17/01/06

Saya tak ampunkan dosa isteri derhaka

Allfreshclick Rotator

“SAYA sering membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini yang banyak mengisahkan kecurangan suami sahaja. Biasanya kaum wanitalah yang sering mengadu tentang keburukan kelakuan, tabiat dan perbuatan sumbang suami masing-masing.

“Namun saya tak salahkan mereka kerana mereka yang merasakan penderitaannya tentulah sakit hati dan ingin meluahkan perasaan masing-masing. Mereka tahu cerita mereka menjadi rahsia, dan apa yang tersemat di hati mereka cuma penulis sahaja yang tahu.

“Tetapi kali ini saya ingin mencurahkan perasaan saya. Kalau selalunya wanita berasa tertipu dengan suami masing-masing, perasaan saya lebih sakit lagi apabila dikhianati isteri sendiri.” Demikian cerita Zain ketika penulis menghubungi beliau setelah membalas e-melnya kerana ingin bertanya lebih lanjut lagi.

Memang terkejut tetapi bukan mustahil boleh berlaku kerana dunia ini pentas dan kita semua adalah pelakonnya.

“Apa perasaan puan bila baca cerita saya, terkejut tak? Tentu terkejut kan! Saya rasa bukan saya seorang sahaja suami yang berperasaan demikian. Ada lagi mungkin tidak ramai kaum lelaki yang mempunyai pengalaman pahit seperti yang saya lalui, tetapi mereka suka mendiamkan diri. Dulu saya pun menyimpan perasaan yang sama, tetapi semakin lama kita simpan semakin perit, pedih dan menjadi racun berbisa.

“Jadi hari ini saya luahkan kepada puan, pertimbangkanlah. Memang benar zaman ini macam-macam perkara yang kita tak sangka boleh berlaku. Demikian pengalaman pahit yang saya lalui.

“Saya bekerja tetap tahun 70-an, oleh kerana saya daripada keluarga susah, ramai adik-beradik, maka saya amat sayangkan kerja. Saya bekerja tak tentu masa kerana terlalu gembira dengan tugas, sesuatu yang saya idam-idamkan selama ini.

“Walaupun saya mendapat tawaran ke U tetapi saya tolak, sebab keluarga miskin, jadi saya berkorban supaya saya boleh bekerja dapat duit, bantu ayah sekolahkan adik-adik. Saya bersyukur semua adik-beradik saya berjaya dalam pelajaran, lulusan U dan semuanya memegang jawatan yang baik juga.

“Biarpun saya tidak lulus U tetapi kerana dedikasi dan ketekunan bekerja, saya naik pangkat dan menjawat jawatan yang baik. Ini balasan Allah daripada pengorbanan besar yang saya lakukan demi pelajaran adik-adik saya.

“Kerana terlalu sayangkan kerja, saya terlupa usia semakin meningkat dan tak kahwin. Hidup saya cuma rumah dan tempat kerja saja. Sebelum pukul 8 saya dah mula bekerja dan balik pukul 6 petang ada kalanya lewat malam. Dan bila kerja banyak ada kalanya sampai pagi. Hari Ahad dan Sabtu sama saja. Ada satu ketika rutin ini berterusan hingga 114 hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum, hingga risau ibu di kampung.

“Saya hanya lulus MCE, tetapi nasib menyebelahi saya. Jawatan kerajaan yang dipegang adalah idaman ramai. Pendapatannya lumayan bagi seorang bujang umur 20-an, dapat kereta baru, dan dihormati ramai, tentu glamor juga di mata gadis-gadis.

“Tetapi kerana taksub dengan kerja, saya lupa dunia, hiburan dan hidup berkeluarga. Akhirnya ketua jabatan, se-

orang pengarah merancang konspirasi menjodohkan saya kerana tidak mahu melihat hidup saya habis di pejabat.

“Awal tahun 70-an usia dah dekat 30 tahun masih bujang. Di pejabat, saya digelar the most eligible bachelor. Konspirasi mereka menjadi, mereka memaksa saya berkahwin dengan seorang gadis yang boleh dikatakan cantik juga.

“Anak ulama daripada keluarga agak tersohor dan dikenali secara peribadi oleh ketua jabatan saya. Hampir setahun berkenalan, akhirnya saya mendirikan rumah tangga dengan Hamizan.

