28/08/07

Kasih bersemi

Oleh Mohd Roji Abdullah

Persandingan Haiza, bekas pemain hoki negara, Nape dihadiri 2,000 tetamu

SEKALI lafaz daripada bekas anggota skuad hoki negara, Norhanafpe Omar, 27, di depan Naib Kadi Mukim Benut, Hussain Abdul Rahman dan bersaksikan lebih 70 tetamu di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Benut, Pontian, Jumaat lalu, sahlah sudah status penyanyi Haiza, sebagai isteri.


SEPADAN: Bergambar kenangan
sejurus selesai majlis
akad nikah.

Namun, Haiza kemudian nampak berseri semula dan wajahnya terpancar keceriaan sambil mendapat ucapan tahniah daripada ahli keluarga dan sanak saudara.

Haiza, atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 27, yang memakai baju berwarna putih dan busana kuning cair kelihatan tenang ketika kekasih yang bertakhta dihatinya sejak lebih lima tahun lalu itu melafazkan perkataan keramat itu kira-kira jam 10.30 pagi.

Norhanafpe atau lebih dikenali sebagai Nape, kemudiannya menyarungkan sebentuk cincin emas putih bernilai kira-kira RM3,000 ke jari manis Haiza, pada upacara membatalkan air sembahyang.

Sehari selepas selamat diijabkabulkan, kedua mempelai disandingkan pula di perkarangan rumah ibu bapa pengantin perempuan di Kampung Lama, Benut dalam suasana cukup meriah dengan diiringi alunan irama lagu dangdut, irama yang diperjuangkan Haiza selama ini.


Pasangan itu kelihatan manis menggayakan pakaian sedondon berwarna jingga bersanding di pelamin indah yang disaksikan kira-kira 2,000 tetamu termasuk beberapa rakan wartawan hiburan yang datang dari ibu negara, semata-mata untuk menyaksikan sendiri hari bersejarah penyanyi yang popular dengan lagu `Dag Dig Dug' itu.

Haiza bersyukur dan perasaan gembira serta terharu berbaur di hatinya kerana perkenalan serta percintaan dengan Nape sejak lebih lima tahun lalu akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin selepas melangsungkan pertunangan pada pertengahan Mei lalu.

Walaupun sudah bergelar isteri, Haiza yakin status itu tidak akan menjejaskan kerjayanya, tambahan pula Nape seorang lelaki yang cukup memahami kerjayanya sebagai penyanyi yang membina namanya dalam bidang seni tanah air.

"Dia (Nape) tidak menghalang saya untuk terus bergiat dalam bidang seni malah langsung tidak menyuruh saya berhenti menyanyi selepas bergelar isteri.

"Tetapi saya sedar tanggungjawab saya kini sudah bertambah apabila bergelar isteri dan saya akan cuba sebaik mungkin menjadi seorang isteri yang taat kepadanya... pada masa sama meneruskan kerjaya dalam bidang seni sebagai penyanyi dan pengacara," katanya.

Malah, Haiza juga tidak bersetuju dengan tanggapan sesetengah pihak yang membayangkan populariti seorang arits akan menjunam selepas mendirikan rumah tangga.

TINGGI: Memotong kek lima
tingkat jadi acara
menarik majlis perkahwinan.

"Itu rezeki masing-masing dan saya percaya rezeki saya sebagai insan seni akan bertambah selepas ini, walaupun saya sudah bergelar isteri. Tanggapan populariti arits akan jatuh selepas kahwin itu sama sekali tidak benar.

"Banyak contoh artis wanita yang bergelar isteri malah tidak kurang juga yang bergelar ibu, tetapi mereka masih mendapat tempat di hati peminat masing-masing," katanya.

Ketika ditanya bila mereka akan berbulan madu, Haiza, berkata mereka terpaksa menangguhkannya kerana masing-masing terikat dengan jadual kerja yang ketat.

"Tak tahu bila, tetapi destinasinya sudah dirancang kerana kami memang berhasrat untuk bercuti ke pulau peranginan luar negara," katanya yang akan bersanding pula di kediaman pengantin lelaki di Bukit Baru, Melaka, 1 September ini.

Sementara itu, mengenai wang hantaran berjumlah RM22,178 yang diterimanya dari suami tersayang, Haiza, mengakui angka yang ditetapkan itu memiliki keistimewaan tersendiri.

Angka itu berkaitan dengan tarikh lahir Haiza iaitu 2 Februari (22), Nape pula lahir pada 1 Julai (17) manakala angka 8 pula mewakili 1980, iaitu tahun kelahiran pasangan itu yang kini masing-masing berusia 27 tahun.

Majlis persandingan di rumah ibu bapa Haiza di Jalan Kampung Lama, Benut meriah dengan acara menepung tawar, makan beradat, potong kek dan sesi bergambar. Terdahulu, rombongan pengantin lelaki dikenakan ‘membayar ‘tol’ sebelum dapat memasuki kawasan rumah pengantin perempuan dan Nape juga sekali lagi terpaksa membayar tol sebelum dapat duduk di sanggah sana persandingan bersama isteri. [BH]