12/01/06

Mencari Cinta Melayu dihentikan, versi Cina muncul

Elly Zakaria
*NEWS FLASH* - Private Tours of Successful Web Sites Now Available!

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) membuat keputusan menghentikan program realiti televisyen Mencari Cinta yang gagal menjodohkan Elly Zakaria dan jejaka pilihannya, Danial Iskandar Abdul Rahman.

Bagaimanapun Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, langkah itu diambil bukan kerana kegagalan pasangan tersebut berkahwin atau ia pernah mencetuskan kontroversi tetapi disebabkan stesen itu berhasrat menerbitkan sebuah program realiti televisyen yang baru.

``Program itu lebih kurang sama formatnya seperti Mencari Cinta tetapi dalam versi Cina,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.

Mencari Cinta pernah menjadi isu hangat di kalangan masyarakat apabila program itu dikatakan kurang sesuai dengan aspirasi dan budaya masyarakat Melayu dalam soal mencari jodoh.

Isu itu juga menarik perhatian ahli-ahli politik apabila ia turut diketengahkan pada sidang Dewan Rakyat.

Malah, sehingga kini Mencari Cinta terus diperkatakan ramai apabila pemenangnya, Danial, 31, tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengahwini pasangannya dalam program itu, Elly, 29.

Utusan Malaysia Sabtu lalu menyiarkan kenyataan Elly atau Norsalwa Zakaria yang redha dengan ketentuan takdir apabila jodohnya bersama Danial tidak kesampaian.

Nurul Aini berkata, langkah menghentikan program yang mencatatkan jumlah penonton sebanyak 2 juta itu sebagai satu usaha untuk mempelbagaikan lagi program-program terbitan Media Prima Television Networks. ``Cukuplah setakat itu sahaja untuk program Mencari Cinta. Selepas ini, kita mahu cuba siarkan program yang lain pula.

``Apa yang pasti, program realiti baru berbahasa Cina yang sama konsepnya dengan Mencari Cinta itu tidak akan disiarkan menerusi TV3.

``Tetapi melalui ntv7 ataupun 8TV,'' katanya.

Menurut Nurul Aini, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu konsep program realiti baru itu supaya ia tidak menyentuh sensitiviti kaum dan budaya masyarakat Cina di negara ini. [UM]