyi itu bahawa segala laporan yang ditulis media sebelum ini adalah benar belaka.

Malah Pancaindera secara eksklusif telah menyiarkan gambar Mawi bersama keluarga Ekin yang dikirimkan peminat pada satu majlis hari raya pada tahun 2006.

Bagaimanapun peminat Mawi cuba tidak mahu untuk mempercayai gambar itu sebaliknya menuduh media menggunakan teknik super impose untuk menjatuhkan Mawi.

Selain itu penyiaran cek pemberian Mawi kepada Ekin berjumlah RM5,000 turut disalahertikan peminat yang menganggap ia sengaja dilakukan media yang cemburu dengan kejayaan Mawi.

Tetapi hari ini Mawi sendiri sudah mengaku Ekin teman istimewanya dan sedang melalui detik-detik bahagia seperti pasangan bercinta lain. Pengakuan itu memperlihatkan bahawa segala gosip mengenai mereka berdua selama ini adalah benar.

Malah apabila Ekin membuat keputusan untuk memakai tudung kerana mendapat hidayah selepas bermimpi menguatkan lagi teka-teki hubungan mereka. Ini kerana Mawi pernah membuat pengakuan dia lebih menggemari gadis yang bertudung.

Ketika bertemu dengan Ekin di Genting Highlands malam Ahad lalu, pelakon itu secara jujur memberitahu, usia hubungan mereka sudah mencecah dua tahun.

Secara berterus terang, kata Ekin, mereka membincangkan mengenai hubungan cinta itu di Bangkok semasa Mawi mengajaknya ke sana ditemani ahli keluarga masing-masing.

“Kami pergi ke Bangkok dua tahun lalu untuk membincangkan hubungan kami dan alhamdulillah, keluarga kedua-dua pihak merestuinya,” kata Ekin.

Pulang dari Bangkok, hubungan yang sudah direstui itu bertambah erat sehinggalah Mawi menghadiahkan sebentuk cincin buat Ekin.

Dalam temu bual dengan Zhana dan Zizi dari stesen radio Suria FM pada pagi Rabu lalu, Mawi memberitahu, dia memanggil Ekin dengan nama manja Kikin. Malah Mawi juga menyukai Ekin kerana dia dianggap sebagai gadis pelik dan lain dari yang lain.

“Dia tak macam perempuan lain. Kepala dia sempoi,” kata Mawi yang pada mulanya menganggap Ekin sebagai kawan biasa.

Ekin pula memberitahu, buat masa ini keluarganya tidak mencampuri hubungan mereka sebaliknya memberi kebebasan untuk mereka membuat keputusan soal berumah tangga.

Bagaimanapun dalam hal itu Ekin menyerahkan kepada Mawi kerana memahami tugas bakal suaminya itu yang sentiasa sibuk.

“Sejak awal kami kenal, Mawi memang sibuk dan sekarang ini pun sama. Jadi, Ekin tak mahu memaksa dia untuk kahwin kerana memahami dia masih perlu bekerja untuk menyara keluarga,” kata Ekin.

Kepada Ekin dan Mawi, selamat menempuhi dunia percintaan yang penuh pancaroba dan percayalah, peminat hari ini sudah boleh menerima siapakah bakal isteri Mawi.





Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.