12/01/06

Menanti saat bahagia

Tunku Abdul Majid Ibni Sultan Iskandar


JOHOR BAHRU 10 Jan. - Upacara perkahwinan Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Ibni Sultan Iskandar dengan Tunku Teh Mazni Tunku Yusuf akan dilangsungkan dengan penuh istiadat diraja Johor selama empat hari bermula Khamis ini.

Yang Dipertua Jemaah Majlis Diraja Johor, Tunku Abu Bakar Tunku Abdul Rahman memberitahu, majlis akan bermula dengan tahlil dan doa kesyukuran di Masjid Sultan Abu Bakar pada pukul 6.30 petang, Khamis.

Istiadat pertunangan, hantaran dan akad nikah akan dilangsungkan pada Jumaat, bermula pukul 2.30 petang di Dewan Istana Besar Johor, katanya dalam satu kenyataan.

Istiadat persandingan pasangan pengantin diraja pula akan diadakan pada Sabtu pukul 8 malam di pekarangan Istana Besar Johor.

Mengakhiri majlis perkahwinan tersebut ialah istiadat bersiram dijadualkan pada Ahad pukul 3 petang di tempat yang sama.

Tunku Abu Bakar berkata, Sultan Johor telah berkenan untuk menjemput 2,800 dif untuk istiadat persandingan pengantin diraja itu, terdiri daripada kerabat diraja Johor, pembesar negeri Johor dan wakil-wakil masyarakat.

Antara dif-dif kenamaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Singapura, Brig. Jen. Lee Hsien Loong dan beberapa menteri Kabinet Malaysia dan Singapura.

Menurut Tunku Abu Bakar, Tunku Abdul Majid berkenalan dengan Tunku Teh Mazni kira-kira enam tahun lalu sebelum melamarnya Oktober lepas.

Katanya, istiadat merisik oleh rombongan diraja Johor, diketuai oleh beliau telah berangkat ke Kota Bharu pada 13 Disember lalu untuk mendapatkan restu ayahanda serta bonda Tunku Teh Mazni.

Tunku Abdul Majid diputerakan pada 20 Julai 1970 di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, merupakan putera kedua Sultan Johor.

Sementara itu, Tunku Teh Mazni pula diputerikan pada 2 April 1976 di Kota Bharu.

Beliau adalah puteri kepada Tunku Yusuf Tunku Md. Jewa dari keluarga Diraja Kedah dan Tengku Embon Suria Tunku Abd. Majid daripada keluarga Diraja Kelantan.

Tuan Azman Tuan Ludin

KOTA BHARU 10 Jan. - ``Kami mahu memulakan hidup baru dan melupakan kisah silam yang melukakan.''

Itulah impian anggota tentera yang cacat akibat disimbah asid, Tuan Azman Tuan Ludin, 32, yang akan mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis, Noraimi Ghazali, 21, di Gual Ipoh, Tanah Merah esok.

Tuan Azman berharap pertunangannya dengan Noraimi yang juga rakan bekas kekasih, Normasalina Mohd. Noor, 22, akan berakhir dengan perkahwinan dan kekal sepanjang hayat.

Mereka merancang untuk mengadakan majlis tersebut pada Jun ini.

Ketika ditemui hari ini, Tuan Azman berkata, dia amat bersyukur walaupun mengalami kecacatan tetapi dia tetap menjadi pilihan Noraimi.

``Saya tak sabar untuk mendirikan rumah tangga selepas setengah tahun menduda dan dikecewakan,'' katanya.

Sementara itu, Noraimi berkata, cintanya terhadap Tuan Azman lahir dari hati yang ikhlas selepas membaca betapa deritanya duda itu mengharungi hidup sebagai insan cacat di samping kehilangan dua orang yang pernah disayangi dalam hidupnya.

Malah lebih menguatkan perasaannya ialah ketabahan Tuan Azman yang menganggap apa yang berlaku ada hikmahnya.

Tuan Azman mengalami kecacatan di muka dan keseluruhan badan akibat disimbah asid dipercayai perbuatan isterinya, Siti Khalifah Sulong, 53, di Kampung Legeh, Jeli pada 31 Julai lalu selepas dia menyatakan hasratnya untuk berpoligami.

Hasil perkahwinan Tuan Azman dengan Siti Khalifah itu mereka dikurniakan seorang anak, Tuan Norsafida yang kini berusia 11 tahun. [UM]