2/01/10

Serina, Gavin selamat diijab kabul

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Jodoh tidak mengenal budaya. Atas nama cinta, anak tukang masak terkenal, Cef Wan iaitu Serina Redzuawan memateri perkahwinannya dengan Gavin O'Luanaigh di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Dengan mas kahwin RM1,000, pasangan tersebut selamat diijabkabulkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. Nazarudi Mohd. Nadzir di hadapan Cef Wan tepat pukul 11.30 pagi.
Gavin, 33, atau nama Islamnya, Salahuddin Ghaffar yang berasal dari England sah bergelar suami kepada Serina, 26, dengan sekali lafaz sahaja.
Pasangan mempelai kelihatan berseri mengenakan pakaian sedondon berwarna putih.
Pada majlis itu, pengantin bertukar-tukar hantaran iaitu tujuh dulang daripada Gavin merangkumi wang hantaran RM30,000, senaskhah al-Quran, telekung dan tasbih, beg tangan, sepersalinan pakaian, alat solek, kek serta sirih junjung.
Serina pula membalas sembilan dulang hantaran iaitu senaskhah al-Quran, sirih junjung, telefon genggam Blackberry, tali leher, jam tangan Emporio Armani, kemeja, tali pinggang dan beg duit Gucci, kek serta set wangian Hugo.
Ketika ditemui selepas majlis pernikahan, kegembiraan jelas terpancar di wajah pasangan pengantin baru itu yang tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah di atas kelancaran pernikahan mereka.
"Saya sangat gembira. Inilah yang kami mahukan, dapat bersatu dalam ikatan perkahwinan.
"Sudah pasti tanggungjawab yang bakal digalas oleh saya akan lebih berat selepas ini. Bukan sahaja sebagai seorang isteri tetapi sebagai seorang pemimpin kepada suami saya yang merupakan seorang saudara baru dalam Islam.
"Insya-Allah, dengan berkat doa restu daripada semua ahli keluarga, saya harapkan rumah tangga yang berkekalan dengan Gavin sehingga ke hujung nyawa," kata Serina.
Semalam, Serina ditunangkan dengan Gavin pada majlis merisik dan bertunang yang berlangsung di Hotel The Royale Chulan di sini selepas dilamar di sebuah restoran terkemuka di ibu kota Februari lalu.
Pasangan itu akan berlepas ke Bali, Indonesia Ahad ini sebelum ke Maldives selama seminggu untuk berbulan madu.
Cef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail turut menghadiahkan pakej berbulan madu kepada pasangan itu ke Pulau Santorini, Greece, Jun ini.
Majlis berinai besar pasangan itu berlangsung malam ini di Neo Global Tapas Restaurant di sini bertemakan rona putih.
Persandingan pula akan berlangsung esok di Hotel The Royale Chulan pada pukul 8 malam.
Sumber: UUtusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online.

Tiada ulasan: