Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my
SUARANYA tenang-tenang saja. Malah sesekali dia bercanda mengajak bergurau meskipun tanya yang diaju agak sensitif sekali. Tidak mudah melenting dengan gosip durjana kononnya si kekasih hati, Bunga Citra Lestari (Bunga) hamil sebelum disatukan menjadi pasangan suami isteri menjelang 8 November nanti, aktor Ashraf Sinclair sebaliknya tenang dan bersahaja tatkala menjawab persoalan itu.
Barangkali hampir setahun menjalin cinta dengan artis popular negara seberang, Ashraf sendiri sudah kalis dengan segala macam fitnah dan tuduhan sekalipun bagi sebahagian besar dari kita, ia agak keterlaluan. Pun begitu, jejaka berusia 29 tahun ini menganggap segala fitnah itu muncul angkara agenda media di negara berkenaan yang sentiasa mahu mencari isu-isu 'panas' dan sensasi tanpa memikirkan perasaan manusia lain yang juga punya maruah peribadi. Kepada Kosmo! Ashraf mendedahkan dia cukup 'kalis' dengan fitnah berkenaan apatah lagi ia sudah mula disebarkan semenjak enam bulan lalu di Indonesia.
Bagi pemilik nama penuh Ashraf Daniel Mohamed Sinclair, gosip ini awalnya disensasikan pihak media Indonesia yang bertujuan ingin mendapatkan cerita eksklusif, tanpa memikirkan perasaan orang lain.
"Saya dan Bunga menyedari isu hamil ini dibangkitkan sejak enam bulan lepas lagi. Sebab itu kami tidak ambil peduli dan tenang-tenang saja semasa diasak media Indonesia di majlis pemberitahuan pernikahan kami baru-baru ini. Ia satu fitnah yang sudah lama diperkatakan," katanya bersahaja yang terluncur sekali-sekala dialek Indonesia.
Pengumuman pernikahan Ashraf dan Bunga dibuat dalam sidang media anjuran satu produk kecantikan di Jakarta pada malam 12 Oktober lepas.
Pun begitu sambung Ashraf, jauh di sudut hatinya dia tidak mahu terus melayan khabar yang demikian tidak keruan. Sebolehnya dia mengharapkan pengertian agar media di negara berkenaan lebih prihatin, tanpa mencoret perkara yang dianggap tidak masuk akal hingga mengaibkan diri mereka berdua dan keluarga.
"Cuba bayangkan, kalau Bunga hamil sejak Jun lepas, kenapa kami baru saja ingin melangsungkan pernikahan 8 November ini? Bukankah waktu itu perut Bunga sudah besar, lalu apa relevannya kami harus tunggu selama lima bulan untuk akad nikah? Ia satu fitnah yang tidak berasas langsung," kata Ashraf dalam nada tenang, namun ada riak tegas dalam bait patahnya itu.
Ashraf yang diwawancara Kosmo!kelmarin atas bantuan syarikat pengurusannya, Beyond Events Sdn. Bhd. mengakui, selepas ini dia enggan mengulas panjang lebar kontroversi ini kerana tidak mahu ada hati yang terguris, terutamanya kedua ibubapanya dan masyarakat peminat di Malaysia. Ini kerana dia sedar masyarakat di Malaysia tidak terbiasa dengan gosip seperti ini, justeru ia tidak mahu hal berkenaan terus diungkapkan.
"Saya sampai sudah malas hendak berikan komen. Kalau mengikut pandangan saya dan Bunga, kami melihat individu tertentu yang suka mensensasikan kisah hamil itu sekadar mahu menghangatkan lagi perkara itu dengan niat jahat.
"Niat untuk berkahwin sebenarnya ada dalam fikiran kami sejak penghujung tahun lalu. Lepas betul-betul serius dan sudah buat perancangan rapi, baru kami nekad untuk dedahkan perkara baik ini pada umum. Paling penting, kami ingin laksanakan ibadah. Tak mahu lagi fikir hal-hal lain yang boleh melukai hati ibubapa kami," hurai Ashraf.
BAIK Ashraf mahupun Bunga, enggan melayan fitnah dan gosip jahat yang dilemparkan terhadap mereka.
Andai diimbas kembali, selebriti yang terkena tempias fitnah bukan suatu yang mengejutkan. Bukan sekadar Ashraf, malah ada banyak lagi artis yang kalis setiap tohmahan dan keji. Dan persoalan tentang yang dianggap cukup sensitif di Malaysia, barangkali satu hal yang sangat biasa untuk ditanya oleh media di Indonesia tanpa memikirkan implikasi kepada tuan punya tubuh atau ahli keluarga terdekat mereka.
Secara dasarnya, inilah harga diri yang harus dibayar saat memijakkan kaki di lantai seni. Bahkan bukan sahaja diri artis itu menerima perca buruk, sebaliknya keluarga juga disaluti gosip yang sifatnya tidak terbatas itu.
Bagaikan menjadi lumrah sesetengah media di Indonesia yang gemar mendedahkan cerita negatif seseorang selebriti meski hakikatnya ia hanya bersandarkan kepada bukti yang tidak benar sama sekali.
Dalam situasi ini, Ashraf dan famili memang berasa tertekan kerana di akhirannya, masyarakat pantas akan menuding jari menyalahkan famili sekali gus mengaibkan mereka.
Meskipun mereka adalah kalangan artis yang terbiasa dilihat bersikap agak terbuka, harus diingatkan, masih ada yang mematuhi adat dan budaya. Masih ada yang menyanjung nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian mereka, termasuk cinta Ashraf dan Bunga yang mendapat pengawasan famili yang kuat beragama.
Tidak pinggir media tempatan
Sementara itu, keputusan Ashraf mengumumkan perutusan gembira bakal bergelar mempelai di Indonesia kelihatannya ibarat menyisihkan media dan peminat tempatan.
SEDANG dalam perancangan membeli rumah di Bali.
Sedangkan selama ini dia memahat nama dalam industri seni tanah air, tiba-tiba Ashraf membuat pengumuman ingin mendirikan rumah tangga di luar Malaysia. Ia seolah meminggirkan peminat dan media tempatan. Pun jejaka yang sedang dalam fasa darah manis ini menjelaskan, perkhabaran penyatuan mereka dijalankan secara serentak, maka tiada sebarang diskriminasi pada mana-mana pihak.
"Saya tidak anggap ia berat sebelah atau menyisihkan media dan peminat tempatan Malaysia tentang pengumuman yang dibuat di Indonesia. Di Indonesia, Bunga membuat pengumuman, sementara pihak pengurusan saya di Kuala Lumpur awal-awal lagi bersedia untuk sebarkan kepada media tempatan.
"Jadi, tiada istilah sesiapa patut berkecil hati atau kecewa dengan tindak-tanduk kami. Lagipun cuba anda fikirkan, bagaimana pula sekiranya saya hendak umumkan serentak di dua tempat yang berasingan dalam satu-satu masa?" soal Ashraf sambil tertawa kecil.
Tambah pemuda yang lahir pada 18 September 1979 ini lagi, untuk majlis pernikahan dan resepsi yang bakal diadakan di Indonesia kelak, dia tetap akan menjemput media tanah air.
"Saya tetap menjemput sesiapa yang mengenali diri, tidak terkecuali juga kepada teman-teman media tempatan yang selama ini banyak membantu menyokong karier seni saya.
"Kalau ada wartawan Malaysia sudi hendak hadir saya sangat senang sekali. Pihak pengurusan saya akan memberitahu informasi lengkap tentang majlis pernikahan kami dan resepsi yang akan diadakan.
"Yang pasti, keluarga terdekat, saudara-mara dan sahabat rapat akan menghadiri majlis bersejarah saya nanti," jawab Ashraf menumpahkan rasa keterujaan.
Tidak kisah kahwin awal
Dalam sinar populariti menggamit dan sedang menerangi mereka di kedua buah negara, barangkali ada rasionalnya Ashraf dan Bunga nekad mengambil keputusan menitipkan luahan cinta itu, diakhiri dengan majlis pernikahan.
ASHRAF merayu supaya peminat jangan percaya kepada fitnah.
Ashraf mengakui, perkahwinannya dengan Bunga, 25, merupakan keputusan paling tepat dilakukan sepanjang hidup dalam dunia ini bagi membuahkan bahagia berpanjangan.
Ditambah usia Ashraf makin menginjak dewasa, selaras itu jugalah kehidupannya harus bergerak pantas ke depan mencari kesempurnaan.
"Saya tidak fikir perkahwinan jadi masalah atau merugikan kami. Mendirikan masjid itu adalah satu ibadah yang dituntut Allah Taala. Kalau hendak cakap soal glamor atau kemasyhuran memang tidak pernah akan habis. Segala rezeki ditentu oleh Tuhan.
"Kalau mahu ikut perkiraan umur, maka sudah bersesuaian sangat untuk saya berkahwin. Usia saya sekarang sudah 29 tahun, jadi bagus sekali untuk saya tamatkan zaman bujang," akui Ashraf tertawa lagi.
Tentang desas-desus mereka sedang meninjau-ninjau untuk membeli kediaman di Bali, Ashraf menjelaskan bahawa ia belum muktamad.
"Perancangan beli rumah di Bali memang ada, boleh buat tempat persinggahan. Saya dan Bunga selalu berkunjung ke sana, jadi lebih mudah kalau ada penginapan sendiri kalau mahu bercuti," beritahu Ashraf yang akan menetap di Indonesia usai disatukan dengan Bunga. Pun janji Ashraf, dia sama sekali tidak akan melupakan keluarga, peminat dan teman-teman di Malaysia, malah akan sentiasa berulang-alik ke sini meski sudah berkahwin dengan wanita warga Indonesia.
Dalam pada itu, Ashraf dan Bunga kini sedang sibuk menguruskan hari bahagia mereka yang hanya boleh dibilang dengan jari.
"Syukur sangat kerana kami makin tenang usai pengumuman dihebahkan. Persiapan perkahwinan setakat ini sudah hampir 90 peratus siap dengan bantuan keluarga dan pihak pengurusan," ujarnya sambil memberitahu majlis akad nikah pada 8 November ini diikuti upacara persandingan di sebuah hotel terkemuka di kota Jakarta, sehari selepas majlis ijab kabul.
Ashraf juga memaklumkan majlis resepsi di Malaysia akan diadakan 14 dan 15 November ini. Dua majlis di itu bakal diadakan di sebuah hotel dan kelab di Selangor.
Ini adalah keratan akhbar dari Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info, dan lain-lain. |