8/09/07
Erra minta hantaran al-Quran
Tarikh pernikahan kemungkinan dipercepat
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira Wan Chek, 33 sah menjadi tunangan kepada Ketua Pegawai Operasi, Radio Suria FM, Engku Emran Zainal Abidin, 32, dengan senaskhah al-Quran menjadi antara hantarannya.
“Senaskhah al-Quran sudah memadai sebagai hantaran kerana di dalamnya terkandung panduan terhadap segala amanah dan tanggungjawab apabila kami melalui alam kehidupan berumahtangga nanti.
“Kalau diberi RM100,000 belum tentu cukup, jadi memadai jika saya meminta senaskhah al-Quran. Keluarga kami sepakat untuk tidak meminta wang hantaran kerana itu hanya sekadar adat,” katanya pada majlis itu di sini, semalam.
Pasangan yang mula rapat sejak Mei lalu itu ditunangkan pada majlis sederhana di kediaman Erra Fazira, di Damansara, kira-kira jam 4 petang semalam.
Erra yang diwakili Mohamed Yusof, 61, iaitu suami kepada penulis lirik terkenal yang juga penerbit filem dan drama, Habsah Hassan, menerima lima dulang hantaran termasuk dua cincin bagi acara merisik dan bertunang, tepak sirih, persalinan, kasut dan manisan.
Sementara itu, Erra menyerahkan tujuh dulang hantaran kepada Engku Emran yang diwakili bapa saudaranya, Engku Abu Bakar Engku Ngah iaitu tepak sirih, songket, persalinan, songkok, butang baju Melayu, kasut serta dua manisan.
Pasangan yang mengikat tali pertunangan tiga bulan itu belum menetapkan tarikh pernikahan mereka. Kemungkinan pernikahan dipercepatkan bergantung kepada persetujuan kedua-dua belah pihak.
Engku Emran ketika ditemui selepas majlis berkenaan menyifatkan permintaan bakal isterinya melambangkan kemurnian hatinya untuk meniti kehidupan baru yang penuh keberkatan.
“Al-Quran itu tidak ternilai harganya. Permintaan Erra itu melambangkan betapa murninya hati seseorang itu. Saya harap dengan sebuah permintaan suci seperti ini, perkahwinan kami nanti akan lebih diberkati,” katanya.
Pada majlis sederhana itu, kira-kira 40 anggota rombongan daripada pihak lelaki tiba jam 3.30 petang dengan persalinan berwarna biru. Sementara pihak perempuan pula memilih warna coklat lembut.
Cincin pertunangan mereka disarungkan ibu Engku Emran, Toh Puan Salmah Abu Bakar, 61. [BH]
Kategori:
Pertunangan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan