1/2/10

Khalwat: Wanita aksi cat woman nyaris terjun hotel

KUANTAN 1 Jan. - Seorang wanita sanggup menyabung nyawa apabila bertindak ala cat woman apabila duduk mencangkung di luar tingkap hotel setinggi empat tingkat semata-mata mahu menyelamatkan diri daripada ditangkap khalwat dalam Operasi Insaf sempena tahun baru di Jalan Wong Ah Jang di sini hari ini.

Akibat takut dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), wanita berusia 20 tahun itu keluar melalui tingkap dan duduk mencangkung di ruang sempit selebar 20 sentimeter di luar tingkap hotel tersebut.

Wanita yang berasal dari Dungun, Terengganu itu dikatakan dipaksa teman lelakinya yang berusia 28 tahun untuk berbuat demikian selepas menyedari bilik mereka diserbu pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, anggota penguat kuasa terpaksa mengetuk pintu bilik berkenaan hampir 15 minit sebelum dibuka seorang lelaki lengkap berpakaian.

Semasa pemeriksaan awal, hanya lelaki terbabit berada di dalam bilik tersebut, namun, penguat kuasa mengesyaki sesuatu apabila menemui sepasang kasut dan beberapa barangan wanita terbabit.

Apabila penguat kuasa menjenguk ke luar tingkap, didapati seorang wanita sedang duduk mencangkung di ruang sempit di tepi tingkap itu pada ketinggian kira-kira 30 meter dari bawah.

Cemas dengan serbuan itu, wanita terbabit mengancam untuk terjun dari tingkat empat hotel berkenaan jika gambarnya dirakamkan pihak media yang menyertai operasi mencegah maksiat itu.

Selepas dipujuk, wanita tersebut akhirnya berjaya dibawa masuk melalui tingkap berkenaan selepas teman lelaki dan penguat kuasa memegang dan menariknya ke dalam bilik.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIP, Ahmad Raffli Ab. Malek berkata, kejadian sedemikian sering berlaku apabila salah seorang pasangan berkhalwat panik ketika serbuan dilakukan.

"Pelbagai ragam dan kerenah pesalah khalwat kita hadapi, ada yang hendak terjun bangunan, lari tinggalkan pasangan, menyorok atas syiling dan banyak lagi.

"Bagaimanapun, anggota penguat kuasa telah bersedia untuk mengatasinya," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu di sini hari ini.

Operasi yang bermula pukul 6.30 pagi hingga 9 pagi itu disertai 30 anggota penguat kuasa dan Skuad Briged Cegah Maksiat.

Mengulas operasi itu, kata Ahmad Raffli, seramai 59 orang berusia antara 16 dan 55 tahun ditahan atas kesalahan berkhalwat di 20 hotel murah di bandar ini.

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan itu, terdapat dua kes berulang dikesan.

Kata beliau, operasi berkenaan turut melibatkan kesalahan minum arak, wanita berpakaian tidak senonoh dan aksi peluk cium di khalayak ramai.

"Hasil operasi sejak malam semalam sehingga pagi ini, terdapat dua kes minum arak, 58 orang ditangkap khalwat, tiga kes kesalahan perempuan mendedahkan tubuh dan 20 orang berpeluk cium," katanya.

Turut ditahan dalam operasi sama, ujarnya, seorang lelaki bergelar 'Tengku' berusia 33 tahun, pasangan warga emas dan pelajar sekolah.

Tambah beliau, kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 145(1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) dan sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua- duanya sekali.
Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.

No comments: