26/10/08

Mawi bernikah pada 20 Disember 2008


Mawi dan kekasihnya Ekin (Nora’asikin Rahmat,29) membuat pengakuan rasmi akan bernikah pada 20 Disember 2008.


Mereka membuat pengakuan mengenainya pada petang 21 Oktober, di Hotel Palace of The Golden Horses, Kuala Lumpur.

Upacara akad nikah Mawi dan Ekin dijadual diadakan di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru pada tarikh itu sementara majlis bersanding pihak perempuan akan diadakan pada sebelah malam, hari yang sama di Stadium Tertutup, Johor Bahru.

Majlis bersanding pihak lelaki pula akan berlangsung di Dewan Felda Taib Andak, Kulai Johor pada 28 Disember sementara pada 11 Januari 2009, satu majlis khas akan diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses, Kuala Lumpur.

Pihak lelaki dijangka membawa 11 dulang hantaran dan akan dibalas sembilan dulang oleh keluarga perempuan.

Dijangka lebih 15,000 peminat akan memenuhi stadium dan dewan Felda Taib Andak untuk menyaksikan perkahwinan mereka nanti.

Majlis tersebut juga akan disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran milik Astro bermula 17 Disember ini sehinggalah 11 Januari 2009.

Ekin dan Mawi telah mengikat janji untuk menjadi suami isteri selepas majlis risik diadakan pada Jun lalu dengan sebentuk cincin platinum sebagai tanda.

Mawi melamar Ekin dalam telefon ketika beliau berada di Syria semasa menjalani penggambaran sebuah rancangan televisyen pada 30 April lalu.

“Saya ajak Ekin kahwin pada bulan 12 ketika menelefonnya,” kata Mawi yang terus memaklumkan hasrat itu kepada kakaknya, Rashidah sebaik pulang ke Malaysia.

Ekin pula terkejut dengan lamaran itu tetapi menganggap ia mungkin satu jodoh yang sudah ditentukan oleh Tuhan.

Masih mahu merahsiakan jumlah hantaran yang diberikan untuk Ekin, apa yang diharapkan Mawi, peminat-peminat akan mendoakan kebahagiaan rumah tangga yang bakal dibina mereka tidak lama lagi.

Pereka fesyen taja pakaian pengantin

Pereka-pereka fesyen termasuk pengusaha butik pengantin akan bertungkus lumus memastikan majlis persandingan Mawi dan Ekin mencapai standard yang dimahukan kedua mempelai.

Lebih menarik lagi, pereka fesyen dan jurusolek terkenal sanggup menaja majlis perkahwinan mereka itu secara percuma.

Tiga konsep persandingan telah dipersetujui iaitu moden kontemporari di rumah perempuan dan konsep Jawa untuk rumah lelaki.

Sementara untuk majlis khas di hotel, mereka memilih konsep Arab sebagai tema Arabian Nite.

Pereka fesyen Putra Aziz dari Butik Cosry, Bangsar terlibat menghasilkan pakaian nikah dan bersanding untuk majlis resepsi pengantin perempuan di Stadium Tertutup Johor Bahru manakala Rizalman Ibrahim dan Bon Zainal pula bagi pakaian Arab untuk upacara di hotel.

Putra Aziz akan mencari kelainan dengan mereka jubah separuh kebaya berkain renda untuk dipakai Ekin pada majlis akad nikah.

Mawi pula akan mengenakan baju Melayu warna serupa.

“Untuk majlis sanding di stadium, saya akan menghasilkan baju yang lebih moden dan glamor berwarna krim emas untuk Ekin.

“Mawi pula akan memakai baju Melayu bersama kot dan tanjak bersesuaian dengan perkahwinan Melayu,” katanya.

Di rumah pengantin lelaki pula, empat pereka fesyen dan jurusolek terpilih mengendalikan majlis berkenaan melibatkan Zulfazli Suhadi, Arma Abd. Rahman, Zulkifli Rahmat dan Adli Afandi.

Arma dari Wedding Couture sudah siap menghasilkan pakaian Jawa kontemporari yang lebih sopan berwarna kelabu perak untuk pengantin perempuan.

Kata Arma, dengan sentuhan rekaan fabrik dari kain batik Jawa, tentu sekali Ekin akan kelihatan lebih cantik memandangkan fizikalnya yang kurus dan tinggi.

Memilih konsep warna-warni, hanya 20 peratus unsur Jawa akan dihiasi pada pelamin sementara 80 peratus lagi lebih kepada konsep moden yang dihiasi dengan bunga-bunga tropika.

Arma tidak mahu majlis di rumah Mawi itu kelihatan terlalu “Jawa” kerana pakaian pengantin agak sarat dengan unsur-unsur budaya tersebut.

“Biar pelamin nampak moden dengan hiasan yang penuh warna-warni supaya majlis itu nanti kelihatan meriah dengan kepelbagaian unsur diketengahkan,” katanya.

Zulkifli Rahmat dari butik Dzull D’classique, Kajang pula akan menghasilkan baju klasik untuk Mawi siap dengan tengkolok Jawa (blangkon) berwarna hitam dan putih yang dibuat dari batik Jawa.

Beserta samping, Mawi juga akan memakai kot berwarna perak dan seluar dari kain jenis sutera Thai.

“Pakaian ini akan nampak moden kerana gabungan pelbagai unsur pada Mawi tanpa mengenepikan ciri-ciri Jawa yang diminta oleh Mawi,” kata Zulkifli.

Sementara Adli Afandi dari Adli Bridal, Johor Bahru menjanjikan satu suasana yang berbeza apabila tetamu melangkah masuk ke Dewan Taib Andak nanti.

Menggabungkan warna hitam dan putih, satu ukiran menggambarkan budaya Jawa akan dihasilkannya untuk dihiasi pada keseluruhan dewan tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggunakan pelbagai jenis bunga hidup sebagai hiasan bagi mencantikkan lagi dewan berkenaan.

“Saya akan menggunakan bunga-bunga segar kira-kira 10,000 kuntuman dari pelbagai jenis bunga untuk dihias di dalam dewan nanti,” katanya.

Jurusolek Zulfazli pula akan mengenakan solekan yang sederhana untuk memastikan Ekin kelihatan cantik.

Tidak mahu solekan yang berat, kata Zulfazli, pakaian Ekin yang sarat dengan aksesori dan unsur Jawa tidak sesuai untuk mendapat solekan yang penuh “warna-warni” kerana dikhuatiri akan menjejaskan seri pengantin.











Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info, dan lain-lain.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semoga perkahwinan yang bakal dibina akan berkekalan..insyallah