8/09/07
Erra, Emran bertunang hari ini
Pasangan bertunang hari ini di Damansara
“Kami akan melangsungkan majlis pertunangan esok (hari ini). Majlis akan berlangsung sederhana dengan melakukan apa yang wajib mengikut adat,” kata Engku Emran pada sidang media bersama Erra di sini, semalam.
Engku Emran berkata, tarikh pertunangan ini dipilih atas nasihat keluarga kedua-dua belah pihak dan pihak lelaki akan menyerahkan lima dulang hantaran berbalas sembilan.
Bagaimanapun pasangan itu belum menetapkan jumlah wang hantaran serta tarikh pernikahan kerana perkara ia akan hanya dibincangkan hari ini.
Sementara itu, Erra menafikan mereka akan melangsungkan pernikahan Oktober ini seperti yang digembar-gemburkan media.
Katanya, majlis bersejarah mereka hanya akan berlangsung menjelang akhir tahun ini kerana keluarga kedua-dua belah pihak mahu pertunangan selama tiga bulan.
“Cepat atau lambat, majlis perlu dilangsungkan dalam tempoh yang ditetapkan keluarga. Tak mungkin perkahwinan akan diadakan Oktober memandangkan ketika itu semua sibuk dengan persiapan Aidilfitri,” katanya.
Mereka menafikan keputusan melangsungkan pertunangan untuk menutup kontroversi yang didedahkan pelakon, Hans Isaac pada Jun lalu.
Erra juga turut menjelaskan keputusan untuk bertunang dengan Engku Emran tidak dibuat secara terburu-buru sebaliknya ia adalah ketetapan takdir kerana jika bercinta bertahun-tahun pun tidak menjamin apa-apa, apatah lagi kedua-dua mereka bukan lagi muda.
Engku Emran, ketika ditanya penerimaan keluarga terhadap Erra Fazira menjawab, mereka menerima kehadiran pelakon itu seadanya walaupun tidak menafikan sedikit sebanyak keluarganya agak tersinggung dengan beberapa laporan media sebelum ini.
“Semua orang ada perasaan, ada juga yang tersinggung dengan tohmahan yang dilemparkan. Bagaimanapun kontroversi itu menjadikan saya dengan Erra lebih rapat dan tabah,” katanya yang melamar Erra pada Julai lalu.
Pada sidang media itu, Erra memohon maaf kepada media kerana sering mengelak apabila ditanya mengenai hubungannya dengan Engku Emran kerana dia mahu ia dibuat secara terbuka dengan semula pihak dapat hadir bagi mengelak ada yang berkecil hati.
“Saya juga ingin memohon maaf kerana sidang media ini diadakan agak mengejut,” kata Erra yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003 tetapi berakhir pada 16 Jun tahun lalu. [BH]
Kategori:
Pertunangan