Oleh Norliza Mohamad Zakaria
KERANA minat yang mendalam terhadap kerjaya nyanyian, mereka nekad memasuki program realiti Televisyen, Akademi Fantasia (AF1) musim pertama. Bagaikan sebuah keluarga, apa sahaja masalah dan kesedihan yang dialami dikongsi bersama. Atas keprihatinan, sikap saling membantu dan saling menasihati, keakraban yang terjalin semakin mekar. Tanpa disedari, di situlah bermulanya kisah cinta pasangan romantis ini yang menyatukan perasaan sehingga membuahkan bibit-bibit cinta di antara mereka. Penyingkiran Rosma pada minggu-minggu terawal AF1 begitu meruntun hati pemuda kelahiran Johor itu kerana ‘kehilangan’ teman yang paling rapat di akademi. Tiga bulan berlalu, berlabuhnya tirai AF1 bukanlah noktah kepada hubungan ‘teman tapi mesra’ antara Khai dan Rosma. Ia berlarutan sehingga bertahun-tahun lamanya. Biarpun banyak mata yang memandang dan banyak mulut yang bertanya, mereka lebih ‘senang’ dengan jawapan bahawa hubungan yang terjalin sekadar teman rapat. Lima tahun berlalu, akhirnya pasangan ini tampil membuat pengakuan pada awal April lalu bahawa mereka bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi. Pastinya, tidak terduga sama ada Khai atau nama sebenarnya Mohd. Khairul Nizam Mohamad, 29 dan juga Rosmayati Sidik, 23 atau Rosma sendiri bahawa pertemuan di banglo ‘cinta’ itu bakal mengubah kehidupan mereka kelak. Tidak mahu cepat melatah dan tersilap dalam percaturan kisah cinta, pasangan ini mengambil sikap berdiam diri. Tarikh keramat terpaterinya cinta antara Khai dan Rosma ialah pada hari Sabtu (26 April) lalu dan diabadikan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya yang dihadiri sekitar 100 orang ahli keluarga terdekat yang rata-rata bertandang dari Johor Bahru, Johor dan Kuantan, Pahang. Majlis dimulakan seawal pukul 10 pagi dengan ikatan pertunangan. Detik bersejarah pasangan itu menyaksikan ibu Khai, Sharifah Alwiyah Syed Abdul Kadir menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Rosma. Menanti detik disatukan, Khai dan Rosma tidak mahu ketinggalan mengabadikan kenangan terindah itu menerusi lensa kamera wakil media yang hadir membuat liputan. Setelah hampir dua jam bertunang, akhirnya Rosma dan Khai dinikahkan oleh Imam besar Masjid Putra, Putrajaya, Abd. Manaf Mat, 49, setelah diwakilkan oleh bapa Rosma, Sidik Abu Bakar, 71, tepat pukul 11.55 pagi dengan mas kahwin RM100. Dengan sekali lafaz, kedua-dua penyanyi itu menjadi pasangan suami isteri yang sah. Kegembiraan jelas terpancar di wajah kedua-dua mempelai yang kelihatan begitu berseri dengan padanan busana berwarna putih susu dari Butik D'Risik. Pada majlis itu juga, pasangan tersebut bertukar-tukar dulang hantaran iaitu sembilan dulang dari Khai termasuk wang hantaran RM16,161.61 beserta sirih junjung, tas tangan berjenama Guess, kasut, sejadah, telekung dan senaskah al-Quran. Rosma pula membalas 11 dulang hantaran antaranya berupa kek, sirih junjung, minyak wangi, kasut dan tali pinggang, puding, sejadah, coklat dan senaskah al-Quran. Ketika ditemui selepas majlis akad nikah, pasangan tersebut memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana majlis pernikahan mereka berjalan dengan lancar. “Alhamdulillah semuanya selamat, mula-mula memang rasa berdebar tetapi bila dah selesai akad nikah mula rasa lapang dan lega sangat. Walaupun boleh tarik nafas lega, tetapi ini merupakan permulaan untuk saya memikul tanggungjawab,” kata Khai yang pernah popular dengan lagu Dambaan Pilu itu. Menurut Khai, selepas ini mereka akan menetap di kediaman Rosma di Seri Kembangan, Selangor untuk memudahkan aktiviti seni di sekitar Kuala Lumpur. Menjelaskan tentang keharmonian hubungan cinta mereka, kata Rosma, selama lima tahun bercinta, dia dan Khai menanamkan sikap saling mempercayai antara satu sama lain sekiranya berlaku sebarang masalah. “Lumrah bercinta, memang tidak pernah terlepas dari dugaan. Bagaimanapun, dengan bertolak ansur dan berbincang kami dapat atasi masalah yang dihadapi bersama,” kata Rosma sambil menguntum senyuman. Pasangan yang bakal menerima tajaan berbulan madu dari Aura Seri itu merancang untuk berbulan madu pada pertengahan Mei ini, bagaimanapun masih belum menetapkan destinasi pilihan mereka. Majlis persandingan meriah Sementara itu, majlis persandingan pasangan itu disambut meriah oleh hampir 800 tetamu dalam majlis bertemakan Moden Kontemporari yang diadakan di Dewan Persidangan Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya malam Ahad lalu. Anggun mengenakan busana yang berwarna biru muda, Khai dan Rosma diraikan bagai pasangan diraja yang bersemayam di atas singgahsana. Berlatarkan rona biru dan putih susu, keserian majlis ditambah lagi dengan kehadiran rakan-rakan artis AF1, antaranya Sahri, Nija, Burn, Atie dan Azza. Tidak ketinggalan, bintang-bintang AF2 dan AF3 iaitu Farah, Bob, Nurul, Yazer dan Ekin. Malah, juara AF4 dan AF5 iaitu Faizal dan Mila turut hadir memeriahkan majlis. Keistimewaan Khai dan Rosma Sempat bertanya tentang keistimewaan Rosma, menurut Khai, isterinya itu merupakan seorang yang sangat memahami dan senang menerima teguran. “Selain itu, kami juga mempunyai hobi yang sama iaitu gemar bermain bowling dan menonton wayang. “Selama lima tahun bercinta, Khai sudah mengenali hati budi Rosma dan sampai sekarang, keserasian yang wujud tetap utuh,” jelas Khai tentang keperibadian yang dimiliki oleh isterinya. Bagi Rosma pula, sikap ambil berat dan kebijaksanaan Khai dalam memberi nasihat membuka hatinya untuk menjalin ikatan sebagai suami isteri. “Satu yang paling Rosma suka, dia berjaya mengubah sikap yang selama ini bagai ‘sebati’ dalam diri Rosma. “Antaranya ialah sikap panas baran. Biasalah, kadang-kadang kita sendiri tidak sedar tentang sikap diri sendiri. Perkara kecil pun kadang-kadang boleh jadi besar,” kata Rosma lagi. Mahu empat anak Biarpun baru mendirikan rumah tangga, Rosma tidak kekok berkongsi hasratnya untuk segera mempunyai cahaya mata. Sebaik diajukan soalan, pantas jawapan Rosma bahawa dia mahukan empat anak bagi melengkapkan lagi kehidupan keluarga bersama suaminya, Khai. “Insya-Allah, kalau ada rezeki Rosma mahukan zuriat tahun hadapan. Bagaimanapun, kalau ditakdirkan ada rezeki tahun ini, Rosma tidak akan menolak. “Kalau boleh, Rosma mahu empat orang anak, sepasang lelaki dan sepasang perempuan,” kata Rosma tanpa berselindung. |
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain. |