“Belum dua tahun berkahwin, Hamizan melahirkan anak, disusuli seorang lagi tiga tahun kemudian dan ketiga, lima tahun kemudian. Dalam pada itu saya dinaikkan pangkat, melayakkan saya menduduki banglo kuarters kerajaan di KL. Saya juga dianugerahkan bintang kebesaran Persekutuan, semua dalam tempoh kurang 13 tahun saya bertugas.

“Hamizan bekerja di sebuah badan berkanun. Dia gemar bersukan apa jenis pun dan aktif berpersatuan. Rajin menyertai kegiatan kesenian dan kebudayaan, seperti menari dan berdrama. Kebolehannya ini membawanya ke seluruh negara dan ASEAN dalam misi mengeratkan silaturahim antara badan-badan yang sama antara negara tersebut.

“Kerana aktif berpersatuan, dia sering pulang lewat selepas pukul 8 malam dan kadangkala sehingga pukul 10 malam. Saya tidak merasa syak-wasangka kerana kami diketahui ramai sebagai pasangan ideal. Tetap bergurau senda, berpegang tangan semasa berjalan dan tidak kurang menunjukkan affection pada bila-bila masa. Kami saling sayang-menyayangi.

“Suatu hari lebih kurang sedekad lalu, seorang hamba Allah menelefon saya dan bertanya mengapa saya biarkan isteri diusung orang merata tempat. Saya jadi bingung kerana selama ini Hamizan tidak menunjukkan sebarang tanda dia curang selain pulang lewat. Sungguhpun saya sangsi cerita pemanggil itu, namun hati saya mula curiga. Saya bawa bertenang, dan tidak terburu-buru menyergah Hamizan. Saya cuba siasat sendiri.

“Suatu hari saya pulang pukul 3 pagi, dengan kehendak Allah jua saya ternampak bukti pertama sebuah diari di sebelah Hamizan, ketika itu dia tertidur. Hampir pitam saya bila membelek diari itu. Rupa-rupanya dia keluar masuk hotel dengan teman-teman lelakinya, termasuk orang berpangkat tertinggi di jabatannya, juga berpangkat rendah.

“Bila diajukan dengan bukti Hamizan tidak dapat mengelak daripada mengakuinya. Dia menceritakan segala-galanya, termasuk kecurangannya. Mahu saya cekik dia ketika itu. Tapi ingatkan anak-anak dan maruah keluarga, saya mengucap berkali-kali. Ketika itu anak-anak sedang membesar dan pencapaian pelajaran mereka amat menggalakkan. Mengenangkan masa depan mereka, saya tidak bertindak. Kalau dulu saya berkorban untuk adik-beradik, kali ini saya berkorban untuk anak-anak, maruah mereka dan keluarga saya.

“Walaupun marah, namun saya beri amaran keras bahawa sekiranya perbuatan ini berulang lagi padahnya amat be-

rat. Dia menangis meminta ampun.

“Malangnya pisang berbuah banyak kali. Hamizan mengulangi kegiatannya meskipun tidak lagi pulang lewat. Kali ini saya menemui bukti setelah menerobos masuk ke e-melnya. Kali ini temannya seorang jurutera sebuah syarikat telekomunikasi dan seorang jeneral yang pernah dikenali semasa remaja. Saya tak mahu marah lagi, kerana inilah sifat buruknya yang sebenar. Mulai hari itu antara kami sudah tidak ada apa-apa.

“Namun untuk meyakinkannya saya hubungi teman-temannya itu, dan berjaya mendapatkan pengakuan bertulis mereka, ada juga secara lisan. Saya be-

ritahu mereka perbuatan mereka akan ada balasannya, tiada statute of limitation, bermakna balasannya mungkin serta-merta, lepas lima tahun atau 20 tahun, bila-bila saja. Allah maha besar.

“Apa yang menghairankan saya, Hamizan bukan anak orang sembarangan, dia anak ulama, pandai mengaji al-Quran kalau berlagu ala qari terkenal Ismail Hashim, baca Yasin setiap malam Jumaat dari dulu sampai sekarang, sembahyang, puasa, termasuk yang sunat, tak pernah tinggal, bertudung, pakaian sopan. Malah kalau berzanji merdu suaranya. Setelah difikirkan baru saya sedar, apa yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata saya daripada melihat maksiat dan kecurangan yang dilakukan di luar.

