KUALA LUMPUR - Atas alasan takut telanjur, Nasrudin Dahrom akhirnya bernikah dengan Noor Fadilah Ahmad melalui bantuan seorang 'ustaz' di Lombok, Indonesia dua hari lalu.
Pernikahan Nasrudin, 24, dan Fadilah, 18, tetap diadakan walaupun tidak mendapat kelulusan kementerian agama di republik berkenaan yang sebelum ini menetapkan supaya Fadilah perlu mendapat keizinan walinya di Malaysia terlebih dahulu sebelum dinikahkan.
Bagaimanapun, menurut Nasrudin, beliau terpaksa membuat keputusan segera untuk berkahwin secara 'gelap' kerana tidak mahu melakukan perbuatan yang dilarang agama sedangkan kedua-dua mereka saling menyukai sesama sendiri.
"Saya tidak mahu melakukan dosa dan seterusnya terlanjur, saya menghormati Fadilah dan juga keluarganya walaupun tidak mendapat keizinan daripada jabatan agama.
"Lagi pun ada pihak tidak mahu kami terus begini dan harus dinikahkan segera dan kini kami berdua rasa sangat gembira," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Fadilah yang sebelum ini didakwa telah dilarikan oleh Nasrudin mendapat perhatian akhbar ini pada 24 September lalu melaporkan keluhan ayahnya, Ahmad Abdul Hamid, 46, setelah mendapat tahu anaknya sudah dilarikan oleh pemuda tersebut.
Beliau yang berasal dari Ladang Sungai Gedong, Bagan Serai, Perak nekad mengikut Nasrudin pada 3 September lalu ketika bekerja sebagai operator di sebuah kilang elektronik di Pasir Gudang, Johor.
Bagaimanapun Fadilah yang sebelum ini ingin kembali semula ke Malaysia tidak sedikit pun menunjukkan rasa kecewa atau tertekan seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Namun perbuatannya itu boleh dianggap derhaka oleh beberapa tokoh agama sekiranya perkahwinan mereka tidak direstui keluarga.
Dalam pada itu, Nasrudin memberitahu, mereka masih belum memaklumkan perkahwinan tersebut kepada kedua orang tua Fadilah mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun usaha Kosmo! untuk bercakap dengan Fadilah sendiri tidak berjaya kerana Nasrudin memberitahu beliau sedang menunaikan solat dan percubaan seterusnya gagal kerana telefon bimbit dibawa oleh abang Nasrudin ke rumah mentuanya.
Sementara itu, Ahmad ketika dihubungi di Perak melahirkan rasa terkejut dengan tindakan yang dibuat oleh Nasrudin dan beliau dengan tegas tetap tidak merestui perkahwinan mereka.
"Macam mana pun pak cik tetap tak setuju depa kahwin, pak cik harap anak pak cik dapat dibawa balik ke sini dengan segera," katanya.
Ini adalah keratan akhbar dari Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info, dan lain-lain. |