22/08/07
Kalau sudah jodoh
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Jarak usia langsung tidak menjadi batu penghalang cinta Azizah dan Fairi
BIARPUN perbezaan usia 10 tahun, namun angka hanyalah sesuatu yang subjektif. Lebih penting di dalam melayari bahtera rumah tangga adalah keikhlasan, kesetiaan dan kasih sayang.
Mungkin kerana keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan Mohd Khafairil Mohd Khalil (Fairi), 28, membuka pintu hati Azizah Ariffin, 38, untuk menerima kehadiran seorang yang bernama lelaki selepas lebih tiga tahun bersendirian membesarkan tiga cahaya mata lelaki Daniel, 12, Haikal, 9, dan Ashriel, 6.
Bibit pertemuan antara Azizah dan Fairil diceritakan teman karib pengantin lelaki Ahmad Danial di hadapan 580 tetamu yang hadir pada majlis resepsi yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Concorde, Shah Alam, Ahad lalu iaitu sehari selepas mereka bergelar pasangan suami isteri yang sah.
“Pertemuan mereka bermula ketika penggambaran iklan Mi Sedap di rumah saya. Selepas bertemu dengan Azizah, Fairil yang dipanggil Kapak di kalangan teman terus bertanya, ok tak kalau aku dengan Azizah. Selama dua minggu, dia asyik bertanya pada rakan yang lain. Kami kata pada dia, belasah saja kalau jodoh tak ke mana.
“Dia kemudian memberanikan diri mengajak Azizah pergi ke bazar Ramadan tetapi Kapak terlambat kerana Azizah sudah pergi dulu,” ceritanya disambut gelak ketawa tetamu yang hadir.
Antara tetamu yang hadir pada malam itu ialah Tunku Putri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohd Razak; Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan dan Pengarah Operasi TV3, Anthony Firdauz Bujang.
Azizah dan Fairil yang bertugas sebagai Eksekutif Pemasaran TV3, kelihatan anggun dengan gaun dan tuksedo putih rekaan Man Kajang. Majlis persandingan yang berkonsepkan moden kontemporari itu berjalan dengan lancar dan meriah. Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan band muzik Radio Star yang dipimpin Pot Amir bekas anggota Innuendo.
Pada malam itu, tetamu turut dihidangkan dengan paparan visual kedua-dua mempelai dari kecil hingga menginjak dewasa serta gambar setelah mereka berdua berkenalan. Azizah dan Fairil pada malam itu turut memotong kek setinggi tujuh tingkat dan ketiga-tiga anak Azizah pula mengiringi ibu mereka masuk ke ruang dewan.
Kegagalan rumah tangga yang pernah dibina satu ketika dulu menyebabkan penerbit dan pengacara program Wanita Hari ini berharap bahtera yang dilayari bersama Fairil akan kekal hingga ke akhir hayat. Sikap Fairil yang mengambil berat, matang dan penyayang menyebabkan hati Azizah tertarik kepada suaminya itu.
Sementara sikap Azizah yang manja dan penuh dengan ciri-ciri keibuan pula menjadi punca kenapa Fairil tertarik kepada personaliti jelita itu. Bagaimanapun, Fairil mengharapkan mereka dapat melalui rumah tangga seperti yang dilalui orang lain biarpun mengahwini seorang wanita yang bergelar selebriti.
“Azizah memiliki ciri wanita idaman saya. Apa yang saya harapkan hubungan perkahwinan kami akan berjalan seperti pasangan suami isteri yang lain walaupun Azizah adalah seorang selebriti,” kata Fairil.
Pasangan berkenaan dinikahkan pada hari Sabtu lalu di kediaman pengantin perempuan di Bandar Utama. Pada majlis pernikahan itu, Azizah menerima wang hantaran bernilai RM 18,807 mengambil tarikh pernikahan mereka. Fairil turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM 555 seta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
Azizah dan Fairil sebelum itu melangsungkan majlis pertunangan mereka pada 16 Jun lalu selepas hampir setahun berkenalan.
FAKTA NOMBOR: Perkahwinan Azizah, Fairil
· RM18,807 - Wang hantaran
· RM555 - Mas kahwin.
[BH]
Kategori:
Pernikahan