4/02/08

Episod baru Ning-Omar


TIADA apa yang menggembirakan pasangan Colin dan Maureen Dalton selain daripada mendoakan anak bongsu mereka, Omar Sharif berbahagia di samping penyanyi terkenal tanah air, Ning Baizura Hamzah yang kini menjadi menantu mereka.

Tidak pernah terlintas di fikiran mereka akan menerima kehadiran ahli keluarga baru yang datangnya dari budaya, bangsa dan agama yang berbeza. Apatah lagi, menantu baru mereka merupakan personaliti ternama.

“Apabila Omar memberitahu kami tentang hajatnya untuk mendirikan rumah tangganya sekali lagi, kami menyambutnya dengan baik.

“Tetapi, saat dia menjelaskan bahawa wanita yang dipilihnya itu datangnya dari agama yang berbeza, perasaan terkejut serta-merta terbit dari hati kami.

“Masakan tidak, kami tidak pernah menyangka bahawa Omar akan berbuat demikian tetapi kami sebagai keluarga, kami memberikan sokongan penuh kepadanya dan merestui pilihannya. Ternyata, Ning memang sesuai dengan dirinya dan kami amat gembira menerima Ning sebagai ahli keluarga baru kami,” jelas bapa Omar, Colin Dalton sewaktu ditemui selepas majlis pernikahan anaknya itu.

Pasangan Ning dan Omar dinikahkan oleh bapa Ning, Sheikh Hamzah Sheikh Mohamad, 77, di Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq di Bangsar, Kuala Lumpur semalam dengan mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran berjumlah RM66,666.66.

Diminta pendapatnya tentang Ning, Colin memberitahu, dia begitu menyenangi sikap menantunya yang sangat terbuka dan mampu menyesuaikan diri dengan keluarga mereka dengan cepat sekali.

“Selepas Omar membawa Ning untuk bertemu dengan kami dua tahun lalu, saya begitu senang dengan kehadirannya. Ning bagaikan seorang anak yang seorang bapa mahukan dan itulah perasaan saya terhadap Ning,” katanya.

Colin turut menyatakan rasa gembiranya menghadiri majlis pernikahan anaknya dengan Ning yang disifatkannya sebagai unik.

“Saya tidak pernah menyaksikan majlis perkahwinan yang begitu indah dan aman. Bukan itu sahaja, saya begitu kagum dengan semangat dan perpaduan yang ditonjolkan dalam majlis perkahwinan ini. Kami berasa gembira kerana semua pihak menerima kami seadanya dengan terbuka,” jelasnya lagi.

Sementara itu, wanita yang begitu penting dalam hidup Ning, ibunya, Satilah Abdullah pula sukar menyembunyikan kegembiraan kerana puteri kesayangannya bertemu jodoh dengan lelaki yang diyakini mampu menjaganya.

Malah kata Satilah, perkahwinan Ning bagaikan sebuah kisah dongeng.

“Apa sahaja rintangan dan dugaan yang kami lalui, tidak pernah memisahkan kami malah, perhubungan kami bertambah erat dan rapat. Saya cukup memahami apa yang Ning mahukan dan tiada apa yang mampu saya lakukan selain daripada mendoakan agar perkahwinannya akan terus berkekalan,” jelas wanita berusia 63 tahun ini lagi.

Satilah dengan jujurnya memberitahu, dia pernah membayangkan anaknya itu akan mengahwini lelaki asing.

“Mungkin disebabkan, Ning juga datang dari perkahwinan campur maka sedikit sebanyak terpalit juga kepada Ning. Tetapi, saya tidak kisah siapa pilihannya kerana yang penting, mereka berdua boleh membimbing antara satu sama lain menjadi seorang Muslim yang lebih baik,” katanya.

Bagi Ning dan Omar pula, mereka sangat bersyukur kerana apa yang dirancang untuk hari bahagia dalam tempoh enam bulan berjalan dengan lancar.

Masakan tidak, untuk membuat persiapan perkahwinan dalam tempoh tersebut bukannya mudah. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan untuk memastikan perjalanan perkahwinan mereka tiada cacat-celanya.

Pasangan berkenaan mempunyai seribu alasan untuk bergembira di hari bersejarah mereka kerana majlis pernikahan yang berlangsung semalam selesai tanpa sebarang celanya.

Tepat pukul 10.14 pagi semalam, semuanya berubah dan dalam sekelip mata, status Ning juga bertukar.

Sudah pasti, kini satu tanggungjawab baru dan besar menanti penyanyi yang sangat popular dengan lagu Awan Yang Terpilu itu.

Ning yang ditemui selepas majlis pernikahannya meluahkan ikrarnya menjadi seorang isteri yang solehah kepada Omar selain terus membimbing suaminya itu menjadi seorang Muslim yang baik.

“Saya sedar apabila berkahwin dengan lelaki asing, tanggungjawabnya begitu besar. Apa yang buat saya kagum dengan Omar ialah dia banyak bersabar dan menerima segala dugaan dan cabaran dengan begitu tenang sekali.

“Bukan itu sahaja, ikatan yang disimpul bersama Omar ini juga menjadi jambatan untuk saya lebih mengenali anak-anaknya dan memberikan kasih sayang yang tiada berbelah bagi kepada mereka,” jelas Ning mengenai hasratnya untuk berkongsi kasih dan sayang dengan dua orang anak Omar menerusi perkahwinan terdahulu suaminya itu.

Omar pula memberitahu, dia tidak menyangka sama sekali akhirnya akan memperisterikan wanita yang begitu banyak bersabar dengannya sepanjang tempoh pertunangan mereka.

“Saya tidak tahu apa akan jadi dengan saya tanpa Ning di sisi. Dia banyak membimbing serta memberikan sokongan tanpa henti kepada saya. Kesabarannya dalam menempuhi segala dugaan memang amat saya kagumi. Ternyata, saya begitu bertuah kerana dapat memiliki wanita seperti Ning,” katanya sambil memandang penuh cinta kepada isteri tersayang yang anggun dengan persalinan rekaan Jovian Mandagie.




Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.