Oleh: NIEZAM ABDULLAH
Malam ini selepas solat Isyak, penyanyi yang pernah mencetuskan kontroversi dunia hiburan – Nordiana Md. Naim akan diijab kabul dengan pasangannya, penyanyi nasyid Mohd. Suhaimi Saad.
Masjid Jamek Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi Johor akan menjadi saksi pertemuan bersejarah kedua-dua mereka itu.
Selepas melalui detik-detik duka dan kehancuran hati akibat pertunangan dengan Mawi terputus, takdir menentukan Suhaimi adalah terbaik untuk Ina.
Dengan hantaran RM10,000, kedua-dua mereka akan diijabkabulkan dalam satu majlis nikah gantung yang sederhana dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat kedua-dua mempelai.
Kata Ina, beliau sendiri tidak menduga melewati usia 23 tahun dipertemukan dengan Suhaimi. Malah dia juga menganggap peristiwa hitam yang terpalit hanyalah sekadar penyebab untuk membolehkan pertemuan jodohnya dengan Suhaimi.
Kedua-dua mereka mengikat tali pertunangan pada 6 Jun lalu dalam satu majlis sederhana yang tak diduga. Pada mulanya Suhaimi dan keluarganya di Pahang hanya ingin menziarahi keluarga Ina tetapi majlis ziarah itu bertukar sebagai majlis menyarung cincin.
Dengan mengenakan baju berwarna putih hasil rekaan Lat’s Collections, pada malam ini kedua-dua mereka mengharapkan sebuah kebahagiaan buat selama-lamanya.
Malah Ina juga mengimpikan menjadi isteri yang baik dan patuh terhadap suaminya nanti.
Mengakui hatinya semakin berdebar menanti tibanya waktu untuk diijabkabulkan, Ina berkata, beliau dan Suhaimi masing-masing menyukai kanak-kanak.
Tidak merancang apa-apa sebaliknya diserahkan kepada Allah untuk mengurniakan mereka zuriat selepas menjadi suami isteri yang sah.
‘‘Ina memang menggigil kerana macam tak percaya untuk menjadi isteri. Ina tak percaya yang akhirnya Ina akan kahwin. Doakan kesejahteraan Ina dan mendapat anak yang soleh,’’ katanya.
Suhaimi yang merupakan pelajar lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah seorang guru Bahasa Arab di sebuah sekolah di Pahang.
Beliau akan bertukar ke Kuala Lumpur dan mengajar di sebuah sekolah swasta selepas semua urusan perkahwinan mereka selesai.
Mengenai berbulan madu, Ina dan Suhaimi belum menetapkan destinasi manakah untuk menikmati kemanisan hidup berumah tangga itu.
Tetapi yang pasti, percutian itu hanyalah di dalam negara sebagai meraikan kemerdekaan Malaysia yang ke-50 tahun.
‘‘Selepas selesai kahwin pada malam ini, tentu sekali perasaan lega di hati Ina kerana selepas sah menjadi suami isteri, orang tidak boleh nak kata apa-apa lagi. Bimbang juga ada fitnah dan perkara yang tak baik terjadi. Sebab itulah jalan yang paling elok kami buat nikah gantung saja dulu,’’ katanya.
Ketika ditanya adakan ada dendam terhadap kisah cinta lamanya kata Ina, yang berlalu itu biarkanlah ia berlalu begitu saja.
Setiap manusia itu dilimpahkan dugaan pahit dan manis, suka dan duka. Ina adalah di antara salah satu daripada berjuta-juta orang yang mengalami dugaan sedemikian.
Namun beliau gembira kerana semangatnya kental menempuh pahit dan manis itu dengan sebaik mungkin yang akhirnya memberikan kekuatan untuk dia menempuh hidup ini.
Merancang untuk mengadakan majlis persandingan hujung tahun ini, jelas Ina, dia tidak keberatan menjemput bekas tunangnya iaitu Mawi menyaksikan saat indah itu nanti.
Bukan saja Mawi sebaliknya rakan-rakan artis dan peminat yang hendak meraikannya akan Ina undang bersama.
Cuma untuk majlis nikah sahaja mereka tidak dijemput kerana ia dilakukan secara kecil-kecilan sebagai memenuhi tuntutan agama.
‘‘Ina dengan Mawi sudah tak ada apa-apa lagi. Insya-Allah Ina memang berhajat nak jemput dia dan rakan-rakan yang lain datang meraikan persandingan Ina dan Suhaimi hujung tahun nanti,’’ kata Ina dengan nada gembira untuk menjadi isteri.
Kepada Ina dan Suhaimi, mudah-mudahan perkahwinan pada malam ini akan membawa bahagia selamanya. Sementara itu kepada Mawi, tidak ada apa yang perlu ditunggu lagi. [MM]