“Walaupun saya begitu marah tetapi memukul tidak sekali-kali. Saya bawa bertenang kerana memikirkan anak-

anak kami ketika itu sedang membesar. Tetapi sedihnya peristiwa pahit dalam kehidupan saya, belum berakhir. Satu hari anak kedua saya Nuraine yang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di IPTA pulang bercuti. Sampai di rumah dia terus memeluk saya dengan tangisan. Katanya, dia bukan anak saya. Darah kami berlainan.

“Saya terkejut besar. Bila saya tanya mana dia tahu, katanya ketika menderma darah dia dapati jenis darahnya tidak ada persamaan dengan darah saya. Saya langsung tidak terfikir kecurangan Hamizan sampai ke tahap ini.

“Hamizan ketika ditanya menafikan, namun ujian darah membuktikan bahawa Nuraine adik-beradik dengan anak-

anak saya yang lain, satu emak tetapi lain ayah. Hamizan tetap berdegil tidak mengakui kesahihan ujian tersebut, meskipun saya dapat agak siapa sebenarnya ayah Nuraine.

“Malah pernah rakan-rakan sepejabat Hamizan ada mengatakan wajah Nuraine sama seperti salah seorang pegawai tinggi di pejabatnya. Tetapi Hamizan menafikan. Bukan sekali dua wajah Nuraine menjadi pertanyaan ramai, banyak kali.

“Hamizan kini masih sebumbung dengan saya, tetapi saya tidak pernah menyentuhnya sejak hampir 10 tahun lalu. Anak-anak tidak menghormatinya lagi. Mereka enggan bertegur sapa, tidak bercakap sopan, kalau bercakap pun dengan kasar, membuatkan Hamizan menangis.

“Anak-anak tahu perbuatan keji emak mereka dan tahu pengorbanan saya demi menjaga hati, maruah dan pembelajaran mereka. Anak sulung saya kini star-performer di jabatannya. Nuraine mewakili syarikatnya bertugas di Eropah sementara anak ketiga akan tamat pengajian tidak lama lagi. Inilah pengorbanan saya. Biar hati lebur asal anak-anak bahagia.

“Yang penting saya tidak mahu kor-

bankan masa depan mereka dengan sikap saya yang tidak sabar dan mengikutkan rasa saya.

“Nuraine hampir setiap hari menelefon saya bertanya khabar. Anak-anak lebih sayangkan saya dan lebih suka berbincang dan berbual dengan saya daripada emak mereka. Inilah sebabnya saya masih tidak menceraikan Hamizan.

“Saya tetap tidak mengampunkan Hamizan. Biar dia nazak dan meminta maaf atau saya sedang nazak dan dia sujud menangis meminta ampun, saya tetap tidak akan memaafkannya. Saya tahu Allah Maha Pengampun, Nabi Muhammad juga mengampunkan umatnya. Namun, saya bukan Allah dan saya juga bukan Nabi Muhammad. Saya seorang biasa dan tidak akan melakukan sesuatu untuk menyamai Allah atau Nabi.

“Ada saya terbaca bahawa ibadah seseorang isteri tidak diterima Allah sekiranya dia melakukan dosa besar terhadap suaminya dan tidak mendapat pengampunan daripadanya. Jika benar, saya tidak akan mengampunkan apa juga dosa Hamizan. Sungguh saya tidak menyangka kebahagiaan, kesenangan, kesetiaan dan kepercayaan yang saya curahkan kepada dia disia-siakan.

“Kalaulah membunuh bukan satu kesalahan dan tidak membawa aib kepada keluarga, sudah lama saya cincang-cincang Hamizan untuk menjadi jamuan anjing-anjing liar di tepi jalan dengan daging busuknya,” demikian cerita Zain.

Nampaknya Zain telah melakukan pengorbanan besar bukan sahaja untuk adik-beradiknya, anak-anaknya malah menjaga nama baik dan maruah mentuanya. Namun saya tertanya-tanya apakah Zain sudah bertanya kehendak Hamizan untuk masa depannya? Mungkin dia ingin menjadi burung yang terbang bebas? Kepada pembaca, dapatkah anda pertimbangkan jika mempunyai isteri yang curang seperti ini? [MM]

www.dckkmona.com
dckkmonaum@hotmail.com