27/04/08

Kisah artis di mahkamah

SEMINGGU dua ini, ada beberapa artis kita yang terpaksa turun naik mahkamah antaranya Beego dan Anis Suraya serta Sheila Rusly.

Beego dan Anis Suraya masing-masing naik mahkamah kerana kes pergolakan rumah tangga. Sayang sekali kerana rumah tangga yang dibina musnah kerana tiada lagi persefahaman.

Apalagi pada usia perkahwinan yang baru setahun jagung. Beego paling mengejutkan kerana baru sebulan berkahwin sudah mengalami masalah dalam melayari bahteranya bersama isteri, Intan Shahira Mohd. Shahru.

Kini, selepas empat bulan menjadi suami dan isteri, Beego memfailkan permohonan nusyuz (derhaka) terhadap Intan apabila dia tidak dibenarkan berjumpa isterinya dan tidak diizinkan pulang ke rumah.

Sembilan tahun menjalin kasih dan mengikatnya dengan ikatan yang sah namun hanya 10 hari sahaja Beego merasai kehidupan indah sebagai suami isteri.

Pulang dari penggambaran selama 10 hari di Singapura bersama Intan sehari selepas majlis resepsi mereka, Beego dikhabarkan tidak dibenarkan menemui Intan lagi.

"Sudah tiga bulan saya tidak berjumpa isteri. Mungkin ini satu dugaan untuk saya," kata Beego yang bernikah pada 28 Disember tahun lalu di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Sementara penyanyi Anis Suraya pula memfailkan permohonan cerai taklik terhadap suaminya, Wan Kasmizi Wan Kamaruddin selepas dua tahun berumah tangga.

Di mana silapnya? Sudah tiadakah lagi kasih sayang antara mereka? Tapi siapalah kita untuk menduga masalah yang berlaku kepada kehidupan masing-masing.

Apa yang boleh kita harapkan supaya mereka tabah menghadapi dan mengharungi setiap dugaan yang melanda kerana sesungguhnya jodoh pertemuan, ajal maut, bak kata Azharina Azhar, adalah di tangan Tuhan Yang Maha Esa.

Pelakon dan pengacara popular, Sheila Rusly juga terpaksa berhadapan dengan kes mahkamah apabila mengambil tindakan terhadap rakan kongsinya sendiri.

Semuanya gara-gara kerugian dan rasa malu yang terpaksa ditanggung apabila terpaksa menutup Restoran Nasi Dagang House yang diusahakan bersama, tiga tahun lalu.

Sheila, 36, mendakwa tindakan-tindakan rakan kongsinya itu yang menjejaskan perniagaan mereka dan menutup restoran itu tanpa pengetahuannya.

Itu sebahagian cerita rakan artis yang terpaksa ditelan dan 'dikongsi' bersama khalayak. Pun begitu, Wanda percaya, pada setiap kejadian, jika kita bersabar dengan dugaan yang mendatang dan memperbanyakkan muhasabah diri maka kita akan dapat mengharungi setiap perjalanan yang direncanakan-Nya dengan penuh reda.

Kerana akhirnya, kebenaran tetap akan berpihak kepada kita seandainya kita sememangnya adalah di pihak yang benar.





Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

Tiada ulasan: