Mysafelist
PERKAHWINAN adalah percaturan kehidupan yang tidak mampu diteka kalah menangnya. Lalu apabila perkahwinan yang sudah dilalui bersama dengan wanita bernama Nini berakhir, yang mampu dilakukan hanyalah berserah kepada Tuhan Yang Maha Esa.
“Ini adalah takdir buat kami. Saya terima qadak dan qadar Tuhan yang jodoh kami berakhir di sini,” kata penyanyi Amir yang pernah mendapat tempat di hati banyak wanita kerana suaranya ini.
Amir tidak meletakkan kegagalan itu di bahu mana-mana pihak. Sekarang bukan masa untuk menuding jari kepada sesiapa, sebaliknya menjadikan insiden mendukacitakan itu sebagai pengalaman hidup.
Juga dia tidak sama sekali menyalahkan isteri yang selama ini banyak membantu kehidupan mereka sekeluarga.
“Masing-masing ada kesalahan tetapi jujurnya saya tidak sangka begini berakhir hubungan kami,” katanya dengan sebak di dada.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 10 Mei 1996. Ketika itu Amir antara artis lelaki paling popular sementelah kejayaan album kumpulan Ukay's.
Nini pula adalah pramugari Penerbangan Malaysia dan masih kekal dengan jawatan berkenaan sehingga ke hari ini.
Masih terbayang hari bahagia mereka kala janji kasih termeterai dengan perkahwinan. Dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata kembar lelaki, iaitu Mohammad Imran dan Mohammad Irman yang kini berusia 9 tahun.
Amir melafazkan cerai di mahkamah Syariah Gombak Timur, Kuang pada 27 Disember lalu setelah Nini memfailkan perceraian.
SMS ingatan!
Kata Amir, 26 Disember malam dia mendapat SMS daripada Nini yang berbunyi: “Abah, esok jangan lupa datang mahkamah dan kita harus tabah.”
“Saya buat persiapan sebab memikirkan saya perlu membela diri. Kebetulan saya sampai lambat di mahkamah, jalan sesak teruk dan saya langsung tidak bersedia untuk melafazkan perceraian pada hari itu.
“Ingatkan hendak membela diri, tetapi lain jadinya. Sampai di sana saya terkejut sebab saya sebenarnya perlu melafazkan talak,” katanya sedih.
Tambah tidak keruan apabila dia melihat Nini juga hampir menitiskan air matanya dengan perceraian berkenaan.
Difahamkan Nini memfailkan perceraian mereka dengan beberapa alasan yang membawa maksud mereka tidak lagi mempunyai persefahaman untuk hidup sebagai pasangan suami isteri.
Tetapi untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan Amir tidak menyatakan sebab-sebab berkenaan dan menganggap ia adalah rahsia peribadi perkahwinan mereka.
Ikhlasnya kata Amir, dia ke mahkamah pada hari itu bukan dengan tujuan untuk bercerai. Langsung tidak ada perceraian di kepalanya pada ketika itu, cuma untuk membela diri.
“Tetapi takdir Allah saya sendiri tidak tahu begini jadinya. Bila dapat surat saman yang saya kena hadir 27 Disember ke mahkamah, saya pergilah.
“Keluarga cakap tak ada apa, saya kena bela diri saja. Tetapi akhirnya digerakkan hati saya untuk melafazkan talak walaupun pada awalnya pergi bukan untuk bercerai,” katanya.
Masalah sejak Ramadan
Masalah rumah tangga mereka bermula semenjak Ramadan yang lalu. Pada ketika Erra Fazira dan Noraniza Idris kecoh dengan isu perpisahan dengan suami masing-masing, Amir sendiri tidak terkecuali berhadapan dengan perkara yang sama.
“Cuma saya ini artis lelaki, kurang popular pula tu. Jadi tak banyak orang tahu. Memang semua orang terkejut bila keluar cerita kami bercerai sebab semuanya nampak elok selama ini.
“Tetapi itulah yang saya katakan, kuasa Allah siapalah yang tahu. Akhirnya saya akur dengan ketentuan Ilahi yang kami tidak lagi bersama sebagai suami isteri,” katanya.
Anak-anak dengan Nini
Kedua-dua anak lelakinya kini berada bersama keluarga bekas isterinya di Kuantan, Pahang. Kata Amir, dia tidak berhasrat untuk merebut hak penjagaan dua anak itu.
Apa juga harta yang ada hasil perkahwinan mereka tidak akan diambil semula dan memberikan kesemuanya kepada Nini.
Ini kerana dia sedar Nini lebih berhak dan lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab mengasuh dan menjaga kedua-duanya.
“Tidak ada apa yang perlu kami gaduhkan. Soal anak, saya serahkan kepada Nini saja. Tetapi saya berjanji tidak akan abaikan mereka.
“Saya tahu keadaan Imran pun bukannya baik sangat. Jadi dia masih perlukan perhatian kedua-dua ibu bapanya kerana keadaannya itu,” katanya lagi. Imran menghidap penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan.
Selepas ini kata Amir, dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kariernya sebagai penyanyi selain memikirkan soal anak.
“Saya tidak fikir hal lain lagi buat masa sekarang,” kata penyanyi Di Sini Menanti Di Sana Menunggu ini lagi. [MM]