30/05/08

Adun Melor fail cerai isteri kedua


MINTA KEADILAN: Siti Aishah (kiri) berbincang sesuatu di luar Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, semalam. Gambar kecil, Wan Ismail Wan Jusoh.

Oleh Betty Subaryati

KOTA BHARU: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas Kelantan semalam, mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, untuk mengesahkan lafaz cerai terhadap isteri keduanya yang juga warga Kemboja berketurunan Cina, berusia 24 tahun yang dikahwini sejak lima tahun lalu.

Adun Melor, Wan Ismail Wan Jusoh, 53, selaku defendan, yang tidak hadir di mahkamah semalam, mengemukakan permohonan itu menerusi peguamnya, Mahani Mustafa, atas alasan sudah melafazkan cerai talak satu di rumah sewa isterinya, Siti Aishah Abdullah, 24, dekat Wakaf Mek Zainab, pinggir bandar ini pada 16 April lalu.

Prosiding permohonan mengikut Seksyen 57 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002 itu berlangsung dalam kamar Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan. Siti Aishah yang diwakili peguam, Mohd Sibri Ismail, hadir mengikuti prosiding itu sambil ditemani bapanya, Kim Ti, 63.

Berikutan ketidakhadiran defendan, Nik Najib menangguhkan prosiding pengesahan lafaz talak itu kepada 2 Julai ini, bagi memberi peluang kepada Wan Ismail hadir di mahkamah untuk memberi keterangan mengenai lafaz cerai terbabit.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Siti Aishah yang berkahwin dengan Wan Ismail di Kuala Lumpur pada 2003, berkata beliau diceraikan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 16 April lalu ketika suaminya pulang ke rumah sewa bersama seorang wanita yang identiti tidak dikenalinya, sebelum melafazkan cerai talak satu terhadapnya tanpa memberi sebarang alasan.

"Kejadian itu berlaku ketika saya berada di rumah sewa di Taman Tg Ahmad Panglima, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu bersama sepasang anak kami berusia antara satu hingga tiga tahun.

"Sebelum melafazkan talak terhadap saya, dia jarang-jarang balik ke rumah menjenguk saya dan anak. Selepas menjatuhkan talak, dia tidak lagi balik ke rumah atau bertanya khabar anak serta tidak memberi nafkah serta mengambil berat mengenai anak, termasuk sewa rumah yang kini saya terpaksa tanggung sendiri," katanya yang kini membuka perniagaan kecil menjual kain tudung di bandar ini untuk menyara hidup.

Siti Aishah berkata, beliau tidak menyangka akan diceraikan tanpa sebarang sebab oleh suaminya, walaupun sebelum ini seorang wanita pernah menghubungi dan menyuruh saya pulang ke negara asal, Kemboja.

Katanya, walaupun kini terpaksa menempuh dugaan hidup sebagai ibu tunggal bersama dua anak yang masih kecil, beliau bertekad tidak akan meninggalkan Islam yang sudah menjadi pegangan hidupnya sejak 2003.

"Ibu bapa kandung saya cukup marah dengan tindakan suami menceraikan saya tanpa sebab selepas saya berkorban meninggalkan keluarga dan agama asal untuk menjadi isterinya. Mereka meminta saya kembali ke Kemboja, tetapi saya mahu meneruskan kehidupan di sini, sambil menaruh harapan mahkamah memberi keadilan kepada saya," katanya.





Ini adalah keratan akhbar dari Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.