26/05/09

Akhil Hayy tidak pulang ke rumah: Isteri nekad minta cerai

KUALA LUMPUR 25 Mei - ''Februari lalu, dia pernah meminta kebenaran untuk mengahwini Waheeda. Saya reda dan membenarkannya.

''Bagaimanapun, selepas dia mendiamkan diri termasuk tidak pulang ke rumah dan menjawab telefon, saya sudah hilang sabar serta nekad untuk menuntut cerai.''

Itu tegas isteri kepada penyanyi dan pendakwah Akhil Hayy, Maizawati Zainal, 33, berhubung kemelut rumah tangga mereka yang kini sedang hangat diperkatakan gara-gara Akhil didakwa mempunyai hubungan dengan penyanyi Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 31.

Menurut Maizawati, selepas lama memendam perasaan, dia hilang rasa sabar dengan apa yang melanda hidupnya ekoran gosip hubungan berkenaan termasuk apa yang telah Akhil lakukan terhadap dirinya.

''Saya pernah beberapa kali menghubunginya tetapi dia tidak menjawab telefon. Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan kerja.

''Dia juga sudah lama tidak pulang ke rumah. Ketika saya memfailkan tuntutan meminta cerai awal bulan ini, dia ada meminta saya bersabar.

''Tetapi, saya tetap dengan keputusan untuk tidak lagi mahu bersamanya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhil, 40, dan Waheeda menjadi perhatian media sebelum ini lantaran gosip yang mempersoalkan mengenai status hubungan mereka berdua.

Menambahkan lagi kehangatan cerita, pelbagai pihak pernah mendakwa melihat kelibat mereka keluar menonton wayang bersama.

Mengulas lanjut, Maizawati berkata, kes tuntutan perceraiannya akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

''Sudah saya katakan, ini adalah keputusan saya. Saya juga mahu dia terima apa yang saya buat ini. Ahli keluarga saya pun memberi sokongan,'' jelasnya.

Ditanya mengenai penerimaan anak-anak terutama anak sulungnya yang berusia 16 tahun, Maizawati memberitahu bahawa kesemua enam anaknya hasil perkahwinan dengan Akhil sudah cukup matang dan memahami tindakannya itu.

''Anak sulung saya okey. Mereka sudah dilatih agar tidak ambil tahu sangat akan apa yang berlaku.

''Saya juga perlu mencari pekerjaan untuk menyara keluarga kerana sebelum ini saya tidak bekerja,'' katanya.

Jelasnya, selepas daripada ini, dia amat berharap agar Akhil berbahagia bersama pilihan hatinya dan tidak mengabaikan anak-anak.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk menghubungi Akhil dan Waheeda bagi mendapatkan jawapan berhubung hal berkenaan gagal selepas kedua-dua mereka enggan menjawab telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.