3/01/11

AJL25 tidak halang Lan The Typewriter nikah

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Walaupun sibuk menjalani latihan untuk beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25), Norazlan Rosle, 27, atau lebih dikenali sebagai Lan masih sempat mengotakan janjinya untuk menikahi pasangannya, Normala Hassan semalam.

Dengan sekali lafaz, vokalis kumpulan Azlan & The Typewriter itu sah bergelar suami kepada Normala kira-kira pukul 10 pagi, di Surau Al-Munir, Batu 14, Hulu Langat.

Wang hantaran yang diterima Normala, 28, sebanyak RM11,700 adalah simbolik dengan tarikh lahirnya iaitu 7 November 1982 beserta mas kahwin berjumlah RM300.

Lan ketika dihubungi memberitahu, selepas diumumkan layak bertanding ke peringkat akhir AJL25 menerusi lagu Pelita nyanyiannya bersama A.P.I, dia cuba membahagikan masanya sebaik mungkin agar segala perancangan berjalan lancar.

“Selepas perkahwinan saya yang sepatutnya berlangsung pada November lalu ditangguhkan, saya cuba memilih satu tarikh yang sesuai untuk memastikan tiada masalah yang berlaku.

“Jadi, saya memutuskan untuk bernikah dan bersanding semalam. Segala persediaan untuk perkahwinan telah dilakukan terlebih awal supaya semuanya teratur dan tidak kelam kabut.

“Alhamdulillah, selepas semua ini berakhir, saya rasa cukup lega. Kini, saya boleh fokus semula untuk latihan bagi menghadapi AJL25,” kata pengantin baru itu yang memberi tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Dalam pada itu, Lan belum lagi memutuskan lokasi bulan madu mereka kerana ingin pastikan dirinya memberi komitmen bersama A.P.I.

Kata Lan, isterinya sudah pun sedia maklum dan faham dengan situasi yang sedang dihadapinya dan tidak mahu memberi tekanan kepadanya.

“Nasib baik isteri saya jenis yang faham dengan kerja saya. Dia tidak mendesak dan memberi pilihan kepada saya membuat keputusan.

“Sejurus selepas AJL tamat, barulah saya fokuskan semula untuk membina alam perkahwinan yang diimpikan semua orang,” jelas Lan yang teringin untuk menimang cahaya mata secepat mungkin.

Sumber: Utusan untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Score A Programme, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau.