12/08/07

Nasha tepis isu kahwin

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN


NASHA AZIZ.

Semua orang ternanti-nanti bilakah masanya. Ya, masa yang dinanti-nantikan oleh semua peminat pelakon cantik Nasha Aziz. Masa untuk si manja ini ke pelamin impian bersama tunang seorang pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof.

Nasha dan Helmi bertunang pada 4 Jun tahun lalu di Keramat, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu Nasha menerima sebentuk cincin Chopard yang disarungkan oleh bakal ibu mentuanya, Hasnah Hassan.

Nah, bercinta sudah bertunang pun sudah. Ke pelamin saja yang belum. Jika selama ini Nasha selalu mengelak untuk menjawab banyak soal peribadinya, kali ini dia tidak dapat mengelak lagi.

Pelakon jelita itu dikejar banyak wartawan ketika hadir ke Festival Filem Malaysia ke-20 di Pulau Pinang baru-baru ini.

Tetapi macam biasa, Nasha bijak mengelak. Ditujah, diasak dan dibodek bagaimana sekalipun dia hanya menguncikan bibir.

Soalan-soalan teman wartawan dijawab dengan gaya manja dan bersahaja. Menepis pun tidak, menjawab pun tidak. “No comment” pun tidak terkeluar daripada mulutnya.

Tetapi dia kekal membisu seribu bahasa dan enggan bercerita panjang bila soal kahwin diajukan kepadanya.

‘’Kita cakap pasal lainlah. Hal-hal kahwin tu tunggu dululah ya,’’ katanya, memohon pengertian. Pelakon ini pada awalnya dikatakan bakal mengakhiri era solonya pada 7 Julai 2007. Bagaimanapun ia belum menjadi kenyataan.

Dan yang pasti cintanya dengan tunangan masih kejap dan rapi tersimpan, cuma barangkali takdir dan waktu belum menyebelahi mereka untuk ke pelamin.

Kata Nasha, dia sebenarnya letih untuk menjawab soalan yang sama berkaitan dengan perkahwinannya, justeru dia mohon pengertian banyak orang. Nasha orang perempuan, sebab itu kala bercakap soal cinta dia selalu saja beralas.

Kata pelakon ini dia tidak mahu bercakap sesuatu hal yang boleh memberi kesan yang boleh menyentuh hati dan perasaan pihak lain.

‘’Soal kahwin tu tunggu dululah. Kami masih mencari masa yang sesuai. Semuanya bergantung kepada jodoh Allah,’’ kata aktres yang tidak makan dek usia ini.

*Ke festival bukan kejar anugerah

Nasha dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik melalui penampilannya dalam filem Puaka Tebing Biru. Anugerah dalam kategori itu dimenangi oleh pelakon Vanida Imran menerusi filem The Red Kebaya.

‘’Memang saingan hebat-hebat belaka. Saya akui Vanida dan Maya Karin punya banyak peluang. Jadi, tahniah saya untuk Vanida,’’ kata Nasha.

Bagaimanapun khabar daripada seorang juri utama, Nasha sedikit sahaja ke belakang dibandingkan dengan Vanida untuk memenangi kategori berkenaan.

Dia hanya ketinggalan beberapa mata daripada Vanida untuk menggenggam trofi berkenaan. Apa pun bagi pelakon ini kehadirannya ke festival berkenaan adalah sebagai tanda sokongan kepada industri filem yang amat dicintai ini.

Malah kata Nasha, dia begitu terharu melihat komitmen yang diberikan oleh artis-artis veteran sepanjang majlis berkenaan.

‘’Ini masanya untuk bersama dengan mereka, jadi saya fikir kenapa tidak meluangkan sedikit masa bersama-sama. Lagipun dengan menghadiri acara sebegini ia adalah sebagai tanda sokongan kita kepada industri dan kerjaya sendiri,’’ kata si tinggi lampai ini lagi. [MM]