KETIKA Erra Fazira sibuk membilang hari bahagia untuk ke pelamin lagi, dua penyanyi genit dari Indonesia, Yuni Shara dan Rossa pula dikatakan akan bercerai.
Sedih sekali kerana pada saat-saat umat Islam berseronok dengan kehadiran bulan mulia Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma, mereka pula kecoh dengan kisah rumah tangga yang berantakan.
Rossa yang popular dengan lagu Pudar itu dikatakan telah meminta cerai daripada suaminya, pemain deram kumpulan Padi, Yoyo baru-baru ini. Manakala Yuni pula digosipkan berpisah dengan suaminya sejak seminggu yang lalu.
Ketika bertemu dengan kedua-dua mereka pada majlis berbuka puasa dan pelancaran album Hari Raya SRC Selasa lalu, pembantu Yuni turut memberitahu sudah ramai wartawan yang berkumpul di rumah Yuni untuk mendapatkan pengesahan daripada penyanyi yang popular dengan lagu Sepi itu.
“Memang sejak dua hari lalu timbul berita kurang enak yang mengaitkan rumah tangga saya. Di sana sekarang sedang ribut kisah saya berpisah dengan Henri,” kata Yuni tanpa berselindung.
Kepada beberapa wartawan tempatan, Yuni mengakui berita itu tidak benar sama sekali namun dia sendiri, katanya, belum membuat sebarang kenyataan dengan pihak media di negaranya.
“Kami baik-baik saja,” kata Yuni lagi sambil memberitahu gosip itu bukan pertama kali menimpa dirinya dan suami, Henri Siahaan.
“Mungkin menjelang lebaran begini, selalunya cerita-cerita artisnya mendatar, jadi mereka lakukan sesuatu untuk memeriahkannya. Tapi masalahnya cerita begini hanya mengeruhkan suasana,” ungkap Yuni yang kedengaran sedikit kesal dengan gosip terbaru yang melanda dirinya itu.
Bagaimanapun, kata Yuni, dia tidak mahu membebani dirinya dengan permasalahan yang bukan diciptanya. Malah pernah meminta pihak media di Indonesia supaya mendapatkan sahaja jawapan daripada orang yang menjaja berita tersebut.
“Selagi saya tidak mengesahkan perkara itu maknanya berita itu tidak benar. Tapi mereka tetap memaksa. Jadi saya katakan kepada mereka, pergi saja tanya kepada orang yang membuat cerita itu,” kata Yuni.
Tambah Yuni, “Saya sendiri tidak mahu ambil pusing tentang perkara itu kerana terang-terang ia tidak benar. Cuma saya kasihankan mama kerana sekarang dia kurang sihat.
“Saya tidak mahu kesihatannya lebih terganggu gara-gara gosip begini. Ini kerana pihak media tidak sahaja memburu saya tetapi juga mama dan keluarga lain. Saya tidak mahu mereka susah.”
Malah saat disoal mengenai hubungannya dengan Tamara Blaszenky, Yuni hanya tersenyum dan kemudian ketawa kecil memberitahu tidak tahu bagaimana boleh timbul kisahnya bergaduh dengan aktres itu seperti yang digembar-gemburkan baru-baru ini.
“Sedangkan baru kelmarin kami minum kopi bersama,” kata Yuni atau nama sebenarnya Wahyu Setyaning Budi itu lagi.
Dia yang bakal mengerjakan haji pada Disember ini juga memberitahu tidak mahu terganggu dengan kisah perpisahan itu malah lebih senang mempersiapkan diri untuk menyambut lebaran bersama keluarga besarnya.
* Rossa tiada rahsia
Rossa juga tenang sahaja bercerita soal rumah tangganya dengan Yoyo. Malah dia menegaskan cerita tentang dia meminta cerai daripada suaminya itu tidak benar sama sekali.
“Bohong! Saya sendiri dikejar sampai ke kampung hanya untuk mendapatkan pengesahan cerita itu. Bingung sekali jadinya tapi yang pasti, belum lagi dan insya-Allah, tidak,” katanya sambil tersenyum.
Biarpun berkali-kali memberitahu akan mempertahankan ikatan perkahwinannya dengan Yoyo, Rossa tetap mengakui hubungan mereka suami isteri sudah tidak semesra dahulu. Walaupun begitu Rossa sudah memaafkan perbuatan tidak bermoral yang dilakukan suaminya tidak berapa lama dahulu.
“Hubungan kami biasa-biasa saja. Kami masih bersama. Tapi kalau mahu dikatakan seperti dahulu, mungkin tidak. Saya tidak mahu berdendam tapi hanya masa yang boleh menyembuhkan luka ini,” kata Rossa berterus terang.
Dia yang kelihatan sentiasa ramah dan gembira nyata tidak mahu berpura-pura menunjukkan kebahagiaan diri.
“Kalau ramai-ramai begini, ya saya gembira sekali. Tapi kalau sendirian, ada kala memang terasa sedih memikirkannya,” ungkap Rossa.
Namun Rossa begitu seronok bercerita persiapan sambutan Syawal yang bakal dirai di kampung halaman di Sumedang, Jawa Barat.
Apalagi ini merupakan sambutan lebaran kedua bersama anaknya, Muhammad Rizky Langit Ramadan.
“Ibu Rizky ini lebih obsesi membeli persiapan anaknya,” kata Rossa sambil ketawa.
Dia seronok memikirkan sambutan Syawal bersama keluarga besarnya. Ada lebih 50 kaum keluarga daripada empat generasi yang akan berkumpul.
“Setiap tahun saya akan menyediakan baju raya sedondon. Bukan sahaja untuk saya, Yoyo dan Rizky tetapi juga untuk orang tua, abang, kakak dan anak-anak saudara kedua-dua keluarga,” kata Rossa yang menggemari masakan ketupat, opor ayam dan sambal goreng hati untuk juadah Hari Raya.
Dia yang hanya akan bercuti selama seminggu pada Hari Raya nanti juga memberitahu sedang sibuk di studio rakaman untuk album terbarunya.
“Saya juga akan merakamkan dua lagu ciptaan Yoyo. Sebuah lagu rancak dan sebuah lagi berentak perlahan. Liriknya juga dihasilkan oleh Yoyo. Tapi lagu-lagu itu telah dicipta dua tahun lalu. Jadi tentunya liriknya bagus-bagus saja,” katanya berseloroh.
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain. Dia kini bekerjasama dengan Zubli Zainordin pengasas Sains dan Seni Jaya Diri, pengarang blog Total Happiness dan pengelola Book Project blog. |