Oleh WANDA IDRIS
``SAYA mahu mencipta empayar perniagaan seiring dengan empayar keluarga.'' Itulah kata-kata Norman Hakim ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir anak sulungnya, Mohamed Danish Hakim di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis itu, Norman Hakim turut melancarkan logo perniagaannya, MDH Trading & Services (MDHTS) yang mengambil tema warna merah dan hitam sebagai lambang keberanian dan keteguhan syarikat.
Bercerita tentang masa depan, sememangnya Norman Hakim, 29, bukan setakat seorang yang bercita-cita tinggi dalam kerjaya tetapi amat penyayang dan mengambil berat soal keluarga.
Kerana baginya, sebagai ketua keluarga, dia perlu sentiasa mencari peluang untuk memperteguhkan kedudukan ekonomi keluarga.
``Malah saya sengaja memilih tarikh yang sama dengan kelahiran Mohamed Danish untuk melancarkan logo perniagaan bagi meng-ambil berkat.
``Kerana bagi saya isteri dan anaklah yang membawa tuah dan rezeki,'' katanya yang bakal muncul dengan filem terbaru, Gila-Gila Pengantin Popular pada Ogos ini selain terus aktif dalam drama Gerak Khas.
Menurut Norman Hakim, wawasan tertinggi dalam perancangannya pada ketika ini ialah untuk mengeluarkan kereta ciptaan sendiri.
Cita-cita itu mungkin bunyinya agak keterlaluan namun kata aktor bertubuh tinggi lampai dan berkulit cerah itu, ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh digapai.
Malah dia percaya melalui syarikat MDHTS, dia mampu merealisasikan cita-cita itu dengan usaha yang gigih.
``Tiada apa yang boleh dianggap mustahil andai cita-cita disertai usaha yang bersungguh-sungguh. Memang impian saya itu tinggi menggunung.
``Tapi apabila kita memasang cita-cita, kita perlu ada langkah. Justeru, ketika ini saya semakin berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan mempelajari selok belok dunia korporat,'' jelasnya.
Menurut Norman Hakim, buat masa ini, MDHTS yang ditubuhkan 24 Mac dua tahun lalu bersempena tarikh kelahiran anak sulungnya itu terlibat secara langsung dalam aktiviti seperti perdagangan, pengurusan hartanah, penyelenggaraan automotif dan pusat mencuci kenderaan.
Selain itu, penubuhan syarikat itu bertujuan untuk memantapkan lagi sistem pengurusan dan aktiviti kesenian yang melibatkan Norman Hakim dan isterinya, Abby Abadi.
Sebagai Pengarah Urusan, kata Norman banyak perancangan dilakukan untuk memantapkan lagi syarikat tersebut.
Ini termasuklah merancang untuk menceburi bidang penerbitan drama dan filem serta menubuhkan butik sendiri yang dijangka akan mula beroperasi tahun depan.
``Sebenarnya penubuhan syarikat ini merupakan salah satu platform untuk kami suami isteri melibatkan diri dalam dunia korporat selain bidang hiburan.
``Nampaknya sejak penubuhannya, saya semakin bersemangat untuk berjuang. Dalam bidang perniagaan, bukan semua peluang ada di depan mata.
``Oleh itu, adalah penting untuk kita mencipta peluang perniagaan. Lantaran itu, banyak perancangan MDHTS yang saya lakukan semuanya untuk jangka panjang dan untuk anak-anak.
``Satu peringkat, saya perlu pelbagaikan jenis perniagaan agar memudahkan anak-anak memilih perniagaan yang mereka ingini di masa akan datang,'' katanya.
Buat masa ini, selain menguruskan perjalanan seni pasangan suami isteri itu, MDHTS juga sedang menjalinkan kerjasama dua hala bersama Ally Services Sdn. Bhd., pengimport tunggal minyak pelincir berjenama Selenia Motor Oil.
MDHTS juga bekerjasama dengan EF Hedge Design yang terlibat dalam perunding acara dalam menjalankan aktiviti pemasaran dan promosi minyak pelincir itu ke seluruh negara.
Tambah Norman lagi, dia amat bertuah kerana Abby memberi sokongan yang padu kepada setiap perancangan perniagaan yang dilakukan.
``Abby selalu menasihati saya, buat apa yang saya nak buat. Jangan pedulikan apa orang nak cakap. Kerana katanya, setelah berusaha, kita hanya perlu serahkannya pada kuasa Tuhan,'' jelasnya.
Mencontohi Datuk Yusof Haslam yang dianggapnya sebagai mentor dalam bidang perniagaan, kata Norman Hakim lagi, dia berbangga apabila cita-cita untuk membuka perniagaan sebelum usia 30 tahun tercapai.
Menyentuh mengenai keluarganya pula, kata Norman Hakim, dia dan Abby akan menimang cahaya mata kedua pada pertengahan tahun ini.
Dia kemudiannya dalam nada teruja memberitahu, ``Kalau tengok kepada pembawakannya tu, macam anak perempuan. Mana taknya, kalau masa mengandung anak pertama dahulu, Abby agresif, tapi kali ini manjanya bukan main,'' sambil memandang Abby yang leka melayan Mohamed Danish.
Bagaimanapun kata Norman, Abby mungkin akan berehat buat sementara waktu daripada drama Gerak Khas apabila usia kandungannya meningkat tujuh bulan. [UM]