18/10/06

Effendi setuju serah harta RM50j kepada Farida

KUALA LUMPUR 18 Okt — Bekas isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Effendi Norwawi, Zariah Hashim @ Farida Effendi akhirnya berjaya mendapat harta yang dituntut sejak setahun lalu, berjumlah kira-kira RM50 juta apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Effendi, 58, dan Farida, 55, turut bersetuju menarik balik semua permohonan yang berkaitan kes mereka dan dua peguam yang mewakili mereka berdua telah menandatangani notis penarikan balik kes pada 13 Okt lepas dalam kamar Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid.

Effendi diwakili peguam syarie Mohammed Burok, manakala Dr Mohd Rafie Shafie mewakili Farida.

Menurut Mohammed, kedua-dua pihak telah berbincang dan mencapai kesepakatan dalam pembahagian harta sepencarian itu pada 29 Sept lepas.

“Tarikh hari ini telah dilapangkan (sepatutnya keputusan kes) kerana kedua-dua pemohon bersetuju menyelesaikan kes di luar mahkamah dan perjanjian penyerahan harta ditandatangani di pejabat peguam Fairoz Moidunny yang juga mewakili Farida,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Syariah di sini.

Mohammed berkata, Farida akan mendapat harta seperti yang dijanjikan sebelum ini dan mengenai tujuh hartanah yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan di pejabat tanah, Effendi bersedia membayar gantirugi dalam bentuk wang tunai.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah sebenar, tetapi difahamkan ia berjumlah kira-kira RM7 juta.

Mengikut perjanjian persetujuan perceraian yang ditandatangani pada 28 Jan 2005, Effendi, bersetuju menyerahkan 25 bidang tanah di Sarawak dan Semenanjung yang bebas daripada sebarang bebanan.

Turut dipersetujui ialah 100 peratus saham syarikat Encorp Utility Sdn. Bhd., nafkah edah serta mutaah sebanyak RM50,000 dan tiga buah rumah termasuk di London dan sebuah di Taman U-Thant yang bernilai RM10 juta.

Perjanjian itu telah dijadikan perintah pada 21 Jun 2005 oleh Ketua Hakim Syarie, Hussin Ahamad.

Pasangan itu berkahwin pada Jun 1972 dan dikurniakan seorang anak lelaki Ezra serta dua perempuan Efeida dan Elyna. - Bernama