7/01/06

`Tiada cinta antara kami'

NORSALWA ZAKARIA dan DANIAL ISKANDAR ABDUL RAHMANOleh: MOHD. ARIF NIZAM ABDULLAH

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Selepas tiga bulan program realiti televisyen Mencari Cinta berakhir, hasrat penonton untuk melihat Elly Zakaria bersanding dengan jejaka pilihannya, Danial Iskandar Abdul Rahman mungkin tidak kesampaian.

Ini kerana kedua-dua yang diketemukan dalam program itu menyatakan bahawa tiada perasaan cinta di hati masing-masing.

Elly atau nama sebenarnya Norsalwa Zakaria, 29, dan Danial, 31, menyifatkan perhubungan mereka sekadar teman biasa.

Malah, Elly menegaskan bahawa pemilihan Danial sebagai pemenang dalam program yang disiarkan oleh TV3 itu tidak semestinya berakhir ke jenjang pelamin.

``Saya sendiri sebenarnya berasa tertekan bila ramai yang bertanya tentang perkahwinan kami sedangkan hubungan saya dengan Danial yang dipupuk dari program itu tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan.

``Saya percaya, ajal maut dan jodoh pertemuan di tangan Tuhan,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program Mencari Cinta merupakan sebuah program yang memaparkan persaingan 10 jejaka untuk memikat hati Elly.

Elly yang bertugas sebagai setiausaha memberitahu, perhubungan selama tiga bulan melalui program itu adalah satu jangka masa yang pendek untuk saling mengenali hati budi masing-masing.

Malah katanya, selepas program itu berakhir, dia amat jarang bertemu dengan Danial.

``Kami masih berhubung antara satu sama lain tetapi hanya melalui telefon dan SMS (khidmat pesanan ringkas).

``Kami sudah lama tidak keluar bersama. Masing-masing sibuk dengan kerjaya dan komitmen lain,'' katanya.

Menurut Elly, tahap hubungannya dengan Danial sama seperti rakan-rakan lelakinya yang lain.

``Belum sampai melibatkan perasaan sayang atau cinta,'' katanya yang turut mengakui masih keluar beramai-ramai bersama sembilan peserta lain yang tersingkir daripada program tersebut.

Elly turut meluahkan rasa kecewanya terhadap gosip cintanya yang tersiar di halaman web tempatan, khususnya mengenai hubungannya dengan dua bekas peserta yang tersingkir iaitu Dzulfakar dan Khairul Hasanian.

``Gosip itu hanya akan mengganggu kehidupan orang lain. Saya hanya keluar dengan mereka sebagai teman biasa,'' ujarnya.

Elly juga berkata, dia tidak mahu menetapkan umur bagi mengakhiri zaman bujang, sebaliknya mahu menumpukan perhatian kepada pengajiannya dalam bidang komunikasi korporat di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

``Sekarang saya hanya berserah siapa jodoh saya. Saya tak mahu lagi tetapkan had umur untuk berumahtangga,'' katanya yang kini berada di semester akhir pengajiannya.

Sementara itu, Danial yang dihubungi melalui telefon bimbit Elly, memberitahu perhubungannya dengan Elly adalah sebagai kawan rapat.

``Untuk bercinta, bukanlah suatu perkara mudah kerana ia melibatkan hati dan perasaan.

``Memang saya mahu menumpukan perhubungan saya dengan Elly sahaja kerana saya bukan jenis lelaki yang suka bertukar teman wanita,'' kata penasihat undang-undang di sebuah syarikat di ibu kota itu.

Ditanya sama ada program terbitan Illusion Ska Sdn. Bhd. itu gagal mencapai matlamat menjodohkan mereka, Danial menafikannya.

Malah beliau menganggap, `jika jodoh, tak ke mana'.

``Saya menganggap apa yang telah terjadi merupakan satu pengalaman dalam hidup. Ia bukan satu kegagalan,'' katanya yang menafikan dirinya sebagai `anak emak'.

Sekiranya perhubungan itu menjadi realiti, perkahwinan mereka akan ditaja antaranya oleh A Famosa Resort dan Habib Jewels yang menyediakan barangan kemas bernilai RM150,000. [UM]